Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, January 21, 2010

KARANGAN BM PMR - Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah.

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah
Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, unit beruniform dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan menyertai aktiviti kokurikulum. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan di samping dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya.

Salah satu kepentingan tersebut adalah untuk melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi, bijak berkomunikasi dan pandai bergaul dengan pelbagai kaum. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, misalnya aktiviti unit beruniform (KRS, Kadet Polis, Pengakap, BSM), para pelajar akan didedahkan kepada kemahiran kehidupan seharian melalui perkhemahan dan kemasyarakatan. Sebagai contoh, dalam setiap aktiviti perkhemahan akan diadakan pertandingan kawad kaki , para ahli akan mempelajari cara-cara untuk memberikan arahan serta memimpin sesebuah organisasi. Hasil positifnya, maka akan lahirlah pemimipin yang cekap, berilmu, dinamik, inovatif dan kreatif .

Selain itu, para pelajar juga akan memperoleh pengalaman yang banyak apabila menyertai aktiviti kokurikulum unit beruniform seperti Bulan Sabit Merah Malaysia. Para pelajar dapat mempelajari kaedah-kaedah pertolongan cemas. Kaedah tersebut membolehkan mereka memiliki kebolehan untuk menenangkan pesakit dan menyelamatkan pesakit semasa kecemasan. Ilmu dan pengalaman ini amat penting bagi setiap pelajar untuk mendepani dunia kehidupan yang serba mencabar pada alaf globalisasi ini.

Aktiviti kokurikulum turut berperanan membentuk sahsiah dan perwatakan para pelajar yang cemerlang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yakni meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dalam hal ini , aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan serta kelab dan persatuan amat memerlukan semangat kerjasama daripada setiap ahli. Aktiviti sebegini akan dapat menyemarakkan semangat berpasukan dalam kalangan ahli kumpulan yang terdiri daripada berbilang bangsa sekali gus dapat mempererat perpaduan dan integrasi kaum di negara kita sejajar dengan Gagasan Satu Malaysia. Sesungguhnya, penglibatan ahli yang berbilang ras dan agama dalam sesuatu aktiviti kokurikulum membolehkan mereka berinteraksi, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Ringkasnya, kita bukan sahaja dapat mewujudkan perpaduan malah dapat mempererat tali silaturahim antara kaum melalui semangat kerjasama dan bertolak-ansur.

Akhir kata, aktiviti kokurikulum bermanafaat dan penting kepada generasi pelajar di samping merupakan antara jalan perintis untuk melahirkan barisan pelapis pemimpin negara bangsa yang berwibawa, beriltizam dan berketrampilan.

Disediakan oleh Ong Pei Zhi, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

No comments: