Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, June 2, 2010

Karangan - Kasih Sayang Seorang Ibu

Kasih Sayang Seorang Ibu

Ibu memainkan peranan yang penting dalam kehidupan setiap keluarga. Kebanyakan anak berasa sungguh bahagia kerana mempunyai ibu yang prihatin dan penyayang. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kasih sayang ibu terhadap anak amat penting sekali.

Sebenarnya, nilai kasih sayang seseorang ibu tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Ibu yang peka dan penyayang akan senantiasa mengambil berat dan menjaga hal-ehwal kebajikan anak dengan sempurna, mendorong anak agar berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran di samping mengutamakan aspek kesihatan dan minat anak-anak. Lumrahnya, ibu sanggup berkorban untuk kepentingan masa depan anak supaya menjadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.

Sebaliknya, jika seseorang ibu tidak bersifat penyayang dan kurang bertanggungjawab maka masa depan anak-anak akan menjadi gelap-gelita. Anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang seringkali didapati emosi mereka mudah terganggu sekali gus mendorong mereka mencari jalan keluar dan mudah bergaul dengan rakan sebaya yang bebas dan liar. Akibatnya, masa depan anak-anak akan tergugat sekiranya mereka terjerumus ke lembah dadah, jenayah dan maksiat.

Malangnya, pada alaf moden ini, terdapat segelintir anak yang sudah dewasa dan berjaya mudah bersikap “bagai kacang lupakan kulit”. Mereka sanggup membiarkan kehidupan ibu yang pernah membesarkan mereka di desa pedalaman dalam keadaan yang tidak terurus, hidup melarat dan kesepian tanpa anak cucu di sisinya. Oleh itu, pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun, tarikh keramat itu dipilih semata-mata untuk anak-anak meraikan ibu yang tercinta bersempena dengan Hari Ibu di seluruh negara. Pada hari tersebut, jasa bakti dan iltizam ibu selama ini diperkatakan, dikenang dan dihargai.

Kesimpulannya, kasih sayang ibu akan senantiasa kekal dan berada di sisi anak-anak selagi hayat dikandung badan. Sesungguhnya, syurga anak di hujung telapak kaki ibu.

Disediakan oleh:
Derrick Goh Xin Deik, Tingkatan Satu Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

1 comment:

Bewitched said...

Karangan yang bagus