Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, February 13, 2010

KARYA AGUNG - Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah tergolong dalam Karya Agung dan pengkelasan Dewey 800, iaitu kesusasteraan.

Hikayat Hang Tuah yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka telah dikaji dan dikupas oleh Kassim Ahmad dengan pengenalan tambahan oleh Noriah Mohammed. Berdasarkan istilah sejarah, hikayat ini boleh dikatakan sebagai sumber lisan kerana kita tidak dapat mengetahui pengarang sebenar teks ini dan pada asalnya Hikayat Hang Tuah diperturunkan dari mulut ke mulut.

Cetakan pertamanya diterbitkan pada tahun 1997. Cetakan kedua dan ketiga pula telah diringkaskan dan dipermudah bahasanya. Buku Hang Tuah ini amat terhad dan tidak mudah didapati di pasaran, serta bernilai harganya, iaitu RM180.00. Halaman awal naskhah Hikayat Hang Tuah yang digunakan sebagai dasar kajian ini. Naskhah ini diperoleh daripada Tengku Ibrahim, Kelantan, tanpa tarikh salinan, dan kini disimpan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perpustakaan Negara Malaysia memiliki dua naskhah Hikayat Hang Tuah dengan nombor pengenalpastian MSS 1658 dan MSS 1713. Naskhah-naskhah tersebut berumur lebih dari 200 tahun dan dipelihara dalam sebuah kotak bebas asid dan disimpan dalam sebuah bilik kebal yang dibina mengikut piawaian keperluan pemeliharaan.

Sinopsis
Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita. kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.

Pada masa umurnya sepuluh tahun , Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang begitu muda.

Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang pahlawan Jawa yang termahsyur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya memperoleh sebilah keris yang dinamakan “Taming Sari” sempena pemiliknya yang asal. Taming Sari merupakan seorang anak buah Empayar Majapahit yang telah dihadiahi dengan sebilah keris kuno yang dipercayai boleh menyebabkan pemiliknya kebal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris ‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri Betara.

Laksamana Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan Sultan dan hal ini menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan dayang Sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh Sultan yang murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh Bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.

Mempercayai bahawa Hang Tuah telah mati, Hang Jebat, melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur Shah demi membela kematian sahabatnya di samping menyebabkan keadaan huru-hara dalam kalangan rakyat Melaka. Seterusnya, Sultan meninggalkan istana dan mengumumkan Hang Jebat sebagai penderhaka. Semua percubaan untuk membunuh Hang Jebat tidak berhasil. Sultan Mansur Shah berasa sesal akan hukuman mati yang telah dijatuhkan kepada Hang Tuah kerana Hang Tuah merupakan satu-satunya wira yang berupaya untuk membunuh Hang Jebat.

Akhirnya, Bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan. Suatu perjuangan yang amat menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kemudian, orang – orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil kota Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan Melaka pun menemukan kegagalan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama.

Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia.” Hikayat Hang Tuah turut dikemukakan oleh Malaysia sebagai Warisan Dunia untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia - Memory of the World Register pada 2001.

Biodata Pengarang:
Kassim Ahmad merupakan sarjana Melayu yang pertama melakukan kajian teks Hikayat Hang Tuah secara ilmiah berdasarkan sumber yang diperoleh daripada Tengku Ibrahim. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Sastera (M.A) dari Universiti Malaya, Singapura.

(Sumber: Lalina Priya a/p Murugan, 5 Sains 1, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim - Naib Johan Anugerah Tokoh Nilam Perak Darul Ridzuan 2009 / 2010)

No comments: