Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, August 9, 2010

Sajak - Merdeka, Tanah Airku




















MERDEKA, TANAH AIRKU
I
Merdeka tanah airku
Bukan belas kasihan
Penjajah yang rakus dan tamak haloba
Kemerdekaan ini atas nama perjuangan sebenar-benarnya
Para wira, serikandi dan negarawan nusa bangsa yang berani tabah gagah perkasa merealisasikan wawasan merdeka di petak-petak percaturan kuasa penjajah
Keringat peluh nenek moyang berdekad-dekad menegakkan panji-panji kebebasan
Perit jerih rakyat marhaen aneka ras membangunkan mahligai demokrasi keharmonian dan kemajuan
Di petak-petak sawah
Di ladang-ladang getah
Di lombong-lombong timah
Di serata ceruk rantau kota dan desa
II
Merdeka, tanah airku
Bukan percuma sebenar-benarnya
Kemerdekaan ini perlu dibayar dengan air mata kemiskinan
Kemerdekaan ini perlu ditebus dengan darah merah perjuangan dan penderitaan
Kemerdekaan ini perlu diurusniagakan dengan hasil mahsul iltizam dan amanah ketanggungjawaban
III
Merdeka, tanah airku
Bererti:
Kita bebas daripada minda budaya penjajah
Kita bebas daripada politik pecah dan perintah penjajah
Merdeka, tanah airku
Bererti:
Kita bangsa yang utuh merdeka
Kita bangsa yang kukuh setia ceria
Mendaulatkan bahasa nusa
Menjunjung lunas-lunas Rukun Negara
Memartabatkan maruah nusa bangsa di persada antarabangsa
Merdeka, tanah airku
Sebenar-benarnya merdeka kita
daripada belenggu saki baki sisa-sisa penjajah!

Chai Loon Guan

(Mingguan Malaysia - 5 September 1999)

No comments: