Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, September 30, 2009

SAJAK SN DR.USMAN AWANG - Melayu















MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Monday, September 28, 2009

PUISI TRADISIONAL

PANTUN
Pengenalan
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.

Sehingga hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi. Umumnya terdapat dua jenis utama pantun iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait.

Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat. Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat. Pantun yang popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat.
Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun. Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula ialah maksud atau isi pantun.

Antara ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat berikut:
Sebab pulut santan terasa,
Sebab mulut badan binasa.
Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima, pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja.

Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.

Kandungan Pantun Melayu
Pembayang atau sampiran
Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.

Maksud atau isi
Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema).

Perkataan
Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.

Suku kata
Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.

Rima atau bunyi
Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun. Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun. Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a.
.
Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :
Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/, Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/, Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/, A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.

Ciri-ciri Pantun Yang Baik
Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
-mengandungi 4 kerat/baris
-jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan
-jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata
-ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)
-bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama- a,b,a,b .
-bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.
-maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup
-sarat dengan ciri tradisional - penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud,
-mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang melahirkan dan menggunakannya.

Jenis Pantun
· Pantun 2 kerat, Pantun 4 kerat, Pantun 6 kerat, Pantun 8 kerat, Pantun 10 kerat, Pantun 12 kerat, Pantun 14 kerat, dan Pantun berkait.

Fungsi Pantun
· Memberikan nasihat sosialisasi dan pendidikan
· Sindiran atau tempelak
· Melepaskan rindu dan kasih sayang
· Menyatakan penghargaan/terima kasih
· Berteka-teki atau mencabar ketangkasan fikiran
· Hiburan atau jenaka

Di mana orang berpantun?
· Majlis pertunangan dan perkahwinan
· Teks pengacara/juruacara dan ucapan dalam majlis rasmi
· Pertandingan berbalas pantun
· Alunan lagu rakyat - Lagu Kanak-kanak - Lagu-lagu Asli - Dikir Barat dan Lain-lain.
· Chai Loon Guan, Munsyi Dewan, DBP.

MORFOLOGI BM PMR 2009

Soalan 1 - 7
Lengkapkan ayat-ayat yang berikut dengan memilih jawapan yang paling sesuai.
1
Karya seni pelukis tersohor tanah air, Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein akan _____________ di galeri seni sebagai tanda penghargaan kepada tokoh tersebut.
A - dicatatkan
B - diabadikan
C - ditayangkan
D - dipromosikan
Jawapan - diabadikan (B)
2
Perompak berbahaya itu ________________ sepucuk pistol ke arah orang ramai yang berada berhampiran tempat kejadian untuk melepaskan diri.
A - melontar
B - memegang
C - mengacukan
D - mengangkat
Jawapan - mengacukan (C)
3
Setiap penjenayah akan dihadapkan ke muka _______________ dan akan dihukum atas kesalahan yang dilakukannya.
A - pengumuman
B - penghakiman
C - pengadilan
D - pencarian
Jawapan - pengadilan (C)
4
Pada tahun 1940-an, Tanah Melayu telah _______________ pendatang asing dari negeri China dan India.
A - dibanjiri
B - dihujani
C - dilawati
D - dilimpahi
Jawapan - dibanjiri (A)
5
Laporan ____________ menunjukkan kematian pemuda Bangladesh itu akibat hentakan senjata tumpul pada bahagian kepala mangsa.
A - siasatan
B - pembedahan
C - soal siasat
D - bedah siasat
Jawapan - bedah siasat (D)
6
_______________ sosial yang semakin meningkat dewasa ini amat membimbangkan semua pihak terutama ibu bapa.
A - Kejadian
B - Keburukan
C - Kesusahan
D - Kebejatan
Jawapan - Kebejatan (D)
7
Bukan _________________ pendekar yang dapat mengalahkan Pahlawan Majapahit yang terkenal dan gagah perkasa itu.
A - senang-senang
B - calang-calang
C - susah-susah
D - kuat-kuat
Jawapan - calang-calang (B)

(Sumber: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak)


LIRIK LAGU - Bahasa Jiwa Bangsa


BAHASA JIWA BANGSA
Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa
Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

(Sumber: Lagu/Lirik: Dol Ramli)

Saturday, September 26, 2009

RENCANA SASTERA

PERPADUAN KAUM - Mencari erti dalam sastera, puisi
Lawrence Quek

Sasterawan Negara, Usman Awang juga dikenang sehingga kini kerana betapa kuatnya fahaman penyatuan hubungan antara kaum dalam dirinya, dan ia terpancar dalam karya-karya beliau khususnya puisi. Malah kesungguhan beliau itu turut dirintiskannya dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Persahabatan China-Malaysia.

Dalam konteks sebuah negara Malaysia yang merdeka, sejak beberapa tahun belakangan ini, Festival Sastera Kemerdekaan telah membuka ruang persepsi yang lebih luas dalam usaha memaknakan lagi sambutan hari kebangsaan dalam konteks negara pelbagai kaum.
Di samping acara teras Sayembara Puisi Bulan Kemerdekaan, penganjuran Simposium Penulis Pelbagai Kaum sewajarnya menjadi forum pertemuan penulis yang lebih memberi erti terhadap perhubungan antara kaum dan mencitrakan landskap sastera Melayu.

Sewajarnya penganjuran festival dan pelbagai acara yang dikendalikan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) ini mencapai maksud yang digaris dan memberikan impak besar kepada sastera kebangsaan. Lebih penting apabila simposium tersebut menjadikan “Perpaduan Dalam Kemesraan Seni” sebagai tema yang sebenarnya memerlukan pemahaman dan pengisian, bukan sekadar istilah atau pengucapan retorik perpaduan.

Peranan penulis pelbagai kaum dalam sastera kebangsaan tidak sewajarnya terbatas kepada kemampuan penulis bukan Melayu menghasilkan karya dalam bahasa Melayu; atau Bahasa Malaysia seperti yang Kavyan perjuangkan; sebaliknya bagaimana suatu fahaman, idealisme dan perjuangan ke arah pembentukan jati diri bangsa Malaysia dicitrakan dalam karya.
Pada hakikatnya, karya-karya yang merentasi hubungan antara kaum masih kurang dihasilkan, sama ada oleh penulis Melayu yang mendominasikan sastera Melayu, mahupun penulis bukan Melayu yang terdiri daripada kaum Cina, India dan variasi penulis keturunan Bumiputera Sabah/Sarawak. Kebanyakan karya yang dihasilkan hakikatnya lebih merupakan luahan semula pengalaman peribadi penulis yang tidak terlepas daripada lingkungan masyarakatnya.

Perkara ini diakui oleh Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Daud Mohamad. Semasa membentangkan kertas kerja Puisi Perpaduan Bangsa beliau menyatakan bahawa setiap kaum hanya melahirkan karya yang melingkari kisah kehidupan masyarakat penulis sendiri. "Dalam bidang puisi, Usman Awang boleh dianggap sebagai pelopor penyatuan kepelbagaian etnik di Malaysia," jelasnya. Sebagai contoh puisi Sasterawan Negara seperti “Penjual Pisang di Kaki Lima,” “Pemuda dan Gadis Tionghua,” “Anak Jiran Tionghua” dan “Kambing Hitam” merupakan usahanya memperkatakan hubungan dan keharmonian antara kaum. Walaupun hubungan antara kaum dapat dilihat dalam pantun, ia masih bersifat terbatas kepada kaum Cina Baba di Malaysia dan Cina Peranakan di Indonesia yang lebih disebabkan oleh hubungan dengan masyarakat Melayu yang agak lama.

Pengkaji pantun, Dr. Harun Mat Piah berkata, perkataan Cina sering digunakan dalam pengucapan penting yang memperlihatkan kepekaan pantun Melayu pada persekitaran budaya dan masyarakat. Bagaimanapun jelasnya, tidak ada kajian mendalam mengenai kedudukan dan peranan perkataan Cina dalam menaikkan etika dan estetika pantun Melayu.

Kebiasaannya, karya-karya dihasilkan oleh penulis tetap merupakan pengalaman kaum yang cuba disampaikan dalam bahasa yang telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan dipelajari serta dimahiri semasa di sekolah. Namun terdapat juga penulis yang mampu mengungkap visi penulisan yang bersifat terbuka dengan pengertian bersifat keMalaysian atau sejagat sebagaimana karya-karya di tangan penulis seperti Awang Abdullah, Chu E. Liang, atau Chai Loon Guan. Demikian juga penulis seperti Shafie Abdullah (Raymond Majummah), Daniel Jebon Janaun, Mohd. Azlie Lee Abdullah, Poul Nanggang, Jaya Ramba atau Jong Chian Lai.

Sealiran dengan penulis-penulis ini adalah kelompok Kavyan yang diketuai oleh Uthaya Sankar SB, Saroja Theavy Balakhrisnan, serta tidak terkecuali Raja Rajeswari. Sebahagian besar penulis yang disebut di atas kelihatan pada festival dan simposium kali ini, suatu perkembangan yang sihat dan wajar diteruskan pada masa mendatang.

Persoalannya, apakah inti daripada pertemuan itu memberikan makna dalam menyatukan hubungan antara kaum dengan wahananya adalah bahasa dan sastera kebangsaan.
Atau perbincangan sekadar melihat dan membedah sejarah perkembangan penulis sama ada dalam konteks kaum-kaum tertentu, atau bersifat wilayah, yakni Sabah dan Sarawak, tanpa kesungguhan memperkasakan perpaduan dan keharmonian kaum melalui sastera, dan dalam konteks festival, melalui puisi.

Sesuai dengan usaha memartabatkan puisi, khususnya puisi tradisi pihak penganjur memberikan tumpuan kepada pantun, syair, gurindam, seloka dan dan nazam dengan menyediakan slot bengkel daya cipta serta mendapat bimbingan pakar puisi tradisi seperti Ali Bachik, Ali Badron dan Abdul Halim R. Bengkel tersebut masih dianggap singkat dalam memberikan kesan kepada peserta, namun ia merupakan permulaan baik ke arah menghidupkan peranan puisi tradisi. Malah hasil daripada bengkel tersebut telah memeriahkan Persembahan Kreatif Seni Puisi Pelbagai Kaum itu dengan gelagat dan kreativiti gaya persembahan para peserta. Demikian juga acara berbalas pantun secara spontan sesama para peserta dan pembimbing berjaya memeriahkan festival kali ini, yang turut dimeriahkan dengan persembahan lagu rakyat yang diiringi gendang Melayu Sarawak.

Pada masa mendatang, festival dan simposium ini sewajarnya menjadi acara yang dianggap besar dan penting dalam kalendar sastera negara. Ia patut menjadi agenda nasional para penulis untuk membuahkan sesuatu yang lebih besar dalam pembangunan kesusasteraan, integrasi kaum dan pemartabatan bahasa.

(Sumber: Lawrence Quek - “Perpaduan Kaum - Mencari erti dalam sastera, puisi,” Utusan Malaysia, 13 September 2004)

Friday, September 25, 2009

PENULISAN BM INTERVENSI 2M

MODUL PENULISAN
Peluasan Ayat dalam Karangan Pendek.
Contoh:

1a. Ali seorang murid.
1b. Ali seorang murid Tahun 4 Indigo di SJK © Chung Sin, Tanjong Malim.
1c. Sebagai murid sekolah, Ali rajin membaca dan mengulang kaji pelajaran.
1d. Ali juga rajin menulis dan membuat kerja sekolah.
1e. Pada masa lapang, Ali turut membantu ibunya.
1f. Ali membantu ibunya membuat kerja rumah.
1g. Antara kerja rumah yang dibantu oleh Ali ialah membersihkan halaman rumah, menyidai pakaian dan mengemaskan bilik tidur.
1h. Sifat baik Ali perlu dijadikan contoh kepada murid-murid yang lain.

Contoh Karangan:
ALI
Ali seorang murid sekolah. Dia seorang murid Tahun 4 Indigo di SJK © Chung Sin, Tanjong Malim. Sebagai seorang murid sekolah, Ali rajin membaca buku dan mengulang kaji pelajaran. Dia juga rajin menulis karangan dan membuat kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya.

Pada masa lapang, Ali turut membantu ibunya. Dia membantu ibunya membuat kerja rumah. Antara kerja rumah yang dibantu oleh Ali ialah membersihkan halaman rumah, menyidai pakaian dan mengemaskan bilik tidur. Sifat baik Ali perlu dijadikan contoh kepada murid-murid yang lain. Sesungguhnya, Ali seorang murid yang rajin dan berbudi pekerti mulia.

Latihan Peluasan Ayat dalam Karangan Pendek:
1a. Baru-baru ini, ayah saya telah membeli sebuah kereta baharu.
1b. Kereta baharu ayah saya bernama Inokom Matrix.
1c. Kereta itu berwarna kuning dan cantik.
1d. Kereta itu juga boleh memuatkan lima orang penumpang di samping barang- barang.
1e. Kereta Inokom Matrix ayah merupakan sebuah kenderaan MPV, iaitu sejenis kenderaan serba guna dan berkuasa tinggi.
1f. Pada masa lapang, kami sekeluarga akan pergi ke pusat beli-belah Rawang dan Selayang dengan kenderaan tersebut.
1g. Sesungguhnya, kereta Inokom Matrix ayah cukup selesa dan selamat ketika di jalan raya atau di lebuh raya.

(Sumber: Chai Loon Guan, Munsyi Dewan – 21 Disember 2007)

Thursday, September 24, 2009

CERPEN VIX - Sayonara Pura Singa


SAYONARA PURA SINGA
Chai Loon Guan

1926
Selamat datang! Selamat datang!
Bagaikan suara-suara itu terngiang-ngiang di cuping telingaku. Khayalankah? Halusinasikah, aku?

Preet!
Prreeett!!
Prrreeettt!!!

Kedengaran isyarat wisel daripada nakhoda kapal. Kapal dari Tanah Besar. Isyarat nyaring yang telah membangkitkan seisi penumpang, termasuk Ah Hai dan Mengze.Singapura? Bingkas aku. Tercengang. Lidah kelu untuk berkata-kata. Benarkah aku sudah dapat menjejakkan kaki di bumi pura? Pura Singa! Bagai rusa masuk ke kampung lagaknya aku. Pendatang remaja yang amat dahaga akan pengalaman. Imigran baharu mencuba nasib mencari sesuap rezeki di Tanah Semenanjung. Benar, sudah dapat aku jejakkan kaki di bumi yang pernah ditadbir pimpin oleh Sir Stamford Raffles pada 1819. Barangkali kesempatan ini membolehkan aku untuk melihat sepuas-puasnya wajah landskap yang terpampang jelas di depan mata. Monolog Ah Hai menjadi-jadi.

”Ah Hai!”
”Singapurakah?”
”Singapuralah...pura Singa!” jerit Mengze.

Cukup terkesima Ah Hai. Lain padang lain belalang. Keadaan di Daerah Engchun lain. Situasi di Singapura lain. Beza amat. Pertama, manusianya. Manusia Engchun sebangsa, seagama dan semata pencarian. Rata-rata petani. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Senario di pura Singa lain. Lain antara langit dengan bumi. Manusianya, Melayu, Inggeris, Cina, India dan barangkali sudah hadirnya bayang-bayang kelibat Nippon! Mudah untuk dikenal pasti orang Nippon. Susuk tubuh orang Nippon rendah. Bermata sepet dan putih seperti orang Tionghoa. Dari segi tawarikh, bukankah orang Nippon itu asalnya dari benua Tanah Besar? Benua Tanah Besar pada zaman Dinasti Chin. Dinasti zaman Maharaja Shih Huang Ti!

Kedua, prasarananya. Deretan bangunan kedai, rumah, mobil Inggeris sebuah dua, lanca dan beca. Yang penting adanya kereta api. Lokomotif ini dipacu menggunakan enjin berkuasa wap. Enjin ciptaan keturunan George Stephenson, 1829 ini mampu bergerak 16 batu sejam. Apa kurangnya pura Singa dengan jeti pelabuhannya. Kononnya, pada zaman Raffles, pelabuhan Singapura merupakan pelabuhan entreport. Kota di antara kota dagang Timur dan Barat. Kota dagang rempah ratus. Kota tembakau dan kopi. Kota dakwah agama. Kota mewah di nusantara. Kota yang tidak dapat dipisahkan dengan warna-warni kesibukan. Kesibukan buruh kasar mengangkat dan menurunkan barang-barang dagangan. Kesibukan para pedagang Timur dan Barat yang sering berkunjung datang untuk berurus niaga. Barangkali dek galakan Kerajaan British dan sistem tiket kredit telah menggerakkan gelombang penghijrahan secara besar-besaran. Sistem tiket kredit yang dipelopori kheh thau menampakkan kehadiran imigran baharu, yakni golongan sin kheh di Semenanjung Tanah Melayu – Suvarnabhumi, bumi emas.

Seperti rakan-rakan kapal yang lain, Ah Hai perlu beratur menghadap pegawai imigresen Inggeris. Dokumen perjalanan Ah Hai dihalusi. Segala-galanya diteliti. Beres. Tiada sebarang masalah yang berbangkit. Dengan bergalaskan sebungkus pakaian, Ah Hai mula bergegas ke stesen kereta api. Di situ, Ah Hai berpisah dengan Mengze. Sebenarnya, Mengze perlu berurusan seminggu dua di Singapura. Seperti yang dijanjikan dalam warkah yang lalu, Ah Hai perlu menunggu kedatangan Pak Cik Teh untuk menyambutnya. Pak Cik Teh, saudagar runcit di Tanjong Malim. Pak Cik Teh bukan orang asing. Pak Cik Teh adik ipar ibunya. Sekeping potret usang Pak Cik Teh masih ditatapnya puas-puas. Potret itulah yang menjadi garis panduan sementelahan Ah Hai berada di stesen yang mula sibuk menjelang petang itu. Tanpa Pak Cik Teh, barangkali agak sukar untuk Ah Hai menjejaki jalan ke Tg. Malim.

Tg. Malim? Tanjong Jambu? Bisa bagaimanakah bandar itu? Sementara menunggu, mata Ah Hai sempat meliar mencari kelibat Pak Cik Teh. Dalam gambar, Pak Cik Teh bertubuh sasa. Sedikit bermisai kemas dan bercermin mata bulat. Gemar juga Pak Cik Teh berbaju samfu. Kalau diikutkan masa yang tersurat, sudah hampir waktunya untuk dipertemukan dengan Pak Cik Teh. Di mana agaknya Pak Cik Teh? Sesatkah orang tua itu? Sibukkah orang tua itu? Barangkali tidak, mungkin orang tua itu sedang dalam perjalanan ke stesen kereta api itu. Pujuk hati kecil Ah Hai bersendirian.

”Ah Hai!”
”Ah Hai!!”

Dalam detak-detik pertanyaan di kalbu sukma itu, kedengaran Ah Hai namanya dipanggil. Rupa-rupanya Pak Cik Teh sudah dapat mengagak. Nampaknya, Pak Cik Teh sudah dapat mengecam rupa parasku, bisik hati kecil Ah Hai.

”Ah Haikah?” cetus suara parau Pak Cik Teh ingin akan kepastian.
”Pak Cik Teh!”
”Ah Hai!”

Kami sempat berpeluk-pelukan. Mesra. Intim dan akrab.

”Pak Cik Teh, apa khabar?”
”Khabar baik. Dah lama menunggu, Ah Hai?”
”Er...kurang lebih setengah jam!”
”Maafkan Pak Cik, Ah Hai... kereta api dari Kuala Lumpur tadi buat hal di Melaka!”
”Melaka?”
”Iya, Melaka...negeri yang bersejarah itu! Dah, makan?”
”Belum...”
”Kita isi perut dulu. Malam nanti kita bertolak ke Kuala Lumpur...” ujar Pak Cik Teh sungguh-sungguh.

Ah Hai sekadar dapat mengutuskan secebis senyuman. Kegembiraan dapat bertemu dengan Pak Cik Teh telah menyelimuti kebimbangan dan keresahannya sebelum ini. Mereka berjalan menuju ke Rumah Tumpangan Aman. Tingkat bawahnya ditempatkan gerai makanan dan minuman.

”Nak makan apa, Ah Hai?”
”Ikut cita rasa, Pak Cik Teh...”

Hebat kedai makan itu. Ada pau daging. Ada mi wantan. Ada bebola ikan. Nasi ayam. Tidak kalah juga aroma chanya yang mahahebat dan mengasyikkan. Yang penting, dapat kami makan kekenyangan sebelum memulakan perjalanan. Perjalanan panjang seorang anak dagang dari Tanah Seberang. Anak dagang sehelai sepinggang, berbekalkan kail panjang sejengkal mahu cuba diuji lautan yang dalam. Benar kata orang tua-tua, kalau takut dilamun ombak samudera, jangan pula berani berumah di tepi pantai!

Habis makan, Pak Cik Teh membawa aku ke tingkat atas untuk membersihkan diri. Dapatlah aku – sang pengembara bersiram seketika sekali gus menghilangkan segala daki kotoran di badan. Kata Pak Cik Teh, jalan jauh perlu selesa. Selesa minda. Selesa perut. Selesa badan. Barulah perjalanan yang jauh dianggap menyeronokkan. Habis bersiram, kembali kami menuruni anak-anak tangga rumah tumpangan itu untuk melangsaikan bayaran. Rumah Tumpangan Aman, segala-galanya ada di sini. Sebut atau tinggalkan pesanan, segala-galanya beres diatur. Pokoknya pitis. Qian. Wang dollar Negeri-negeri Selat.

”Bagaimana dengan keluarga di Engchun?” soal Pak Cik Teh dalam kesibukan orang ramai yang sedang lalu lalang berjalan kaki di dataran yang berhampiran stesen kereta api. Lanca dan beca masih bertali arus.

”Baik. Nyonya kirim salam keluarga buat Pak Cik...”
”Perkembangan terbaharu di Tanah Besar?”
”Dengar pihak Nippon sedang mara. Barangkali, Peking dapat ditawan oleh Nippon!” luah Ah Hai sungguh-sungguh. Biarpun Pak Cik Teh berada di Semenanjung Tanah Melayu, dia cukup peka dan prihatin akan isu semasa di Tanah Besar China.

”Benar. Tempiasnya mula terasa di Malaya. Pasaran ubi kayu, tebu, lada hitam dan gambir kian perlahan. Harga getah mula merosot. Entahlah, Pak Cik tak dapat menerka masa depan Daerah Engchun!” Luahan rasa bimbang Pak Cik Teh ada kebenarannya. Gelisah Pak Cik Teh kian ketara.

”...yang penting, kita panjatkan doa agar mereka semua di Daerah Engchun selamat dan jiankang. Aman.” pujuk hati kecil Pak Cik Teh seperti juga Ah Hai dalam diam-diam memikirkan ibu, Nyonya Tan – isteri kesayangannya dan anak-anak. Alangkah baiknya, keadaan di Engchun tenang setenang air di kali tanpa gelora kocak yang mengganas!

Tiket!
Tiket!!
Tiket!!!

Laungan Inspektor Tiket meriuh-rendahkan suasana di dalam kereta api itu. Selepas Maghrib, kami mula bertolak ke Semenanjung Tanah Melayu. Malaya. Gegaran gerabak dan gilisan rel mengiringi kami sepanjang perjalanan yang jauh itu. Destinasinya, Kuala Lumpur.
Kereta api malam itu kian deras membelah pekat malam dan sejuk dinihari. Dari sebuah stesen ke sebuah stesen kereta api itu berhenti. Sesekali naik seseorang yang beruniform membuat pemeriksaan.

Di benua Eropah, pihak Jerman sedang menunjukkan gah megahnya. Kononnya Adolf Hitler sedang menyebarluaskan doktrin Nazinya. Angin Asia Timur juga tidak kurang kencangnya. Tsunami Nippon sedang melanda Tanah Besar China. Sasaran utamanya Peking!

Sepanjang perjalanan Ah Hai tidak dapat melelapkan matanya. Tiba-tiba, Ah Hai sedang bercengkerama dengan seribu satu pertanyaan. Mampukah anak dagang dari pedalaman Engchun, yang kurang serba-serbi, buta huruf dan miskin pengalaman dapat menjalani kehidupan di rantau orang? Pasti dapat dirasakan Ah Hai tentang sejuta cabaran dan dugaan yang harus dipikul di pundaknya! Dapatkah ia mentransformasikan cabaran dan dugaaan hidup itu menjadi impian yang diburu selama ini? Impian diri. Impian keluarga di Daerah Engchun. Impian masa depan yang barangkali menjanjikan sejuta harapan yang membahagiakan. Memang benar madah bicara kaum cendekiawan, yakni seribu langkah kehidupan bermula dengan langkah yang pertama.

Aku memerlukan sejuta kekuatan. Kekuatan minda. Aku memerlukan sejuta keberanian. Keberanian hati. Aku memerlukan sejuta ketabahan. Ketabahan hidup. Ramuan hidup tersebut akan membuahkan harapan. Harapan untuk berjuang. Harapan untuk berjaya. Harapan untuk merealisasikan impian. Impian di perantauan. Bisik hati kecil Ah Ti.

Datang aku bukan untuk mencari seteru. Datang aku bukan untuk memburu derita. Datang aku adalah untuk mencari sesuap rezeki seteguk impian. Rezeki melimpah ruah di Tanah Melayu. Rezeki halal di tanah Malaya.

Kereta api itu sedang meluncur laju di landasan rel.

”Hidup di rantau orang bukan mudah, Ah Hai!”

Nasihat itu berlegar-legar di ruang fikirnya.

“...dunia perantauan memerlukan ketabahan dan kecekalan. Dunia perantauan cukup menduga, Ah Hai!”.

Ah Hai berpaling ke arah Pak Cik Teh. Cukup lena Pak Cik Teh. Barangkali dia terlalu letih. Letih dalam perjalanan pergi dan balik. Iltizam dan pengorbanan Pak Cik Teh tetap dalam ingatan Ah Hai. Sukar amat untuk mencari insan sebaik Pak Cik Teh. Sukar benar untuk mencari manusia semulia Pak Cik Teh. Demi keluarga dan hubungan persaudaraan yang kental, tampil insan yang bernama Pak Cik Teh untuk membantu Ah Hai. Lambaian Pak Cik Teh pada petang tadi jelas kelihatan. Pelukan Pak Cik Teh pada petang tadi cukup akrab dan menyakinkan Ah Hai. Yang pasti, Ah Hai tidak boleh menghampakan Pak Cik Teh. Ah Hai tidak boleh memusnahkan bahtera impian Pak Cik Teh. Yang paling penting, impian diri dan seisi keluarga di Daerah Engchun.

Dinihari kian menggigit sum-sum tulang setiap penumpang kereta api yang berenjin wap itu. Mahahebat jentera panjang yang bergerabak besi itu. Ah Hai bagaikan tidak sabar-sabar menanti ketibaan pagi hari. Kerana bagi Ah Hai, pagi hari nanti akan bermulanya hari pengembaraan hidup seorang anak dagang mencari sesuap rezeki di perantauan orang.
Peluit kereta api yang berenjin wap itu kian nyaring berbunyi. Sampai akhirnya juga, Pak Cik Teh dan Ah Hai di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.

Sayonara pura Singa. Irrashaimase Tanah Melayu!

Kosa Kata / Makna:
Nippon – Jepun
Tionghoa – bangsa Cina
kheh thau – ketua Cina
sin kheh – orang baharu
Suvarnabhumi – Bumi Emas
Sayonara – Selamat tinggal
samfu – pakaian tradisional kaum lelaki Cina
pitis – wang / duit
irrashaimase – Selamat datang ke
qian – duit / wang
jiankang – sihat
cha – minuman teh


(Sumber: Mingguan Malaysia - 21 Ogos 2011)

Wednesday, September 23, 2009

CERPEN VIII - Jati Seorang Atlet

JATI DIRI SEORANG ATLET
Chai Loon Guan

Mengze murid Darjah 6 Biru. Ketika ini, Mengze belajar di SRK Methodist, Tanjong Jambu. Tanjong Jambu bandar kecil yang terletak di selatan negeri Perak Darul Ridzuan. Dari segi sejarahnya, Tanjong Jambu dikenal sebagai Tanjung Mua’alim. Kononnya, pada zaman dahulu, Tanjung Mua’alim menjadi tumpuan alim ulama dari Nusantara. Mengze pernah mendengar cerita itu daripada guru Sejarahnya, Cikgu Siti Hawa Sulaiman. Rupa-rupanya, Tanjong Jambu kaya akan sejarah nasionalisme. Tanjong Jambu medan pencetus semangat kemerdekaan Tanah Melayu.

Keluarga Mengze keluarga pekebun kecil. Bapa Mengze, Apek Chai, pekebun sayur. Ibu Mengze, Nyonya Chai, pembantu bapanya. Setiap awal pagi, selepas sarapan ala kadar, ibu bapa Mengze ke kebun sayur. Kebun sayur milik warisan keluarga. Mengze masih ingat betapa tanah sekangkang kera itu pernah diusahakan oleh mendiang datuknya. Kini, tanah itu diwarisi oleh bapanya.

Pendapatan keluarga Mengze tidak seberapa. Kata orang, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yang sedihnya, sejak dua tiga bulan belakangan ini, musim tengkujuh. Tanaman sayur tidak banyak yang menjadi. Sumber pendapatan keluarga Mengze berkurangan. Hal ini amat membimbangkan Mengze. Suara tegas guru darjahnya, Cikgu Vikneswaran, masih terngiang-ngiang di cuping telinganya.

”Cikgu mahu melihat murid-murid 6 Biru memiliki senaskhah Kamus Dewan!” suara tegas itu bersipongang.

”Kamun Dewan?” bisik hati kecil Mengze.
”Berapakah harganya, cikgu?” tanya Zaini, rakan sedarjahnya.
”RM 45.00 sahaja!” balas Cikgu Vikneswaran.

Mengze mula berasa gelisah. Rasa serba salah kian bertakhta di kamar hatinya. Fikiran Mengze bercelaru. Frasa Kamun Dewan dan wang RM 45.00 sering bersandiwara di sketsa mindanya.

”Papa...”
”Hemmmm!”
”Cikgu menyuruh saya membeli kamus!”
”Kamus? Berapakah harganya, Mengze?” tanya Apek Chai lagi.
”RM 45.00 sahaja, papa!”

Mengze diam membisu. Wajahnya memperlihatkan warna kegelisahan.

“Esok, Mengze beritahu cikgu bahawa papa akan memberikan duitnya dua tiga minggu lagi. Faham?”

Mengze terpaksa akur sahaja. Mengze faham benar akan masalah ibu bapanya. Sejak belakangan ini, tanaman dan sayur-sayuran rosak kerana musim tengkujuh dan serangan ulat serangga. Hal ini bererti bahawa keluarganya menghadapi masalah kewangan. Perut seisi keluarga sebanyak lima orang perlu diisi. Jika tidak, mati kebuluranlah Mengze dan dua orang adiknya.

Nampaknya, dalam masa yang terdekat ini, bapa Mengze gagal untuk menyediakan wang untuk membeli Kamus Dewan. Wang sebanyak RM45.00! Dengan tidak bermaya, Mengze menggeleng-gelengkan kepalanya.

”Awak bimbang akan acara lumba lari 400 meter itu?” Diam.

”Tidak usahlah awak bimbang. Saya yakin bahawa awak pasti akan mengekalkan kedudukan awak sebagai juara pada tahun ini juga.”

”Saya bukan bimbang akan acara itu. Ah, sebenarnya saya khuatir akan duit Kamus Dewan. Ibu bapa saya minta ditangguhkan. Tabung saya Cuma ada beberapa ringgit sahaja,” kata Mengze.

”Oh, begitu! Jangan bimbang. Saya fikir Cikgu Vikneswaran akan membantu awak. Walaupun tegas, beliau baik hati orangnya!” ujar Mutu sambil mengeluarkan senaskhah buku bacaan dari begnya. Novel Meniti Kaca nukilan Raja Sabaruddin Abdullah.

”Harap begitulah, Mutu...” kata Mengze dengan ringkas.

”Ke garisan, sedia...”

Preeet!
Bunyi wisel Cikgu Kamaruddin bersipongang memecahkan kesunyian di padang lumba SRK Tanjong Jambu. Mengze, Zaini, Mutu, Kenny, dan yang lain-lain sama-sama memecut. Masing-masing mahu tiba di garisan penamat lebih dahulu.

”SRK Methodist, Tanjong Jambu, pasti akan berjaya kali ini, ” bisik hati kecil Cikgu Kamaruddin.
”Bagus, Mengze! Syabas! Nampak gaya, kamu berpeluang cerah untuk menjuarai acara lumba lari 400 meter Sukan Tahunan SRK Methodist kali yang ke – 54, ” puji Cikgu Kamaruddin lagi. Sambil tercungap-cungap, Mengze bersuara, ”Terima kasih atas pujian dan dorongan cikgu...”

Kenny, anak Tauke Chan, mengerling sinis ke arah Mengze. Mengze mencuba melirik senyum ke arahnya. Namun, senyumannya hanya dibalas oleh kilasan kemarahan dan dendam kesumat.
”Baiklah, dengan sini semua! Sukan tahunan sekolah akan berlangsung tidak lama lagi. Cikgu berharap agar kamu semua dapat meningkatkan usaha gigih kamu!”

Tatkala Mengze sedang mengemaskan barangnya, Kenny datang menghampirinya.

”Mengze, saya ada hal yang hendak dibincangkan dengan awak. Kita berjumpa di sini esok selepas sekolah,” cadang Kenny dengan nada yang sinis dan waswas.

Masa kian berlalu. Mentari esok mula memancarkan sinarnya.

”Kenny, apakah halnya?” Mengze memulakan perbualan.
”Mengze, saya dimaklumkan bahawa awak kesempitan duit untuk membeli Kamus Dewan. Apa kata kalau kita adakan satu urus niaga?” Kenny berkata dalam suara yang kurang menyenangkan. Mimik mukanya menampakkan warna kegelisahan.
”Urus niaga?”

”Ya! Saya akan memberi awak RM 45.00 sekiranya awak sengaja kalah kepada saya dalam acara lumba lari 400 meter nanti. Setuju?”

”Eh, Kenny! Awak sedarkah tentang apa yang awak cakapkan ini?”

Diam.

”Awak hendah saya sengaja tewas supaya awak berpeluang untuk menjuarai perlumbaan tersebut?”

”Ya! Kita berkompromi.”

”Kenny, saya tahu bahawa awak orang yang berada. Segala yang diidamkan akan mudah diperoleh. Tetapi, hal ini tidak bermakna bahawa awak boleh membeli kemenangan dengan wang ringgit semata-mata! Di manakah semangat kesukanan awak, Kenny?”

”Saya tidak peduli. Yang saya mahu ialah menjadi johan. Juara! Ingat, Mengze!” kata Kenny seolah-olah mengugut Mengze untuk merealisasikan niat hatinya.

Wang. Semangat kesukanan. Wang? Semangat kesukanan? Yang manakah yang lebih penting? Minda Mengze kembali bercelaru sejak pertemuan itu. Mindanya berkecamuk untuk membuat keputusan yang tepat. Kedua-duanya penting. Jika dia menerima wang itu, Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam genggamannya. Sebaliknya, jika dia menolak, gelaran juara 400 meter akan menjadi miliknya. Dan, yang pasti nama baiknya akan terpelihara sebagai atlet yang bermaruah dan berketrampilan.

Saat berganti minit. Minit berganti jam. Tanpa disedari, 72 jam telah berlalu. Sepanjang tempoh itu, Mengze tidak pernah berasa senang hati. Ombak di samudera hatinya sentiasa diamuk gelora.

”Bagaimana Mengze? Apakah keputusan awak?” tanya Kenny dengan wajah yang angkuh.

”Baik, saya setuju!”

”Bagus, Mengze. Ini wang RM 45.00. Ingat, awak mesti kalah kepada saya, faham?” tegas Kenny lalu menghulurkan wang kepada Mengze.

Dalam keterpaksaan, Mengze menerima duit sogokan itu. Dia menyimpannya di dalam koceknya. Dia serba salah. Dia kebingungan. Wajarkah keputusannya itu? Wajah ibu bapanya muncul menari-nari di hadapan matanya.

Kemudian, muncul wajah guru darjahnya, Cikgu Vikneswaran, yang sering memberikan nasihat agar menjadi generasi murid yang jujur, amanah dan berdedikasi. Jiwa Mengze benar-benar terseksa kini. Minda Mengze kian diamuk gelora samudera gelisah dan rasa bersalah.

Di padang SMK Methodist, Tanjong Jambu, beberapa banyak acara sukan sedang berlangsung. Masyarakat majmuk Tanjong Jambu hadir memberikan sokongan moral kepada atlet muda Tanjong Jambu.

”Acara seterusnya ialah lumba lari 400 meter lelaki Kelas A!” juruacara majlis pada pagi itu, Puan Eftah, membuat pengumuman. Penonton memberikan tepukan gemuruh. Bagi Mengze, wang RM 45.00 masih dalam genggamannya. Selepas menghela nafas dalam-dalam, Mengze bergerak ke arah Kenny. Tanpa beriseng-iseng, dia memasukkan wang RM 45.00 itu ke dalam kocek Kenny.

”Kenny, wang bukan segala-galanya. Saya tidak akan tunduk kepada wang,” ucap Mengze penuh yakin dan berwibawa.

Selepas itu, Mengze beredar meninggalkan Kenny yang terpinga-pinga kebingungan. Semua peserta mula mengambil tempat masing-masing. Mengze dan Kenny saling berpandangan. Kenny kelihatan gelisah.

Bang! Mengze meluru ke hadapan, berlari dengan penuh semangat seperti M. Raj Kumar, atlet kebanggaan negara dalam acara 400 meter pada suatu ketika dahulu. Beban yang dibelengguinya selama ini lenyap sama sekali.

Akhirnya, Mengze berjaya mengalahkan Kenny. Kenny tewas! Mengze, johan acara lumba lari 400 meter! Tidak pernah Mengze berasa begitu gembira. Mengze yang mampu memperjuangkan jati diri seorang atlet sekali gus mengelakkan gejala rasuah. Sesungguhnya, dia berjaya.

”Tahniah, Mengze!” ucap Cikgu Kamaruddin.

”Terima kasih, cikgu! Sebenarnya, saya tidak dapat melakukannya tanpa dorongan cikgu!” balas Mengze bersungguh-sungguh.

”Cikgu sungguh bangga akan daya ketahanan diri awak. Awak tidak menghampakan cikgu, Mengze!” Mengze tunduk mendiamkan diri.

”Mengze, ini hadiah daripada cikgu atas kejayaan kamu!”

”Kamus Dewan!” jerit Mengze penuh kegembiraan.

”Terima kasih, cikgu! Terima kasih!” ucap Mengze penuh kesyukuran.

(PELITA BAHASA, DBP – MAC 2003)

JUSA II BM (KERTAS 2) SPM PERAK 2009

Soalan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pengambilan makanan seimbang dan cara-cara untuk menggalakkan masyarakat mengambil makanan seimbang. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Setiap manusia memerlukan makanan untuk hidup. Pengambilan makanan seimbang penting untuk memastikan seseorang itu mencapai taraf kesihatan yang baik. Pemakanan seimbang bermaksud makanan yang mengandungi kumpulan zat makanan yang diperlukan oleh tubuh. Protein, vitamin, kabohidrat, garam dan sebagainya yang terdapat dalam makanan diperlukan oleh tubuh untuk membolehkan sistem tubuh berfungsi dengan baik, selain berupaya melawan penyakit. Walau bagaimanapun, makanan juga dapat memudaratkan kesihatan seseorang sekiranya peraturan pemakanan tidak dipatuhi dan jika diambil secara berlebihan.

Makanan seperti daging, telur dan hasil tenusu merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang dapat memberikan tenaga bagi membolehkan seseorang melakukan aktiviti seharian. Namun, makanan tersebut turut mengandungi banyak lemak dan kalori yang tinggi jika diambil berlebihan. Lemak merupakan sumber utama kolestrol yang menyebabkan obesiti dan mendorong serangan jantung serta meningkatkan risiko serangan barah. Pengambilan kabohidrat secara berlebihan seperti nasi juga merupakan punca utama obesiti. Hal ini demikian kerana kalori yang berlebihan disimpan dalam bentuk lemak jika tidak digunakan.

Orang ramai disyorkan agar banyak mengambil makanan yang terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran kerana mengandungi sumber vitamin, mineral dan serat. Pengambilan serat penting untuk mempercepat proses makanan melalui saluran penghadaman. Orang ramai digalakkan melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh bagi membakar kalori lemak yang terdapat di dalam badan. Manusia yang tidak aktif dan tidak mahu bersenam juga boleh menyebabkan obesiti.

Keseimbangan pengambilan pelbagai jenis makanan penting untuk menjamin kesihatan yang sempurna dan berterusan bagi menghindari daripada penyakit. Mempelbagaikan makanan yang diambil dalam menu seharian merupakan cara terbaik untuk memenuhi keperluan nutrien bagi tujuan tumbesaran. Selain itu, pengambilan makanan tersebut juga dapat meningkatkan kadar metabolisme tubuh dan tenaga. Khasiat sesuatu makanan juga bergantung pada cara penyediaannya. Ibu atau pembantu rumah yang memasak perlu mempunyai ilmu penyediaan makanan yang berkhasiat dan seimbang.

Orang ramai perlu banyak meminum air kerana lebih daripada separuh kandungan tubuh manusia terdiri daripada air yang dapat membantu melancarkan peredaran darah dan berfungsi untuk buah pinggang berfungsi dengan baik. Amalan pemakanan seimbang dalam kalangan masyarakat perlu menjadi agenda utama negara untuk melahirkan rakyat yang cergas.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada 'Pengambilan Makanan Seimbang’ oleh Siti Balkis Budin,
Dewan Masyarakat, Mei 2007)

Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-solan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata memudaratkan kesihatan.
[2 markah]

(ii) Nyatakan tiga punca utama yang menyebabkan obesiti?
[3 markah]

(iii) Selain mengamalkan pemakanan yang seimbang, kemukakan empat cara lain untuk menjaga kesihatan tubuh badan mengikut pendapat anda.
[4 markah]

(Sumber: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak)

JUSA II BM (KERTAS I) SPM PERAK 2009

Bahagian B - Karangan
[ 100 markah ] - [ Masa yang dicadangkan : 1 jam 30 minit ]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1. Anda telah mencapai kejayaan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pihak sekolah telah mengundang anda untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk ” Ke Arah Mencapai Kejayaan Cemerlang Dalam Peperiksaan”.
Tulis ceramah tersebut selengkapnya.

2 Perasaan cinta akan negara perlu dipupuk dalam kalangan anggota keluarga bagi mewujudkan generasi muda yang menyanjung tinggi negara kita.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam memupuk semangat cinta akan negara.

3. Badan-badan sukarela memainkan peranan penting dalam masyarakat.
Berikan pendapat anda tentang peranan badan-badan sukarela dan usaha-usaha untuk menggalakkan rakyat Malaysia melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelaan.

4. Kemelesetan ekonomi dunia menjejaskan kehidupan rakyat di kebanyakan negara.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan oleh negara-negara di dunia untuk menangani masalah kemelesetan ekonomi dunia.

5. Anda ingin menyertai pertandingan menulis cerpen sempena Bulan Bahasa peringkat Kebangsaan anjuran Persatuan Bahasa Dan Kesusteraan Melayu sekolah anda . Tema cerpen yang ditetapkan ialah pengorbanan.
Tulis cerpen anda itu selengkapnya.

(Sumber: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak)

Saturday, September 19, 2009

JUSA I BM (KERTAS 2) SPM PERAK 2009

Soalan 1: Rumusan
[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang mempengaruhi pengguna mendapatkan ubat di farmasi dan cara-cara memulihkan keyakinan pengguna terhadap ubatan hospital. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Belakangan ini produk herba, tonik dan makanan tambahan dijual secara meluas dan merupakan satu perkembangan positif daripada sudut penjagaan kesihatan. Penjualan produk ini, membentuk persaingan sengit yang memaksa penggunaannya bagi tujuan promosi semata-mata sedangkan aspek yang lebih penting seperti fakta saintifik, kesan sampingan, keracunan dan bahaya ubat, langsung tidak disentuh.

Pembukaan lebih banyak farmasi merupakan fenomena biasa kini. Pada masa yang sama, ada juga usaha untuk mengelirukan pengguna sehinggakan ada yang tidak dapat membezakan antara herba, tonik dan makanan tambahan berbanding ubat sama ada tradisional atau moden. Lebih teruk lagi, ada farmasi yang berubah menjadi klinik dan ada klinik yang kelihatan macam farmasi. Walaupun harga ubat di negara ini rata-rata agak mahal tetapi hal ini tidak menghalang produk tersebut laris dan popular.

Produk herba, tonik dan makanan tambahan dijual di hampir semua jenis farmasi dan premis perniagaan ubat. Pengeluar produk ini telah mempromosikan dan mengiklankan sewenang-wenangnya sebagai ‘ubat mujarab’ tanpa sedikit pun menyertakan hasil kajian atau bukti kukuh. Ada pengguna yang terpengaruh hingga sanggup mengetepikan pengambilan ubat hospital cuma kerana penyakit yang dihidapinya turut tersenarai sebagai satu penyakit yang dapat disembuhkan oleh ubat tadi. Sebenarnya, pengguna sukar membuat satu keputusan tepat kerana tertekan dengan penyakit yang dihidapi. Ubat yang tidak tepat dari segi penggunaan dan rawatan bukan sahaja sia-sia malah mendedahkan diri sendiri kepada keracunan dan kesan sampingan. Justeru, tabiat penggunaan ubat yang tidak betul dalam kalangan pengguna perlu dipandang serius dan diperbetul secara agresif tetapi sistematik sebelum keadaan ini di luar kawalan.

Pengguna beranggapan membeli ubat di farmasi lebih menjimatkan masa dan tenaga. Hakikatnya tidak ramai yang menyedari bahawa ada ubat yang boleh dibeli dan dimakan begitu sahaja dan ada pula ubat yang dikawal di bawah akta tertentu yang mempunyai prosedur yang berlainan. Dalam begitu banyak jenis rawatan yang ada, garis panduan yang mudah diikuti mungkin dapat membantu individu membuat keputusan dan pemilihan rawatan yang lebih baik. Prosedur seperti konsultasi yang terdapat di hospital dan dianggap remeh bagi sesetengah orang tidak terdapat di farmasi. Tambahan pula, pekerja di farmasi sentiasa mengamalkan konsep mesra pelanggan. Atas sebab kebiasaan, mereka lebih senang membeli ubat terus dari farmasi atau kedai ubat dan bukan mendapatkan preskripsinya terlebih dahulu. Tabiat sebegini boleh menyebabkan ketagihan dan mengancam nyawa.

Oleh itu, perbuatan merawat diri sendiri dengan mengambil ubat tanpa mengikut peraturan dan nasihat perubatan semestinya berisiko besar. Orang ramai perlu disedarkan dan dibimbing ke arah penggunaan ubat yang lebih berhemah.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Rakyat Wajar Dididik Ambil Ubat Secara Bijak oleh Hazimy Hassan, Lidah Pengarang, Berita Harian, 3 Ogos 2006)

Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata diperbetul secara agresif.
[2 markah]

(ii) Nyatakan tiga perkara yang akan berlaku sekiranya masyarakat terus mendapatkan ubat dari farmasi.
[3 markah]

(iii) Kemukakan empat punca harga ubat-ubatan di negara ini begitu mahal mengikut pendapat anda.
[4 markah]

(Sumber: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak)

SAJAK XXV - Ikan-ikan Kehidupan

IKAN-IKAN KEHIDUPAN

Sememangnya kata-kata pujangga benar
Diberi jangan ikan-ikan
Melainkan joran
Agar anak-anak tidak keruan
Di lautan hidup yang dalam



Bagaimana mungkin gubuk hidup
Jika joran ada tanpa
Mata kail dan umpan
Bagaimana mungkin rumah hidup
Jika joran ada tanpa
Lautan dan ikan-ikan

Alangkah baiknya
Ada joran
Ada umpan
Ada lautan
Ada ikan-ikan
Berenang-renang di kolam
Kehidupan

Chai Loon Guan
(MINGGUAN MALAYSIA – 15 MEI 2005)


Makna Kosa Kata:
1. pujangga - pengarang sajak yang agung/tinggi mutunya, ahli fikir, ahli sastera
2. keruan - ketahuan, tentu
3. gubuk - dangau, rumah kecil (di sawah dll).

Gaya Bahasa:
a. Metafora:
1. lautan hidup
2. gubuk hidup
3. rumah hidup
4. kolam kehidupan

b. Inversi:
1. diberi jangan ikan-ikan melainkan joran

c. Anafora:
ada joran
ada umpan
ada lautan
ada ikan-ikan

(Sumber: Kamus Dewan DBP)

Wednesday, September 16, 2009

JUSA 2 BM KERTAS 2 PMR PERAK 2009

Bahagian A (i) - Ringkasan
[20 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti . Berdasarkan petikan tersebut , tulis sebuah ringkasan tentang keistimewaan bunga raya. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Bunga raya memang sejenis bunga yang amat kita kenali dan jarang-jarang ada di setiap rumah. Bunga raya atau nama saintifiknya hibiscus rosa-sinensis telah dipilih sebagai bunga kebangsaan oleh Kementerian Pertanian selepas kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Bunga raya ialah sejenis tumbuhan berbunga yang sering ditanam sebagai pokok hiasan. Tumbuhan berbunga mula muncul pada zaman crecaceous. Pokok berbunga yang pertama ialah angiosperm. Pokok bunga raya ini ialah pokok renek yang berasal dari Asia Barat. Pokok ini juga dikenali sebagai mawar cina dan bunga kasut. Bunga raya ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras tetapi tidak berbau. Bunga ini juga mempunyai pelbagai warna iaitu putih, kuning, kuning bata, merah jambu dan merah hati, jingga dan `hybrid`.

Bunga raya biasanya ditanam menggunakan teknik keratan dahannya, tut ataupun cantuman. Tekstur bunga ini sederhana kasar dan mempunyai ketinggian dua hingga tiga meter. Kedudukan bunga ini apabila berbunga ialah di bahagian hujung rantingnya. Secara amnya bunga raya tahan lasak dan tidak mudah diserang serangga dan penyakit.

Selain hiasan, bunga raya mempunyai fungsi lain. Di beberapa tempat, bunga raya dijadikan sebagai pengilat kasut. Bunga ini juga mempunyai nilai kesihatan dan kecantikan. Jika rambut yang tumbuh tidak cantik, tidak bermaya dan tidak bersinar, bunga raya mampu membuatkan rambut seseorang berseri-seri dan sihat. Bagi mereka yang menghidap demam panas, bunga raya mampu menghilangkan panas badan. Bunga raya juga mengandungi antioksidan yang membantu mengawal tahap kolesterol dalam badan. Kajian telah dilakukan terhadap haiwan menunjukkan ekstrak bunga raya boleh mengurangkan kolesterol pada haiwan dan manusia.

Oleh itu sebagai kesimpulannya, bunga raya harus menjadi bunga utama yang patut dijadikan hiasan taman di negara kita memandangkan kedudukannya sebagai bunga kebangsaan negara .

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada`Bunga Raya Bunga Kebangsaan Negara`, Fokus, Oktober 2008)

Cadangan Isi-isi Penting Ringkasan:
1. Bunga raya dijadikan sebagai hiasan utama di kawasan tropika dan separa tropika.
2. Bunga raya sebagai bunga kebangsaan.
3. Bunga raya sebagai pengilat kasut.
4. Bunga raya sebagai ubat menyejukkan badan.
5. Ekstrak bunga raya dapat mengurangkan kolesterol dalam badan haiwan dan manusia.
6. Bunga raya sebagai ubat penyeri dan penyegar rambut.

Bahagian A (ii) : Pemahaman
[ 10 Markah ]

1. Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata mampu menghilangkan dalam petikan di atas?
[2 markah]
Rangkai kata mampu menghilangkan dalam petikan bermaksud:
a. dapat melenyapkan
b. boleh menghindarkan
c. mampu mengurangkan

2. Bagaimanakah ciri-ciri fizikal pokok bunga raya ?
[4 markah]

Ciri-ciri fizikal pokok bunga raya:
a. pokoknya tinggi dan tahan
b. tidak mudah diserang penyakit

3. Memandangkan bunga raya banyak kegunaannya, pada pendapat anda bagaimanakah cara untuk menggalakkan orang ramai menanam pokok bunga raya?
[4 markah]

Cara untuk menggalakkan orang ramai menanam pokok bunga raya:
a. pokok bunga raya dijadikan bahan komersial.
b. mengajar cara menanam dengan betul.
c. memberikan benih percuma.
d. kempen galakan satu rumah satu pokok bunga raya.

(Sumber: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak)

Bahagian C - Karangan Aneka Pilihan
[ 40 markah ]

Tulis satu daripada soalan di bawah. Tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 180 patah perkataan.
“Program Bulan Kemerdekaan”
Anjuran : Persatuan Sejarah SMK Sri Gading.
Tarikh : 16 Ogos hingga 16 September 2009

1. Sebagai setiausaha persatuan tersebut, anda diminta menyediakan laporan program yang telah dijalankan.

Sediakan laporan tersebut selengkapnya.

2. Minat anak-anak dalam bidang sains teknologi boleh dipupuk dari rumah.
Berikan pendapat anda.

Sains dan teknologi merupakan bidang yang amat penting kepada sesebuah negara sama ada yang sedang pesat membangun ataupun yang sudah mencapai negara maju. Di Malaysia, kajian daripada golongan cendekia mendapati bahawa anak-anak terutama dari kawasan pedalaman amat kurang berminat dalam bidang tersebut berbanding dengan bidang-bidang yang lain. Terdapat beberapa langkah yang difikirkan wajar bagi memupuk minat anak-anak dalam bidang sains dan teknologi di rumah.

Pertama-tama, minat terhadap mata pelajaran sains dan teknologi seharusnya dipupuk sejak anak-anak di bangku sekolah lagi. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat diperlukan untuk memupuk minat anak-anak agar membaca buku-buku Sains di samping meluangkan masa bersama-sama anak-anak di rumah. Kisah-kisah pengembaraan dan penerokaan Sains yang menarik perlu diceritakan oleh ibu bapa kepada anak-anak dari semasa ke semasa.

Selain bercerita, ibu bapa haruslah menggunakan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membeli buku-buku yang berkaitan dengan ilmu sains dan teknologi. Kunjungan seisi keluarga ke kedai atau toko buku dapat juga memberikan dorongan dan perangsang kepada anak-anak untuk mendalami ilmu Sains dan Teknologi selain memupuk budaya membaca dalam kalangan anak di rumah bak kata pepatah membaca jambatan ilmu.

Selain itu, minat anak-anak kepada bidang ini dapat dipupuk melalui lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang menarik seperti Pusat Sains Negara, Planetarium dan Pusat Asasi Sains di institusi pengajian tinggi tempatan. Di sana, pelajar dapat melihat pelbagai prasaran yang berteknologi moden secara langsung di samping berkeupayaan untuk menambahkan ilmu pengetahuan mereka tentang bidang ini.

Seterusnya, ilmu sains dan teknologi ini dapat ditimba melalui pelbagai media pencarian seperti media cetak dan elektronik. Dengan berbuat demikian, ilmu ini dapat diperoleh dengan mudah tanpa halangan apatah lagi golongan pelajar pada hari ini lebih gemar menggunakan teknologi moden seperti ICT, komputer dan Internet untuk menambahluaskan ilmu mereka.

Akhirulkalam, galakan dan perangsang yang berkesinambungan daripada ibu bapa dapat menyemarakkan minat anak-anak dalam bidang sains dan teknologi. Moga-moga hasrat kita untuk melihat lebih banyak generasi muda Malaysia berjaya dalam bidang sains dan teknologi pada masa-masa yang akan datang dapat direalisasikan sejajar dengan matlamat Wawasan 2020.

Nukilan pena:
Rahimi, Fitryie, Viven, Saiful dan Fikhri, Tingkatan 3 Kuning,

SMK Methodist, Tg. Malim.

3. Anda akan menyertai pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah ‘Industri Pelancongan Penting untuk Memajukan Negara’.
Sediakan teks syarahan tersebut selengkapnya.

4. Keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berpunca daripada amalan kerjasama dan perpaduan.
Bincangkan
pernyataan ini.

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk. Penduduknya terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan beratus-ratus suku kaum etnik yang lain. Setiap bangsa mempunyai keturunan, budaya, kepercayaan, dan agama yang tersendiri. Sebagai masyarakat yang berbilang kaum, amalan kerjasama dan perpaduan merupakan unsur yang paling penting untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, kaum-kaum yang bertutur dalam bahasa yang berbeza-beza berkemungkinan besar akan menimbulkan masalah komunikasi yang amat ketara lebih-lebih lagi dalam konteks mewujudkan perpaduan dan integrasi kaum. Oleh itu, kerjasama daripada semua rakyat amat diperlukan untuk belajar bertutur dalam bahasa Melayu kerana bahasa tersebut adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia. Keharmonian masyarakat berbilang kaum juga dapat diperkukuh dan dipelihara seandainya rakyat jelata dapat menjauhkan diri daripada bala perselisihan faham dan semangat perkauman.

Dalam konteks negara bangsa, setiap kaum di negara kita perlu peka dan prihatin akan kebudayaan kaum-kaum yang lain. Usaha sedemikian akan menimbulkan semangat silaturahim dan perasaan hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat. Amalan kunjung-mengunjungi pada musim-musim perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Deepavali, dan Krismas dapat mengeratkan hubungan dan silaturahim antara masyarakat berbilang ras dan agama. Dengan ini, keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyat majmuk Malaysia akan lebih terjamin sejajar dengan matlamat murni Gagasan Satu Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Sikap yang baik dan bermoral seperti nilai toleransi dan keprihatinan amat perlu disemaikan dalam jiwa raga setiap masyarakat di dalam negara yang tercinta ini. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita haruslah selalu bertimbang rasa, bertanggungjawab dan menjalinkan hubungan muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk untuk mengurangkan perselisihan faham dan persengketaan yang memudaratkan bangsa dan negara. Misalnya, sebagai jiran tetangga yang prihatin, adalah amat wajar sekali sekiranya kita turut dapat menghulurkan bantuan atau bekerjasama menjayakan program Rukun Tetangga dan gotong-royong di taman kediaman kita.

Sebenarnya konsep penerimaan, keadilan, permuafakatan dan kebersamaan yang sedia wujud dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia haruslah terus dipersubur di buana kehidupan agar lahir negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang di persada antarabangsa bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

Kesimpulannya, kita haruslah bersyukur kerana dapat hidup harmoni dan sejahtera di dalam sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera. Justeru, sebagai warga nusa bangsa yang tercinta, kita haruslah senantiasa berusaha memperkukuh kerjasama dan perpaduan antara kaum dalam erti kata yang sebenar sekali gus menjayakan visi dan misi dalam Gagasan Satu Malaysia.
Disediakan oleh,
Chew Mei Shien, Qurrainis, Mohd. Adziim, Ain Noor Alia, Wong Ming Jie, Tingkatan 3 Muzik, SMK Methodist, Tg. Malim.


5. Peribahasa ‘Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’ membawa maksud kita hendaklah berusaha untuk mendapatkan sesuatu keuntungan atau kejayaan.

Berdasarkan peribahasa ini, tulis sebuah cerita yang berkaitan dengan maksud peribahasa ini.
SITI

Siti anak tunggal dalam keluarganya. Ayahnya telah meninggal dunia dua tahun yang lalu. Semenjak itu, ibu Siti, Mak Yam terpaksa membuat kuih-muih untuk dijual di pasar bagi menanggung seisi keluarga. Hal ini menyebabkan kesihatan Mak Yam kian terjejas. Mak Yam sering jatuh sakit. Siti selalu membantu ibunya menjual kuih-muih sementara ibunya beristirahat di rumah kerana kurang sihat.

Oleh sebab Siti terpaksa membantu ibunya, dia selalu datang lewat ke sekolah. Kalau ibunya sakit, dia mangkir ke sekolah kerana hendak menjaga ibunya. Dia sudah memberitahu Pengetua sekolahnya tentang masalah peribadinya itu. Pengetua amat bertimbang rasa dan bersimpati akan nasib Siti. Namun begitu beliau turut menasihati Siti supaya tidak mengabaikan pelajarannya, lebih-lebih lagi dia akan menghadapi peperiksaan SPM pada akhir tahun nanti.

Siti memang sedar bahawa dia ketinggalan dalam pelajarannya. Dia bertekad untuk berusaha dengan lebih gigih lagi. Dia rajin menelaah pelajaran pada setiap petang selama tiga jam. Selain itu, dia juga berjumpa dengan rakan-rakan sekelasnya, Ratna dan Mei Ling untuk berbincang tentang mata pelajaran yang belum dipelajarinya seperti Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan mata-mata pelajaran yang lain. Jika Siti menghadapi masalah terhadap sesuatu mata pelajaran, dia akan bertanya kepada guru mata pelajaran tersebut selepas waktu sekolah.

Berkat daya usaha Siti yang bersungguh-sungguh itu, dia telah mendapat keputusan yang amat cemerlang dalam peperiksaan SPM di sekolahnya. Siti berjaya memperoleh keputusan 12 A1 dalam SPM. Guru-guru, rakan-rakan dan ibu Siti amat bersyukur dan mengucapkan tahniah atas kejayaannya itu. Bagi Siti pula, dia telah membuktikan kepada guru-guru, rakan-rakan serta ibunya bahawa “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Yang pasti usaha gigihnya itu akan berkesinambungan apabila Siti menjejakkan kakinya di menara gading kelak.

Hasil usaha:
M.THANARUBINI , NUR FEZLINA , P. DEENUSHA , M. RENUSHA, CHEW BEE SHIN dan EASTER (Kumpulan 5) Tingkatan 3 Kuning, SMK Methodist, Tg. Malim.

(Sumber: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak)

Sunday, September 13, 2009

SINTAKSIS BM SPM 2009

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap frasa di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan frasa itu sebagai peribahasa dan nama khas.
(i) Kadar kematian
(ii) Wabak selesema
(iii) Gaya hidup sihat
(iv) Suhu badan
(v) Badan korporat
(vi) Premis perniagaan
Jawaban:
(i) Kadar kematian akibat daripada penyakit Influenza H1N1 semakin meningkat.
(ii) Kerajaan akan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk mengelakkan wabak selesema tersebut merebak.
(iii) Rakyat disarankan oleh kerajaan supaya mengamalkan gaya hidup sihat untuk meningkatkan tahap kesihatan diri.
(iv) Pihak sekolah dikehendaki memeriksa suhu badan pelajar pada setiap pagi sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula.
(v) Kerajaan menyeru semua badan korporat supaya menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk membantu golongan miskin di Negara kita.
(vi) Setiap premis perniagaan akan diperiksa bagi memastikan mereka sentiasa menjaga kebersihan.

(Sumber: agy7500.blogspot.com)

Saturday, September 12, 2009

KARANGAN BM SPM 2009

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis.Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.
[ 100 markah ]

Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa “tak basah dek hujan, tak lekang dek panas”. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi.

Yang berlaku sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya “punk” dan “gortik” umpamanya menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa.

Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional? Golongan yang muda masih bermain permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya kecuali berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Bak kata peribahasa, “tak kenal maka tak cinta”. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi.

Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan banyak memperoleh pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu menikmati hidangan.

Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.Warisan rakyat Malaysia memang luas.

Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana. Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarkan memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya. Remaja seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia? Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaann makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya” juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang murni?

Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

(Sumber: Cikgu Tan CL )

FESTIVAL SASTERA

Festival Sastera Meriah
oleh Nazel Hashim Mohamad

FESTIVAL Sastera Perpaduan Malaysia 2002 diadakan di Perlis baru-baru ini dengan aktiviti seperti simposium, deklamasi puisi dan bicara tokoh. Dalam 'bicara tokoh,' tokoh penting yang dibicarakan ialah Awang Batil. Menurut Rejab FI, Awang Batil sebagai tukang karang cerita pernah popular di kalangan masyarakat Melayu di Perlis,Pulau Pinang, Kedah dan Selatan Thailand.

Sementara dalam 'Wacana Pemikiran Patriotisme' pembicaranya: Datuk Borhan Md Yaman (Melaka), Saiyed Ahmad Abdullah (Pahang) dan Datuk Mahmud Hashim (Perlis) bercerita mengenai pengalaman mereka yang berkisar dari dekad awal abad ke-20, sehingga ke zaman awal Merdeka. Masing-masing mengisahkan pengalaman waktu bersekolah, keterlibatan dalam dunia pendidikan, mengambil bahagian dalam arus kebangkitan politik, mencurah bakti alam dunia penulisan yang semuanya mempunyai maksud, yakni demi berjuang menentang penjajahan dan cuba mengisi kemerdekaan yang dicapai.

Slot 'Simposium Penulis Pelbagai Kaum IV' pula didahului dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Jawatan Kuasanya Dr Othman Puteh, berkenaan dengan usaha membina dan memartabatkan penulisan di kalangan penggiat sastera berbahasa Melayu. Beliau menyentuh aspek sejarah, mutu dan impaknya sehingga kini berdiri satu kumpulan penulis bukan Melayu yang agak menonjol, sekurang-kurangnya dalam genre cerpen dan puisi.

Pada Ucap Utama Sesi 1, Dr Anwar Ridhuan (Dewan Bahasa dan Pustaka), menyentuh mauduk 'Perpaduan Dalam Sastera dan Sastera Perpaduan.' Antara perkara penting yang beliau ketengahkan adalah dua asas perpaduan iaitu bahasa dan pendidikan, dengan mengaitkan betapa kita perlu mengetahui sejarah mutakhir khususnya 'Tragedi 13 Mei 1969' yang amat rapat dengan sikap, pemikiran, toleransi, politik, ekonomi, dan apa saja yang ada hubungkait dengan rakyat Malaysia.

Dalam Perbincangan Karya Penulis Setempat, Asmiaty Amat membahaskan 'Hubungan Kaum (Suku Kaum)' dalam Novel Penulis Sabah. Beliau cuba memperkenalkan beberapa penulis Sabah yang mewakili kaum masing-masing, di samping judul novel pilihan mereka. Mengikut Asmiaty, hubungan kaum dari aspek percintaan dan perkahwinan yang banyak diketemukan di dalam novel yang dikaji itu.

Bicara disusuli oleh Jiso Rutin (DBP Cawangan Sarawak) dengan kertas berjudul Penulis Bukan Melayu dalam Perkembangan Penulis di Sarawak. Seperti keadaannya di Sabah, Jiso Rutin juga memperkenalkan kepelbagaian etnisiti di negerinya, dan perkembangan penulis dalam dunia pengkreatifan, di samping menyentuh penulis dari suku kaum yang banyak menghasilkan karya seperti kaum Cina (Jong Chian Lai, William Chan Khun Neng).

Mohamad Saleeh Rahamad pula mengkaji 'Cereka Penulis Bukan Melayu' di Semenanjung; Restropektif Selepas Tiga Dekad.' Kertas ini cukup menarik kerana sifatnya yang komprehensif dan rujukan yang diberikan pula begitu terperinci. Beliau menyerlahkan keterlibatan penulis bukan Melayu sehubungan susur galur historikalnya yang bermula sejak termaktubnya gagasan Kesusasteraan Kebangsaan 1971. Selain iu disentuh juga genre novel, dengan tekanan kepada rentak yang sumbang irama. Pengarang dan hasilnya yang representatif dipaparkan. Dalam genre cerpen ditekankan kepada sifat kesetaraan dan ketaraannya. Selain penulis daripada kaum Cina, India, dan Siam, Mohamad Saleeh mengetengahkan cerpenis daripada kaum Orang Asli suku kaum Semai, iaitu Mahat anak Cina atau nama samarannya Akiya.

Pembicara berikutnya Teo Huat pula membentangkan kertas 'Langit Sama Biru: Perbandingan Sajak Kanak-Kanak Mahua dengan Sajak Kanak-Kanak Kebangsaan.' Beliau berpendapat memang ada tema patriotisme dalam sajak tulisan kaum Cina di Malaysia, seperti dalam sajak Bendera Malaysia (Cao Feng) yang dibandingkan dengan sajak yang dihasilkan oleh penulis Melayu Bendera Negara (Firdaus Abdullah).

Dalam sesi 'Membicarakan Karya Sastera Pengarang Pelbagai Kaum Awal Abad 21, bagi genre cerpen, novel, puisi dan drama', Dr Othman Puteh memulakannya dengan kertas berjudul 'Cerpen Pada Awal Abad 21: Penglibatan Pengarang Pelbagai Kaum.' Othman membuka minda hadirin dengan pengenalannya mengenai suasana pencerpenan di Malaysia yang dikatakan bermula pada pertengahan abad ke-20. Pada tahun 1970-an timbul nama baru seperti On Ah Guan @ Ghazali MA dengan Sementara Menanti (Heinemann, 1981), Siow Siew Sing dengan Antara dua Persimpangan (EUP 1982), Lai Choy (Migrasi ke Selatan, DBP, 1997).

Dalam membicarakan 'Novel Pengarang Pelbagai Kaum Awal Abad 21' ini juga, Hamzah Hamdani (DBP Cawangan Sarawak) berkata, dalam tempoh tiga tahun pada abad ini cuma terdapat 44 buah novel saja diterbitkan. Hamzah tidak dapat menyerlahkan novelis bukan Melayu awal abad ini kerana memang tidak ada. Ini kerana katanya, untuk menghasilkan novel bermutu seseorang itu harus membudaya fikiran dan cara hidupnya dalam budaya Melayu itu. Inilah yang didapati amat kurang pada penulis bukan Melayu, persis mereka sukar malah gagal untuk menulisnya seperti penulis Melayu.

Lim Swee Tin pula membawa tajuk 'Menelusuri Sumbangan Penyair Bukan Melayu di Pesisiran Alaf ke-21: Satu Sorotan Awal.' Beliau menggolongkan penulis kepada tiga golongan: (1) yang sudah mula berkarya sejak 70-an, antaranya seperti Lim Swee Tin, Cheng Po Hock; (2) yang terkemudian sedikit, seperti Awang Abdullah (Pui Tiong Gee), Lee Cheong Beng (Muhd. Azli Lee), Chai Loon Guan; dan (3) pendatang baru seperti Poul Nanggang, Dony Marujil, Raja Rajeshwari. Mereka ini pula, katanya, telah menyumbang menerusi media akhbar/majalah, terbitan karya dalam bentuk kumpulan puisi, dan penyertaan dalam sayembara penulisan.

Ramlee Awang Murshid dengan kertas kerjanya 'Proses Kreatif Penulisan Novel (Thriller) menggambarkan bagaimana hendak mencetus sesuatu idea, sebelum menyusunnya menjadi sebuah thriller. Malah dikemukakan juga `konsep thriller' itu dengan panjang lebar. Di Malaysia katanya amat kurang novel thriller yang dihasilkan.

Dalam proses Kreatif II, Zaen Kasturi membawakan judul 'Dari Denai Tradisi yang Murni ke Lebuh raya Moden yang Galau. Zaen menarik minat peserta dengan pengalaman unik merangkumi semua fitrah kehidupan untuk meluahkannya dalam bentuk kreatif: puisi dan cerpen. Beliau juga mendedahkan betapa dia cuba memperkaya istilah dalam bahasa Melayu dengan membentuknya sendiri (tidak terdapat dalam mana-mana kamus teks bahasa Melayu) dengan gambaran yang meyakinkan pembaca.

Sementara pembentang berikutnya, Mohd Ramli Raman (UM), pemuisi sedang menonjol, turut menerjahkan isi hatinya dalam 'Pengalaman Berkarya: Satu Catatan Panjang Diri dalam Puisi.' Keterperincian pengisahan keterlibatannya dalam dunia pemuisian, amat menarik. Dalam 'Proses Kreatif: Pengalaman Menukangi Puisi dari Simbahan Warna Kehidupan,' Awang Abdullah (Pui Tiong Gee) pula menceritakan dengan agak terperinci kemajuannya berpuisi - sejak zaman persekolahan dan di maktab perguruan.

Selanjutnya, Tung Wai Chee (USM) pula membicarakan proses 'Kreatif II: Proses Kreatif Penulisan Cerpen.' Berbeza daripada ketiga-tiga pembentang di atas, Tung Wai Chee lebih menjurus ke aspek penyediaan kepada menghasilkan karya. Maka itu beliau menggariskan beberapa panduan, seperti bagaimana untuk mendapatkan idea dan mengaplikasinya. Komponen terakhir simposium ialah forum berjudul 'Peranan Penulis Pelbagai Kaum: Ke Arah Pemantapan Kebudayaan Nasional.' Anggota panelnya terdiri daripada Siri Ning Buah (Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia), Prof Lim Cheng Seng (UM), Dr Krishanan Maniam (Gapetam) dan Zaini Oje (DBP). Forum menggagaskan, antaranya betapa kesusasteraan asing harus dipelajari dan juga dihayati untuk dijadikan elemen pembantu dalam menghasilkan karya yang bertemakan tempatan.

Suatu lagi acara dalam festival ini ialah acara budaya yang diadakan pada sebelah petang di Perkampungan Budaya Bintong bertempat di kawasan Sekolah Kebangsaan Padang Kota, tidak jauh di luar Kangar. Di sini dilangsungkan Majlis Persembahan Genre Sastera Perpaduan Kaum dan Kesenian Tradisional Perlis. Majlis diserikan dengan dendangan lagu asli dan canggung. Sebanyak enam kesenian tempatan dipersembahkan: Awang Batil, Beduan, Hadrah, Gendang Terinai, Alu Bunyi dan Canggung.

Untuk memeriahkan lagi majlis, diadakan juga bacaan puisi membabitkan Nordin Zainal (Norza), Bibi Baharom, Raja Rajeswari dan Nina Pogadev dari Russia. Majlis menjadi semakin meriah apabila Aripin Said pakar lagu tradisi Pahang mendendangkan lagu rakyat berjudul Burung Kenek-Kenek dan Angin.

(Sumber: Berita Minggu, 10 November 2002)

Friday, September 11, 2009

BIODATA PENULIS - Chai Loon Guan



















CHAI LOON GUAN

Chai Loon Guan atau nama penanya Adichonan dilahirkan pada 9 Februari 1960 di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Methodist, 35900 Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan pada tahun 1967 - 1972 dan sekolah menengah di SMJK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan pada tahun 1973 – 1977.

Sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada tahun 1980 – 81, beliau pernah menjadi guru sementara di SMJK Katholik (Persendirian), 35900 Tg.Malim. Selepas tamat pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), beliau telah ditugaskan mengajar di SM Dato Bendahara CM Yusuf, Tg. Tualang, Perak Darul Ridzuan (1982 – 1988), SMK Sungkai, 35600 Sungkai (1989 – 1992) dan SMK Methodist, 35900 Tg.Malim (1993 – 1994) sebelum mendalami ilmu dalam bidang bacaan dan penulisan (Bapen – Kursus Perguruan Khas) di Institut Bahasa, Kuala Lumpur (1991) dan Rancangan Bahasa Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1994 – 1998).

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Chai Loon Guan telah ditempatkan mengajar di SMK Slim, 35800 Slim River (1998 - 1999) sebelum kembali berkhidmat di sekolah lamanya, SMK Methodist, Tg.Malim (alma mater) mulai 2000 hingga kini. Bagaikan sirih pulang ke gagang, ikan pulang ke lubuknya, pinang pulang ke tampuk, kini beliau kembali aktif berkarya dalam pelbagai genre penulisan bahasa Melayu. Antara karya beliau ialah sajak, cerpen dan rencana bahasa dan sastera dalam Jendela Utara DBP Wilayah Utara, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.

Sebenarnya, dunia penulisan Chai Loon Guan bermula sejak Tingkatan 3 (1975) apabila beliau secara konsisten mengasah pena dan menyumbangkan pendapat ke ruangan Forum Pelajar dan Cerpen Sains – Utusan Pelajar terbitan Utusan Melayu Sdn.Bhd. selain mencuba nasib berkarya dalam genre sajak dan cerpen di akhbar-akhbar tabloid seperti Watan, Bacaria, Buletin, Mingguan Wanita, dan Warta Perdana.

Daripada akhbar-akhbar tabloid, Chai Loon Guan mula mencuba nasib dalam surat-surat khabar dan majalah arus perdana tanah air seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa dan Dewan Bahasa sehinggalah beliau berjaya menggondol beberapa anugerah di peringkat negeri dan nasional seperti Hadiah Puisi MAYC Perak (1980). Hadiah Sajak Hari Guru Perak (1983 – 1990), Hadiah Sastera Utusan – Public Bank (1988, 1989, 1993 & 1995), Hadiah Sastera DBP – Maybank (1992 dan 1993) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-19 - 2008/2009 (Kategori Eceran Cerpen) pada 30 November 2010.

Sebagai Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan DBP, beliau pernah diberi kepercayaan untuk menjadi fasilitator sastera (genre sajak) dalam majlis-majlis kebahasaan dan kesusasteraan sama ada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Antara lain, fasilitator Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Resort Pangkor Holiday, Pangkor (2003), hakim Sayembara Puisi dan Lagu Negeri Perak Darul Ridzuan (2006 - 2010), fasilitator Perkampungan Bahasa Melayu Sekolah-sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Resort Kolam Air Panas, Pengkalan Hulu (2007), editor Buku Laporan Tahunan Jabatan Pelajaran Perak 2008, Jurulatih Utama Pasukan Ujian Bertulis Bahasa Melayu SJK(C) – SJK(T) Negeri Perak ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan 2008 - 2010, pembimbing Seminar Pengajaran Bahasa Melayu Guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Negeri Perak 2008 di Hotel Grand Crystal, Alor Setar, Kedah Darul Aman, Pembina Modul Teks Syarahan PSUB 2009 di Hotel Lead View, Manjung, Penceramah Bengkel Penulisan Puisi dan Lagu untuk Guru-guru Negeri Perak 2009 di Resort Purnama Beach, Pangkor, Jurulatih Utama Pemilihan Calon Tokoh Nilam Perak ke Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2009/2010 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak, Ipoh pada 3 - 5 Mac 2010, dan dilantik oleh DBP Wilayah Utara sebagai moderator Pertemuan Karyawan Perak 2010 di Bandar Country Homes, Rawang pada 20 Mac 2010, ahli panel Persidangan Meja Bulat bagi membincangkan isu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan isu memartabatkan mata pelajaran Bahasa Melayu anjuran KPPK di Hotel Vistana, Kuala Lumpur pada 25 - 26 Februari 2011, ahli panel membicarakan novel Interlok di Auditorium Seni Budaya Ipoh pada 3 Mac 2011 dan Wacana Bahasa Melayu bersama dengan SN Dr. Muhammad Hj. Salleh di Majlis Perbandaran Taiping pada 22 April 2011.

Beliau juga pernah menghakimi Pertandingan Forum Remaja Daerah Batang Padang, Pertandingan Puisidra Sains Negeri Perak (2004 – 2006, 2011), Sayembara Deklamasi Sajak Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, hakim pertandingan syarahan BM PSUB Negeri Perak (2008 - 2011), dan Pertandingan Anugerah Tokoh Nilam Perak 2009/2010. Selain itu, beliau juga pernah aktif dalam kegiatan persatuan penulis yang tersohor di Perak, iaitu Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan diberi peluang untuk menyertai Festival Sastera Perpaduan - Kemerdekaan III (Gapena) di Hotel Promanande, Kota Kinabalu (2003) dan Festival Sastera Perpaduan – Kemerdekaan IV (Gapena) di Hotel Syuen, Ipoh (2004). Beliau juga salah seorang deklamator sajak sempena Malam Puisi Pasir Salak bersama dengan mantan Menteri Besar Perak, YAB Tan Sri Ramli Ngah Talib, Malam Puisi Menara Condong Teluk Intan, Temu Puisi III – Matic, Kuala Lumpur anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Pura Lingua Mekar Puisi IPSI 1995, Malam Puisi Damai II (Kosovo) – Merpati Putih, Lihatlah… 1999, Malam Seni Budaya Merdeka, Kampung Sawa, Slim River 1999, Pekan Seni Ipoh 1999, Perayaan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2000 di Ipoh bersama dengan Zurinah Hassan, Perayaan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2001 di Taiping bersama dengan Fauziah Nawi, Malam Gema Puisi bersama dengan SN Datuk Dr. A.Samad Said di Resort Safari Sg.Perak, Kuala Kangsar (2002) dan Kembara Sastera DBP-Institut Bahasa ( Zon Tengah ) bersama dengan Zainal Palit (Zean Kasturi) di SMK Buyong Adil, Tapah, Perak (2003), “Konserto Malam Gempita Puisi” anjuran STeP - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak - Jabatan Alam Sekitar Perak di Auditorium Budaya Perak (2005) bersama dengan Kumpulan Kopratasa dan Pyan Habib, deklamator sajak Malam Puisi Riong - UPSI pada 17 Mac 2010 dan terpilih untuk menghiasi ruangan sastera Karyawan Bulan Ini – Dewan Sastera 2007. Pada 6 Mac 2010, beliau diundang untuk mendeklamasikan sajak sempena Malam Gema Puisi UPSI / Seminar Antarabangsa Pemikiran Sasterawan - Suhaimi Hj. Muhammad dan Malim Ghozali PK di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim. Pada tahun 2011, beliau telah dilantik sebagai hakim Pertandingan Teater Solo Bahasa Melayu SRK © dan SRK (T) Negeri Perak,deklamator Sajak Festival Sastera (Puisi) dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor II pada 17 – 18 Disember 2011 di Puteri Beach Resort, Pasir Bogak, Pangkor dan Baca Puisi Malam Suara Kita Satu Malaysia di Auditorium Seni Budaya Perak pada 19 Disember 2011, Panelis Bulan Bahasa Kebangsaan - DBP Negeri Perlis dan Bulan Bahasa Kebangsaan - DBP Negeri Perak Darul Ridzuan 2011, Penggubal Modul P & P Tatabahasa Bahasa Melayu (Morfologi) Kelas Peralihan 2011/2012 dan Panel Penulis Buku “Jom ke Sekolah” Jabatan Pelajaran Negeri Perak 2011/2012.

Antara karya Chai Loon Guan yang telah diantologikan bersama adalah seperti Potret (1983), Jendela (1984), Lapar (1986), Kamar (1987), Pahlawan (1988), Rumah Pusaka (1989), Rahsia Hati (1990) terbitan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Surat Daripada Ana (1989), Mira Nabila (1989), Puyan Jelepek (1995), Sungai Kasih (1994) terbitan Utusan Melayu Publication, Di Dunia Permata (1993) terbitan Marwilis Publisher, Melodi Hidup (1989), Taman Bahasa Ibunda (1993), Di Pelabuhan Senja (1993), Menara V (1993), Menara VI (1995), & Antologi Sastera - Bacalah Dalam Bahasamu (2000) terbitan DBP, Temu Puisi III (1993) terbitan Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia, Pelangi Keakraban (1997) terbitan Penerbit Fajar Bakti, Pasir Salak – Bumi Pahlawan Melayu (1993), Rupa Kata (1996), Pasir Salak Sehamparan Sejarah Perjuangan (1997), Antologi Puisi & Sketsa KOSOVO (1999) terbitan Yayasan Perak & Yayasan Kesenian Perak, Sumpah Setia Bahasa (1999) terbitan Gapena – Rhythm Cons. Bhd., Permata Hati (1997) terbitan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Ridzuan I (1994), Menara Condong (1994), Danau Hati(2000), Suratan (2000), Khazanah Sastera Karyawan Pk (2002), Ratib 1000 Syair - Gapena (2005), Istana Kasih II (2007), Antologi Puisi Rao Nusantara (2009), Imbasan Sejarah - Satu Himpunan Kenangan (2010) dan Timoh - Tasik Kenangan (2010) terbitan Persatuan Karyawan Perak, antologi sajak perseorangan - Di Padang Kehidupan (2008) terbitan DBP dan antologi cerpen perseorangan - Di Perantauan Impian terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 2009. Karya sajak "ANAK" dalam antologi Di Padang Kehidupan (DBP, 2008) terpilih dan termuat sebagai lembar hias Takwim Bank Simpanan Nasional 2012, Antologi 1000 Sajak Merdeka (Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia/Karyawan Perak, 2013), Antologi "Nyala Api Dalam Dada" (ITBM - 2014) dan Antologi "Segugus Pasrah Buatmu, MH 370" (PENTAS - Yayasan Buku Negara - 2014).

Beliau telah dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2002), Munsyi Dewan DBP (2004), Anugerah Khas Hari Guru Daerah Batang Padang (2007), Guru Cemerlang Bahasa Melayu (2008), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2009) dan Anugerah Pingat Penghormatan Guru Negeri Perak (2013).

Thursday, September 10, 2009

PENDETA ZA'BA

ZA'BA

Za'ba atau Zainal Abidin b. Ahmad (16 September 1895 - 23 Oktober 1973) merupakan seorang ahli bahasa yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu. Beliau dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan. Beliau telah khatam Al-Quran ketika berusia tujuh tahun, menghafal Surah Yassin dan berzanji.

Za'ba mulai bersekolah ketika berusia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir. Tidak lama selepas itu, Za'ba bertukar ke Sekolah Melayu Linggi untuk pengajian Arab dan Islam lanjut. Pada 1915, Za'ba berjaya tamat (Senior Cambridge), menjadi pemuda Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang menamatkan tingkatan satu ke Senior Cambridge dalam tempoh enam tahun.

Za'ba mulai menulis dengan serius ketika berkhidmat sebagai guru sandaran di Johor Bahru pada tahun 1916. Rencana pertamanya berjudul "Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling" telah diterbitkan dua kali oleh Utusan Melayu. Kelebihan Za'ba adalah keupayaannya mengabung kesemua aspek dari bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan, dan politik dalam penulisannya.

Beliau turut tekun menulis mengenai kemunduran orang Melayu yang menjadikan kerajaan koloni British syak. Sungguhpun aktiviti penulisannya ditahan, dia kekal aktif. Ketika berkhidmat di Kolej Latihan Sultan Idris, Za'ba memusatkan usahanya menggabung tatabahasa Arab dan Inggeris ke dalam Bahasa Melayu dang menggunakan aturan tatabahasa tersebut dalam penerbitan buku teks sekolah dan bahan bacaan umum.

Perkahwinan pertamanya pada 1917 tidak kekal tetapi dia mempunyai anak perempuan yang dibesarkannya. Za'ba kemudiannya berkahwin dengan Fatimah Umar. Za'ba meneruskan kerjaya penulisannya dengan menulis semula penulisan rencana keugamaannya untuk diterbitkan sebagai buku. Usaha pertamanya, Umbi Kemajuan diterbitkan pada 1932.

Za'ba turut aktif dalam khidmat masyarakat. Ini termasuk menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya pada 1937, dan pada 1945 sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor. Pada tahun 1946, di kongres menentang pembentukan Malayan Union, dia dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO dan pada tahun yang sama dia menamatkan kerjaya politiknya selepas Piagam UMNO diterima dan diluluskan.

Pada tahun 1947, dia mula berkhidmat sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London. Di bersara daripada perkhidmatan kerajaan ketika berusia 55 tahun.
Khidmat Za'ba masih diperlukan dan pada tahun 1953 dia dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu (Malay Study Department (JPM)) di Universiti Malaya, Singapore. Bersama dengan Ungku Aziz, dia mengatur pembentukan pertubuhan bahasa pelajar dan dua tahun kemudian pembentukan Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya.

Za'ba memduduki peperiksaan akhir kursus luar Universiti London dan menerima Master of Arts Second Class (Lower) ketika berusia 59 tahun. Za'ba menerima gelaran Pendeta sacara rasmi, dalam bentuk songkok pada 1956 dalam Kongres Penulisan dan Bahasa Melayu Ketiga di Johor Bahru. Semua titik peluh yang Za'ba curahkan kedalam hasil kerjanya adalah kerana dia mahu meletakkan bahasa Malay diperdana tanpa meminta penghormatan. Malah dia pernah menolak bintang penghormatan Pingat Manku Negara - yang membawa gelaran Dato', dan juga Bintang Kebesaran Brunei. Bagaimanapun pada tahun 1962, dia akhirnya bersetuju menerima anugerah Pingat Manku Negara yang membawa gelaran Tan Sri.

Za'ba telah dianugerahi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan Bintang Panglima Mangku Negara (gelaran "Tan Sri"). Beliau juga mendapat Ijazah Doktor Kehormat Persuratan pada konvokesyen pertama Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973
Za'ba dianggap sebagai peneroka tatabahasa Melayu, yang kabur ketika itu. Dia menyumbang dengan lebih lanjut apabila dia diberikan tanggungjawab untuk merancang kurikulum sekolah, sebagai penterjemah, pensyarah dan semasa era Jepun diberikan tanggungjawab bagi menulis buku yang boleh digunakan di Malaya dan Sumatera.

Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad atau Za'ba meninggal pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78.
(Bibliografi: Wikipedia Bahasa Melayu)