Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, May 24, 2010

Cerpen: Satu Malaysia


SATU MALAYSIA
oleh Wong Shun Yi, Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg.Malim.

" Meng, mari sini sekejap, Meng!”
“ Ya abah, apa itu?”
“ Surat untuk awak rasanya, ayah tak tahu baca ni, semuanya dalam Bahasa Melayu.”
“Mari saya tolong bacakan…” Satu ayat demi satu ayat dibaca oleh Khin Meng dengan teliti. Dia berasa terkejut. Berulang kali dibaca olehnya. Berkali-kali dia mengejapkan mata, takut kalau-kalau pandangannya tersilap.

“Abah, kerajaan sudah meluluskan permohonan biasiswa Meng!” Berita ini amat dinanti-nantikan oleh Khin Meng. Bapanya hanya seorang penoreh getah. Dia perlu membiayai kos kehidupan untuk 3 orang anak. Sebagai anak sulung, Khin Meng asyik mencari ikhtiar untuk mengurangkan kesusahan keluarganya. Demi meringankan beban ayahnya, Khin Meng menaburkan segala usaha demi menggapai kejayaan dalam PMR supaya dia layak untuk memperoleh biasiswa. Usahanya terbalas apabila terlihat akan deretan ‘A’ pada slip keputusan peperiksaan yang diterimanya. Kini, surat ini telahpun merealisasikan idamannya.

Namun, pancaran seri wajahnya kian beransur hilang. Keningnya berkerut , termenung seketika apabila terbaca akan salah satu syarat yang dinyatakan dalam surat tersebut:

Biasiswa ini hanya berkesan sekiranya pemohon setuju bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Bagi Khin Meng yang berasal daripada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), agak canggung untuk bergaul dengan kawan yang berlainan bangsa, apatah lagi MRSM yang kebanyakannya pelajar Melayu dan India. Khin Meng mengeluh sambil berdiam diri. Dia tidak ingin melepaskan tawaran ini begitu sahaja kerana hal ini bukan sahaja merupakan peluang keemasan untuk melanjutkan pelajaran tetapi juga dikatakan sebagai orang mengantuk disorongkan bantal. Menatap wajah ayahnya gembira sebaik mendapat tahu tentang biasiswanya, Khin Meng bertekad untuk meneruskan pelajarannya di MRSM.

Dua bulan sudah berlalu. Nampaknya, Khin Meng sudah dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaraan di MRSM biarpun jadual hariannya padat. Namun, dia masih belum dapat menembusi tembok halangan untuk bergaul dengan rakan-rakan daripada bangsa lain. Dia diibaratkan orang asing di dalam kelasnya bukan kerana dipinggirkan oleh murid lain tetapi dirinya yang mamagarkan diri sendiri. Dia seolah-olah memenjarakan diri di dalam ruang biliknya yang tersendiri. Terasing. Terpinggir. Sunyi menyendiri.

“ Jomlah Meng! Jom kita main bola sepak petang ni,” ajak Khairul, teman seasramanya.
“ Kita ni kurang satu lagi player la, Ramulu yang duduk sebelah awak pun dah join, lagipun coach bersetuju nak menunjukkan autograf-autograf selebriti bola sepak yang sempat dikumpul olehnya. Wah, pasti seronok!”
“Tak apa, kamu… enjoy.” Penolakan Khin Meng yang dingin benar-benar mengecewakan Khairul, namun dia tidak berputus asa untuk mengajak Meng keluar.
“Awak kaki bangku ke? Tak suka akan bola sepak tak apa, mungkin awak boleh datang ke rumah saya Sabtu ini, nanti awak cubalah pulut dan rendang ayam cap mama aku,” dengan penuh semangat Khairul yakin bahawa dia akan berjaya membuka pintu hati Meng yang sudah sekian lama terkunci. Terpenjara.

“Saya…”
“Macam mana?”
“…sibuk, minta maaf!”
“Tak mengapalah, saya keluar dulu ya. Jangan lupa tolong angkat baju saya yang masih tersidai di ampaian tu, terima kasih.”

Hati Khin Meng tenggelam. Dia bukannya kaki bangku sebaliknya dalam diam-diam, dia peminat besar Ronaldino dan Beckham! Tetapi, ah dia seperti kurang yakin nampaknya!. Dia risau kawan-kawan lain tidak mahu menerimanya kerana perbezaan dalam kaum. Lagipun dia tidak petah berbahasa Melayu. Dia takut terlanjur kata dan barangkali menambahkan perselisihan faham. Sebenarnya dia amat berminat untuk mencuba masakan orang Melayu biarpuna kurang tahu akan adat istiadat masyarakat Melayu. Khin Meng takut memalukan dirinya di hadapan ibu bapa Khairul. Seminggu lagi ujian pertengahan tahun akan bermula. Keadaan di dalam kelas begitu tegang.

“ Amin, ada! Susie, ada! Khin Meng…… Khin Meng?”
“Dia absen cikgu!” ungkap Ramulu dengan sejuta pertanyaan. Sudah hampir 2 hari Khin Meng tidak kembali ke sekolah. Hal ini amat merisaukan Ramulu.
“Tak tahu apa yang terjadi kepada Khin Meng. Tak munasabah dia malas datang ke sekolah. Kalau dia masih tak balik-balik lagi, dia mungkin boleh digantung sekolah… “ kata Ramulu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Yasmin terus mencelah,” Usah peduli akan dirinya. Tak pernah pun dia bertegur sapa. Sombong betul sikapnya itu!”

“ Setahu saya, dia bukannya sombong. Ada udang di sebalik batu. Mungkin dia pemalu orangnya? Kalau benar, itu bukan salah dirinya. Saya rasa kita perlu mengenal pasti keadaan Khin Meng.” Ramulu dan Yasmin mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju akan cadangan Khairul.

Setelah dijalankan pemantauan, mereka mendapati bahawa ayah Khin Meng telah dimasukkan ke dalam wad. Selama dua hari, Khin Meng bukan sahaja menjaga ayahnya di hospital tetapi dia terpaksa juga mengasuh dua orang adiknya yang masih kecil.
Ayah Khin Meng tiba-tiba pengsan semasa menoreh getah pada suatu pagi. Barulah didapati bahawa dia menghidapi penyakit anemia teruk yang hanya boleh dirawat melalui kaedah rawatan pemindahan darah. Namun, kumpulan darahnya, iaitu jenis O hanya boleh menerima kumpulan darah O sahaja apatah lagi jenis darah ini sukar didapati. Selagi ayah Khin Meng tidak menjalani pemindahan darah, barangkali maut akan menantinya.

Berita ini turut memberikan tamparan yang hebat kepada Khairul dan Ramulu. Mereka seolah-olah dapat merasakan denyut nadi kesukaran yang sedang dialami oleh Khin Meng. Mereka mula berasa susah hati, terutamanya Yasmin.

“Tak boleh…kita tak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan hal ini berlaku sahaja!” luah suara hati Khairul. Penuh simpati dan empati.
“Jadi, apa boleh kita buat? Kita bukannya doktor ataupun pakar perubatan…” balas Yasmin dalam nada yang serba salah semacam dilanda seribu persoalan.
“Saya ada idea!” ucap Ramulu spontan tetapi menyakinkan.
“Idea? Ilham apa, Ramulu?” soal Yasmin.
“Kempen! Kempen membantu Khin Meng!”

Maka mulai hari itu, mereka telah menjalankan kempen. Kempen bersama dengan guru-guru dan rakan-rakan sekolah, yakni meminta masyarakat setempat untuk menjalankan ujian darah agar jenis darah untuk ayah Khin Meng ditemukan. Jiwa Khin Meng tersentuh. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Dia cuba berusaha menahan rembesan air mata itu daripada menitis membasahi pipinya. Dia sekadar mampu menahan sebak di dada dan menampakkan sketsa keharuan, dan kesyukuran kepada Khairul, Ramulu dan Yasmin. Dia terus memeluk ketiga-tiga orang sahabat itu. Sahabat yang pada mulanya dicurigainya. Sahabat yang pada mulanya disempadaninya. Kali ini tidak lagi begitu. Merekalah sahabat yang amat memahami. Merekalah sahabat yang amat peka dan prihatin.

Berkat usaha murni Khairul, Ramulu dan Yasmin, kempen itu mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat setempat tidak kira Melayu, Cina atau India. Nasib baik Tuhan mengurniakan rahmat kepada ayah Khin Meng. Dengan izin-Nya, ayah Khairul mempunyai jenis darah yang serasi. Syukur kepada Tuhan. Syukur kepada –Nya. Akhirnya ayah Khin Meng berjaya diselamatkan daripada gerbang maut anemia.
Khin Meng kembali ke sekolah. Dia berdiri di hadapan khalayak pada pagi yang bening itu. Dia ingin menyampaikan kesyukurannya kepada setiap warga sekolah dan masyarakat setempat.

“ Terima kasih! Terima kasih kepada semua atas jasa baik, keprihatinan dan perhatian kepada ayah saya. Tanpa sahabat-sahabat dan guru-guru, mungkin saya akan kehilangan seseorang yang terpenting dalam kehidupan saya. Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kepada kawan sekelas saya, terutamanya Khairul, Ramulu, dan Yasmin… Secara jujur, selama ini, saya tidak berani untuk menghulurkan persahabatan dek perbezaan. Saya takut akan diketepikan. Oleh itu, saya memilih untuk berdikari dan bersendirian. Sekarang, saya faham benar pilihan saya itu salah. Biarpun kita berbeza warna kulit, agama dan kepercayaan namun kita lahir sebagai bangsa Malaysia yang satu. Bangsa Malaysia yang jitu. Kita satu warga, satu nusa, Satu Malaysia!”

@Hak Cipta Terpelihara

No comments: