Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, October 31, 2009

BENGKEL PENULISAN PUISI DAN LAGU UNTUK GURU-GURU NEGERI PERAK 2009

BERITA:

Unit Kokurikulum - Seni, Muzik dan Sains Sosial, Jabatan Pelajaran Negeri Perak telah menganjurkan Bengkel Penulisan Puisi dan Lagu di Resort Purnama Beach, Pulau Pangkor pada 27 - 30 Oktober 2009. Antara penceramah jemputan yang hadir ialah Encik Rosman b. Shafie (Penolong Pengarah Unit Kualiti dan Jemaah Nazir Putrajaya) atau lebih dikenali sebagai LY (Proses Penciptaan Lagu) dan Encik Chai Loon Guan (Proses Penciptaan Puisi - Sajak).

Sebanyak 50 orang guru dari seluruh negeri Perak Darul Ridzuan, yakni 25 orang guru Pendidikan Muzik dan 25 orang guru Bahasa Melayu telah menghadiri bengkel tersebut. Selain mendengar ceramah dan berkongsi pengalaman dengan fasilitator bengkel, para guru juga dikehendaki berbengkel dalam kumpulan untuk menghasilkan kuntum-kuntum sajak (pelbagai tema yang berdasarkan nilai-nilai murni, alam sarwajagat dan dunia kemanusiaan sejagat) sebelum digabungjalinkan sebagai lirik dan melodi lagu untuk dipertandingkan dan dipersembahkan pada malam 29 Oktober 2009 di pentas utama Resort Purnama Beach, Pulau Pangkor.

Semoga sesi perbengkelan puisi dan lagu (gabungan guru Muzik dan BM) yang julung-julung kali diadakan sama ada di Perak Darul Ridzuan mahupun di Malaysia akan memberikan ilmu dan pengalaman baharu kepada guru-guru dalam memantapkan pengajaran dan pembelajaran mereka di samping menyuntik semangat dan iltizam baharu untuk mencipta kecemerlangan dalam Sayembara Puisi dan Lagu 2010.

Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Abdul Rahim bin Omar, Penolong Pengarah Seni, Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Perak Darul Ridzuan.

Wednesday, October 28, 2009

KARANGAN BM SPM 2009

Tajuk :
Anda ingin menyertai pertandingan syarahan yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda. Tajuk syarahan tersebut ialah “ Kebaikan kegiatan kokurikulum ”. Sediakan teks syarahan tersebut dengan lengkap.

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang amat arif lagi bijaksana, Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Tanjong Malim, Encik Yogarajan a/l M.Packrisamy, guru-guru, rakan-rakan, dan hadirin yang dihormati sekalian . Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “ Kebaikan kegiatan kokurikulum ”.

Hadirin yang saya hormati,

Menurut Kamus Dewan, kokurikulum didefinisikan sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan di dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah. Umumnya, kegiatan kokurikulum dibahagikan kepada tiga kategori utama, iaitu unit beruniform, persatuan atau kelab dan permainan. Sebenarnya, kerajaan amat menitikberatkan kegiatan kokurikulum malah turut mewajibkan setiap pelajar sama ada pelajar sekolah rendah atau pelajar sekolah menengah untuk menjalani aktiviti kokurikulum anjuran pihak sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Pejabat Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Malangnya, masih wujud pandangan enteng dan sambalewa sesetengah pelajar dan ibu bapa terhadap kegiatan kokurikulum. Mereka beranggapan bahawa kegiatan kokurikulum tidak membawa faedah malah membazirkan masa mereka untuk menonton rancangan televisyen, melayari laman web, menelaah pelajaran, beristirahat atau tidur. Sebenarnya persepsi mereka adalah salah sama sekali. Jika dihalusi dari sudut positif dan jangka panjang, sesungguhnya penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum banyak mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada diri dan keluarga malah turut membantu pembangunan modal insan dan pembinaan negara bangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Unit-unit beruniform yang merangkumi Kadet Remaja Sekolah, Kadet Polis, Bulan Sabit Merah dan Pengakap amat menekankan aspek disiplin, amanah dan tanggungjawab. Dengan kata yang lain, pelajar yang menyertai kegiatan yang dianjurkan oleh unit-unit beruniform tersebut akan menjadi lebih berdisiplin berbanding dengan pelajar yang bersikap pasif dan mengabaikan kegiatan kokurikulum. Hal ini sedemikian kerana pelajar-pelajar akan senantiasa diawasi atau dipantau oleh pelajar senior terutamanya pelajar tingkatan enam atau tingkatan lima. Mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan tindak tanduk mereka perlu dijaga, jika tidak tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang ingkar. Selain itu, sifat kepimpinan dan kepemimpinan juga dapat dipupuk sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi dalam usaha kita untuk melahirkan umarak bangsa yang berketerampilan, berilmu dan bertanggungjawab.

Perpaduan antara kaum turut dapat dijalin, dipupuk dan disemaikan dari semasa ke semasa melalui aktiviti kokurikulum. Hal ini sedemikian kerana kegiatan kokurikulum turut disertai oleh pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, iaitu Melayu, Cina dan India. Sebenarnya, nilai perpaduan ini dianggap penting dan seiring dengan visi dan misi gagasan “Satu Malaysia” yang telah dipelopori dan diuar-uarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak. Konsep “ Rakyat didahulukan, Percapaian diutamakan” turut menekankan aspek kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang kehidupan, bak kata pepatah, “ Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Persatuan-persatuan kokurikulum sekolah seperti Persatuan Alam Sekitar, Persatuan Bahasa Inggeris dan Persatuan Sains juga sering menganjurkan lawatan sanbil belajar. Tempat-tempat yang biasa dikunjungi termasuklah kilang, syarikat penerbitan akhbar, pusat penyelidikan , pusat-pusat pengajian tinggi, agensi kerajaan, dan syarikat swasta. Melalui aktiviti-aktiviti tersebut, pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan. Kata orang, “jauh perjalanan, luas pandangan”. Pengalaman melalui lawatan atau program darmawisata tidak akan dapat diperoleh sekiranya mereka hanya sekadar menelaah buku-buku pelajaran di sekolah. Selain dapat menenangkan fikiran, program darmawisata turut dapat membuka mata dan minda pelajar untuk terus mencipta kejayaan dan kecemerlangan diri demi masa depan yang cemerlang dan gemilang.

Sebenarnya, penglibatan pelajar dalam kokurikulum permainan di sekolah seperti Kelab Bola Keranjang, Kelab Bola Sepak, Kelab Bola Tampar, Kelab Sepak Takraw , Kelab Ping Pong dan lain-lain dapat mengisi masa senggang pelajar selain masa belajar. Hal ini dianggap penting kerana belajar secara berterusan sering menimbulkan rasa bosan dan tekanan dalam kalangan pelajar. Justeru, melalui permainan maka dapatlah mereka menggerakkan minda dan fizikal mereka supaya cerdas dan cergas. Selain dapat menangani masalah keruntuhan akhlak, golongan remaja dapat dihindari daripada aktiviti yang tidak bermanfaat sekaligus menjauhkan diri daripada gejala social seperti masalah samseng jalanan, penyalahgunaan dadah, maksiat atau bergentayangan di pusat-pusat beli-belah dan kafe-kafe siber yang berselerak umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Tambahan pula, pembabitan pelajar-pelajar dalam kokurikulum permainan dapat menyediakan peluang untuk mereka mengasah dan mempamerkan bakat sebelum diserapkan ke dalam barisan pelapis yang bakal akan mewakili negara di arena permainan dan sukan antarabangsa sama ada dalam Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel mahupun Sukan Olimpik.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagai kesimpulannya, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum banyak membawa faedah bukan sahaja kepada diri sendiri malahan kepada bangsa dan negara. Sesungguhnya, remaja hari ini menjadi aspirasi nusa bangsa.
Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh : Gan Kok Yee, Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg.Malim.

SAJAK XXXI - Samudera Purnama

SAMUDERA PURNAMA
(Sempena Bengkel Penulisan Puisi & Lagu Guru-guru Negeri Perak 2009)

biru ombak samudera Purnama
membahagiakan hati
menjernihkan nubari





deru ombak samudera Purnama
mencairkan resah-gelisah
mendamaikan warna-warni kisah
yang menghambat dukaku
yang membelenggu nestapaku
di buana hidupku
yang ungu membiru!

Chai Loon Guan,
Resort Purnama Beach, Pangkor.
27 - 30 Oktober 2009.

Monday, October 26, 2009

SAJAK XXX - Ular

ULAR
Cabang lidahnya terjelir
Liar mencari mangsa
Merah matanya
Kilau-kemilau meneropong rezeki
Diam dalam diam
Licik menyusur kehidupan
Belit-membelit memburu peluang
Di pentas kehidupan
Dalam dunia bisunya
Termuntah niat
Mahu ia membaham sesiapa
Yang teruja di mata buasnya
Mahu ia menelan dendam
Yang terkesima di nafsu lahapnya

ULAR
Biarpun belit-membelit
Biarpun susur-menyusur
Lenyap tidak bisa dendamnya
Hilang tidak taring rakusnya
Di marcapada rona
Yang berteka-teki ini!

Chai Loon Guan
(Sumber: DEWAN SASTERA – OKTOBER 2007)

KARANGAN BM SPM 2009

Tajuk Karangan :
Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Huraikan kebaikan kegiatan kokurikulum.

Dalam sistem persekolahan Malaysia, semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Kegiatan ini merujuk kepada sebarang bentuk aktiviti yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang melibatkan aktiviti seperti unit beruniform, persatuan atau kelab dan permainan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan mendatangkan pelbagai kebaikan kepada mereka. Kebaikan ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada pelajar semasa di sekolah tetapi juga pada masa hadapan dan dunia kehidupan pelajar di mata masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pelajar harus digalakkan supaya bergiat aktif dalam kegiatan ini.

Pertama-tama, kegiatan kokurikulum berkemampuan untuk memupuk nilai disiplin yang tinggi dalam diri pelajar. Hal ini disebabkan para pelajar yang menyertai kokurikulum akan dilatih mematuhi peraturan, menepati masa, menghormati pemimpin dan perlu bekerjasama dalam kumpulan. Maka, para pelajar dapat dilatih menjadi lebih disiplin dan mampu menjalani dunia kehidupan seharian dengan betul, yakin dan bertanggungjawab.

Jika berdisiplin, seseorang pelajar itu mampu merancang masa depannya dengan kejayaan pada suatu hari nanti. Sikap menepati masa pula dapat melatih seseorang untuk menguruskan masa mereka dengan bijak supaya sesuatu tugasan yang diamanahkan dapat disempurnakan pada masa yang tepat. Oleh itu, pelajar wajarlah melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang bermanfaat ini.

Kegiatan kokurikulum juga mampu mencungkil bakat-bakat pelajar khususnya bakat kepimpinan kerana remaja pelajar pada hari ini merupakan bakal umarak bangsa yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum merupakan wadah kepada generasi pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberi mereka suatu keyakinan yang mantap terhadap kemampuan diri untuk melayari bahtera kehidupan di lautan yang senantiasa bergelora ini. Jadi, mereka akan dapat mengenal pasti dan menggilap bakat yang sedia ada untuk mengembangkannya ke tahap maksimum supaya mereka akan menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang kelak.

Masa yang terluang dapat diisi dengan aktiviti yang berfaedah di samping mengelakkan pelajar daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat dan tidak bermoral. Misalnya, aktiviti kokurikulum dapat membantu pelajar-pelajar menimba pengalaman, kemahiran, dan pengetahuan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Dalam masa yang sama, pembabitan pelajar akan memastikan mereka agar tidak terbabit dalam aktiviti yang tidak sihat seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam jenayah, penyalahgunaan dadah dan maksiat. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat.

Selanjutnya, kegiatan kokurikulum turut menjadi batu loncatan kepada para pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan. Kebanyakan institusi pengajian tinggi awam bukan sahaja amat mementingkan prestasi pelajaran pelajar tetapi juga prestasi kokurikulum juga. Maka, pelajar yang terlibat aktif akan mendapat kelebihan dari segi peluang kemasukan ke IPT. Perkara ini akan menjadi dorongan kepada pelajar supaya melibatkan diri dan mengelakkan sikap acuh tak acuh pelajar terhadap kegiatan kokurikulum di sekolah.

Kegiatan kokurikulum juga dapat menyihatkan badan pelajar. Peluh yang keluar dapat menghilangkan sisa toksik badan dan menyegarkan tubuh bak kata pepatah otak yang cergas berada pada badan yang sihat. Pelajar pada era moden ini sering menghadapi masalah dan rintangan kesihatan. Justeru, melalui pembabitan yang berkesinambungan dalam kegiatan kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Hal itu disebabkan aktiviti kokurikulum seperti permainan bola tampar, Kadet Remaja Sekolah, Kelab Teater dan sebagainya mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada buana peperiksaan yang cukup mencabar minda dan ketabahan diri mereka. Dalam erti kata yang lain, minda mereka dapat berehat sebentar apabila pelajar melakukan aktiviti kokurikulum sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah dipantau dan dijalankan di setiap sekolah tanpa gagal dalam usaha kita untuk melahirkan generasi pelajar yang bakal menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkeupayaan untuk memangkinkan pembangunan bangsa dan negara selaras dengan gagasan perdana negara, iaitu Gagasan Satu Malaysia!

Disediakan oleh : Lee Man Howe, Tingkatan 5 Sains I, SMK Methodist, Tg.Malim.

Sunday, October 25, 2009

GURINDAM

Mak Si Randang

Baik budi Mak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah dirobohkan.

Kera di hutan disusui,
Anak sendiri mati kelaparan.

Yang dikejar tidak dapat,
Yang dikendong berciciran.

(Sumber: Puisi Melayu Lama)

Saturday, October 24, 2009

KARANGAN BM SPM 2009


Tajuk:
Anda ingin menyertai pertandingan syarahan yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda. Tajuk syarahan tersebut ialah kebaikan kegiatan kokurikulum. Sediakan teks syarahan tersebut dengan lengkapnya.

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Yang Berusaha Tuan Pengetua, barisan pentadbir, guru-guru, rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Tajuk syarahan yang ingin saya sampaikan pada pagi ini ialah 'Kebaikan Kegiatan Kokurikulum'. Sedarsawasa ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan setiap pelajar melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum di sekolah di samping telah menetapkan bahawa markah kokurikulum sebagai antara syarat untuk membolehkan pelajar memasuki menara gading atau institusi pengajian tinggi tempatan. Langkah tersebut tidak harus dianggap beban oleh para pelajar sebaliknya kita perlu melihat dari sudut positifnya.

Sebenarnya, kegiatan kokurikulum merupakan pakej pendidikan yang tidak formal yang diberikan kepada para pelajar di luar bilik darjah. Kegiatan-kegiatan unit-beruniform seperti Kadet Remaja Sekolah, Kadet Polis, dan Pengakap, kelab dan persatuan seperti Kelab Muzik dan Persatuan Bahasa Melayu serta sukan dan permainan seperti tenis dan badminton dianggap sebagai saluran yang berkesan dan praktikal untuk menangani masalah sosial pelajar yang semakin berleluasa akhir-akhir ini di samping bermatlamat untuk melahirkan golongan pelajar yang bertanggungjawab, berwawasan dan berakhlak mulia.Memang tidak dapat disangkal bahawa kegiatan kokurikulum amat memanfaatkan para pelajar dari segi ilmu, kepimpinan dan kesihatan.

Pertama-tama, bakat yang terpendam dalam setiap pelajar dapat dicungkil dan dikenal pasti jika mereka diberi peluang untuk mengetengahkan bakat dan potensi masing-masing melalui kegiatan kokurikulum. Seterusnya, mereka yang berpotensi perlu diasah dan dilatih oleh guru-guru atau jurulatih yang berpengalaman supaya berjaya di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Setiap pelajar di sekolah juga digalakkan untuk menyertai kegiatan kokurikulum pada setiap minggu dalam usaha membentuk tahap kecergasan dan mutu kesihatan mereka. Aktiviti-aktiviti seperti permainan bola sepak, olahraga dan sebagainya dapat meregangkan otot-otot dan melenturkan sendi-sendi. Apabila berpeluh, badan kita akan menjadi sihat dan cergas bak kata pepatah otak yang cerdas berada pada badan yang cergas. Apabila otak kita cerdas maka daya fikir kita akan menjadi lebih matang dan rasional. Usaha ini akan memudahkan kita menumpukan perhatian apabila menerima pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh guru di dalam bilik darjah tanpa dihantui oleh perasaan bosan, imaginasi yang bukan-bukan atau mengantuk. Natijahnya, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih efektif.

Selain itu, pelajar juga dapat dipupuk dan dididik supaya menjadi insan yang berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kehidupan mereka sehari-hari. Sikap melepaskan batok di tangga dapat dihapuskan apabila seseorang pelajar diberi kepercayaan dan amanah untuk menyandang sesuatu jawatan yang penting dalam unit-beruniform, kelab dan permainan.. Contohnya, peraturan yang ditetapkan dalam unit-beruniform bertujuan untuk membentuk disiplin diri dan melatih mereka supaya berperibadi tinggi dan luhur. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, pelajar-pelajar dilatih pada usia yang muda di sekolah akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan peraturan dan rempah ratus kehidupan di sisi masyarakat dan undang-undang negara.Tambahan pula, kegiatan kokurikulum juga membolehkan para pelajar memanfaatkan masa yang terluang dengan baik bak kata pepatah masa itu emas.

Selain menghargai masa, pelajar juga dapat menghindarkan diri daripada gejala negatif yang boleh memusnahkan kehidupan mereka seperti gejala lepak di kafe siber atau di pusat beli- belah, penyalahgunaan najis dadah, vandalisme dan gengsterisme. Sesungguhnya, kegiatan kokurikulum di sekolah berkeupayaan untuk memupuk sikap jaya diri dan semangat berdikari dalam kehidupan pelajar. Kemahiran dan pengalaman yang ditimba oleh pelajar melalui kegiatan kokurikulum boleh dijadikan sebagai pelengkap kepada pembentukan jati diri pelajar yang berkualiti untuk memenuhi tuntutan cabaran nusa bangsa pada masa depan.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Kegiatan kokurikulum yang dijalankan tidak lain dan tidak bukan dapat juga memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang sosial. Sikap saling memahami dan bertolak ansur akan mewujudkan persefahaman dan silaturahim dalam hati nubari pelajar selaras dengan Gagasan Satu Malaysia yang diuar-uarkan oleh YAB Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Kerjasama, perasaan muhibah dan hormat-menghormati yang terjalin semasa pelajar menjalankan aktiviti kokurikulum secara berkumpulan dapat menjauhkan diri mereka daripada sikap buruk, yakni bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Masa amat mencemburui saya. Namun begitu, sebelum mengundurkan diri, saya ingin membuat penegasan bahawa penyertaan para pelajar dalam kegiatan kokurikulum banyak membuahkan faedah kepada diri pelajar, keluarga, bangsa dan negara lebih-lebih lagi pelajar hari ini merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Merekalah modal insan yang bakal menjadi umarak nusa bangsa yang berjiwa murni, bertanggungjawab, amanah dan berketerampilan. Sekian, terima kasih.

Nukilan pena: Emerlyn Khong, Tingkatan 5 Sains I, SMK Methodist, Tg.Malim.

Tuesday, October 20, 2009

SAJAK XXIX - Tikus















TIKUS
ada tikus kecil berhati besar
ada tikus besar berhati kecil
ada tikus hitam berhati putih
ada tikus putih berhati hitam

ada orang seperti tikus kerip-menggerip
ada orang seperti tikus unggis-mengunggis
ada politikus seperti tikus membaiki labu
ada politikus seperti tikus terjerat dek nafsu

biar apapun tikus
kerit-mengerit di bawah meja
gigit-menggigit di dalam selimut
seperti tikus rasuah
cukup ternoda
kepada integriti manusia
cukup berdosa
kepada kehidupan manusia!


Chai Loon Guan,
Kampung Berop, Tg.Malim.

(Sumber: Dewan Sastera Januari 2010)

Sunday, October 18, 2009

SAJAK XXVIII - Kuala Lumpur II










KUALA LUMPUR II
di sini bermulanya aku
belajar memahami erti kehidupan
di buana cabaran
di buana dugaan
antara dinihari pengalaman
dan neon malam kehidupan
yang mengghairahkan
berdiri gagah sang lelaki
di perbatasan iman
penuh takwa dan tawaduk
penuh sabar dan syukur

di sini, kuala lumpur
rempah ratus fiilmu
warna-warni sketsamu
dikir zikir puisimu
telah mendewasakan aku
di buana insan!
Chai Loon Guan
18102009

KARTUN



(Sumber: Kasim 2008)

Saturday, October 17, 2009

DEFINISI - GLOSARI SAJAK

SAJAK
Puisi Melayu moden, berbentuk bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, perkataan sebaris, suku kata sebaris, rangkap, rima dan sebagainya.
Tema - Persoalan pokok atau persoalan utama yang dikemukakan dalam sesebuah puisi. Tema boleh juga diertikan sebagai idea pusat atau idea dasar.
Contoh - Perpaduan.
Persoalan - Hal-hal yang dipersoalkan dalam sesebuah karya (sajak) untuk memantapkan tema. Contoh persoalan – Hubungan kerjasama, amalan saling menghormati dan perasaan muhibah antara kaum yang menyokong tema perpaduan.

KEINDAHAN BAHASA:
Metafora - Gaya bahasa kiasan atau perbandingan. Sifat gaya bahasa ini ringkas, padat, tersusun rapi dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Satu daripada perkataan itu bersifat konkrit, iaitu nyata (maujud) dan menjadi objek untuk difikirkan. Satu perkataan lagi bersifat abstrak (mujarad), iaitu tidak nyata, yang menjadi pembanding. Contohnya – kamar cinta, buana derita, perahu waktu dan sebagainya.
Personifikasi - Gaya bahasa yang memberikan keadaan, suasana dan benda bersifat manusia. Pengorangan. Contoh: sepi menggigit , hatinya menangis dan sebagainya.
Perulangan - Gaya bahasa dalam puisi yang terdapat pengulangan perkataan, ungkapan, baris dan juga rangkap.
Contoh
Bila kita bertemu
Jangan kaurebahkan diri
Di atas ranjang kenangan
Kerana untuk merenangi semula
Tasik ingatan itu

Bila kita bertemu
Biarlah kita berdepan
Bagi sepasang kekasih
Mencari tapak kekuatan masa kini

Anafora - Gaya bahasa yang mengulang satu perkataan atau lebih pada awal baris puisi. Pengulangan ini menimbulkan kesan keindahan bunyi dan bertujuan untuk menguatkan pernyataan maksud.
Contoh:
Kasihku subur dalam mata keluarga
Kasihku luhur dalam hati isteri setia
Kasihku hidup dalam pelukan padi di sawah

Epifora - Gaya bahasa yang mengulang perkataan pada akhir baris puisi yang bertujuan untuk menegaskan maksud dan menimbulkan keseragaman rima (skema atau susunan bunyi dalam baris-baris puisi).
Contoh
Fajar hilang ditelan enjin dan sibuk kota
Tawaku kemarau di dada kota

Inversi - Ayat songsang, sama ada songsang sebahagian atau songsang penuh.
Contoh
Terasa dingin sekali angin, Angin terasa dingin sekali

Responsi
Contoh
Tenaga yang sedang gilang-gemilang, Beban yang berat dapat dijulang

Sinkop
Pemendekan atau penyingkatan sesuatu kata.
Contoh
kubaca warkah cintamu

Aliterasi - Pengulangan huruf/bunyi konsonan yang sama dalam baris-baris sajak; biasanya pada awal perkataan yang berturutan. Pengulangan menimbulkan kesan keindahan bunyi. Contoh:
kurenungi kemurnian kehidupan

Asonansi - Pengulangan bunyi vokal (a, e, i, o, dan u) yang sama pada perkataan yang berturutan dalam baris-baris puisi. Pengulangan begini menimbulkan kesan kehalusan, kelembutan, kemerduan atau keindahan bunyi.
Contoh:
buana cinta bahagia

Melankoli - Nada atau suasana yang terpancar daripada sesebuh puisi seperti nada murung, hiba dan sayu.

Jeda - Proses pembacaan sama ada senyap mahupun kuat terutama sewaktu mendeklamasikan puisi. Lazimnya jeda bermaksud pemberhentian seketika arus penuturan atau pendeklamasian sesuatu baris puisi untuk menandakan batas hubungan antara bahagian perkataan, frasa atau kalimat yang terdapat dalam sesuatu baris itu. Jeda juga memberikan ruang kepada seseorang pendeklamasi mengambil nafas terutama apabila mendeklamasikan sesuatu kalimat yang panjang.

Simili - Gaya bahasa yang membandingkan sesuatu benda, keadaan atau suasana dengan jelas. Ini kerana perbandingan itu menggunakan kata-kata tertentu, iaitu bagai, seperti, bak, laksana, dan umpama.
Contoh:
halus bagai jari-jari perawan

Hiperbola - Gaya bahasa puisi yang pemilihan perkataannya membawakan pernyataan yang berlebih-lebihan.
Contoh:
api marah kian menyemarak

DIKSI
Pemilihan serta penyusunan perkataan yang mengutamakan ketepatan, tekanan dan keistimewaan puisi. Ini termasuklah sifat perkataan tersebut seperti denotatif (perkataan yang bermakna selapis atau tersurat), konotatif (berkaitan dengan hal-hal peribadi seseorang sama ada yang riang, gembira, manis mahupun pahit – bunga bermaksud gadis atau kupu-kupu malam membawa konotasi perempuan yang rendah akhlak), bahasa kiasan (bahasa figuratif, iaitu bahasa penyair untuk mengemukakan sesuatu perasaan dan pemikiran secara bandingan atau secara tidak langsung – ombak kehidupan), perkataan yang menggunakan imbuhan dan sebagainya.

Bibliografi:
Kamaruzzaman A. Kadir, 2005. Kamus Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ab. Rahman Ab. Rashid at el, 2000. Kamus Sastera Melayu. Petaling Jaya: Longman.
Chai Loon Guan – Munsyi Dewan DBP / GC BM 2008.

Saturday, October 10, 2009

KARANGAN PERBINCANGAN BM SPM 2009

Tajuk.
Minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun. Huraikan langkah - langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum.

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa pengllibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun dari semasa ke semasa. Sebenarnya, jika kita halusi kegiatan kokurikulum merangkumi kegiatan atau aktiviti yang dilaksanakan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti kegiatan unit beruniform, persatuan atau kelab dan permainan.

Sebenarnya, kegiatan kokurikulum banyak mendatangkan faedah kepada pelajar-pelajar terutamanya dari aspek ilmu, kepemimpinan dan kesihatan. Oleh itu, semua pihak termasuklah ibu bapa haruslah mengambil tindakan proaktif untuk menggalakkan pelajar-pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum.

Antara langkah yang patut diambil ialah memberikan taklimat dan kesedaran kepada ibu bapa atau penjaga. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa mempunyai konsep dan persepsi yang salah tentang kegiatan kokurikulum. Mereka berpendapat bahawa markah peperiksaan merupakan segala-galanya. Penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum kononnya akan mengurangkan masa belajar anak-anak mereka. Oleh itu, mereka akan cuba menghalang anak-anak mereka daripada menyertai kegiatan kokurikulum. Bagi mengubah konsep dan persepsi salah mereka, maka kerajaan haruslah menganjurkan kempen dan sesi ceramah untuk memberi ibu bapa maklumat yang betul tentang tujuan dan manfaat pelajar yang melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Dengan adanya usaha sedemikan, maka mereka akan menggalakkan anak-anak mereka menyertai kegiatan kokurikulum.

Selain itu, pihak sekolah juga harus senantiasa menekankan kepentingan kegiatan kokurikulum dalam dunia kehidupan dan kerjaya masa depan pelajar. Pihak sekolah boleh menganjurkan sesi ceramah atau merealisasikan minggu kokurikulum bagi menanamkan minat pelajar terhadap kegiatan kokurikulum. Orientasi kokurikulum difikirkan amat perlu untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar-pelajar baharu, khususnya pelajar-pelajar Kelas Peralihan dan Tingkatan Satu pada minggu pertama sesi persekolahan supaya mereka lebih mengenali dan mengetahui jenis kegiatan kokurikulum yang wujud dan akan dijalankan sepanjang tahun di sekolah, bak kata peribahasa Melayu tak kenal, maka tak cinta. Minat pelajar baharu akan meningkat apabila mengetahui wujudnya pelbagai aktiviti mengikut cita rasa dan minat pelajar dijalankan oleh pihak sekolah seperti program perkhemahan, ekspedisi dan sebagainya.

Tambahan pula, kerajaan harus memberikan penekanan kepada kegiatan kokurikulum dengan menjadikan markah pencapaian kokurikulum tahunan sebagai salah satu syarat utama bagi pelajar-pelajar untuk memasuki kolej ataupun universiti awam tempatan. Mereka yang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan juga mempunyai keputusan peperiksaan akademik yang cemerlang harus diberi keutamaan. Hal ini difikirkan mampu menggalakkan pelajar untuk menyertai lebih banyak aktiviti kokurikulum dalam pelbagai peringkat dan jenis untuk meraih peluang dan kesempatan untuk memasuki kolej atau universiti awam tempatan pilihan mereka. Syarat ini juga boleh diaplikasikan dalam penentuan calon untuk mendapat biasiswa negeri atau biasiswa persekutuan.

Sehubungan dengan hal itu, sistem pengiraan markah kokurikulum di peringkat sekolah harus diperketat bagi mengelakkan penipuan. Usaha pemantauan dan pemerhatian oleh guru-guru penasihat dan pihak berwajib kokurikulum sekolah dapat membantu usaha untuk mengekang gejala negatif tersebut. Setiap aktiviti yang disertai oleh pelajar perlu disokong dengan bukti seperti sijil penyertaan, sijil kepujian atau sijil kecemerlangan sama ada di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan mahupun di arena antarabangsa. Bagi mengelakkan berlakunya masalah ini, guru-guru penasihat haruslah senantiasa memantau buku rekod kehadiran pelajar dari semasa ke semasa.

Masyarakat luar juga harus menyokong usaha kerajaan dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai melalui kempen dan sesi ceramah. Mereka boleh menyediakan tempat yang sesuai kepada pihak yang berwajib di samping menghulurkan bantuan sama ada berupa sokongan moral, wang ringgit, hadiah galakan dan perkhidmatan agar masyarakat umum memahami matlamat dan objektif kegiatan kokurikulum dalam sistem pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Kesimpulannya, kegiatan kokurikulum memainkan peranan yang amat penting kepada pelajar-pelajar. Semua pihak haruslah senantiasa berganding bahu dan berusaha gigih untuk menggalakkan setiap pelajar sama ada di bandar atau di luar bandar untuk menyertai kegiatan kokurikulum kerana kegiatan tersebut dapat melahirkan modal insan yang mampu memimpin negara kita sekali gus merealisasikan Wawasan 2020. Sesungguhnya, generasi pelajar pada hari ini merupakan umarak nusa bangsa yang cemerlang pada masa hadapan sejajar dengan slogan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara!

Disediakan oleh: Tan Ke Yang, Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg. Malim.

CERPEN XI - Memburu Kebebasan

MEMBURU KEBEBASAN
Chai Loon Guan
Cahaya mentari memancar terik ke arahku. Dengan malas, aku membuka kelopak mataku secara perlahan-lahan untuk memerhatikan orang ramai yang tidak berhenti-henti lalu lalang di lorong kecil yang berturapkan tar itu. Tanpa disedari, seorang budak berkulit kuning langsat duduk mencangkung kira-kira dua meter dari arahku sambil memandang tepat ke arahku dengan penuh tanda tanya. Tanpa membuang masa, aku pun membalas pandangannya serta mengangakan mulutku sekadar untuk menonjolkan kegagahanku yang sering digeruni.

“Mak, tolong! Singa tu nak makan Amin!” jerit budak itu sambil berlari-lari anak ke arah seorang wanita berumur empat puluhan yang bertudung putih dan berpakaian kemas.

Walaupun aku tidak berniat untuk menakutkannya, namun melalui raut mukanya yang pucat seperti mayat itu, jelas terbukti bahawa budak itu begitu takut apabila ternampak akan gigiku yang tajam dan panjang itu. Selepas dipujuk dan dibelai oleh ibunya dengan penuh kasih sayang, perasaan gentarnya beransur-ansur hilang. Itulah kebesaran dan kemuliaan seorang ibu kepada anaknya. Peristiwa sebentar tadi mengingatkan aku kepada ibuku yang telah meninggal dunia lima tahun yang lalu kerana cuba mempertahankan nyawaku.

“Mak, cuba tengok kat sana. Apakah yang sedang bergerak-gerak di sebalik rumput-rumpai itu?” Aku bertanya kepada ibuku yang sibuk menyusukan adik-adikku.

Pada masa itu, aku masih berumur setahun jagung dan tidak berpengalaman. Dengan berbukukan perasaan ingin tahu yang amat dalam, aku melangkah setapak demi setapak ke arah semak-samun itu. Selaku abang sulung, aku mesti mempamerkan keberanianku supaya disegani oleh adik-adikku.

“Baba, jangan pergi ke sana! Mungkin itu salah satu perangkap manusia yang licik dan kejam itu!” jerit ibuku.

“Jangan bimbang, mak! Baba sudah dewasa.”

Tiba-tiba seorang lelaki yang bermuka bengis bangun dari tempat duduknya sambil memegang sebatang kayu panjang dengan tali terikat di hujung. Sebelum sempat aku membuka langkah seribu, leherku telah dirantai oleh tali tersebut.

“Tolong! Tolong Baba, mak!” jeritku dengan tercungap-cungap kerana tidak dapat bernafas.

Orang itu terus mengheret aku ke sebuah van besar. Ibuku bergegas bangkit lalu menerkam orang itu. Satu pertarungan sengit berlaku. Aku hanya terpaku di situ tanpa dapat berbuat apa-apa. Degupan jantungku bertambah kencang apabila terlihat kepala ibuku berlumuran darah akibat dipikul oleh orang itu.

“Bang!”

Satu das tembakan dilepaskan tepat ke arah tulang susuk ibuku. Hatiku umpama ditusuk sembilu apabila terlihat ibuku rebah ke tanah. Air mataku mengalir bercucuran membasahi pipiku yang montel itu.

“Jaga dirimu, Baba…” Itulah kata-kata ibuku sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Bu! Jangan tinggalkan Baba!”

Aku terus mendakap tubuh ibuku yang berlumuran darah dengan erat-erat. Betapa sedihnya aku melihat ibuku yang tersayang ditembat mati. Sejak aku dibawa ke zoo, dunia kurungan aku untuk tatapan para pelawat, aku telah terputus hubungan kekeluargaan dengan ayah dan adik-adikku.

“Baba! Baba, kenapa dengan dirimu? Asyik termenung di situ, aje?” Panggilan rakan karibku, Simba, mengejutkan diri aku daripada lamunan panjang. Aku cepat-cepat mengesat air mata jernihku yang tergenang itu. Simba seekor singa yang bertubuh sasa dan bijak. Setiap kali aku menghadapi masalah, dialah yang akan membantuku dengan sedaya upaya. Hubungan kami begitu intim dan rapat bagaikan isi dengan kuku.

“Janganlah terlalu banyak berfikir tentang peristiwa lama. Bumi mana tidak ditimpa hujan. Lagipun pada masa itu, kamu baru berusia setahun jagung,” nasihat Simba sambil menepuk-nepuk bahuku.

“Entahlah. Aku sudah bosan betul dengan dunia kehidupan di sini. Walaupun makan dan minum diberikan secukupnya namun kita tidak pernah merasai erti kebebasan di dalam sangkar kurungan yang sekangkang kera ini. Aku ingin keluar dari sini!” Hujah aku dengan penuh semangat.

“Eh, kamu ni memang pandai bermimpi! Tidak dapat dinafikan bahawa tenaga kita jauh lebih kuat, tetapi kebijaksanaan manusia mengatasi segala-galanya,” Sang Buaya yang pesimistik itu memberikan pendapatnya.

“Bukan begitu Sang Buaya. Jika semua haiwan di sini bersatu, pasti kita akan berjaya. Bak kata pepatah, ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’. Moga-moga Tuhan akan melindungi kita,” doa Si Monyet sambil menadahkan tangannya ke langit.

“Apa pula pandangan kamu semua. Adakah kamu bersetuju untuk memperjuangkan kebebasan? Apakah perasaan kamu ketika dikurung di dalam sangkar untuk dipertontonkan kepada orang ramai? Saya percaya bahawa tiada seorang pun daripada kamu suka dijadikan bahan tontonan apatah lagi jika kamu diketawakan oleh manusia yang tidak berhati perut. Oleh itu, kita harus memberontak. Berontak!” sahutku dengan sekuat hati untuk menaikkan semangat rakan-rakanku.

“Berontak! Berontak! Berontak!” jerit yang lain sebagai tanda menyetujui cadanganku.

Aku tersenyum melihat sokongan padu yang diberikan oleh mereka. Kami bercadang untuk membincangkannya pada malam esok. Perancangan yang baik dan sistematik harus dibuat sebelum kami dapat bertindak demi merealisasikan impian kami untuk membebaskan diri daripada belenggu manusia.

Pada setiap malam, kami sibuk bermesyuarat di samping menyediakan serba sedikit kelengkapan yang diperlukan. Di samping itu, kami turut menggali lubang bawah tanah untuk melarikan diri sekiranya rancangan kami gagal. Setiap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Simba selaku ketua, akan kami lakukan dengan sungguh-sungguh dan penuh waspada.

Semangat kami berkobar-kobar untuk kembali ke hutan rimba secepat mungkin. Hampir setiap malam aku terpaksa bersengkang mata untuk menggali lubang bawah tanah. Namun, aku merasakan bahawa semua pengorbanan yang dibuat berbaloi jika kita ingin akan kejayaan. Tiada kejayaan tanpa pengorbanan!

Saat-saat yang ditunggu telah tiba. Kami akan mula bertindak pada sebelah pagi ketika banyak orang berkunjung ke zoo. Kami akan menggunakan peluang keemasan ini untuk mengharu-birukan keadaan di zoo bagi menyukarkan pegawai-pegawai daripada menangkap kami.

“Aduh, sakitnya perutku!” Aku mengaum kesakitan sambil tergolek-golek di lantai kandang.

Seorang pegawai bergegas ke mari untuk meninjau-ninjau apa yang telah berlaku. Tanpa berfikir panjang, dia terus membuka pintu sangkarku lantas mendekati diriku. Tiba-tiba, aku menerkam ke arah pegawai tersebut sambil merampas seberkas kunci. Aku bergegas melarikan diri sementara Simba menyerang pegawai tersebut. Sambil tercungap-cungap, aku berlari ke arah sangkar Si Monyet. Nafasku turun naik dengan cepat. Rasa takut menyelubungi sanubariku. Badanku mula dibasahi peluh. Setibanya di situ, aku melontarkan kunci itu kepada Si Monyet!

“Cepat bertindak sekarang, Monyet!”

Si Monyet membuka pintu sangkar dengan tangannya terketar-ketar. Orang ramai berlari lintang-pukang menyelamatkan nyawa masing-masing. Pegawai-pegawai gagal memberkas kami kerana kami dapat menyusup di tengah-tengah orang ramai yang sedang diamuk panik itu. Si Monyet terus membuka pintu sangkar yang lain untuk melepaskan rakan-rakannya seperti burung, harimau, badak, gajah dan sebagainya.

“Di mana Simba?” tanyaku kepada Sang Nuri yang berada di sebelahku.

“Tadi aku ternampak akan Simba sedang bergelut dengan beberapa orang
pegawai,” jawab Sang Nuri.

Aku terus berpatah balik sungguhpun aku hampir tiba ke pintu keluar. Aku
bersumpah tidak akan meninggalkan tempat itu selagi belum dapat menyelamatkan
rakan karibku. Haiwan-haiwan lain kaget melihat gelagatku. Aku tidak mempedulikan
mereka dan berlari dengan pantas menuju ke sangkarku.

“Baba, jangan ke mari! Selamatkan dirimu!”

Aku tidak mengendahkan amaran yang diberikan oleh Simba. Fikiranku hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan dirinya. Pada masa yang sama, aku terpandang akan seorang lelaki sedang mengacukan senapangnya ke arah Simba. Dengan segera, aku menolak Simba ke tepi. Tembakan itu terkena akan kakiku. Peluru itu terkena akan tulangku. Alangkah sakitnya kakiku sehingga aku tidak dapat berlari. Adakah riwayatku akan tamat begitu saja?

“Cepat bangun, Baba!” Simba cuba memapahku ke atas.

Aku tidak boleh berputus asa. Sambil terhincut-hincut, aku berjalan menuju ke lubang bawah tanah yang telah kami gali selama beberapa minggu dengan bantuan Simba. Dengan susah payah, aku berjalan ke dalam lubang yang sempit itu. Darahku tidak berhenti-henti mengalir. Penglihatanku mulai kabur. Sebaik sahaja aku ternampak akan cahaya yang datang dari jalan keluar, aku pun jatuh pengsan.

“Baba, Baba! Bagaimana dengan keadaan dirimu?”

Alangkah terperanjatnya aku apabila ternampak akan diri ayah. Aku berasa amat gembira dan terharu kerana telah menemui keluargaku yang tersayang. Aku hanya tercegat di situ buat seketika. Lidahku kelu berkata-kata. Namun, jauh di sudut hatiku, aku amat bersyukur kepada Tuhan kerana mempertemukan aku dengan keluargaku semula.

“Bagaimana dengan kawan-kawanku yang lain?” tanyaku berulang-ulang kali.

“Semuanya selamat melarikan diri. Berkat kesungguhan rakan kamu, Simba, dia telah membawa kamu pulang ke pangkuan keluarga. Setelah Simba meninggalkan kamu di sini, dia pun beredar mencari keluarganya yang dipercayai masih hidup di hutan rimba sebelah Timur!” jelas ayahku lagi.

“Ayah!”

Aku memeluk keluargaku erat-erat. Akhirnya harapanku sudah dimakbulkan oleh
Tuhan. Kebebasan yang aku kecapi kini akan aku hargai selama-lamanya. Aku sudah
matang dan tahu bahawa dunia ini penuh dengan perangkap hidup yang amat
berbahaya.

Oleh hal yang demikian, aku mesti senantiasa berwaspada dan berfikir semasak
masaknya sebelum bertindak. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Kebebasan perlu dihargai bukan untuk dibelenggu selagi nadi nafas ini masih
berdenyut. Sesungguhnya, pada hari itu, buat kali pertama, dapat kukecapi segarnya
dingin bening kamar rimbaku!

(PELITA BAHASA , DBP – DISEMBER 2004)

CERPEN X - Batu-batu Nisan Kemanusiaan

BATU-BATU NISAN KEMANUSIAAN
Chai Loon Guan


Dengan gemalai, kujatuh dari reranting pokok yang sudah lama mencantumkan aku dengan dahan. Kusempat mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawanku masih muda dan menghijau.

Seperti yang telah kujangkakan, aku terjatuh di atas tanah yang berbau hanyir darah. Di dunia Bosnia ini, tumpahan darah pasti terjadi di semua sudut dan ruang buminya.

Angin lemah tiba-tiba bertiup. Badanku yang tua lagi uzur diangkatnya. Bebas. Sudah lama kuingin menjelajah bumi Bosnia. Kini, tibalah masanya untukku melihat perubahan-perubahan yang telah berlaku setelah tercetusnya peperangan. Keadaan adalah lebih buruk daripada yang pernah kusaksikan.

Aku berterbangan melalui rempah ratus penduduk yang menunjukkan pelbagai ragam untuk melepaskan kesengsaraan mereka. Tua, muda, miskin, mahupun yang kaya turut menjadi mangsa kekejaman perang yang tidak meronta kemanusiaan itu!

Angin lemah berhenti lalu menjatuhkan aku di atas kaki lima. Bangunan itu sudah kehilangan bahagian atasnya. Kaki lima itu menjadi perlindungan sementara bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal mereka.

Kasihan sungguh keadaan mereka yang hanya tinggal sehelai sepinggang. Tidak berduit. Tidak ada sebarang makanan. Ada dalam kalangan mereka mengalami cedera parah, yakni sama ada kehilangan tangan atau kaki. Tanpa rawatan yang baik, mereka akan menderita butu suatu jangka masa sebelum maut tiba. Malah, ada yang mati serta-merta selepas terkena akan tembakan atau bedilan bom pihak Serb.

Mayat-mayat bergelimpangan di mana-mana sahaja tanpa sejalur simpati dan empati manusia di bumi merah itu! Yang hanya sanggup dan setia mendekati mayat-mayat atau cebisan-cebisan itu ialah lalat-lalat dan ulat-ulat.

Baru dua puluh minit aku berada di kaki lima itu. Aku tidak tahan akan jeritan penduduk yang menderita sengsara. Derita sengsara ciptaan manusia yang bertamadun kononnya! Ada yang menjerit ketakutan. Ada yang menjerit kesakitan. Ada yang menjerit kebuluran. Ada yang menjerit kesedihan. Kehidupan seharian mereka yang celomes sungguh menyayat hati floraku! Kemudian muncul seorang ibu bersama dengan dua orang anaknya berlalu di hadapanku. Kedua-dua kanak-kanak itu kelihatan tidak bermaya dan berpenyakit. Sesekali kedengaran mereka mengadu lapar dalam tangisan pilu.

”Mama, Ratno lapar! Kepala Ratno pening, ma...!”

”Mama, Jamie pun lapar! Jamie tidak berdaya untuk melangkah lagi...!” kata seorang lagi.

Kanak-kanak yang sedang membesar sememangnya memerlukan nutrien yang mencukupi. Jika tidak, mereka akan menghidapi pelbagai penyakit akibat kekurangan zat makanan. Jarang sekali terdapat kanak-kanak yang berjaya membesar dengan normal dalam keadaan yang serba kekurangan gizi ini.

Sekali-sekala desingan peluru dan dentuman bom kedengaran. Bedilan Serb ke atas Sarjevo masih berkesinambungan. Aneh bin takjub! Askar-askar atas angin yang berbekalkan senjata canggih masih tidak mampu untuk menandingi puak Serb! Berita terbaharu, agensi berita Yugoslavia, Tanjung melaporkan bahawa 4000 penduduk awam Bosnia terpaksa meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka ekoran serangan Serb.

”Mama juga lapar. Bersabarlah, nak. Mama akan mencuba sedaya upaya untuk meminta sedikit makan daripada pak cik itu,” kata ibu mereka sambil menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang mempunyai beberapa buku roti. Wanita lewat tiga puluhan itu menghampiri lelaki tua itu.

”Pak cik, tolonglah kami. Kedua-dua anak saya itu lapar sungguh. Sudah sehari dua, kami kelaparan. Bolehkah pak cik sedekahkan kami sedikit roti. Sebuku pun sudah cukuplah untuk kami!”

Lelaki tua itu memandang mereka untuk seketika dengan matanya yang tajam. Tidak lama kemudian, dia pun menghulurkan dua buku roti kepada mereka. Dengan hati yang penuh kegembiraan, mereka menyambut buku-buku roti itu sambil mengucapkan ribuan terima kasih. Jarang sekali terdapat manusia yang sebaik hati lelaki tua itu lebih-lebih lagi pada era peperangan yang kian berpanjangan ini. Yang pasti, dalam keadaan orak-arik begitu, setiap manusia hanya akan mementingkan nyawa sendiri untuk menjamin kelangsungan hidup. Mereka tidak segan silu berebut-rebutan pakaian dan makanan untuk terus bernafas di bumi sarwajagat ini.

Benarkah peperangan membunuh kemanusiaan? Peperangan mewujudkan nilai-nilai kebinatangan. Nilai-nalai kebinatangan ini akan mencorakwarnakan sketsa buana ini merah darah yang akhirnya rombang-rambing digolak-galik dek kezaliman dan kesirnaan. Dan, kezaliman dan kesirnaan itu mencetuskan kewalangan dan kewahaman hati yang berterusan di bumi manusia ini! Aduhai, nasib mereka sememangnya malang!

Sekonyong-konyong kedengaran suatu tangisan sedih dan kuat. Rupa-rupanya, seorang perempuan telah kehilangan suami yang mengalami kecederaan parah di kepalanya. Hidupnya bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Mula-mula wanita itu hidup sengsara. Kemudian dia kehilangan orang kesayangannya. Penduduk Bosnia bukan sahaja sentiasa kematian orang kesayangan malah juga terpisah hubungan dalam kepaksaan! Mereka kehilangan anggota keluarga dan sanak-saudara biarpun kehadiran mereka amat perlu dalam keadaan yang tidak menentu ini. Malangnya, sudah menjadi takdir, mereka terpaksa berpisah atau dipisahkan!

Kehadiran angin menerbangkan aku lagi. Dengan lemah lembut, aku menari-nari dalam pawana udara yang penuh sesak dengan bau hanyir darah kematian. Mengapakah manusia sanggup berbunuh-bunuhan sesama mereka? Adakah benar, mereka tidak berdosa? Adakah peperangan ialah jalan penyelesaian bagi masalah yang timbul? Pertanyaan demi pertanyaan terlintas di kotak mindaku. Aku tidak memahami pola kehidupan manusia yang kompleks ini. Sesungguhnya, aku tidak mengerti!

Bang! Bang!! Bang!!!

Rupa-rupanya tentera Serb sedang menyerang sekumpulan penduduk Bosnia lagi. Dapat kubayangkan senario penduduk Bosnia lintang pukang berlari menyelamatkan diri mereka. Kebanyakan mereka terkena akan tembakan dan bedilan ialah golongan kanak-kanak dan warga tua. Yang tidak berjaya akan mati manakala yang berjaya pula akan terus memburu sisa hidup yang acap kali dibelenggu dan dibayangi mimpi perang yang ngeri dan dahsyat amat!

Buana manusia ini seperti kolam darah. Mayat-mayat bergelimpangan. Aku memejamkan mataku seketika kerana tidak tahan akan kekejaman Serb. Bagi mereka. nyawa manusia langsung tidak bernilai. Nyawa bagi mereka ialah sampah-sampah yang perlu dilupuskan. Mereka mendera manusia. Mereka membunuh manusia. Mereka menghapuskan etnik manusia! Bangsa Bosnia cuba dilenyapkan oleh mereka. Itulah pegangan mereka. Merekalah singa lapar atau serigala gila ataupun sang buaya yang sudah lama kebuluran di bumi manusia!

Di suatu bucu bumi Bosnia, dapat aku saksikan segerombolan pengganas Serb bagaikan singa lapar membaham daging-daging montok dan gebu anak-anak gadis Bosnia. Pencabulan demi pencabulan berlaku untuk memenuhi tuntutan nafsu buas dan ganas mereka. Ribuan wantia turut diperkosa. Selepas dinodai, leher mereka dikelar. Perut mereka diracit. Dan bumi Bosnia kembali berdarah. Anak-anak Bosnia dibunuh. Zuriat generasi bangsa Bosnia dihapuskan sedikit demi sedikit.

Tiba-tiba,potret kejam Adolf Hitler kelihatan. Ribuan manusia Yahudi disembelih dan dihapuskan. Sejarah kekejaman manusia berputar-putar. Macam roda kehidupan, kebinatangan manusia berputik di bumi Palestin. Yahudi yang pernah dibunuh kini bertukar menjadi pembunuh dan pemusnah kemanusiaan! Harga kemanusiaan semakin murah di dunia. Nelson Mandela pernah dipenjarakan selama beberapa dekad semata-mata memperjuangkan kemanusiaan dan kebebasan bangsa kulit hitam di Afrika Selatan.

Tanpa kusedar, helaian badanku sudah memasuki ruang sebuah rumah yang usang. Aku terkulai di atas lantainya. Di dalam rumah yang halai-balai itu terdapat tiga orang adik-beradik yang pucat lesi dan serembah-serembih. Nampaknya mereka baru sahaja berjaya melarikan diri daripada kepungan tentera Serb. Usia mereka adalah antara tiga belas hingga lapan belas tahun.
”Dapatkah binatang-binatang itu mengejar kita, bang?” tanya Isonic tercungap-cungap. Matanya yang bundar merenung tajam ke arah abang sulungnya, Bensonic.

”Rasanya tidak. Kita selamat sekarang. Jangan bimbang Isonic, kan abang berada di sisimu. Abang berjanji akan menjagamu dengan nyawa abang sendiri,” kata Bensonic, abang sulung Isonic cuba menenangkan dirinya.

”Ya, walau apa yang terjadi, kita bertiga mesti bersatu hati untuk bersemuka dengan segala kesulitan dan masalah,” kata Geogsonic, abang tengah Isonic dengan penuh semangat keperwiraan. Kata-kata itu bagai pemangkin kepada perjuangan mereka untuk meneruskan kehidupan. Air mata mula membasahi pipi mereka. Setiap hari, mereka hidup dalam ketakutan. Takut kalau-kalau ditemui oleh puak Serb. Mereka juga takut akan penyakit, kebuluran dan serangan ganas tentera Serb!

Dalam kegelapan, mereka cuba mencari jikalau terdapat makanan di dalam rumah itu. Alangkah gembiranya mereka apabila menemukan baki biskut kering yang lemau. Syukur kepada Tuhan, mereka dapat menyambung sisa-sisa nafas di bumi yang fana ini.

”Bilakah semua ini akan berakhir?” tanya Geogsonic spontan.

”Hanya Tuhan sahaja yang dapat mengembalikan keamanan dan kebahagiaan kepada kita!” pinta Isonic lalu mulutnya terkumat-kamit sambil berdoa. Hari semakin tinggi. Geogsonic dan abangnya, Bensonic telah melelapkan mata. Isonic masih tidak boleh tidur. Hatinya sering diamuk resah gelisah. Sesekali perasaan culang-caling berpesta di kamar nubarinya.

Isonic merenung ke dalam dirinya, nusa bangsanya dan agama-Nya. Dia pasrah jika ditakdirkan jalan hidupnya berakhir dengan kematian di medan pertempuran sekalipun terpaksa bertempur tanpa senjata kecuali akal fikir dan tulang empat keratnya. Isonic bangkit menuju ke jendela rumah yang kampak kapik. Mega-mega kelihatan mendung. Dalam warna kemendungan itu, Isonic ternampak akan jalur-jalur asap tebal memayungi buana Bosnia. Peperangan semakin sengit. Nilai kemanusiaan semakin dilacuri dan dirobek oleh anjing-anjing Serb!

Angin sepoi-sepoi bahasa menjamah wajah yang tampaknya semakin menderita. Debu-debu daripada sisa-sisa bedilan berkelibang-kelibut mengerumuni sketsa sore. Tiba-tiba Isonic terpandang akan bekas tungku kayu arang di situ. Isonic bagaikan tiba-tiba mendapat ilham untuk mencoret sesuatu. Dia ingin mencoret sesuatu di dinding rumah usang itu!

Seketul kayu arang itu dipegangnya erat-erat. Langkah kakinya semakin mendekati dinding-dinding suram rumah usang itu. Isonic mula menulis tanpa menghiraukan dengkuran kedua-dua abang kandungnya di kamar mimpi yang panjang.

Warkah dari Bosnia Herzegovina

Laut biru Adriatic bertukar merah
Mega-mega yang sekian lama mengutus khabar wangi mendung
Bau hanyir darah
Anak-anak gadis dan wanita wira bangsa deraan yang bergelimpangan
Saksi kepada sejarah manusia yang kejam, buas dan rendah martabat kemanusiaan
Tiada warna siang atau malam di Bosnis Herzegovina
Zenica, Moscanica, Prijedo, Zepa, Sebrenica menjadi medan penghapusan etnik
Di sini nyawa manusia serendah sampah
Bedilan mortar , kereta kebal dan senjata kimia
Adalah suara tangisan lelaki hiba dan rasian ngeri anak-anak pribumi

Ehran Vezgisi, anak kecil daripada ribuan pelarian
Memiliiki sepasang mata biru yang tajam
Menulis tragedi dengan mata
Mencatat derita dengan kata
Di sini tiada pesta hari jadi, taman rekreasi atau restoran KFC
Di sini sebuah pentas rumah hidup
Yang saban hari mementaskan aneka sandiwara
Sekumpulan serigala Croat dan Serb yang buas dan liar
Memecahkan jendela, pintu dan kamar hidup
Anak-anak Bosnia yang tidak berdosa
Di sini lahir neraka dunia ciptaan manusia!

Isonic, Sarajevo 1995.

Isonic membaca puisinya berkali-kali. Akhirnya Isonic terlelap. Sore yang tua beransur-ansur menjadi malam yang gelap gelita. Mereka berbantalkan lengan dan berselimutkan dingin malam semalaman.

Pada keesokan harinya, hujan ribut turun membasahi bumi Bosnia. Kilat sabung-menyabung. Secara kebetulan dua orang tentera Serb ternampak akan rumah tersebut. Meeka ingin menjadikan rumah itu sebagai tempat berteduh sebelum meneruskan pembunuhan demi pembunuhan!

Bensonic, Geogsonic dan Isonic terdengar akan derap langkah dan bisik bicara mereka. Dengan tidak beriseng-iseng, Bensonic dan Geogsonic bersenjatakan kayu untuk mempertahankan diri mereka. Sebaik sahaja pintu dibuka, maka berlakulah pergelutan dan tembakan.

”Abang!” jerit Isonic.

”Lari, Isonic. Lari! Selamatkan diri kamu!” arah Geogsonic dalam kesakitan. Nyawa Bensonic dan Geogsonic ibarat telur di hujung tanduk. Kedengaran tiga das tembakan yang bertalu-talu. Arakian, berakhirlah kehidupan ketiga-tiga orang adik-beradik itu. Kejam sungguh tentera Serb. Binatang! Manusia yang berwajah binatang karnivor yang mahakejam di bumi manusia! Lahir sifat celici apabila akal disalahgunakan tanpa belas kasihan.

Kedua-dua tentera Serb itu memijakku dengan sewenang-wenangnya. Aduh, sakitnya! Badan reputku hancur lebur dipijak oleh mereka. Riwayatku berakhir di rumah usang ini. Selamat tinggal Bosnia. Semoga bumimu bebas dan merdeka daripada kekejaman ini. Sayonara Bosnia! Sayonara, batu-batu nisan kemanusiaan di buana manusia!

(MINGGUAN WANITA : 22 – 29 MAC 1996)

Tuesday, October 6, 2009

FOKUS KARANGAN BM PMR 2009

Soalan:
Masalah pencemaran di negara kita semakin leluasa. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani isu ini.
Jawaban:
Strategi:
T=Pencemaran
K=Langkah
F=Umum
Isi:
1. mengenakan denda yang berat kepada mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran
2. melantik syarikat swasta untuk mengurus sesuatu kawasan
3. mengadakan kempen kesedaran(AR) Isu tentang pencemaran di negara kita sering menjadi buah mulut pencinta alam sekitar. (AR) Kejadian pencemaran mula menjadi duri dalam daging kerana pelancong semakin tidak berminat untuk berkunjung ke negara kita. (AA) Oleh itu, kita mestilah mengambil langkah-langkah yang proaktif, iaitu cegah sebelum parah supaya pencemaran dapat dikurangkan.

(AJ) Salah satu langkah yang paling efektif ialah kerajaan hendaklah mengenakan denda yang berat kepada mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran. (AH) Dengan mengenakan denda yang berat, mereka yang terbabit dalam kegiatan ini akan berasa serik untuk mengulanginya kerana sekali kena dua kali jalan tahu. (AC) Sebagai contohnya, denda kerana membuang sampah di merata-rata tempat hendaklah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1000. (AP) Melalui cara ini, mereka akan mendisiplinkan diri dan seterusnya bersama-sama dengan kerajaan untuk menangani masalah pencemaran.

Selain itu, (AJ) pihak kerajaan hendaklah melantik syarikat swasta untuk mengurus sesuatu kawasan supaya sentiasa kelihatan bersih dan cantik. (AH) Melalui cara ini, syarikat tersebut dibenarkan mengutip bayaran perkhidmatan daripada pengguna seperti kawasan letak kereta, kawasan perkhemahan, dan sebagainya. (AC) Sebagai contohnya, kawasan-kawasan pelancongan yang mampu untuk menarik kehadiran pelancong hendaklah diurus dengan cekap oleh sektor swasta. (AP) Tegasnya, kita mestilah mempunyai sistem yang sistematik untuk memastikan alam sekitar terpelihara.

Seterusnya, (AJ) kerajaan hendaklah mengadakan kempen kesedaran dari semasa ke semasa. (AH) Kempen ini bertujuan mengingatkan rakyat tentang pentingnya mengekalkan alam yang bersih dan indah. (AC) Kempen-kempen seperti ini perlu diadakan di media massa seperti media cetak atau media elektronik. (AP) Masyarakat perlu diingatkan tentang kesan yang akan dialami kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Kesimpulannya, (A Ksmpln) masalah pencemaran yang semakin leluasa ini perlu diatasi sebelum nasi menjadi bubur. (A Cdgn) Kita janganlah menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah kerana mengambil tindakan setelah musibah atau kecelakaan berlaku. (A Pnln) Pencemaran bukan sahaja menyebabkan keindahan alam terjejas, malah kesihatan penduduk juga akan menerima kesan yang negatif seperti pembuangan sisa toksik. Oleh itu, (A Cdgn) semua rakyat Malaysia mestilah berusaha untuk mengelakkan kes pencemaran daripada berlaku kerana sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.
(Sumber: agy7500.blogspot.com)

KARANGAN BM PMR 2009

1(a)Huraikan cara-cara yang akan anda lakukan untuk menghargai jasa guru.
1(b) Huraikan cara-cara yang akan anda lakukan untuk membalas jasa ibu bapa.

2(a) Setiap pelajar ingin tinggal di sebuah rumah yang selesa dan menyeronokkan. Huraikan ciri-ciri rumah yang menjadi idaman anda.
2(b) Setiap murid ingin belajar di sebuah sekolah yang baik dan cemerlang. Huraikan ciri-ciri sekolah yang menjadi idaman anda.

3(a) Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Bincangkan kebaikan kegiatan kokurikulum kepada pelajar.
3(b) Pelajar sekolah pada hari ini kurang berminat untuk menyertai kegiatan kokurikulum. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan keadaan ini terjadi.
3(c) Pelajar sekolah pada hari ini kurang berminat untuk menyertai kegiatan kokurikulum. Bincangkan usaha-usaha yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.

4(a) Semua pelajar ingin menjadi pelajar cemerlang. Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri pelajar yang cemerlang.
4(b) Semua pelajar ingin menjadi pelajar cemerlang. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menjadi pelajar yang cemerlang.

5(a) Gejala sosial yang melanda remaja semakin leluasa. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan gejala ini berlaku.
5(b) Gejala sosial yang melanda remaja semakin leluasa. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil untuk menangani masalah ini.

6(a) Kerajaan menyediakan peruntukan yang besar untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita. Huraikan kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara.
6(b) Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan negara kita menjadi destinasi pelancong asing.
6(c) Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

7(a) Dewasa ini, banyak pelajar melakukan kerja sambilan di luar waktu persekolahan. Bincangkan kebaikan dan keburukan pelajar melakukan kerja sambilan.
7(b) Dewasa ini, banyak pelajar melakukan kerja sambilan di luar waktu persekolahan. Huraikan kesan-kesan yang negatif yang akan dialami oleh mereka.

8(a) Bincangkan kebaikan belajar berkumpulan.
8(b) Bincangkan kebaikan kerjasama sepasukan/berpasukan.

9(a) Bincangkan punca-punca berlakunya pencemaran udara/air.
9(b) Bincangkan kesan-kesan pencemaran di negara kita.
9(c) Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran di negara kita.

10(a) Huraikan kebaikan kepada seseorang yang menguasai bahasa Inggeris.
10(b) Bincangkan punca-punca kelemahan pelajar menguasai bahasa Inggeris.
10(c) Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

11(a) Anda telah menyertai salah satu program yang dianjurkan oleh pihak sekolah anda. Sebagai setiausaha, sediakan laporan yang lengkap tentang program tersebut.
11(b) Anda telah menyertai salah satu program yang dianjurkan oleh pihak sekolah anda. Huraikan faedah yang telah kamu peroleh ketika menyertai program tersebut.
11(c) Anda telah menyertai salah satu program yang dianjurkan oleh pihak sekolah anda. Ceritakan pengalaman yang anda telah lalui/alami.

12(a) Keracunan makanan sering berlaku di negara kita/ di sekolah. Huraikan punca-punca keracunan ini berlaku.
12(b) Keracunan makanan sering berlaku di negara kita/ di sekolah. Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.

13(a) Remaja / pelajar sering mengunjungi kafe siber. Huraikan kebaikan dan keburukan kafe siber kepada pelajar.

14(a) Bincangkan kebaikan buah-buahan/barang tempatan.
14(b) Bincangkan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan rakyat makan buah-buahan tempatan/ membeli barang buatan Malaysia.

15(a) Bincangkan punca-punca disiplin dalam kalangan pelajar semakin merosot.
15(b) Bincangkan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menangani masalah disiplin pelajar.

16(a) Masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Huraikan punca-punca masalah ini berlaku.
16(b) Masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini berlaku.

17(a) Hukuman rotan perlu diperkenalkan di sekolah. Pada pendapat anda, adakah hukuman ini mampu menangani masalah disiplin pelajar di sekolah?

18(a) Hukuman rotan banyak membawa keburukan kepada pelajar. Bincangkan kenyataan ini.

19(a) Bincangkan usaha-usaha yang perlu diambil untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja.

20(a)Bincangkan kebaikan dan keburukan telefon bimbit kepada pelajar.

21(a)Huraikan cara-cara yang akan anda lakukan untuk menghabiskan cuti persekolahan.
21(b)Anda pernah melawati tempat yang menarik di negara kita. Huraikan keistimewaan tempat tersebut.
(Sumber: agy7500.blogspot.com)

Monday, October 5, 2009

SINTAKSIS BM PMR 2009

JUSA Bahasa Melayu I:
Pilih ayat-ayat yang betul dan tentukan bahawa anda telah memilih cadangan jawapan yang paling sesuai.

25
I
Lori yang menuruni puncak bukit itu terjerumus ke dalam gaung.
(Lori yang menuruni puncak bukit itu terbabas ke dalam gaung.)
II
Kertas kerja yang saya hasilkan ini akan saya bentangkan pada minggu hadapan.
III
Haniza menyatakan bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah semalam kerana demam.
IV
Semua orang pelajar dikehendaki hadir ke sekolah pada petang ini untuk perjumpaan kokurikulum.
(Semua pelajar dikehendaki hadir ke sekolah pada petang ini untuk perjumpaan kokurikulum.)

A. I dan III sahaja
B. II dan III sahaja
C. I, II dan III sahaja
D. II, III dan IV sahaja
Jawaban: II dan III sahaja (B)

26
I
Omar menggaru-garu kepalanya yang gatal itu berkali-kali.
(Omar menggaru-garu kepalanya yang gatal itu. atau Omar menggaru kepalanya yang gatal itu berkali-kali.)
II
Penjenayah yang merompak kedai emas itu telah ditahan oleh polis.
III
Kes kehilangan adik Nurin mendapat liputan akhbar dari semasa ke semasa.
IV
Semua pengemis-pengemis itu telah ditangkap oleh pegawai Kebajikan Masyarakat.
(Semua pengemis atau Pengemis-pengemis itu telah ditangkap oleh pegawai Kebajikan Masyarakat.)
A. I dan III sahaja
B. II dan III sahaja
C. III dan IV sahaja
D. II, III dan IV sahaja
Jawaban: II dan III sahaja (B)

27
I
Ikan kari menjadi makanan kegemaran saya.
(Kari ikan menjadi makanan kegemaran saya.)
II
Jamil membeli majalah di Kedai Runcit Hamdan.
III
Zaihasra suka makan goreng pisang pada waktu petang.
(Zaihasra suka makan pisang goreng pada waktu petang.)
IV
Razana tidak dapat hadir ke sekolah kerana kesiangan pagi tadi.

A. I dan II sahaja
B. I dan III sahaja
C. II dan IV sahaja
D. III dan IV sahaja
Jawaban: II dan IV sahaja (C)

JUSA Bahasa Melayu II:
Soalan 25 - 27
Pilih ayat-ayat yang betul.

25
I
Baju yang cantik itu kepunyaan siapakah?
(Baju yang cantik itu kepunyaan siapa?)
II
Pemandangan di pantai pada waktu senja sungguh indah nian.
(Pemandangan di pantai pada waktu senja sungguh indah / indah nian.)
III
Banyak orang gemar akan buah durian kerana rasanya enak.
IV
Perkhemahan itu diadakan adalah untuk melatih para pelajar supaya berdikari.
A. I dan III sahaja
B. II dan IV sahaja
C. I, II, dan III sahaja
D. III dan IV sahaja
Jawaban: III dan IV sahaja (D)

26
I
Pengemis itu datang dari utara Semenanjung Malaysia.
II
Cikgu Fauziah sedang mengajar pelajarnya di dalam kelas.
III
Kenderaan di jalan raya sungguh banyak sekali terutamanya pada musim perayaan.
IV
Barang kemas itu ibu beli di Pulau Langkawi.
(Barang kemas itu dibeli oleh ibu di Pulau Langkawi.)
A. I dan III sahaja
B. II dan IV sahaja
C. I, II, dan III sahaja
D. II,III, dan IV sahaja
Jawaban: I, II, dan III sahaja (C)

27
I
Lukisan cantik yang ditampal di dinding rumah Mak Limah mahal harganya.
(Lukisan cantik yang digantung pada dinding rumah Mak Limah mahal harganya.)
II
Yang berbaju merah itu ialah Cik Zaleha.
III
Badan Zainab lebih gempal daripada badan Saliha.
IV
Rumah yang terletak di antara sawah padi dengan sungai itu ialah rumah Pak Hassan.
A. I dan III sahaja
B. II dan IV sahaja
C. I, II, dan III sahaja
D. II,III, dan IV sahaja
Jawaban: II, III, dan IV sahaja (D)

(Sumber: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak)

MORFOLOGI BM PMR 2009

Soalan 1 - 7
Lengkapkan ayat-ayat yang berikut dengan memilih jawapan yang paling sesuai.

1. ____________ burung terbang, lalu hinggap di atas bumbung rumah kedai
itu.

A Sekumpulan
B Seangkatan
C Sepasukan
D Sekawan
Jawaban: Sekawan (D)

2. Salah satu matlamat Pakej Rangsangan Ekonomi ____________untuk meningkatkan taraf pendapatan masyarakat di luar bandar.

A. bagi
B. ialah
C. adalah
D. demi
Jawaban: adalah (C)

3. Walaupun usia adik belum genap setahun, tetapi dia___________menyebut angka
satu hingga sepuluh dengan lancar.

A. petah
B. boleh
C. dapat
D. cekap
Jawaban: dapat (C)

4. Pak Mat sedang mencantas_____________ pisang di kebunnya.

A. pepohon
B. pelepah
C. dahan
D. daun
Jawaban: pelepah (B)

5. Ibu sedang membelek-belek seutas rantai emas 916 untuk memastikan _____________.

A. ketulenannya
B. ketulinannya
C. keemasannya
D. kekemasannya
Jawaban: ketulenannya (A)

6. Ikan keli masak asam pedas itu berbau ____________ kerana tidak dicuci dengan bersih.

A. hancing
B. hanyir
C. hapak
D. hangit
Jawaban: hanyir (B)

7._____________bercucuk tanam, penduduk Kg. Jalong bekerja sebagai penoreh getah.

A. Selain itu
B. Selain
C. Melainkan
D. Selain daripada
Jawaban: Selain (B)
(Sumber: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak)

Saturday, October 3, 2009

SAJAK XXVI - Malaysiaku, Merdeka

MALAYSIAKU, MERDEKA

Keranamu, Malaysia
Kami di buana realiti
Bukan mimpi ngeri


Keranamu, Malaysia
Bersiap siaga kami
Bisa bersuara
Mengejar cita-cita
Mengibarkan panji-panji nusa
Di persada antarabangsa

Keranamu, Malaysia
Sengsara kami ubati
Petah kami bicara
Bersemangat waja
Melangkah tanpa waswas duka lara
Melayari bahtera usaha di samudera cita
Wawasan perdana nusa
Tanpa putus asa

Keranamu, Malaysia
Bangga kami memiliki negarawan ternama
Umarak tersohor
Mendukung janji amanah merdeka
Jalan yang kaudamba
Bebas onak duka bisa
Membolehkan kami terpanggil
Untuk mengangkat martabat bangsa
Untuk menghirup udara multimedia nusa
Untuk melakar koridor raya
Merealisasikan wawasan Satu Malaysia

Malaysiaku, merdeka
Malaysiaku, berjaya!

Chai Loon Guan,
Rumah Susastera Tg. Malim.

Kosa kata/Makna:
1. buana - dunia, jagat, bumi
2. bersiap siaga - sudah bersedia untuk melakukan sesuatu
3. panji-panji - bendera
4. waswas - sangsi, curiga

5. bahtera - kapal besar
6. samudera - lautan

7. umarak - para pemimpin atau golongan pemerintah
8. tersohor -
termasyhur
9. damba - terlalu ingin (hendak, mahu) akan sesuatu

Thursday, October 1, 2009

FORUM - ULBS BM

UJIAN LISAN BERKUMPULAN PERBINCANGAN ILMIAH:
FORUM TAJUK: MELESTARI ALAM SEKITAR

Mutakhir ini, arus modenisasi menderaskan pembangunan negara lagi. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar sudah terjejas. Satu kemelut yang terpaksa dihadapi oleh negara kita. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa “ditelan mati mak,diluah mati bapa”. Untuk melihat isu ini dengan lebih jelas, satu perbincangan ilmiah telah dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Sekitar Daerah Johor Bahru sempena kempen “Sayangi Bumi Kita”

Pengerusi:
Assalamualaikum kepada hadirin sekalian. Saya Profesor Nasir Ibrahim mengucapkan selamat dating kepada semua yang ada di sini. Semuga kedatangan Tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis ilmu ini diberkati Allah S.W.T. Sempena kempen “Sayangi Bumi Kita” yang sedang berlangsung di seluruh negara, Persatuan Pencinta Alam Sekitar Johor Bahru mengambil kesempatan untuk bersama-sama membantu kerajaan memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan alam ini kepada kita.

Visual yang ditayangkan kepada kita sebentar tadi menunjukkan betapa hebatnya serangan pencemaran di seluruh dunia. Hal ini amat mengerikan kerana selama ini kita semua hidup dalam sebiji “belon” yang terlalu kotor.Oleh itu, bagi membincangkan fenomena ini dengan lebih spesifik dan bermaklumat, penganjur telah menjemput tiga orang tokoh yang terlibat secara langsung dengan alam sekitar iaitu di sebelah kanan saya ialah Datuk Muhammad Hafiz Ali , Pengarah Jabatan Metreolagi Malaysia.

Di sebelah kiri pula ialah Dr. Wong Xin Yi, aktivis pencinta alam yang sangat aktif di peringkat antarabangsa. Beliau bertugas sebagai sebagai pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Alam Sekitar , Universiti Sains Malaysia. Di hujung sana pula, Datuk Aisyamariam Ulza , Setiausaha Kerja bagi Kementerian Sains dan Alam Sekitar, Putrajaya.Selamat datang semuanya ke majlis ini. Baiklah, semua yang berlaku mesti ada punca atau punca-puncanya, begitu juga dengan isu ini. Terlalu banyak pendapat yang diberi tentang pencemaran air, udara dan bunyi. Oleh itu, kita dengar pendapat Dr. Wong Xin Yi tentang persoalan ini. Silakan Doktor.

Dr. Wong Xin Yi:
Terima kasih Profesor Nasir . Sebelum saya bincangkan punca-puncanya, saya rasa lebih baik diterangkan terlebih dahulu maksud pencemaran. Pencemaran alam sekitar membawa maksud perbuatan mencemarkan alam sekitar dengan unsur-unsur yang kotor. Maka, sesuatu yang pada asalnya bersih dan dapat digunakan dengan baik dan selamat telah menjadi kotor dan mendatangkan mudarat apabila digunakan. Antara punca yang diwartakan oleh sebagai penyebab pencemaran. terbahagi kepada dua jenis, iaitu pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi .

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi ialah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya. Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia . Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia ialah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada sengaja atau tidak sengaja . Antaranya ialah pencemaran udara. Contohnya, gas-gas beracun, zarah-zarah yang terperangkap hasil dari asap kenderaan, jerebu dari kesan pembakaran secara terbuka dan sebagainya.

Pencemaran air,contohnya, pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya Pencemaran tanah, contohnya, pemusnahan hutan akibat pembalakan, pembuangan sisa-sisa kimia dan sisa-sisa pepejal. Saya rujuk pencemaran akibat aktiviti manusia sebagai perbincangan. Di Malaysia, hampir 90%-95% kawasan pedalaman telah mempunyai sistem jalan raya ;bermakna jumlah kenderaan bermotor di negara kita telah meningkat secara keseluruhannya. Namun begitu, kenderaan bermotor merupakan penyumbang terbesar pencemaran udara di negara kita.

Rujukan saya seterusnya ialah pencemaran laut; lebih 90% daripada punca pencemaran laut adalah disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% adalah berpunca dari sektor perkapalan . dapatan ini berdasarkan kajian Persatuan Pencinta Alam, bertajuk Tumpahan Minyak Yang Meracuni Perairan Malaysia, yang disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik (Mac), DBP, Kuala Lumpur, 1995, m.s.:53-55)Bagi pencemaran tanah pula, saya rujuk pada penerokaan hutan. Hutan memang mempunyai nilai komersial dalam ekonomi negara.

Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan satu sumber penting bagi pendapatan mata wang asing . Di kawasan tropika, rotan dianggarkan menyumbangkan nilai tahunan sebanyak RM 1200 juta setahun dalam perdagangan dunia. Akan tetapi eksploitasi hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan, pertanian, ternakan dan sebagainya telah mengakibatkan pencemaran alam yang sangat dahsyat .Oleh itu, jelaslah pencemaran alam sekitar banyak dilakukan oleh tangan-tangan manusia berbanding kejadian pencemaran semula jadi seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan ribut taufan. Setakat ini sahaja pendapat saya tentang punca-punca pencemaran, saudara pengerusi.

Pengerusi:
Terima kasih Dr. Wong Xin Yi kerana memberi pandangan yang bernas. Jika teliti, memang benar pencemaran banyak dicetuskan oleh manusia sendiri. Apabila keuntungan yang tergambar di hadapan mata, nilai-nilai murni tidak lagi menjadi pegangan . yang menyedihkan semua penduduk dunia merasai kesan negatifnya sedangkan yang melakukan kerosakan hanyalah segelintir manusia. Bagi melihat sejauh mana fenomena buruk pencemaran ini, kita tujukan permasalahan ini kepada datuk Muhammad Hafiz Ali. Silakan Datuk.

Datuk M. Hafiz Ali:
Terima kasih saudara Nasir. Tentang kesan buruk pencemaran ini , saya berpendapat bahawa semua rakyat Malaysia telah mengetahui dan menontonnya di televisyen atau Internet. Kesan yang amat dirasai sekarang akibat pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia. Ribut taufan misalnya berlaku dengan amat kerap. Selain itu, berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, permusnahan ozon dan hujan asid . Sementara itu, pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup .

Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Seterusnya kita lihat pula kesan pencemaran air. Saya ambil bukti yang berlaku di Jepun iaitu Teluk Minamata, Jepun. Pencemaran toksik terdapat dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul . Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut . Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan . Penyakit ini seterusnya dikenali sebagai penyakit Minamata .

Kesan daripada pencemaran yang berlaku bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberikan kesan kepada kehidupan yang lain . Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh organisma laut di perairan cetek ialah kesan daripada tumpahan minyak ke laut . Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung . Tumpahan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton yang boleh mengurang pembiakan makanan laut . dalam jangka panjang akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan. Antara kesan yang dianggap kronik ialah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkah laku yang tidak normal, serta kurang daya ketahanan badan kesan penggunaan sumber air yang tersebut . Itu sahaja pendapat saya saudara pengerusi.

Pengerusi:
Terima kasih Datuk. Nampaknya , kesan pencemaran ini bukanlah sekadar berlaku di negara kita. yang tidak diselia rapi . Oleh itu,beberapa langkah perlu dikenal pasti untuk mengatasi isu yang serius ini. Saya menjemput Datuk Aisyamariam Ulza memperkatakan langkah-langkah yang telah , sedang dan akan diambil oleh kementeriaannya.

Datuk Aisyamariam:
Terima kasih dan assalamualikum semua. Apabila disebut Kementerian Sains & Alam Sekitar ini, yang tergambar ialah tindakan-tindakan yang pihak kementerian lakukan.Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menggalakkan orang ramai menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Mencari alternatif selain daripada minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dua bahan alternatif yang dicadangkan ialah gas asli (natural gas) dan Propana.

Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomassa daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya di negara kita, ahli sains telahpun menemui sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baru untuk dipastikan sama ada ia praktikal atau pun tidak, ia patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan berterusan yang perihatin terhadap persekitaran.

Di peringkat antarabangsa,buat masa ini pula, Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka . Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar . Objektif kerjasama serantau ini ialah bagi merealisasikan kerjasama serantau untuk membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak yang tertumpah di perairan Malaysia .Demikianlah sahaja , antara langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi menangani isu ini.

Pengerusi:
Demikianlah pandangan-pandangan daripada panel jemputan kita pada kali ini. Semoga segala maklumat yang diperoleh dalam majlis ilmu ini banyak memberikan kesedaran kepada kita. Yang dapat disimpulkan ialah pencemaran sebenarnya hasil kerja tangan-tangan manusia yang rakus. Sewajarnya kita perlu menyedari bahawa bumi ini sahajalah tempat tinggal kita. Oleh itu sama-sama kita jaga dan pulih semula keindahan alam sekitar kita. Assalamualaikum.

(Sumber: Cikgujana.blogspot.com)


KARANGAN BM TINGKATAN 4 2009

Tajuk:
Sukan banyak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara. Nyatakan usaha-usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara.

Sukan merupakan salah satu aktiviti yang menjadi tumpuan utama masyarakat, khususnya atlet-atlet dan peminat sukan di Malaysia. Sebenarnya bidang sukan banyak memberikan manfaat kepada bangsa dan negara. Sebenarnya, bidang sukan terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu sukan tempatan seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan sukan di arena antarabangsa, yakni Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik. Malangnya, mutu sukan tempatan masih belum boleh kita banggakan malah saban hari kelihatan seolah-olah prestasi para atlet negara kian menurun.

Sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab, kita haruslah berikhtiar untuk meningkatkan mutu sukan tempatan. Pertama sekali, kita haruslah berfikiran positif dalam usaha mengimport jurulatih sukan dari luar negara untuk melatih atlet-atlet negara kita. Sebenarnya, jurulatih dari luar negara mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang sukan, khususnya sukan di peringkat antarabangsa dan dunia. Pengalaman dan ilmu kepakaran yang dimiliki oleh mereka dapat memberikan tunjuk ajar yang bermanfaat kepada atlet kita.Selain menyusun program latihan yang sewajarnya untuk atlet-atlet kita, khidmat bakti jurulatih luar negara seperti Li Mao (badminton), Sid Allen (boling), dan sebagainya amat diperlukan untuk memberikan nafas baharu dan pengalaman yang berguna kepada barisan pemain badminton, boling dan sukan-sukan yang lain untuk memperoleh kejayaan dan kecemerlangan di buana sukan serantau dan antarabangsa.

Peranan ibu bapa dan institusi pendidikan, yakni sekolah amat diperlukan untuk mendedahkan anak-anak kepada pelbagai jenis sukan dan permainan sejak di bangku sekolah rendah lagi bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.Dalam hal ini, lebih banyak sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil perlulah diwujudkan dan disebarluaskan ke seluruh pelosok tanah air dala usaha untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat-bakat baharu dalam pelbagai bidang sukan dan permainan. Biasanya, sekolah-sekolah sukan yang terkenal akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana sukan. Murid-murid yang berbakat ini berpeluang untuk menggunakan pelbagai kemudahan sukan ini untuk berlatih bersungguh-sungguh selain menelaah dan mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang kurikulum. Dengan usaha yang berterusan, latihan rapi yang sistematik di bawah bimbingan jurulatih yang profesional maka tidak hairanlah pada suatu hari nanti akan lahirlah barisan atlet negara yang berpotensi untuk mewakili negara dan memenangi beberapa banyak kejuaraan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Seterusnya, usaha-usaha yang berkesinambungan amatlah perlu untuk menghantar atlet-atlet negara yang berpotensi ke luar negara untuk menjalani sesi latihan, sama ada sesi latihan jangka pendek atau sesi latihan jangka panjang..Sesi latihan seumpama ini bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada teknik latihan yang terkini di samping memberikan peluang kepada atlet negara berlatih bersama-sama atlet-atlet handalan dari luar negara. Dengan cara ini, mereka dapat menimba ilmu dan kemahiran baharu sekali gus membaiki setiap kelemahan dan kekurangan dalam diri mereka demi kecemerlangan diri dan sukan tanah air. Misalnya, penghantaran ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah ke Australia untuk menjalani sesi latihan dalam sukan renang telah menelurkan hasil akhirnya apabila beliau telah berjaya memenangi beberapa butir pingat emas dalam temasya Sukan Asia Tenggara dan Sukan Asia.

Akhirulkalam, kerajaan dan pihak swasta haruslah senantiasa berganding bahu untuk membangunkan dan memartabatkan mutu sukan negara di samping iltizam dan kesungguhan masyarakat majmuk Malaysia dalam bidang sukan dan permainan tempatan. Sesungguhnya, para atlet tanah air mampu dan berkeupayaan untuk maju dalam bidang sukan sehingga peringkat antarabangsa sekiranya mereka diberi peluang dan galakan yang berterusan tanpa putus asa selain prasarana, jurulatih yang berketrampilan, galakan dan pengiktirafan. Dengan cara itu, bakat-bakat atlet handalan dapat dicungkil dan diketengahkan di persada sukan antarabangsa sejajar dengan slogan ”Majulah Sukan untuk Negara”.
Disediakan oleh:
A.Krishnaveni, B.Shamaladevi, M.Kanageswary, Wong Hui Li dan Chin Lee Wan, Tingkatan 4 Sains 3, SMK Methodist, Tg. Malim.