Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, April 9, 2010

GURU OH GURU!

Menjadi Guru Bahasa Melayu Bukanlah Mudah
Sejak dahulu hingga kini, guru sentiasa berada di barisan hadapan dalam soal pendidikan anak bangsa. Merekalah yang akan mencorakkan generasi masa hadapan.

Dalam soalan memartabatkan Bahasa Melayu, mereka juga berada pada barisan hadapan, khususnya guru Bahasa Melayu kerana merekalah orang pertama yang akan memberikan pendidikan bahasa Melayu secara formal. Guru Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam menyemai rasa cinta pelajar terhadap bahasa Melayu.

Untuk menjadi guru Bahasa Melayu yang baik pula bukanlah suatu hal yang mudah. Selain perlu menguasai pelbagai ilmu bahasa, seperti fonologi, morfologi, sintaksis dan wacana, mereka juga perlu menjadi model penggunaan bahasa Melayu baku kepada para pelajar dan rakan setugas. Sehubungan itu, guru perlulah menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan juga dalam komunikasi di sekolah, sama ada secara lisan ataupun tulisan.

Sekiranya guru Bahasa Melayu tidak menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dengan baik semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, sukarlah para pelajar menguasai bahasa Melayu. Hal tersebut juga boleh mempengaruhi guru bukan Bahasa Melayu dari segi penggunaan bahasa Melayu semasa mengajar subjek masing-masing.

Sebagai bahasa yang merentas kurikulum, selain digunakan oleh guru Bahasa Melayu, bahasa Melayu turut digunakan untuk menyampaikan pelbagai ilmu. Interaksi antara guru dengan pelajar dan sesama pelajar juga dilakukan dalam bahasa tersebut. Melayu. Selain itu, sebagai bahasa komunikasi utama di sekolah bahasa Melayu juga secara tidak langsung berfungsi sebagai bahasa perpaduan antara pelbagai kaum yang terdapat di sekolah. Semangat perpaduan dapat dipupuk melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Melalui semangat perpaduan ini akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian di sekolah.

Guru Bahasa Melayu perlu memainkan peranan penting dalam memastikan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu makin terserlah dalam kalangan pelajar. Untuk merangsang minda pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, guru perlulah menggunakan alat bantu mengajar berasaskan multimedia.


Guru Berkualiti, Pelajar Bestari
Zaidi Ismail
(Sumber: Dewan Bahasa Mei 2010)

No comments: