Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, May 31, 2010

BAPA BOREK ANAK RINTIK

BAPA BOREK ANAK RINTIK DALAM KEHIDUPAN KITA
oleh Chai Loon Guan
Pendahuluan
Salah satu keistimewaan bahasa Melayu ialah kekayaan bentuk bahasa kiasan yang terdapat di dalamnya. Bentuk-bentuk ini adalah sangat aktif digunakan hari-hari. Bahasa kiasan lama biasanya akan lenyap dari penggunaan dan diganti dengan bahasa kiasan baharu yang sama erti, ataupun bentuk lama itu mendapat makna baharu.

Dalam bahasa Melayu, bentuk-bentuk bahasa kiasan dapat diklasifikasikan seperti yang berikut, iaitu peribahasa dan bukan peribahasa. Peribahasa merangkum unsur simpulan bahasa, pepatah, bidalan, dan perumpamaan manakala aspek bukan peribahasa pula merangkum unsur personifikasi, metafora dan hiperbola.

Pepatah

Bapa borek anak rintik tergolong dalam unsur pepatah dalam peribahasa Melayu. Menurut Kamus Peribahasa Lengkap Utusan (1993), pepatah bapanya borek, anaknya tentu rintik merujuk kepada maksud, yakni anak mencontohi kelakuan orang tuanya. Dalam buku Panduan Peribahasa Melayu PSM (1975) pula, pepatah bapa borek anak rintik merujuk kepada kelakuan ibu bapa itu biasanya menurun kepada anaknya.

Jika kita halusi pepatah Melayu tersebut, jelaslah bahawa maknanya masih relevan dan boleh kita rujuk dan dihubungkaitkan dengan dunia kehidupan masyarakat moden pada hari ini, terutamanya apabila kita menyentuh aspek kehidupan rumah tangga dan institusi keluarga.

Peranan Ibu Bapa

Saban hari masyarakat dihidangi berita tentang kejayaan anak-anak dalam dunia akademik, kokurikulum dan kesahsiahan diri. Tidak kurang pula anak-anak yang telah berjaya menjadi modal insan yang berguna bukan sahaja kepada diri dan keluarga bahkan juga kepada bangsa dan negara yang tercinta.

Sebenarnya, kejayaan anak-anak tersebut banyak bergantung kepada corak didikan ibu bapa (keluarga) yang diwarisi dan disemaikan di rumah sejak anak-anak masih bertatih lagi. Tidak boleh kita nafikan bahawa anak-anak umpama kain putih yang suci bersih dan ibu bapalah yang bakal mencorakwarnakan dunia kehidupannya. Tanpa didikan, galakan dan contoh teladan yang baik daripada ibu bapa, barangkali tingkah laku, sikap dan masa depan anak-anak akan menjadi tidak menentu sekali gus anak-anak terutamanya golongan remaja bakal berhadapan dengan dunia kehidupan yang sukar dan beranjau.

Tidak dapat kita nafikan bahawa tangan yang mengayun buaian itulah yang akan melahirkan generasi warga yang berbudi bahasa, bersahsiah mulia dan berhemah tinggi. Sejak seseorang bayi dilahirkan, beberapa aspek kehidupan telah dititikberatkan oleh ibu bapa seperti didikan agama, nilai budaya dan cara hidup bertatasusila. Jika dihalusi secara terperinci, amalan dan didikan ibu bapa semasa anak-anak di rumah cukup penting dan merupakan prasyarat awal untuk anak-anak mengorak langkah awal ke alam pendidikan sebelum mereka mula melayari bahtera kerjaya yang lebih mencabar apabila usia mereka meniti dunia kematangan dan kedewasaan hidup. Amalan murni seperti hormat-menghormati ibu bapa, bertutur dengan sopan-santun, mendirikan sembahyang, rajin berusaha dan sikap tolong-menolong perlu bermula daripada contoh teladan ibu bapa yang sebenar sebelum dapat diterjemahkan untuk diteladani oleh anak-anak dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Nilai Murni

Maksud peribahasa “bapa borek anak rintik” turut boleh kita hubung kaitkan dengan amalan membaca di rumah. Sekiranya, amalan membaca mula dititikberatkan dan turut diamalkan oleh ibu bapa di rumah, maka akan menjadi suatu kebiasaan pula amalan yang bermanfaat ini akan dicontohi oleh anak-anak di rumah. Yang penting, amalan murni ini haruslah mula disemaikan dalam jiwa raga ibu bapa terlebih dahulu sebelum amalan murni ini dapat dihidupsuburkan dalam jiwa raga anak-anak. Sekiranya, ibu bapa tidak memiliki minat membaca atau barangkali malas membaca ataupun mereka mempunyai seribu satu alasan maka anak-anak yang senantiasa memerhati gerak-geri dan fiil ibu bapa mereka, akan mula beranggapan bahawa amalan tersebut merupakan amalan yang remeh-temeh dan tidak perlu diutamakan dalam kehidupan seharian mereka sedangkan amat kita sedari bahawa bangsa yang membaca ialah bangsa yang berjaya.

Sikap berjimat cermat dan amalan menabung dalam kehidupan sehari-hari juga harus bermula daripada daya usaha amalan dan teladan ibu bapa yang biasanya akan bertindak sebagai "role model" kepada anak-anak dalam sesebuah keluarga. Sebaliknya, jika ibu bapa senantiasa mengamalkan corak hidup mewah biarpun di luar kemampuan dan amat suka berboros serta berhutang keliling pinggang, maka tidak hairanlah sikap buruk dan merugikan ini akan turut dicontohi dan diwarisi oleh anak-anak dalam kehidupan mereka sehari-hari sehingga mereka lupa diri dan lupa daratan atau barangkali akan turut terlanjur berhutang dengan lintah darat atau along.

Peranan Guru

Guru, golongan pendidik atau yang bergelar munsyi di sekolah turut memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha menjadi pendorong atau pemangkin kepada anak-anak didik untuk berusaha gigih dan cekal dalam perjuangan menimba ilmu dan berjaya dengan cemerlang dalam buana pelajaran. Sekiranya, guru pula bersikap sambalewa atau pasif ataupun bersikap acuh tak acuh, maka anak-anak didik yang terbiar bebas dan liar akan mengabaikan pelajaran dan seterusnya membabitkan diri dalam masalah disiplin dan sosial yang serius. Remaja pelajar yang kehilangan pedoman dan hala tuju perjuangan hidup akan mudah terdorong untuk membabitkan diri dalam masalah sosial yang serius seperti kegiatan penyalahgunaan dadah, samseng jalanan, gengsterisme dan maksiat. Sesungguhnya, keterlibatan remaja dalam masalah sosial tersebut akan merugikan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Dalam kita menghalusi maksud peribahasa “bapa borek anak rintik”, terdapat juga beberapa peribahasa Melayu yang turut mendukung maksud yang bersinonim dengannya. Antara lain, peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagaimana contoh begitulah gubahannya, yakni anak menurut baka ibu bapanya; sesuatu itu menurut asalnya. Pepatah seperti bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya, bagaimana biduk, bagaimana pengayuh, bagaimana cetak, begitu kuihnya, bagaimana contoh begitulah gubahnya dan bagaimana rupa begitulah bayangnya turut bersinonim dengan peribahasa “bapa borek anak rintik”.

Pengaruh

Pernah juga kita terbaca atau menonton dalam media massa, kisah remaja yang terbabit dalam kes GRO, gejala buang bayi, kes lari dari rumah, remaja bergentayangan dengan rakan-rakan di pusat-pusat beli-belah atau di pusat-pusat hiburan sehingga dinihari dan sebagainya. Kenapakah gejala sosial itu masih berlaku dan berterusan sedangkan ibu bapa atau penjaga remaja tidak mengamalkan tabiat buruk tersebut sebaliknya mereka mempunyai keluarga yang bahagia, sumber pendapatan yang tetap dan lumayan? Barangkali dalam hal ini, golongan remaja yang hidup bebas dan liar ini sebenarnya bukan dipengaruhi oleh cara hidup ibu bapa atau penjaga mereka sebaliknya mereka sudah terlanjur bergaul atau berkawan dengan golongan remaja bebas dan liar yang sudah menyimpang jauh dari aspek agama, nilai budaya dan akhlak!

Dalam konteks ini, pepatah bapa borek anak rintik tidak boleh kita asosiasikan dengan dunia kehidupan remaja yang bobrok lantaran keterlanjuran diri, dek kebebasan hidup yang tidak berpedoman dan bermatlamat dalam rutin kehidupan golongan remaja pada hari ini. Di sini, barangkali golongan ibu bapa atau penjaga boleh kita pertanggungjawabkan dek pengabaian mereka selama ini dalam memberikan kasih sayang, kurangnya penjagaan dari aspek kebajikan anak-anak, tidak mahu memahami dunia mereka atau barangkali kurangnya usaha pemantauan kerana kesibukan ibu bapa atau penjaga mengejar dunia kerjaya dan dunia kebendaan pada alaf globalisasi ini sehingga kasih sayang dan kebajikan anak-anak di rumah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah warga asing yang barangkali agak subjektif dan rumit jika dikaji latar belakang kehidupan mereka.

Bagaimanakah pula keadaan dan nasib anak-anak yang sedang membesar diasuh dan dididik pula oleh pembantu rumah asing yang barangkali pernah terlibat dalam gejala sosial dan jenayah yang serius semasa di tanah air sendiri? Bayangkanlah risiko yang telah diambil oleh ibu bapa atau penjaga dalam usaha untuk mencari sesuap rezeki dan seteguk kehidupan saban hari di buana kehidupan yang serba mencabar ini.

Kesimpulan

Sememangnya tidak boleh kita nafikan, dalam sesetengah kes khususnya dalam konteks kehidupan golongan anak-anak dan remaja, tingkah laku ibu bapa atau penjaga turut berperanan besar mempengaruhi watak dan perwatakan anak-anak. Namun begitu, terdapat juga kes-kes sosial dan jenayah juvana yang membabitkan anak-anak, khususnya golongan remaja yang akar masalah sebenarnya bukan kerana tingkah laku atau keturunan ibu bapa atau penjaga sebaliknya barangkali benar berpunca daripada kurangnya kasih sayang dan pemantauan ibu bapa, guru dan masyarakat di sekelilingnya di samping pengaruh akrab dan intim dunia media massa pada era dunia tanpa sempadan ini seperti Internet, selain faktor pengaruh rakan sebaya dan ketirisan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan agama atau moral, nilai budaya, siviks dan ketatanegaraan dalam kehidupan masyarakat moden pada hari ini.

(Pertama kali terbit dalam majalah Dewan Siswa DBP Jun 2010)

1 comment:

Zainudin Meon said...

Saya seronok membaca blog tuan, banyak infomasi yang di perolehi. Sekiranya ada kelapangan blog saya di
http://zainudinmeon.blogspot.com/