Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, January 31, 2010

Karangan BM Tingkatan 1

Tahun Baharu Cina 2010

Tahun Baru Cina 2009 ialah tahun saya, iaitu tahun lembu. Setelah berakhir tahun lembu, maka tibalah tahun harimau. Kebetulan pula tahun harimau ialah tahun adik saya yang berumur dua belas tahun.

Dalam adat resam orang Cina, terdapat pantang larang yang harus dipatuhi. Pada hari Tahun Baharu Cina yang pertama, orang Cina tidak boleh menyapu lantai dan membersihkan rumah. Selain itu, orang Cina wajib memakai baju yang berwarna cerah seperti merah. Masyarakat Cina juga dinasihati agar bersopan santun dalam perbualan seharian.

Sebelum Tahun Baharu Cina, saya dan keluarga akan membuat persiapan seperti melakukan kerja pembersihan, membuat kuih-muih dan sebagainya . Pada tahun ini, ayah telah membeli sofa yang baharu untuk menggantikan sofa yang lama dan rosak.

Biasanya pada hari pertama Tahun Baharu Cina, saya dan adik saya bangun awal. Kami akan memakai pakaian baharu lalu mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada ibu bapa. Mereka akan memberikan bungkusan “angpau” kepada kami . Pada sebelah pagi pula, kami akan bertolak ke rumah saudara-mara. Kami akan mengucapkan ‘Selamat Tahun Baharu Cina’ kepada mereka. Selepas mendapat angpau, saya dan adik akan bermain dengan sepupu saya. Selain itu, kami juga dihidangi kuih-muih dan minum minuman ringan.

Pada waktu malam pula, saya dan ahli keluarga bersedia untuk makan besar di rumah. Tarian singa juga dipersembahkan di taman-taman perumahan selepas hari pertama Tahun Baharu Cina. Persembahan yang menarik itu biasanya akan disaksikan oleh orang ramai, termasuklah kawan-kawan dan jiran daripada kaum-kaum yang lain. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pada hari kedua Tahun Baharu Cina, saya dan keluarga akan bertolak ke rumah nenek saya di Kampar, Perak Darul Ridzuan. Kampar tidak jauh dari Tanjong Malim. Kami mengambil masa dua jam perjalanan untuk tiba di rumah nenek.

Kami akan mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada datuk dan nenek. Kami juga akan menonton televisyen sambil makan biji labu bersama-sama datuk dan nenek. Pada waktu malam pula, kami akan makan makanan laut di rumah nenek . Enak sekali masakan nenek dan datuk, terutamanya bebola ikan. Selepas tinggal sehari dua di rumah datuk, kami akan pulang ke Tanjong Malim semula.

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan yang disambut oleh masyarakat Cina dengan meriah. Saya berdoa agar Tahun Baharu Cina 2010 ini akan lebih meriah, bertuah dan membahagiaceriakan kami sekeluarga, masyarakat dan negara.

Hasil kerja: Chai Wei Kit, Tingkatan 1, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

No comments: