Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, August 22, 2010

Teks Perbahasan

Soalan Contoh
Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Teks Contoh
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,

Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Tidak Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri, iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Tuan Yang Dipertua,

Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa pemantauan yang kurang berkesan tidak dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,

Sebenarnya, pihak berkuasa mempunyai prosedur atau peraturan yang menjadi garis panduan untuk meluluskan tender kantin kepada pengusaha yang berjaya. Selepas itu, pihak berkuasa hendaklah memantau pengusaha-pengusaha kantin yang sedang menjalankan operasi itu dengan berkesan. Jadi sepatutnya pihak berkuasa hendaklahlah menjalankan tanggungjawab mereka itu dengan berkesan. Sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, sudah pasti masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah akan dapat diatasi. Mungkin ada segelintir pihak yang berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan tetapi bukan bermakna semua pihak berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan. Jika berlaku juga sebahagian kecil pihak berkuasa yang tidak menjalankan pemantauan dengan berkesan, suddah pasti mereka juga akan dikenakan tindakan kerana kecuaian. Jadi, perkara pokoknya di sini, pihak berkuasa sepatutnya menjalankan pemantauan dengan berkesan untuk mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,

Pemantauan pihak berkuasa akan dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, pemeriksaan berkala secara kerap. Selepas tender diberikan kepada pengusaha kantin, pihak berkuasa perlulah membuat pemeriksaan berkala secara kerap terhadap pengusaha kantin tersebut. Pihak berkuasa seperti pegawai-pegawai daripada Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kesihatan perlulah membuat pemeriksaan secara mengejut untuk memastikan makanan yang disediakan benar-benar bersih dan selamat untuk dimakan oleh murid-murid. Sampel makanan perlulah diperiksa dan dibuat uji kaji di makmal. Selain itu, pekerja-pekerja yang terlibat untuk menyediakan makan perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya langkah ini dijalankan, sudah pasti keracunan makan dalam kalangan masyarakat tidak akan berlaku.

Tuan Yang Dipertua,

Sekiranya pemeriksaan berkala secara kerap dijalankan sudah pasti pihak pengusaha kantin akan mementingkan kebersihan dalam aspek penyediaan makanan. Oleh itu, pengusaha kantin perlulah memastikan tangan penyedia makanan benar-benar bersih dan premis penyediaan makanan mereka bersih. Selain itu, tukang masak juga perlu memakai topi dan apron di samping memotong kuku mereka agar bersih. Sayur-sayuran atau bahan-bahan yang hendak dimasak perlulah dibersihkan dengan air yang secukupnya di samping tidak mendedahkan makanan kepada lalat atau serangga yang lain. Jika langkah ini diambil oleh pengusaha kantin, sudah tentulah masalah keracunan makanan dapat dielakkan.

Tuan Yang Dipertua,

Hujah saya yang kedua iaitu berpaksikan frasa, mengadakan kursus kepada pengusaha kantin. Pihak berkuasa perlulah mengadakan kursus yang berkaitan dengan aspek kebersihan dalam pengendalian makanan kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah. Melalui kursus tersebut, pengusaha kantin akan mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh demi menjaga kebersihan makanan di kantin. Sudah tentu, mereka akan diberikan pendedahan tentang cara-cara untuk menyediakan makanan yang bersih dan selamat untuk murid-murid sekolah. Pekerja-pekerja kantin itu juga didedahkan dengan aspek kebersihan dan kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam penyediaan makanan. Selain itu, mereka perlu memakai pakaian yang sepatutnya semasa memasak makanan dan menjaga kebersihan seperti memastikan kuku mereka dipotong, membasuh tangan sebelum memegang makanan dan sebagainya. Oleh itu, masalah keracunan makanan dalam kalangan murid-murid sekolah akan dapat diatasi.

Tuan Yang Dipertua,

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadang.

Sekian, terima kasih.
(Sumber: Cikgu Mohd Khir Kassim)

No comments: