Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, February 7, 2010

KLAUSA BM

Dalam bahasa Melayu, pelajar lebih mudah mengenal kata dan frasa berbanding dengan klausa. Mereka keliru antara frasa dan klausa. Bagi pelajar yang menguasai frasa, mereka lebih mudah untuk memahami klausa. Apakah maksud klausa?

Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat dan mempunyai potensi untuk menjadi ayat. Hal ini bermaksud kebiasaanya ayat tunggal terdiri daripada satu klausa. Dalam bahasa Melayu, ayat majmuk pancangan keterangan biasanya terdiri daripada beberapa klausa. Lihat contoh ayat yang di bawah ini:

1. Muhammad Hazim berjaya kerana dia rajin.

Dalam ayat (1) di atas, ayat tersebut mempunyai dua klausa. Klausa yang pertama ialah Muhammad Hazim berjaya. Dalam klausa tersebut `Muhammad Hazim' ialah subjek yang terdiri daripada frasa nama, manakala `berjaya' ialah predikat yang terdiri daripada frasa kerja.

Klausa yang kedua ialah `kerana dia rajin'. Dalam klausa ini, `dia' merupakan subjek yang terdiri daripada frasa nama, manakala `rajin' ialah predikat yang terdiri daripada frasa adjektif. Klausa yang pertama, iaitu `Muhammad Hazim berjaya' dikatakan sebagai klausa bebas. Hal ini dikatakan demikian kerana klausa itu boleh berdiri dengan sendiri.

Klausa `kerana dia rajin' merupakan klausa tak bebas. Hal ini dikatakan demikian kerana klausa tersebut terikat oleh kata keterangan sebab, iaitu kerana. Klausa tak bebas ini tidak boleh berdiri dengan sendiri. Dalam ayat tersebut di atas tadi, klausa tak bebas berfungsi sebagai keterangan predikat dalam ayat majmuk pancangan keterangan. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada dua ayat tunggal yang berikut:

1a. Muhammad Hazim berjaya.
1b. Muhammad Hazim rajin.

Ayat (1a) dan (1b) di atas apabila dicantumkan dengan kata hubung pancangan keterangan sebab, iaitu kerana, maka ayat yang terbentuk ialah:

1. Muhammad Hazim berjaya kerana dia rajin.

Ayat di atas sebenarnya sering ditulis seperti yang berikut selepas mengalami transformasi pengguguran subjek.

2. Muhammad Hazim berjaya kerana rajin.

Dalam ayat (2) di atas, klausa tak bebas `kerana dia rajin' telah menjadi kerana rajin. Hal ini dikatakan demikian kerana pelaku dalam sesuatu bahagian ayat yang pertama tidak perlu diulang dalam bahagian ayat yang kedua.

Mengapakah pelajar-pelajar perlu mengenal klausa? Pelajar perlu mengenal klausa supaya pelajar mudah membina ayat majmuk terutamanya ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan, dan ayat majmuk campuran. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat majmuk terdiri daripada beberapa klausa. Lihat ayat yang di bawah ini:

3. Husna dan Sufia yang masih belum bersekolah sudah pandai membaca buku kerana mereka diajar oleh ibu mereka. Ayat 3 di atas sebenarnya terdiri daripada dua klausa, iaitu:

a. Husna dan Sufia sudah pandai membaca buku.
b. Kerana mereka diajar oleh ibu mereka.

Dalam ayat 3 di atas tadi, klausa (a) merupakan klausa bebas, manakala klausa (b) merupakan klausa tak bebas. Klausa (b) dikatakan sebagai klausa tak bebas kerana klausa tersebut terikat oleh kata hubung pancangan keterangan sebab, iaitu kerana. Dalam ayat tersebut, frasa `yang masih belum bersekolah' ialah frasa nama yang bertugas sebagai penerang. Sekarang, cuba anda perhatikan ayat yang di bawah ini:

4. Hal ini kerana masalah disiplin sudah tidak terkawal lagi.

Jika anda sudah menguasai klausa, anda sudah tentu dapat menyelesaikan masalah yang timbul dalam ayat di atas. Perkara pertama yang harus anda ketahui ialah ayat tersebut terdiri daripada berapa klausa? Ingat! Sesuatu ayat mestilah terdiri daripada sekurang-kurangnya satu klausa. Dan, setiap klausa sama ada klausa bebas dan klausa tak bebas mestilah terdiri daripada bahagian subjek dan predikat.

Dalam ayat (4) di atas, bahagian yang pertama ialah `Hal ini' dan bahagian kedua ialah `kerana masalah disiplin sudah tidak terkawal lagi'. Bahagian yang pertama didapati tidak lengkap kerana bahagian tersebut bukan klausa. Bahagian tersebut ialah frasa nama. Bahagian kedua pula ialah klausa tak bebas kerana klausa tersebut terikat oleh kata hubung pancangan keterangan sebab, iaitu kerana. Oleh hal yang demikian, ayat (4) tersebut tidak gramatis. Ayat tersebut gramatis sekiranya bahagian pertama tersebut dilengkapkan dengan bahagian predikat seperti yang di bawah ini:

4a. Hal ini berlaku (demikian) kerana masalah disiplin sudah tidak terkawal lagi.

Dalam ayat (4a) di atas, klausa bebas terdiri daripada dua bahagian, iaitu subjek dan predikat. `Hal ini' ialah subjek dan `berlaku (demikian)' ialah predikat. Dalam klausa tak bebas pula, bahagian subjek ialah `masalah disiplin', bahagian predikat ialah `sudah tidak terkawal lagi'.
Cuba kita perhatikan pula ayat (5) di bawah ini:

5. Dalam zaman sains dan teknologi ini, walaupun negara kita maju dalam berbagai-bagai perusahaan tinggi, tetapi industri kampung belum mencapai tahap yang memuaskan.

Dalam ayat (5) di atas, ayat tersebut kelihatan gramatis. Ayat tersebut sebenarnya tidak gramatis kerana tidak mempunyai klausa bebas. Dalam ayat majmuk pancangan keterangan yang membawa maksud pertentangan, ayat tersebut mestilah sekurang-kurangnya mempunyai satu klausa bebas. Ayat (5) di atas sebenarnya terdiri daripada 2 klausa tak bebas, iaitu

i. walaupun negara kita maju dalam berbagai-bagai perusahaan tinggi
ii. tetapi industri kampung belum mencapai tahap yang memuaskan.

Frasa `zaman sains dan teknologi ini' pula dan `yang memuaskan' merupakan frasa nama yang bertugas sebagai penerang.Selain itu, pelajar perlu mengenal klausa kerana klausa juga berfungsi sebagai objek, pelengkap dan penerang dalam ayat majmuk pancangan komplemen. Lihat ayat contoh di bawah ini:

6. Hajar Husna menyatakan bahawa dia tidak akan hadir esok.
7. Saya yakin bahawa Hasif akan berjaya.
8. Saya mendapat maklumat bahawa mereka akan menyerang kita.

Dalam ayat (6) di atas, `bahawa dia tidak akan hadir esok' ialah klausa komplemen yang bertugas sebagai objek. Dalam klausa tersebut, dia ialah subjek, manakala `tidak akan hadir esok' ialah predikat. Dalam ayat (7) pula, `bahawa Hasif akan berjaya' merupakan klausa komplemen yang bertugas sebagai pelengkap. Dalam klausa tersebut, `Hasif' ialah subjek, manakala `akan berjaya' ialah predikat. Seterusnya, dalam ayat (8) pula, `bahawa mereka akan menyerang kita' ialah klausa komplemen yang bertugas sebagai penerang. Dalam ayat tersebut, `mereka' ialah subjek, manakala `akan menyerang kita' ialah predikat.

Kesimpulannya, pelajar perlu menguasai klausa. Dengan menguasai klausa, pelajar akan dapat mengenal pasti sesuatu ayat itu gramatis atau tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana sesuatu ayat itu seolah-olahnya kelihatan gramatis, tetapi sebenarnya ayat-ayat tersebut tidak gramatis. Apabila kita menguasai klausa, barulah kita mengetahui ayat-ayat tersebut sama ada lengkap dari segi subjek dan predikatnya atau tidak. Sebenarnya, ayat yang tidak gramatis seperti ayat (4) dan (5) tadi telah digunakan secara leluasa oleh pengguna bahasa sebagai ayat yang betul. Sebagai akibatnya, sesuatu ayat yang salah itu telah dianggap sebagai ayat yang betul. Oleh itu, kita perlulah berubah. Betulkanlah yang biasa dan biasakanlah yang betul.

(Sumber: agy7500.blogspot.com)



No comments: