Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, December 4, 2010

Bab 2 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 2: Pemilihan

Cikgu Julia memperkenalkan Adif Danial kepada murid-murid Tingkatan Satu Dinamik. Adif Danial bertukar dari SMK Damansara. Linda pula mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan Adif.

Cikgu Julia turut mengumumkan pertandingan pidato peringkat daerah. Seorang pemidato dari Tingkatan Satu Dinamik akan dipilih. Ai Ling mencadangkan nama Iman Zulaikha. Cadangan Ai Ling disokong oleh Pei Wen. Malangnya, Linda tidak bersetuju. Sebenarnya, Linda ingin bertanding dengan Iman. Cikgu Julia akan berbincang dengan Cikgu Osman, guru Perbama tentang tarikh pertandingan bersertakan tajuknya. Berkat dorongan dan sokongan rakan-rakan, akhirnya Iman bersetuju untuk berentap dengan Linda.

Selepas menjamu selera di kantin, Iman dan Pei Wen berbual-bual tentang ibu tiri Pei Wen. Menurut Pei Wen, ibu tirinya meminta maaf dan berpesan agar hal yang berlaku tidak sampai ke pengetahuan bapanya. Zulkarnain dan Adif Danial menghampiri mereka. Zulkarnain meluahkan perasaan bengangnya terhadap sikap Linda. Iman terpaksa menenangkan Zulkarnain.

Cikgu Julia telah menyerahkan tiga buah tajuk pidato untuk dipilih oleh Iman. Sejak hari itu, Iman membuat rujukan di perpustakaan bersama-sama Pei Wen, Adif Danial dan Zulkarnain. Iman turut mendapat bimbingan Cikgu Julia, guru bahasa Malaysia di sekolah itu. Pertandingan pidato antara Iman dan Julia akan bermula 9 pagi, hari Sabtu minggu berikutnya. Hubungan Iman dengan Linda semakin renggang. Jika bertembung, Linda pasti akan mengelak atau memalingkan wajah.

Pagi itu, sebaik sahaja tiba di sekolah, Iman bersemuka dengan Linda. Maka berlakulah pertikaman lidah. Linda menuduh Iman bertindak mempengaruhi kawan-kawannya, termasuklah Adif Danial. Mujur muncul Zulkarnain, Adif Danial dan Pei Wen. Iman segera meninggalkan kelas. Pei Wen mengekorinya ke tandas. Iman menangis di dalam tandas. Dia ingin menarik diri daripada pertandingan. Pei Wen tidak berpuas hati sambil bertindak memberikan dorongan kepada Iman. Menurut Pei Wen, maruah sekolah di bahu Iman. Akhirnya, semangat baharu menular ke dalam diri Iman.

Kosa Kata / Makna:
1. Mara – bergerak ke muka, tampil ke hadapan, maju
2. Melemparkan – membalingkan, melantingkan, melontarkan
3. Menonjolkan – menjorokkan, menyorongkan (ke muka), menampakkan, muncul
4. Berentap – beradu pengaruh, kebolehan, kekuatan dengan hebatnya untuk mencapai kemenangan
5. Mengejek – mempersendakan orang, mencemuh, menghina
6. Menjeling – memandang dengan ekor mata, mengerling
7. Menyiku – menyinggung dengan siku
8. Sepakat – setuju, sependirian, seia sekata
9. Bersaing – atas-mengatasi, dahulu-mendahului
10. Menoleh – berpaling atau berpusing muka ke kiri (ke kanan atau ke belakang) untuk melihat
11. Getus – getis, gentis
12. Strategi – ilmu tentang cara-cara merancang dan melaksanakan tindak-tanduk peperangan
13. Gelagat – tingkah laku, gerak-geri
14. Bertembung – berjumpa (dengan tidak sengaja), bersua, bertemu, terjerempak
15. Bersemuka – berhadapan muka (dengan)
16. Hipokrit – (orang yang) berpura-pura berperangai baik
17. Mengekori – mengikuti atau menyertai dari belakang
18. Mengesat – menyapu-nyapu atau menggosok supaya kering
19. Menggenggam – memegang dalam genggam, menguasai
20. Menular – membiak atau menjangkit, merebak ke merata-rata tempat
21. Maruah – kehormatan, harga diri

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 4 Disember 2010.
Desa Ilmu, 35900 Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan.