Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, August 30, 2009

KARANGAN CONTOH BM SPM - PATRIOTISME

Soalan Contoh
Ada pendapat yang mengatakan bahawa semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan rakyat negara ini. Huraikan usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Karangan Contoh

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini demikian kerana, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “Kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberikan makna lagi kepada generasi yang akan datang. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri.

Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Sekiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

(Bibliografi / Sumber: Cikgu Mohd Khir Kassim)

Saturday, August 29, 2009

SAJAK XXIII - Di Padang Kehidupan

DI PADANG KEHIDUPAN

I
Di padang permainan
Saujana luas mata memandang itu
Ada sekelas anak-anak
Berlari-larian dengan gelungan rotan
Berkirim salam dengan suara riuh-rendah riang
Ceria di padang permainan
Tiada sangsi
Tiada dengki
Tiada sengketa
Tiada derita

II
Di padang kehidupan
Sketsa anak-anak itu
sering dilarikembarakan
oleh goresan-goresan
Warna duka
Warna luka
Warna noda
Warna dosa
Oleh generasi dewasa
Yang berkepentingan dan kecewa
Di medan percaturan kuasa

III
Cukuplah, usah biarkan kanvas putih itu
Dipalit rerona gejala
Sketsa anasir virus dan parasit
Yang bakal meranapmusnahkan
Rumah keceriaan
Rumah kebahagiaan
Rumah kemakmuran
Rumah keharmonian
Rumah perpaduan
Anak-anak bangsa MALAYSIA
Di bumi merdeka yang tercinta!

Chai Loon Guan
(DEWAN SASTERA – APRIL 2002)

Makna Kosa Kata:
1. saujana - luas, jarak yang jauh, sejauh mata memandang
2. sengketa - pertelingkahan, pergaduhan, perselisihan, pertikaian, pertentangan
3. goresan - yang sudah digores, tanda atau bekas digores
4. percaturan - tempat bermain catur, perihal bercatur, permainan (siasah) politik
5. parasit - tumbuhan / haiwan yang hidup pada tumbuhan / haiwan lain, benalu, pasilan, orang yang tidak berguna yang menumpang hidup pada orang lain
6. rona - warna, roman muka

(Bibliografi: Kamus Dewan DBP)

SAJAK XXII - Devadran

DEVADRAN

Kerana kemiskinan, Devadran
Anak lelaki kecil itu
Buta huruf dan angka
Pagi-pagi lagi, dia membasah keringat
Mencuci pinggan mangkuk hidup
Membersihkan sisa sampah makanan sebuah restoran
Siang dan malam
Baginya adalah serangkap teka-teki kehidupan
Yang perlu ditangani dengan seteguk air sesuap nasi
Agar pada setiap purnama
Ada wang ringgit dan dering sen sedikit
Buat adik-adik meneruskan pencarian di kamar ilmu

Devadran
Anak lelaki kecil itu
Semakin dewasa memikul tugas
Semakin sasa mencipta azam
Semakin setia membina iltizam
Di medan kehidupan!

Chai Loon Guan
(MASTIKA – MAC 1994)


Makna Kosa Kata:
1. keringat - peluh
2. seteguk - sebanyak yang ditelan sekali
3. purnama - bulan
4. sasa - kuat, tegap
5. iltizam - keterlibatan secara bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab dalam melakukan sesuatu, komitmen, penyataan berupa persetujuan yang menyebabkan seseorang terikat untuk melakukan sesuatu

(Bibliografi: Kamus Dewan DBP)

SAJAK XXI - Nasib

NASIB

Seorang tua
Menggenggam akrab
Jari-jemari cucu
Lalu diapun berkata:
Cucuku, usah kaugantungkan hidup
pada garis nasib di tangan halusmu
sebaliknya tangani akal mindamu
dengan segugus usaha.
Ukirlah peta hidup dunia dengan jari-jemarimu!

Chai Loon Guan
(MINGGUAN WANITA – 21 JUN 1991)


Makna Kosa Kata:
1. menggenggam - memegang dalam genggam, menguasai, memerintah
2. akrab - lebih dekat, karib
3. segugus - benda yang tumbuh banyak-banyak pada setangkai, serangkai, setompok

(Bibliografi: Kamus Dewan DBP)

SAJAK XX - Sampan


SAMPAN
Bukan aku yang meminta atau memaksa
Tetapi atas penghidupan atau sebuah permainan
Kaulukiskan sebuah sampan
dengan warna-warna seorang kekasih

Lantas, kauajakku
Belayar bersamamu
Mengharung suara-suara damai
Dan indahnya puisi-puisi laut
Lalu:
Di hati jantung pelayaran
Sampanmu pecah
Dayungmu patah
Dan kau pun berenang
Macam ikan-ikan
Meninggalkan aku seorang
Terkapai-kapai melawan samudera
Tercari-cari hati yang luka.

Chai Loon Guan
(DEWAN SASTERA – MAC 1985)


Makna Kosa Kata:
1. mengharung - berjalan menyeberangi air, meranduk, menempuh, melayari, menghadapi
2. terkapai-kapai - bergerak-gerak seolah-olah hendak memegang sesuatu, putus asa
3. samudera - lautan

(Bibliografi: Kamus Dewan DBP)

Friday, August 28, 2009

NOVEL BM SPM - JULIA

Analisis novel: JULIA
Penulis: Abu Hassan Morad
Tajuk: GAYA BAHASA

Dari aspek gaya bahasa, pengarang menggunakan bahasa sebagai cara untuk menyampaikan tema, persoalan, perwatakan, latar dan pelbagai aspek yang terdapat dalam sesebuah novel.
Berikut adalah antara unsur gaya bahasa yang dipetik daripada novel ini:

1. Penggunaan ayat
Penulis menggunakan pelbagai jenis dan ragam ayat. Ayat-ayat ringkas digunakan menggambarkan pergerakan yang pantas. Penggunaan ayat pendek yang sesuai dengan sasaran pembaca turut dimuatkan. Petikan di bawah menunjukkan Julia berasa serba salah.

Dia terdiam dan serba salah. Aku mengesan perubahan wajahnya.
Tentu ada sesuatu yang tidak kena. ( Halaman 99 )

Ayat-ayat panjang turut digunakan dalam situasi tertentu. Contoh petikan di bawah merupakan respons Sakinah dalam perbincangan kelas pagi.

“Maaf cikgu, sebagai seorang anak saya rasa tidak adil ibu bapa lepas tangan terhadap anak-anak. Saya bimbang pendekatan yang mencadangkan ibu bapa menghormati dan melayan anak-anak sama rata ini disalahgunakan oleh ibu bapa.” ( Halaman 45 – 46 )

2. Simile
Simile ialah perbandingan yang setara dengan menggunakan kata-kata seperti, bak, sebagai, ibarat, dan sebagainya. Terdapat beberapa contoh simile dalam novel ini. Antaranya ialah:

· “Hidup ini kan seperti roda.” ( Halaman 58 )
· “Awak nanti macam duta Malaysia tahu.” ( Halaman 30 )

3. Personifikasi
Personifikasi dikenal juga sebagai penginsanan atau perorangan. Personifikasi ialah tindakan pengarang memberikan sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea atau hal-hal yang lebih abstrak.

· Kebimbangan sekali lagi bermain dalam fikiranku. ( Halaman 1 )
· Aku hanya duduk kaku, membiarkan jalur fikiranku merayap. (Halaman 2)
· Matahari seakan menghilangkan diri. ( Halaman 53 )

4. Penggunaan peribahasa / simpulan bahasa / kata-kata hikmat.
Penggunaan peribahasa, simpulan bahasa, kata-kata hikmat dan sebagainya berfungsi untuk memberikan gambaran yang lebih jelas di samping menimbulkan keindahan dalam sesebuah karya. Contoh simpulan bahasa yang digunakan dalam novel Julia ialah:

· Periuk nasi.
· Buah hati.
· Dalam pada menyelam dia minum diri.

5. Metafora
Metafora merupakan perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, umpama, ibarat dan sebagainya. Contohnya metafora dalam novel Julia ini.
· Api cinta.
· Persada dunia.
· Detik hitam.
· Jaring perasaan.
· Gelombang kasih.
· Segumpal rindu.

Disediakan oleh:
Chai Wuang Shen dan Gan Kok Yee, Ting. 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg. Malim.

SAJAK XIX - Rumah



RUMAH
I
Syukur kepada Tuhan
Kerana limpah kurnia-Nya
Aku antara warga nusa
Dapat menghuni rumahmu
- rumah bahagia
- rumah sejahtera
II
Rumahku, sebenarnya
Ada anjung aman
Ada serambi tenteram
Ada taman azam
Ada rumah ibu iltizam
Menceriabahagiakan sketsa kehidupan
III
Rumahku, sebenarnya
Ada bilik cinta
Ada kelek anak mesra
Ada dapur makmur
Mengamanharmonikan landskap kehidupan
IV
Rumahku, sebenarnya
Ada pelantar padu
Ada kolam rindu
Bumbungnya keamanan
Tiang serinya perpaduan
Pintunya kemesraan
Lantainya keceriaan
Tapaknya keimanan
Mengharumwangikan kebun kehidupan
V
Rumahku, sebenarnya
Rumah bahagia rumah sejahtera
Ada ruang tamu muhibah
Ada pagar kekar kedaulatan
Warganya aneka agama aneka budaya
Hidup bersatu padu bantu-membantu
Rumah berdaulat rumah bermartabat
Rumah merdeka di persada antarabangsa
Rumahku – Malaysia, tanah air tercinta!

Chai Loon Guan,
SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

(MINGGUAN MALAYSIA - 28 Disember 2003)

Makna Kosa Kata:
1. limpah - tumpah keluar kerana terlalu banyak atau terlalu penuh, terlalu banyak hingga berlebih-lebih, baik atau murah hati
2. menghuni - mendiami, menduduki
3. anjung - bahagian rumah yang ditinggikan
4. serambi - selesar yang panjang (bersambung dengan ibu rumah), platform, peron
5. kelek anak - bahagian rumah ibu yang bertemu dengan pelantaran
6. landskap - pemandangan alam sesuatu kawasan yang mengandungi unsur-unsur alam
7. pagar kekar - sesuatu yang dibuat untuk membatasi kawasan rumah / mekar, padat, kuat
8. persada - lantai yang tinggi bertingkat atau bertangga tempat duduk raja, taman untuk beristirahat, tanah tumpah darah, tanah air (ibu pertiwi)

(Bibliografi: Kamus Dewan DBP)


FOKUS KARANGAN BM PMR - SPM 2009

KOKURIKULUM

Semua calon PMR dan SPM hendaklah menumpukan perhatian tentang kegiatan kokurikulum. Tema ini kemungkinan akan menjadi pilihan untuk dikeluarkan dalam peperiksaan sama ada peperiksaan PMR atau SPM. Sila teliti beberapa kata kunci dan juga format yang perlu dikuasai oleh pelajar.

Tema:
Kebaikan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum

1. Rakan anda dari luar negara menulis surat kepada anda kerana ingin tahu tentang kebaikan kegiatan kokurikulum. Balas surat rakan anda itu.
2. Anda ingin mengemukakan pendapat anda tentang kebaikan menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah di dalam ruangan forum pembaca sebuah akhbar. Tulis surat kepada editor akhbar yang berkenaan.
3. Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Huraikan kebaikan kegiatan kokurikulum.
4. Anda ingin menyertai pertandingan syarahan yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda. Tajuk syarahan tersebut ialah “Kebaikan kegiatan kokurikulum.”. Sediakan teks syarahan tersebut dengan lengkap.
5. Anda ingin menyampaikan ceramah tentang kepentingan menyertai kegiatan kokurikulum kepada pelajar di sebuah sekolah menengah. Sediakan teks ceramah tersebut dengan lengkap.
6. Anda telah menyertai satu kegiatan kokurikulum yang dianjurkan oleh unit kokurikulum sekolah anda. Tulis laporan tentang aktiviti tersebut dengan lengkap.
7. Anda ingin mengadakan wawancara dengan seorang pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia tentang kebaikan kegiatan kokurikulum. Tulis teks wawancara itu dengan lengkap.
8. Anda pernah menyertai salah satu kegiatan kokurikulum yang dianjurkan oleh sekolah anda. Ceritakan pengalaman yang telah anda alami.

Tema:
Punca-punca kegiatan kokurikulum tidak diminati oleh pelajar.

9. Rakan anda dari luar negara menulis surat kepada anda kerana ingin tahu tentang punca-punca kegiatan kokurikulum tidak diminati oleh pelajar.. Balas surat rakan anda itu.
10. Minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun. Huraikan punca-punca kegiatan kokurikulum tidak diminati oleh pelajar.
11. Anda ingin menyertai pertandingan syarahan yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda. Tajuk syarahan tersebut ialah “Punca-punca kegiatan kokurikulum tidak diminati oleh pelajar.”. Sediakan teks syarahan tersebut dengan lengkap.
12. Anda ingin menulis rencana tentang Punca-punca kegiatan kokurikulum tidak diminati oleh pelajar untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis rencana tersebut dengan lengkap.
13. Anda ingin mengadakan wawancara dengan seorang pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia tentang Punca-punca kegiatan kokurikulum tidak diminati oleh pelajar. Tulis teks wawancara itu dengan lengkap.

Tema:
Langkah-langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum.

14. Rakan anda dari luar negara menulis surat kepada anda kerana ingin tahu tentang Langkah-langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum. Balas surat rakan anda itu.
15. Minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun. Huraikan langkah-langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum.
16. Anda ingin menyertai pertandingan syarahan yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda. Tajuk syarahan tersebut ialah “Langkah-langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum.”. Sediakan teks syarahan tersebut dengan lengkap.
17. Anda ingin menulis rencana tentang langkah-langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis rencana tersebut dengan lengkap.
18. Anda ingin mengadakan wawancara dengan seorang pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia tentang langkah-langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum. Tulis teks wawancara itu dengan lengkap.

(Bibliografi / Sumber: agy7500@yahoo.com.my)

NOVEL BM PMR PERCUBAAN 2009

Novel:
1. Aku Anak Timur
2. Kapten Hassan Wira Bangsa
3. Merdeka! Merdeka!

Pengarang sentiasa menyelitkan pelbagai pengajaran dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan tiga pengajaran yang anda peroleh. Bagi setiap pengajaran tersebut, berikan contoh peristiwa yang berlaku.

Aku Anak Timur (Tingkatan 1)
Pengajaran:
1. Kita mestilah memiliki semangat cinta akan tanah air.
Bukti:
1. Zarina sedar Malaysia ialah tempat yang paling sesuai untuk dirinya berbanding dengan negara luar.
Pengajaran:
2. Kita mestilah hormat-menghormati antara satu sama lain.
Bukti:
2. Mevrouw De Vries (tuan rumah sewa Encik Ali) menghormati adat dan budaya orang Timur.
Pengajaran:
3. Kita sewajarnya mendengar nasihat orang yang lebih tua daripada kita.
Bukti:
3.Zarina tidak mendengar nasihat ibu bapanya supaya tidak terus berkawan dan keluar dengan Niek.
Pengajaran:
4. Kita sepatutnya bersahabat dengan sesiapa pun tanpa mengira warna kulit.
Bukti:
4. Zarina tidak kisah berkawan dengan Niek walaupun berlainan bangsa dan agama.
Pengajaran:
5. Ibu bapa hendaklah sentiasa prihatin terhadap pergaulan anak-anaknya.
Bukti:
5. Puan Ros dan Encik Ali menasihati Zarina supaya tidak berkawan dengan Niek kerana bimbang akan keselamatannya.

Kapten Hassan Wira Bangsa (Tingkatan 2)

Pengajaran:
1. Kita hendaklah berani menentang musuh yang mengancam keselamatan negara.
Bukti:
1. Kapten Hassan berani menentang pengganas komunis dalam beberapa siri pertempuran yang berlaku.
Pengajaran:
2. Kita janganlah mudah terpedaya oleh godaan yang akan menghancurkan diri kita.
Bukti:
2. Kapten Hassan berjaya mengelakkan dirinya daripada digoda oleh Ah Moi yang menjadi pengintip pengganas komunis.
Pengajaran:
3. Kita mestilah menunaikan segala perintah Tuhan.
Bukti:
3. Kapten Hassan tidak lupa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam walau berada di hutan.
Pengajaran:
4. Kita jangan mudah berputus asa.
Bukti:
4. Kapten Hassan tetap mahu menduduki ujian untuk kenaikan pangkat walaupun telah beberap kali gagal.
Pengajaran:
5. Kita perlu tabah menghadapi segala dugaan dan cabaran.
Bukti:
5. Kapten Hassan tabah meneruskan kehidupannya walaupun semua ahli keluarganya dibunuh oleh pengganas komunis.

Merdeka! Merdeka! (Tingkatan 3)

Pengajaran:
1. Kita hendaklah hidup bersatu padu.
Bukti:
1. Penduduk Kampung Teras Jernang bersatu hati membina kubu bagi mengelak serangan musuh.
Pengajaran:
2. Kita perlu cekal dalam menghadapi dugaan.
Bukti:
2. Kudin tetap cekal untuk meneruskan ucapannya walaupun dia menerima berita kematian bapanya.
Pengajaran:
3. Kita perlu gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
Bukti:
3. Orang Melayu gigih berusaha untuk menggagalkan penubuhan Malayan Union sehingga berjaya.
Pengajaran:
4. Kita mestilah sanggup berkorban demi tanah air tercinta.
Bukti:
4. Mak Bibah sanggup menyumbangkan wang hasil jualan kuih-muihnya kepada pejuang-pejuang Persatuan Pahlawan Kemerdekaan.
Pengajaran:
5. Kita mestilah berana berjuang menentang pengganas komunis.
Bukti:
5. Kudin berani melibatkan diri dalam usaha menentang pengganas komunis walaupun baru berusia 15 tahun.

(Bibliografi: Unit Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Perak 2009)

Thursday, August 27, 2009

CERPEN VIII - Ayah

AYAH
Chai Loon Guan

I
Hujan rintik-rintik. Dalam rintik-rintik itu ada ceritera. Ceritera sebuah derita. Ceritera sebuah bahagia. Ceritera pasal manusia. Ceritera pasal suara-suara alam. Apakah mungkin, mesej hujan itu samar-samar pasal hatiku kini? Cetus hati kecil Ah Ti.

Ah Ti merenung jauh-jauh. Ah Ti renung lama-lama. Jendela kamar usangnya seolah-olah memperlinya. Dalam warna-warna hujan, Ah Ti lihat ayah masih menyambung usia dengan tanah. Ayah masih gigih. Ayah masih tekun berbakti pada tanah. Namun usia ayah sudah memanjat ke tangga separuh abad lebih. Ayah masih degil. Ayah masih keras hati mahu usahakan tanah sebidang itu. Itulah satu-satunya harta milik ayah. Ayah tahu usianya kini sudah pencen. Tapi ayah masih berkeras hati. Ayah mahu bercucuk tanam. Itulah azam dan cita-cita ayah. Bagi ayah bertani tiada kenal akan pencen. Bercucuk tanam tiada KWSP. Yang mesti itu usaha. Yang perlu itu tenaga. Kudrat empat kerat. Tenaga itu mesti. Kita mesti tabah. Kita mesti rajin. Demikianlah suara ayah suatu ketika dulu.

Hidup ini mana tak susah. Semuanya susah kalau hati malas. Semuanya parah kalau malah berusaha. Cetus suara hati ayah lagi. Dan ayah faham benar akan hakikat itu. Jika tidak, anak-anak akan berkeronconglah perut minta diisi. Itu belum lagi dengan ongkos keluarga. Beras, gula, minyak, kain, pelajaran dan entah apa lagi. Ayah sedar itu semua. Ayah mengerti betapa kebun getah sebidang ini penyambung hidup keluarganya.

Ah Moi masih menuntut. Ah Chew masih di bangku sekolah menengah rendah. Ah Meng dan Ah Kim pula masih di sekolah rendah. Mereka semua memerlukan duit. Ah Moi memerlukan duit tuisyen. Duit bas. Duit makan. Duit buku tulis. Ah Chew pun sama. Ah Chew kena beli kasut baharu. Baju baharu. Kesian, sudah lama kasut Ah Chew koyak. Malah adakalanya dia terpaksa berbohong kepada gurunya, kasut sekolahnya basah. Jika tidak guru disiplin akan mengambil tindakan lagi. Kawan-kawannya akan memperlinya kaki ayam.

Ah Meng dan Ah Kim pula perlu duit makan. Ongkos ini dan itu. Semuanya adalah duit. Ah Ti berdialog lagi dengan angin malam. Abang lagi satu. Keluarga susah sesen pun tidak diberikan. Abang sejak akhir-akhir ini jenguk-jenguk keluarga pun tidak. Abang kata sibuk dengan kerja. Susah nak minta cuti. Dan macam-macam lagi alasan abang. Tapi ayah tak minta duit abang. Ayah tahu abang sudah berkeluarga. Punya tugas dan tanggungjawab. Lagipun kerja abang berapa sangat gajinya. Abang kerja lombong. Siang malam dengan bijih. Bijih sekarang pun sudah merosot nilainya. Banyak lombong tutup. Banyak lombong gulung tikar. Harga bijih timah jatuh. Itu ayah tahu. Ayah mengerti ekonomi dunia kini meleset. Jadi apa sudahnya? Mujurlah lombong abang tak jadi mangsanya. Mujurlah tauke lombong abang itu ada modal banyak. Kalau tutup apa ceritanya?

Abang pasti sakit pasal duit. Itu pasti. Kakak ipar akan mengeluh panjang-panjang. Anak dua orang nak kasi makan apa? Nak minum apa? Nak pakai apa? Dahlah gaji sekarang tidak memadai, apa jadi kalau-kalau lombong abang itu jatuh muflis? Cari kerja lain. Buat bisnes. Senang sahaja jawabnya. Modalnya mana? Usahanya mana? Gigihnya mana? Tabahnya mana? Otaknya mana?
Semua mesti diambil kira. Tolak sini, tolak sana jawabnya lebih baik jangan. Lebih baik kembali ke desa. Pasti, sama ayah bercucuk tanam. Kerja sudah sedia ada. Cuma usaha sahaja yang mesti berlipat ganda.

Abang menggeleng-gelengkan kepala. Abang apa susah. Abang masih muda. Abang masih berupaya. Malah ada tenaga. Abang masih kuat. Lainlah ayah. Ayah sudah tua. Ayah sudah sepatutnya pencen duduk rumah. Namun ayah masih berdegil. Tangannya masih aktif. Hatinya masih punyai azam yang kuat. Azam yang satu dan jitu. Ayah mahu cari duit hasil titik peluhnya sendiri. Duit itulah bakal buat ongkos seisi keluarga. Itu pasti. Ayah makin rajin akhir-akhir ini. Di tanah sebidang itu, pohon-pohon ubi sudah tinggi. Sayur-mayur makin subur. Jagung sudah berbuah kini. Tak lama lagi hasil peluhnya pasti menelurkan hasil. Duit dari peluhnya sendiri. Ayah bangga bersama harapannya yang semakin cerah persis mentari yang sentiasa megah di mega-mega biru.

Ibu turut membantu ayah. Ibu juga macam ayah. Gigih dan rajin. Cuma adakalanya, ibu akan bercerita panjang-panjang. Bisik sini, bisik sana memberikan nasihat kepada anak-anak. Tugas seorang ibu yang penuh tanggungjawab dan dedikasi. Ah Ti kembali resah. Dalam hujan gerimis, bebayu semakin dingin. Suara-suara guruh mengiringi rentak melodi hujan. Hujan menjadi lebat. Lebat membasahi kota bersama lampu-lampu neonnya. Ah Ti semakin gelisah. Sejuk dan dingin dalam kamar yang penuh dengan persoalan.

Cuaca begini tidak mengizinkan ibu menoreh. Hujan begini lebat menghampakan para penoreh getah di ladang-ladang. Cawan getah pasti kering. Periuk nasi pasti kering. Dapur pasti kehausan asap. Ibu menoreh pun semata-mata untuk mengambil upah. Upahnya boleh diambil kira. Tauke kebun tidak kenal liberal pasal upah. Kalau boleh mahu diperahnya tenaga para pekerjanya. Tapi ibu sekadar menurut saja. Sekurang-kurangnya dapat membantu beban yang dipikul oleh ayah.

Pagi tadi Ah Ti mendapat surat. Surat daripada Ah Moi, adiknya. Ah Moi bilang ayah tengah sakit tenat. Ayah terlantar lesu. Ibu tidak menoreh lagi. Berhenti kerja untuk menjaga ayah. Ibu mahu melihat ayah sihat dan pulih kembali. Sewa rumah sudah masuk ke bulan kedua. Dua bulan sewa masih belum dijelaskan. Ah Moi bilang tuan rumah sudah menarik muka masam. Abang pula tiada sebarang khabar berita. Ayah sakit pun mereka tidak datang menjenguk. Ibu menyuruh abang Ah Ti balik segera. Ayah sakit tenat. Ah Ti merenung kembali surat itu. Dia mesti balik. Dia mesti pulang segera. Dia mesti balik meskipun kuliah maktab perguruan masih rancak berjalan. Esok, Ah Ti akan meminta cuti tanpa rekod. Dia mesti pulang. Mesti.

Akaun Malayan Bankingnya hanya tinggal dua angka sahaja. Itu buat ongkosnya pulang. Satu persatu dihitungnya. Nak tunggu elaun bulan ini masih lambat. Dua minggu lagi. Ah! Terlalu lewat, sedang dalam penantian, Ah Ti perlu pulang segera. Ayah sakit tenat. Di luar langit hitam. Tiada bintang-bintang berkerdipan. Bulan muram entah ke mana membawa diri. Yang ada cuma suara-suara unggas yang kedinginan. Pak Kaduk di tepian kolam bermelodi. Suara-suara melodi itu sudah biasa bagi Ah Ti. Namun sewaktu-waktu begini, Ah Ti kehilangan punca inspirasinya. Dia kekeringan. Ah Ti kekosongan! Ah Ti kembali ke katil. Dibaringkan tubuhnya seketika. Namun, hati resah tidak mahu pergi. Malah makin menjadi-jadi akhirnya.


II

Di hujung desa sebuah teratak usang: Jauh dari kota, seorang ayah terlantar kaku. Udara malam mencuri-curi masuk. Ah Meng dan Ah Kim sudah lama lelap. Mereka sedang dibuai mimpi-mimpi indah. Ibu dan Ah Moi masih belum tidur. Ah Chew pun sama. Masing-masing masih berjaga. Masing-masing di sisi ayah. Masing-masing berdoa kepada Tuhan semoga ayah kembali sihat dan cergas semula. Mereka mahu ayah senyum. Mereka tak mahu ayah menderita sakit, terlantar begini!

”Dah bagi tahu abang Ah Ti?” suara ibu memecah keheningan malam.

”Sudah bu, pagi semalam Ah Moi kirim surat,” jawab Ah Moi perlahan-lahan sambil matanya tertumpu pada ayah yang terlantar. Lampu pelita yang samar-samar memfokuskan situasi yang muram.

”Abang tua kau pun satu, dah siang-siang pesan balik, sampai sekarang ni tak nampak batang hidungnya!” Ibu mengeluh panjang.

”Sibuk dengan kerjanya,” Ah Moi mencelah.

”Sibuk dengan kerja apa?” soal ibu balik. Ah Moi diam membisu.

”Dia bukan kerja wakil rakyat. Tauke besarpun bukan. Ini kerja buruh biasapun sibuk?” Ibu bersyarah.

”Mungkin bu, mana kita tahu akan kerjanya...” Ah Moi cuba membela abang. Tapi, ibu lebih arif dalam hal ini. Ibu sudah lama hidup. Ibu sudah lama rasa asam garamnya!

“Ini semua tidak mungkin-mungkin lagi. Semuanya ini kayak ipar kaulah yang buat hal. Hah, Sejas dah berumah tangga baru dua kali abang dan kakak ipar kau singgah jenguk kita. Mereka dah lupa akan ibu bapanya…” suara ibu sayu.

“Sudahlah bu, ayah tengah sakit nii…” Ibu diam tiba-tiba. Namun wajahnya terpancar seribu tanda tanya. Ah Chew sudah mencari tempat tidurnya. Ah Moi pun ikut sama. Kini, tinggal ibu setia menanti. Menanti sampai ayah sembuh.

III

Ah Ti sudah jatuh lelap di kamar sewaan itu. Hujan masih belum reda. Hujan masih turun rintik-rintik. Suara dari pintu makin dekat. Ada orang datang ke sini. Bagaikan ada suara-suara yang memanggil. Ah Ti diam memerhati. Jendela kamarnya masih terbuka. Udara dingin mencurah-curah masuk. Dingin. Bola mata Ah Ti masih belum berganjak. Siapakah suara itu. Siapakah yang datang itu? Penungguhkah? Pencurikah? Ah! Tidak mungkin barangkali angan-anganku, bisik hati kecil Ah Ti. Ah Ti bangkit. Badannya disandarkan pada anjung katil. Tiba-tiba suatu sinar kerdipan menyilau matanya. Ada suara-suara. Suara apakah itu. Suara siapakah itu?


“Cu, bertenanglah...” suara itu mengusik kalbunya tiba-tiba. Mata Ah Ti terpaku. Bibir Ah Ti membisu. Lidahnya kelu. Tidak ada bicara. Hatinya mulai cemas.
Siapakah dirimu wahai suara? Aku tidak pernah melihat dirimu? Apakah salahku? Ah Ti cuba mengambil kain selimut namun hampa. Jari-jemari tangannya kaku. Beku!

“Bertenanglah wahai cucuku...” Suara itu mirip-mirip suara seorang tua yang alim. Ah Ti diam kembali. Suara itu semakin hampir padanya.

“Siapakah dirimu wahai suara?” Bagaikan itulah pertanyaan yang berulang-ulang kali terkeluar dari mulut Ah Ti.

“Wahai cucuku, usahlah bertanyakan asal usulku. Cuma ada satu pesan buat cucu...” Pesan? Pesan daripada siapa? Pesan dari mana? Ah Ti terus berdialog.

“Cucu masih mencari bukan?”

Ah Ti diam. Angguk.

“Cucu mencari apa?”

Ah Ti kembali diam.

“Cucu mencari apa sebenarnya?”

“Ah Ti mahu mencari sinar hidup. Sinar pegangan. Yang pasti sinar yang meyakinkan suatu kebenaran dan kedamaian!” kata Ah Ti tiba-tiba. Iya, dia tengah mencari namun pencarian itu belum dipertemukan!

“Cucu dalam pencarian hidup? Teruskanlah pencarian itu. Teruskanlah, pasti cucu akan berjaya nanti. Pasti!”

Ah Ti terpegun mendengar suara-suara itu.

“Tapi, cu...nafas kematian itu ada di mana-mana. Carilah pegangan itu agar dirimu tidak sesat. Sembahyanglah sebelum diri cucu disembahyangkan!”

Kematian? Tidak! Tidak! Aku tidak mahu akan kematian itu. Suara-suara itu hilang. Sinar itu hilang. Ah Ti terjaga. Dinihari sudah menantinya. Udara dingin menikam tulang-belulangnya.

”Ya, Tuhan!. Mimpikah aku?” tanya Ah Ti pada dirinya. Lapan huruf itu berlegar-legar dalam benaknya. Lapan huruf itu bermain-main di medan fikirannya. Dan lapan huruf itu akhirnya bercantum: KEMATIAN!


IV

Pagi-pagi lagi Ah Ti meninggalkan kota ilmu. Rakan-rakannya naik hairan. Teman-teman sekuliahnya dilanda kehairanan. Masing-masing tertanya-tanya. Ah Ti pulang tergesa-gesa tanpa secebis berita buat mereka. Bukannya Ah Ti tidak mahu. Tapi masa terlalu suntuk. Masa itu berlari sungguh pantas. Dan, Ah Ti mahu mengejar masa itu. Dia bimbang. Sekali-kali rasa cemas dan gelisah saling bertukar tempat. Suara-suara malam tadi masih terngiang-ngiang.
Manusia di sekitar stesen bas Pudu raya terlalu ramai. Itu tidak dihiraukan oleh Ah Ti. Destinasinya hanya satu, iaitu ke pangkuan desa halaman!

Setibanya Ah Ti, matanya macam tak percaya. Hatinya macam tak percaya. Fikiran gelisahnya bertambah gelora persis ombak yang ganas dilanda taufan, barangkali tsunami! Ramai orang berada di sekitar rumahnya. Busu pun ada. Ramasamy pun ada. Ah Pek, tauke ikan di pasar Tanjong pun ada. Riuh rendah dibuatnya.

Jadi, apa yang sudah berlaku? Kematiankah? Siapa? Ayahkah? Tak mungkin. Ayah baru saja jatuh sakit. Ah Ti menggeleng-gelengkan kepalanya. Rasa tak percaya terus menguasainya. Tiba-tiba titis-titis jernih membasahi pipinya. Pipi Ah Ti basah!

Suara-suara semalam seolah-olah kembali mengingatkannya. Suatu kematian yang pasti dilalui. Dan kini, ayahnya sudah pergi selama-lamanya. Ibu membisu seribu bahasa. Air mata sudah kering. Ah Moi dan Ah Kim teresak-esak menahan tangisan. Ah Chew membisu.

Abang dan kakak ipar macam Ah Ti. Menyesal! Seribu kekesalan. Segala-galanya sudah terlewat! Ah Ti terlewat dalam saat begini. Abang dan kakak ipar memakai baju hitam. Anak-anak mereka memakai baju berwarna biru. Tanda berkabung. Tanda bersedih dan rasa hormat akan ayah yang sudah pergi. Ah Moi, Ah Chew, Ah Kim dan Ah Meng macam abang dan kakak ipar. Ah Ti pun sama. Hitam itu warna kematian. Ayah pergi buat selama-lamanya. Belasungkawa!

Ayah pergi meninggalkan ibu, anak-anak dan cucu-cucunya. Tinggalkan sebidang tanah di belakang rumah sewaan itu. Itulah satu-satunya harta ayah. Tiba-tiba ibu menangis. Abang dan kakak ipar tunduk. Ketika itu, suasana adalah sunyi sepi belaka. Ah Ti membisu. Ah Moi diam. Ah Kim diam. Ah Chew pun sama.

“Ayah, tanah itu Ah Meng akan usahakan. Ah Meng akan teruskan usaha gigih ayah itu. Ah Meng berjanji. Ah Meng berjanji...tanah itu akan kembali subur seperti suburnya jasa bakti ayah kepada kami!” Suara Ah Meng tiba-tiba mencelah. Abang dan kakak ipar kaget dan malu. Ah Ti menangis gembira. Ibu membelai rambut Ah Meng tanda kesyukuran. Awan mendung kembali bertakhta. Hujan rintik-rintik pun turun bersama dengan khabar sebuah kematian!

(MINGGUAN MALAYSIA – 24 MEI 1987)

Hadiah Sastera Utusan – Public Bank (Kategori Hadiah Khas) 1987
Antologi Surat Daripada Ana terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 1988.

Makna Kosa Kata:
1. rintik-rintik - titik-titik pada dasar yang lain warnanya, bintik, kurik, bertitik-titik, menitis
2. ceritera - cerita
3. samar-samar - kurang jelas, agak kabur, kurang terang, tidak dengan terang-terang
4. cetus - bunyi seperti bunyi besi digoreskan ke batu, letus, terbit, timbul
5. usang - kering dan tidak berisi, sudah lama benar, sudah tidak biasa lagi dipakai, kuno
6. berkeroncong - berbunyi seperti bunyi loceng kecil, berbunyi dalam perut kerana lapar
7. ongkos - biaya, belanja
8. memperli - menyindir, mengejek, mencemuh, menyindir seseorang
9. menjenguk-jengkuk - mengunjungi, menengok
10.muflis - tidak sanggup membayar hutang, bankrap
11.menelurkan - mengeluarkan telur, bertelur, menghasilkan, menerbitkan, mewujudkan
12.liberal - condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik, berpandangan bebas / terbuka
13.meleset - tidak kena pada tempatnya, tidak tepat, salah, serba susah, mundur
14.terlantar - terletak di, dalam keadaan yang tidak dijaga atau dipelihara
15.kuliah - pelajaran yang disampaikan secara bersyarah oleh mahaguru atau pensyarah
16.unggas - segala jenis burung
17.inspirasi - ilham, bisikan hati
18.teratak - rumah kecil di sawah, dangau, gubuk, rumah, atap tepas yang diberikan bertiang, dusun kecil
19.keheningan - keadaan hening, kejernihan, kesunyian
20.mengeluh - melahrikan dukacita atau sedih, berkeluh-kesah, merintih
21.terpancar - keluar memancar, terbit
22.jendela - tingkap
23.berganjak - beralih, beranjak, berengsot, berubah
24.kerdipan - kelipan, kedipan
25.menyilau - menjadi silau, memandang sesuatu yang jauh, meninjau
26.alim - berpengetahuan agama, patuh kepada ajaran agama, sangat baik sifat dan akhlaknya
27.dipertemukan -
28.dinihari - awal pagi
29.benak - sukma
30.berlegar-legar - berkeliaran
31.suntuk - sampai hadnya, telah habis waktunya, terlambat, terlewat, selama, sepanjang, pendek, picik, tidak panjang
32.destinasi - tempat yang dituju dalam perjalanan atau tempat penerimaan sesuatu
33.berkabung - memakai kabung tanda berdukacita, memperlihatkan tanda-tanda sedang berdukacita
34.belasungkawa - pernyataan turut berdukacita, takziah
35.bertakhta - memerintah negeri, berkerajaan di, bersemayam, berada, berkedudukan, bertempat, tersemat

(Bibliografi: Kamus Dewan DBP)

CEREKA PERIBAHASA BM SPM

PERUMPAMAAN
Tajuk:

Mendung Persahabatan

Jac dan Tina merupakan sahabat karib sejak di bangku sekolah lagi. Mereka senantiasa bekerjasama untuk menjayakan dan menyelesaikan segala masalah yang dihadapi. Kerjasama intim mereka ini bagai aur dengan tebing. Biarpun rupa paras Tina bagai bulan dipagari bintang namun Jac tidak pernah berasa dengki. Sebaliknya, Jac menggalakkan Tina agar menyertai pertandingan ‘Malaysian Idol’. Agak bertuah juga Tina kerana dia telah berjaya mengungguli pertandingan tersebut.

Kejayaan cemerlang telah berjaya mencorakwarnakan buana hidup Tina. Sikap Tina mula berubah. Dia menjadi sombong dan memandang rendah kepada orang lain. Tina juga tidak mahu bergaul dan mempedulikan Jac lagi, yakni teman akrab yang selama ini banyak memberikan galakan kepada dirinya. Sikap Tina bagai kacang lupakan kulit. Bagi Jac pula, perubahan sikap dan tindakan negatif Tina bagai duri dalam daging. Kekecewaan Jac amat sukar untuk difahami oleh orang lain. Sikap Tina yang berubah secara mendadak ini telah menyakitkan hati Jac. Hati Jac terguris luka bagai kaca terhempas ke batu.

(Bibliografi: Panitia BM, SMK Methodist, Tg. Malim)

Wednesday, August 26, 2009

CAKAP AJUK - CAKAP PINDAH

Kaedah:
Menukarkan Cakap Ajuk atau Dialog kepada Cakap Pindah

Perhatikan cakap ajuk di bawah :
"Kamu makanlah segera. Kamu jangan lupa basuh pinggan," pesan ibu kepada Aini.

Untuk menukarkan cakap ajuk atau dialog di atas kepada cakap pindah, murid hendaklah berpegang pada tiga elemen komunikasi, iaitu :
a. Kenali Topik Perbincangan
b. Kenali Persona
c. Kenali Konteks Komunikasi

Berdasarkan tiga elemen dalam komunikasi itu, murid akan mendapati:

a. Kenali Topik Perbincangan :
i. makanlah segera.
ii. jangan lupa basuh pinggan.

b. Kenali persona :
i. ibu
ii. Aini

c. Kenali Konteks Komunikasi:
i. pesan

Berdasarkan unsur dalam elemen komunikasi itu, murid boleh membina ayat sendiri dalam ragam cakap pindah. Misalnya,

i. Ibu berpesan kepada Aini supaya makanlah segera tetapi jangan lupa membasuh pinggan.
ii. Ibu memberikan pesanan kepada Aini supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.
iii. Ibu berpesan supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.

Berdasarkan tiga ayat di atas, semua unsur dalam elemen komunikasi dalam cakap ajuk atau dialog itu tidak tertinggal dalam proses menukarkannya kepada cakap pindah. Oleh hal demikian, wacana dalam cakap ajuk atau dialog itu tetap terpelihara dalam cakap pindah.

Kaedah ini juga membolehkan murid menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk atau dialog. Apabila murid mengenali unsur dalam elemen komunikasi tersebut, murid hanya perlu menggunakan unsur tersebut dalam membina cakap ajuk atau dialog sendiri. Proses membina cakap ajuk atau dialog ini adalah lebih mudah.

(Bibliografi: Cikgu Mohd Azam bin Ahmad, Guru Cemerlang BM)

PANDUAN MENJAWAB SOALAN RUMUSAN

Panduan Menjawab Soalan Rumusan.

Pengenalan:
1. Baca dengan teliti arahan soalan iaitu isi tersurat dan isi tersirat.
2. Nyatakan tema keseluruhan petikan rumusan atau beri perkataan yang mempunyai maksudserupa dengan arahan soalan (tukar kata kunci soalan).
3. Tugasan isi tersirat TIDAK PERLU dimasukkan sebagai pengenalan.

Arahan soalan :
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas.

Contoh jawaban :
1. Menyatakan tema rumusan.
Petikan membincangkan kepentingan negara meneroka bidang angkasa lepas.
2. Menukar kata kunci isi tersurat.
Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas kepada kelebihan/ kebaikan/ manfaat.

ISI TERSURAT :
Panduan Menjawab:
1. Isi tersurat diambil daripada isi petikan.
2. Satu isi tersurat boleh digabungkan dengan isi tersurat lain dalam bentuk ayatmajmuk.
3. Boleh memberi antara dua hingga enam isi tersurat.
4. Ingat formula isi tersurat+ isi tersirat (6+2,5+3,4+4,3+5,2+6).
5. Huraian dan contoh tidak perlu dimasukkan.

Contoh jawaban ( 6 isi tersurat )
Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas ialah Malaysia diakui antara negara yang memiliki sistem komunikasi yang terbaik di dunia, memberikan impak yang besar kepada negara dalam bidang angkasa lepas serta dapat menjalinkan kerjasama lebih erat dengan negara yang sudah maju dalam bidang tersebut dan dapat mencontohi cara mereka bekerja. Sistem komunikasi negara juga terus berkembang maju dan dapat melahirkan lebih banyak angkasawan.

ISI TERSIRAT :
Panduan Menjawab :
1. Isi tersirat tiada dalam petikan.
2. Pelajar perlu kemukakan idea berdasarkan pembacaan meluas sebelum ini.
3. Isi tersirat boleh digabungkan dengan isi tersirat lain.

Contoh jawaban :
Cara menarik minat masyarakat dalam bidang ini adalah dengan cara menyiarkan artikel berkaitan bidang angkasa lepas di televisyen serta mewujudkan bidang pembelajaran mengenai angkasa lepas di sekolah.

Kesimpulan :
Panduan Menjawab:
1. Kesimpulan tidak boleh mengulang isi tersurat atau isi tersirat.
2. Kesimpulan terdiri daripada pihak terlibat, cadangan dan tujuan cadangan.
3. Kesimpulan ditulis dalam satu ayat lengkap.

Contoh jawaban :
Kesimpulannya, usaha-usaha untuk meneroka bidang angkasa lepas ini perlu disokong oleh semua pihak agar hasrat menjadi negara maju akan tercapai.

(Bibliografi / Sumber: Cikgu Abd Razak bin Hassan)

Sunday, August 23, 2009

SAJAK XVIII - Warkah Merdeka Anak Watan

WARKAH MERDEKA ANAK WATAN
(Dedikasi buat Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah)

I
Izinkan aku, pengembara sepi mencari wewarna sejarah silamku
Pada sketsa tanah pusaka moyang
Antara kota Lembah Hwang He dan Yang Tzi-Kiang
Kehadiranmu, TIAN
Mencatatkan dinasti silih berganti
Fenomena alam – banjir, kemarau & gempa bumi
Sandiwara demi sandiwara
Menzahirkan derita peperangan & hina-dina kemiskinan
Di benua tamadun yang tua
Menurut Tao, bumi dan alam semesta saling berharmoni
Antara keseimbangan yin dan yang
Daripada Yan-Huang, Feng-Yan dan Miao-Man
Lahirlah rupa bangsa - TIONGHUA namanya!

II
Nenda, cucu tidak lupa akan kosmologi & worldview Cina
- syurga di atas
- bumi di bawah
semesta bipolar berdasarkan feng shui
dan elemen Hsing, yakni air, api, logam, kayu & bumi
konfusianisme dan analects agungnya
mendedahkan setiap waris insan
dengan ren , li , dan xiao
kata Mencius, perlu kita hayati yi dan zhi
seperti sabda pendeta bitara:
- Penderitaan berpunca daripada hawa nafsu
- Hawa nafsu pencetus masalah manusia
- Nafsu dapat diatasi melalui Jalan Tengah
elakkan tatalaku ekstrim penuh hawa nafsu:
berpandangan betul
berpemikiran betul
berucapan betul
berperlakuan betul
berkehidupan betul
berusaha betul
berperingatan betul, dan
bertafakur betul!

III
Nenda, izinkan cucu membuka jendela silam
Dunia penerokaan Fah Hsien dan I Tsing
Pelayaran armada Laksamana Cheng He ke nusantara, Arab & Afrika
Perkahwinan Sultan Mansur Syah-Puteri Hang Li Po
Merealisasikan bukti paleontologi dan arkeologi
Sinanthropus pekinensis dan Pithecanthropus javanicus
hidup berevolusi dalam sistem ekologi dua belas alaf
Weltanschauung dan ketamadunan bangsamu tersebar luas di jagat Nusantara!
Nenda, menjelang abad ke-19 dan 20
Tamadun agungmu dirobek rakus imperialisme Barat
Dinasti Qing dilanda kebobrokan dan anarki
memunculkan Dr.Sun Yat Sen & Mao Zedong
Nasionalisme bertembung dengan komunisme
Bumimu kembali merah berdarah – luka parah bernanah
Bersemarak api peperangan
Bersketsa rerona penderitaan di kanvas kehidupan
Sebenarnya,
- rakyat mahu nasi bukan peluru
- rakyat mahu pakaian bukan kereta kebal
- rakyat mahu kemakmuran bukan kebuluran
- rakyat mahu keamanan bukan kesengsaraan
- rakyat mahu kebebasan bukan kematian

Dalam keterpaksaan dan keberanian, seperti ribuan pendatang
Papa menguatkan tekad membina azam
Meninggalkan yang tersayang, daerah Engchun provinsi Hokkien
Mengharung ombak gelombang cabaran
Mendepani onak duri dugaan
demi nasi sesuap air seteguk di perantauan
tanah perantau yang menjanjikan rezeki dan peluang
Tanah Melayu, suvarnabhumi (bumi emas)
Tanah Melayu, suvarnadvipa (Semenanjung Emas)
Lubuk kemakmuran yang melimpah ruah!

Dari pura Singa, mencari peta Malaya, papa
Akhirnya Tanjung Mua’alim ditemukan di pinggir Titiwangsa
Tanjung Jambu – tanjung di antara dua kuala
Sungai Bernam – Sungai Langkih
Didiami Melayu, Bugis, Rawa, India dan Cina
Tanahnya subur menghijau
Tanahnya kaya akan bijih
Kehadiran Loke Yew (1918) sebelum Inggeris
Memakmurkan ekonomi peribumi
Di sinilah, benih harapan tersemai
peluh usaha membasahi kudrat
Di sinilah, O Tg.Mua’alim, tangisku berlagu
Dengan titipan azam yang tinggi menggunung
Dan suburnya tanah semenanjung
Papa seperti ribuan pendatang
Berubah daripada hua qiao kepada hua yi
Mula mencipta mimpi
Mengumpul dana harta sebelum pulang
Jadilah papa - musafir rindu yang insaf
Jadilah papa – musafir rindu yang berwawasan
Revolusi 1911, penjajahan Jepun (1933-37)
dan tumbangnya Kuomintang
di tangan komunisme Mao (1949)
merintis jalan buat papa dan ribuan pendatang
menjadi pengembara setia ke tanah seberang
bergelar hua yi – pemastautin tetap
di tanah bertuah, Tanah Melayu
di tanah mewah, Malaya.
bagi papa
di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

IV
Masa emas melebarkan sayapnya
Papa mengutipnya tanpa sia-sia
Bertemankan mutiara pengalaman
menabur benih gigihlah papa
Membina benteng tabahlah papa
Yang baik dijadikan teladan
Yang buruk dijadikan sempadan
Siang malam adalah musim-musim berharga buat papa
- memperteguh azam
- memperkuat usaha
- memperdalam matang
- memperluas mahir

Anak ini tahu, papa
Betapa perit pahitnya hidup
Betapa azab sengsaranya hidup
Era Jepun bermaharajalela
Gelap gelita dunia
jadi pelarian papa
Diburu musuh dek sengketa dendam di tanah ibunda
Ketika itulah longgokan wang kertas persis sampah
melemaslesukan ekonomi nusa
mencekaltabahkan bangsa
Sebenar-benarnya, papa
Zaman ubi kayu mengajar kita
- erti keamanan
- erti kemakmuran
- erti kemerdekaan
- erti kedaulatan

dalam pelarian sisa waktu
bermaharajalelalah MPAJA, Bintang Tiga & PKM
mencetuskan huru-hara
mengharu-birukan keamanan menyemarakkan keganasan
memporak-perandakan kemakmuran menaburkan peluru kezaliman
Ribuan insan menjadi korban pertarungan
Dunia kuasa dan ideologi buana

Memang benar kata nenda
Kemanusiaan yang ternoda
merelakan manusia mencabul dan membunuh:
- nafsu berwajah kuasa
- nafsu berwajah adicita
pabila bom atom “Little Boy” menjadi cendawan
mencakar luka dada cakerawala Hiroshima
membakar hangus bumi Nagasaki
lidah perang kembali bisu di Tanah Melayu
kembali Inggeris mencengkam, mencakar & mencalar
hati nurani anak-anak watan
Dan, ketika itulah mama sekeluarga
Meredah samudera Laut China
bermigrasi ke tanah seberang
dapat bersatu papa di tanah Semenanjung!

1948 – 60, haiwan buas PKM
menggila & mengganas
di rimba, di kota, di desa
pintu darurat dibuka
hitam kawasan diputihkan
hadir wira dan srikandi nusa
Cekal kental menegakkan panji-panji kedaulatan
Berarak juang demi kemerdekaan nusa bangsa
Dan Hotel Stesen menjadi saksi
Malayan Union ditalkinkan!

V
31 Ogos 1957
, suara-suara merdeka
bergema di cakerawala nusa
Union Jack diturunkan
berkibaran Jalur Gemilang megah mewarnai lelangit harapan
Berkat jus soli dan kontrak sosial
Papa dan keluarga sah bergelar warga
Warga nusa bangsa Persekutuan Tanah Melayu!

- Merdeka, bebas daripada belenggu penjajah!
- Merdeka, bebas daripada penjara derita!
- Merdeka, bebas daripada korpus sengketa!
- Merdeka, bersekutu bertambah mutu!
- Merdeka, bersatu bertambah maju!

Rumah kemerdekaan kami
papa isi dengan ilmu kemahiran
Meskipun papa buta tulis & baca!
kami membesar dewasa dalam kebahagiaan
Aku tahu papa, iltizam tanpa putus asa
Adalah nafas kami
Kemiskinan sebenarnya
Adalah lauk pauk untuk kami hidup cekal dan tabah
Ketika lapar, kata mama
biskut kering air bujang
teman setia kehidupan
Benarlah kata nenda
Syurga di telapak kaki mama
Berdekad-dekad lamanya, mama seperti papa
Gigih menganyam cekal sabar
Tekun tabah menjahit kehidupan
Sebelum berangkat pulang menemui-Mu, Tuhan!

Bagaikan si anak kecil
aku merangkak bertatih-tatih
sebelum dapat berdiri tabah
dan berlari megah
Berkat doa papa & mama
Jadilah aku seorang munsyi
berbakti ilmu di desa pedalaman Kampung Air Papan
sebuah pekan bernama Tualang
Sebelum kembali ke tanah kelahiran
Pengalaman demi pengalaman
dapat kugaulkan menjadi resipi kedewasaan
harum semerbak di taman kehidupan
Cinta pun berputik
Kasih pun bertaut
Bersatulah adam Tg.Jambu
Dengan hawa Cik Siti Wan Kembang
Meniti perjalanan yang panjang

Memang benar kata mama
Alam rumah tangga
adalah gelanggang kehidupan
Yang menuntut kesabaran dalam cawan pancaroba
Adalah kebun kehidupan
Yang memohon kegigihan dalam pinggan mangkuk kepayahan
Adalah rumah kehidupan
Yang memerlukan kecekalan dalam periuk belangga dugaan
Sebelum lestari kita menghirup manis madu bahagia kehidupan!
Dengan izin-Nya, mama
Lahirlah putera-puteraku
- Wuang Zhuang, Shen & Xing
Meneruskan kesinambungan zuriat dan salasilah keluarga
Di taman nusa bangsa turun-temurun!

VI
Papa, zaman sudah berubah
Waris generasi kini
harus lebih berani mencorakwarnakan sketsa masa depan
Akar tradisi
- Yang merugikan
- Yang merumitkan
- Yang memundurkan
- Yang menyesatkan
Harus aku tinggalkan di arkib nostalgia
Namun percayalah, bahasa & budaya yang membina
Tetap terpelihara tetap terjaga
Di rumah bahagia
Di rumah bangga

Mama,
kasih dan iltizammu dekad-berdekad
Akan kekal tersimpan di arkib kenangan
Petua nasihatmu akan kukenang zaman-berzaman
Izinkan aku, mengorak langkah paradigma
Tanpa mengorbankan nilai dan etika
Moral dan agama
Agar cucu-cicitmu tidak mudah tewas
Di perkampungan global tanpa sempadan
Di buana ICT yang kian berperanan
Di lautan sains & teknologi yang kian
bergelombang kencang!

Mama dan papaku
antara warisan sejarah dan realiti zaman
Izinkan aku mencari jati diri
Di taman nusa bangsaku
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Usah keliru
aku lebih petah bermadah
dalam bahasa Melayu
Usah keliru
Aku lebih kenal akan tanah airku
Tanpa perlu tersasar terpesong
Tanpa perlu tergelincir terjelepok
di daratan lupa tanpa jati diri
di daratan alpa tanpa maruah diri
Maaf
aku perlu mencari jati diri sebenarnya
dalam citra patriotisme anak merdeka
anak nusa yang berwawasan
anak bangsa yang berpendirian
Tanpa dibelenggu warisan silam
Tanpa dibelenggu gah megah penjajah
kata papa menjelang merdekamu, ibu pertiwi:
Anakku,
Tanah ini tanah airmu
Tanah ini tanah makmurmu
Tanah ini ibu pertiwimu
Jadilah anak watan yang berjasa kepada bangsa
Jadilah anak watan yang berbudi kepada nusa!

Sebenarnya, mama
Sudah sekian lama
Aku terkurung
Antara kepompong akar tradisi dan jati diri anak watan
Dan kini, lahirlah aku
anak merdeka di taman nusa bangsa
Malaysia, tanah airku
Malaysia, tanah tumpah darahku
Dirgahayu, Malaysiaku:
Malaysiaku, cemerlang
Malaysiaku, gemilang
Malaysiaku, terbilang!

Chai Loon Guan
2007
(ANTOLOGI PUISI - DI PADANG KEHIDUPAN, 2008: DBP)

CERPEN VII - Srikandi Pasir Salak

SRIKANDI PASIR SALAK
Chai Loon Guan

Cuti Semester II menjelang tiba. Aku bagaikan menanti detik itu. Detik untuk beristirahat. Detik untuk menimba ilmu dan pengalaman secara informal. Cuti semester yang lalu, aku terlalu sibuk dengan tugasan di sekolah. Projek keceriaan ”sekolah dalam taman” dan lukisan mural perlu dibereskan. Syukur, berkat kerjasama Cikgu James, Cikgu Wan, Cik Zurita dan dan beberapa orang pelajar Tingkatan 2A, projek tersebut berjaya disiapkan.

Kini, aku mahu berehat. Aku mahu membebaskan diri daripada buana ilmu dan buku-buku. Bilik bacaanku kelihatan berserakan. Mesip taip usangku masih setia menunggu. Kertas di dalamnya belum berusik lagi. Cerpenku masih di pertengahan jalan. Tergendala. Tiba-tiba aku teringat akan sepucuk warkah yang kuterima pagi tadi. Warkah biru dari Pasir Salak.

Nostalgia Kampung Pasir Salak di pinggir Sungai Perak bersketsa di kamar mindaku. Sejarah abad ke-19 kembali mengetuk-negetuk pintu ingatanku. Pasir Salak, sebuah pusat pemerintahan Orang Kaya-kaya Maharajalela Tan Lela Putera, seorang pembesar bergelar Orang Besar Lapan Perak. Menurut sejarah, Sungai Dedap dan Sungai Kerang turut di bawah pemerintahannya.

Tiba-tiba dua rangkap syair Misa Melayu menggamit aku membicarakan Pasir Salak, bumi pahlawan Melayu!

Seorang hulubalang Maharaja Lela,
Di rantau Ulu sangat terula;
Dititahkan raja yang terala,
Memegang rakyat menjadi kepala.

Jika dipandang usul dan silap,
Bagai harimau akan menangkap;
Dikurniai baginda sebuah kakap,
Alat pawai semuanya lengkap.

Pasir Salak Datuk Maharajalela, Datuk Maharajalela Pasir Salak! Yang pasti, kedua-dua kata nama itu besar sinonimnya kepada sejarah bangsa dan negara.

Dering jam di meja tulis mengejutkan lamunanku. Warkah biru itu kucapai. Sampul berbunga itu kubuka perlahan-lahan.

Adichonan,

Apa khabarmu di Tanjong Jambu? Mas di bumi pahlawan Melayu, Pasir Salak sihat walafiat dan berdoa agar Adi sihat dan gembira hendaknya di sisi keluarga. Apakah programmu pada musim cuti kali ini? Menggarap cerpen dan sajak di kamar usang? Atau ada hajat untuk berdarmawisata ke tempat orang?
Kalau tekaan Mas tepat, apa kata melawati Mas di sini sambil menghayati kembali nostalgia silam Pasir Salak, bumi pahlawan Melayu. Mas akan setia menanti kunjungan wisatawan dari Tanjong Jambu! Sekian, terima kasih. Salam muhibah.

- Mas Idayu, Pasir Salak.

Surat itu kulipat kembali. Aku menutup mata sejenak. Angin dingin malam kian menderu. Sesekali dedaun jendela kamarku berkuak diselang-selikan bunyi cengkerama sang cicak di penjuru lelangit kamarku. Agaknya, cicik-cicak itu sedan bermadu kasih mencipta puisi-puisi cinta! Dingin malam kian menggigit sumsum tulangku. Aku bingkas bangun. Daun jendela kukatupkan kembali. Aku bergerak perlahan-lahan ke peraduanku, membaringkan sekujur tubuh yang kian letih. Mataku semakin berat.

Keesokan paginya, aku ke stesen bas Tanjong Jambu. Aku menaiki bas ekspres ke Bidor. Pasir Salak kian melambai. Wajah soapan gadis yang bernama Mas Idayu menanti kedatangan sorang pengembara. Perkenalan aku dengan Mas, segala-galanya bermula daripada sebuah sajakku tersiar di dalam Mingguan Malaysia. Warkah persahabatan sering kali berutusan seperti juga gambar kenangan. Demikianlah, Mas Idayu, gadis Melayu dari Pasir Salak. Bas ekspres, selepas melewati pekan Behrang, Slim River, Trolak, Sungkai, akhirnya tiba di pekan Bidor. Dari Bidor, aku bertukar bas ke Teluk Intan. Sepanjang perjalanan aku dilambung ombak mimpi siang yang panjang.

”Adichonan!”

”Saya, cikgu.”

”Apakah inti pati Perjanjian Pangkor?”

”Perjanjian Pangkor, cikgu?”

”Hem!”

”Sultan Abdullah bersetuju untuk menerima Residen British di Perak, cikgu.”

”Lagi?”

”Dengan syarat Residen tidak akan campur tangan lagi dlaam hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu, cikgu!”
”Kemudian?”

”J.W.W. Birch bertindak liar mencabuli hak dan kuasa pembesar dan orang-orang Melayu. Ini telah menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu Hilir Perak!”

”Bagus, Adichonan. Kamu boleh duduk,” puji Cikgu Nadzri tinggi melangit. Aku berasa bangga. Rakan-rakan sedarjahku di SMJK Methodist, Tanjong Jambu menuding ibu jari mereka tanda syabas.

”Mutu!”

”Saya, er...cikgu?”
”Ceritakan sedikit banyak tentang peristiwa 2 November 1875 di Pasir Salak?”

Mutu pura-pura menggarukan kepala yang tidak gatal.

”Er...er...maaf cikgu, saya terlupa!”

”Berdiri!” tengking Cikgu Nadzri tegas.

”Kamu, Ah Chai!”

”Residen Inggeris, J.W.W. Birch mati diserang dan ditikam oleh Pandak Lam, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan pendekar-pendekar perang Malayu.”

”Bagus, Ah Chai. Ya, pelajar-pelajar, tragedi Pasir Salak itu telah menimbulkan kebangkitan orang-orang Melayu untuk menentang penindasan dan penjajahan Inggeris. Sebenarnya jika dihalusi, semangat nasionalisme Melayu sudah bangkit sejak 1875 lagi, pelajar-pelajar!”

Tiba-tiba wajah Cikgu Nadzri menghilang. Muncul wajah-wajah penduduk Pasir Salak dengann semangat yang berkobar-kobar menghunuskan keris dan sundang sambil menjerit:

”Merdeka!”
”Merdeka! Usir Inggeris!”
”Merdeka! Singkir Residen!”
”Merdeka! Ganyang anjing-anjing penjajah!”

Deringggg!

”Tiket! Tiket!” Inspektor tiket sedan menjalankan tugas rutinnya. Kelas Sejarahku menghilang. Syukur, aku telah kembali ke alam nyata. Bas semakin laju membelah pagi yang semakin terik. Mentari ganas melebarkan sayapnya. Aku tiba di Pasir Salak pada waktu tengah hari.

Mas Idayu mengajakku makan tengah hari di rumahnya. Rumahnya unik. Rumah tradisional Melayu Perak. Rumah itu ada anjung, rumah ibu, kelek anak, serambi dan pelantar. Reka bentuknya persis rumah Kutai I dan Kutai II di Pasir Salak. Cuma bezanya rumah Mas Idayu melibatkan penggunaan kayu dan tepas yang dipasak dengan tanggam yang berpaku.

Aku berkenalan dengan ahli keluarga Mas Idayu. Mesra. Akrab. Kaya akan budi bahasa dan tatasusila masyarakat Melayu. Dengan kebenaran, Mas Idayu menemaniku ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Pasir Salak.

”Adi menulis lagi?” tanya Mas Idayu lembut. Gerak langkah menampilkan susila sopan gadis Melayu Hilir Perak.

”Ada, tetapi tidak serancak di kolej dulu!”

”Karya terbaharu?”

”Cerpen Pasir Salak. Masih dalam proses.”
”His, Adi suka berguraulah!”

”Taklah, serius ni!”

Dedaun tropika dan pepohon nyiur melambai-lambai dibelai angin sepoi-sepoi bahasa. Cuaca berhawa sederhana mengalu-alukan kehadiran kami. Destinasi pertama, Tugu Pahlawan Perak Darul Ridzuan. Tugu yang berbentuk sundang itu berhampiran dengan Tugu Peringatan J.W.W. Birch, lambang keperwiraan Melayu Datuk Maharajalela menegakkan ketuanan Melayu di bumi Pasir Salak.

”Adalah dipercayai Adi, sundang seperti itulah yang digunakan oleh Si Putum untuk membunuh J.W.W. Birch semasa beliau sedang mandi di Sungai Perak,” jelas Mas Idayu.

”Siapakah Si Putum tu, Mas?” tanyaku spontan.

“Orang suruhan Datuk Maharajalela yang membunuh Residen!” jelas Mas Idayu lagi. Aku mengekorinya dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Hebat. Pasir Salak kaya akan khazanah sejarah bangsa Melayu.

Selepas menyusuri makam Si Putum, berhampiran dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak, kami melawati ke kubu Datuk Maharajalela, iaitu kediaman rasmi beliau semasa peperangan Pasir Salak.

”Itu rumah Kutai I dan Kutai II, Adi!”

Aku berpaling ke arah yang ditunjukkan oleh Mas Idayu.

”Kutai? Maksudnya, Mas?”

”Adi nak tahu?”

”Hem!”

”Kutai bermaksud lama atau tua. Rumah ini unik dari segi seni binanya yang asli, iaitu hanya menggunakan kayu dan tepas yang dipasak dengan tanggam tanpa paku.”

”Rahsia di dalamnya?”

”Ayuh, kita pergi melihatnya, Adi!” ajak Mas Idayu, selepas melihat aku habis mencatat sesuatu di dalam diari. Rasa takjub dan kagum kembali mewarnai diri ini.
Pelbagai senjata lama yang digunakan semasa Perang Pasir Salak dan gambar sejarah dipamerkan di samping seni kraf tangan tradisional Melayu Perak. Di tebing Sungai Perak, Tugu Lela Rentaka berdiri megah. Lela Rentaka ialah sejenis senjata yang menyerupai sebuah meriam milik orang Melayu Pasir Salak untuk membalas serangan penjajah Inggeris selepas peristiwa berdarah 2 November 1875.

”Mas, mengikut buku Sejarah, J.W.W. Birch mati dibunuh semasa beliau sedang mandi di rumah rakit, Sungai Perak. Bagaimana tragedi itu boleh terjadi?” Aku cuba menguji Mas Idayu.
”Benar, Adi. Rejaman lembing Pandak Endut, Kulup Ali, Panjang Bor dan Se Tuah mengenai sasaran. Birch terjatuh ke dalam air dan sepantas kilat Si Putum menetak dua kali tatkala Birch timbul di permukaan air Sungai Perak,” jelas Mas Idayu bersungguh-sungguh. Aku kaget mendengar ceramah ringkas dan padat itu

”Kemudian?”

”Darah memerahkan air sungai yang menghanyutkan mayat Birch sejauh kira-kira 183 meter dari tempat kejadian. Mayatnya dijumpai oleh orang Inggeris dan disemadikan di Bandar Baru pada 5 November 1875.

”Syabas, Mas! Srikandi Pasir Salak masih mengenali sejarah bangsanya,” puji aku ikhlas.

”Kau perli aku lagi, Adi!”

“Adi ikhlas, Mas. Sungguh-sungguh. Adi berbangga kerana sejarah Pasir Salak masih utuh dan kukuh terpelihara untuk tatapan dan renungan anak-anak bangsa Malaysia!” Diam.

“Kita sudah hampir empat dekat merdeka. Tetapi awas Mas, penjajahan bentuk baharu akan muncul pada zaman pascamoden ini. Anak-anak bangsa perlu senantiasa berwaspada dan bersedia untuk mengatur pencak kerana sekali kita melangkah sumbang, berkurun-kurun bisa menggigit temulang nusa dan bangsa, Mas!”

“Kau apa kurangnya, Adi. Ibarat seorang pendekar Melayu, kau susun langkah dan gerak tari penamu di medan susastera agar anak-anak generasi Malaysia tidak tumpas dan sunkur lagi, Adi!”

“Terima kasih, Mas. Terima kasih Srikandi Pasir Salak. Jasa baktimu tetap akan kukenang buat zaman-berzaman!”

“Sama-sama, wahai wira bahasa dan sasteraku. You are always welcome, wisatawan Pasir Salak!”

Selepas minum petang di rumah Mas Idayu, aku mengorak langkah untuk pulang. Pulang aku ke desa permai Tanjong Jambu kali ini bersama dengan sebuah janji buat seorang Srikandi Pasir Salak bernama Mas Idayu!

(MINGGUAN MALAYSIA – 15 MEI 1994)
Hadiah Sastera Utusan – Public Bank (Kategori Hadiah Khas) 1995.
Antologi Puyan Jelepek – Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 1995.

Thursday, August 20, 2009

CERPEN VI - Atoi

ATOI
Chai Loon Guan

Aku dilahirkan pada suatu malam yang dingin. Saat itu, hujan gerimis. Rintis-rintis membawa salam sebuah kelahiran. Ibuku, keturunan Siam. Matanya bulat bersinar-sinar. Rupa parasnya comel dan menawan. Namun, sayangnya ayahku sudah berbulan-bulan tidak pulang ke pangkuan ibu. Ibulah yang membesarkan aku. Ibulah yang mendidik aku. Segala adat keturunan aku diajarkan dengan bersungguh-sungguh. Demikianlah kasih ibu. Benar, kata orang kasih ibu ialah kasih yang maha agung!

Malang tidak berbau. Pada suatu petang, ketika ibu dan aku keluar mencari rezeki, sebuah kereta berwarna merah telah melanggar ibu. Aku terpaku bisu. Hanya jeritan sayu ibu sayup-sayup kedengaran. Itulah hari yang terakhir aku menatap wajah seorang ibu. Hatiku pilu bercampur marah. Aku marah akan pemandu yang tidak berperikemanusiaan.
Aku bersumpah bahawa akan tibanya hari untuk aku mengajar mereka tentang erti perikemanusiaan! Justeru, tinggallah aku keseorangan meneruskan kehidupan di dunia sarwajagat ini.

Suatu pagi, seperti pagi-pagi yang lain, aku keluar mencari rezeki di sebuah taman yang berdekatan. Beberapa orang dewasa sedang bersenam. Kanak-kanak pun ada. Mereka kelihatan riang berkejar-kejaran. Alangkah bertuahnya mereka. Alangkah seronoknya mereka. Sibuk aku melayani perasaan aku, tiba-tiba muncul seorang gadis comel di hadapanku.

”Wah, comelnya kucing!” bisik hati kecil Noni. Itulah nama yang sempat aku dengar daripada kawan-kawannya.

”Kesian...sejukkah?” Diangkatnya aku. Dipeluknya aku erat-erat. Dapat aku rasa sedikit kehangatan. Kemudian, jari-jemari Noni membelai lembut badanku. Lembut dan manja sekali. Entah tiba-tiba aku pula jatuh rindu pada Noni!

”Noni! Lepaskan kucing itu!” sergah wanita yang muncul di sisi Noni. Mungkin wanita itu ibu Noni.

”Kucing comel, mama!”

”Kotor.................barangkali berkutu! Lepaskan, biarkan kucing itu!” arah ibu Noni tegas. Benar, badan aku kotor. Sudah sekian lama aku hidup melarat. Aku hidup dalam kelaparan. Aku hidup tanpa ibu bapa. Yatim piatu aku! Tetapi puncanya siapa? Siapakah yang menyebabkan hidup aku sampai begini? Hidup tanpa keluarga? Hidup tanpa kasih sayang? Siapa? Bukankah segala-galanya berpunca daripada pemandu kereta yang berwarna merah itu?

”Mama, izinkan Noni bawa pulang kucing comel ini...” pujuk Noni sungguh-sungguh.
”Kucing ini tidak bertuan. Kotor, barangkali berpenyakit. Nanti, mama carikan Noni kucing yang lebih cantik, iya...” pujuk ibu Noni.

”Tak mahu! Tak mahu! Noni nak yang ini! Yang ni, comel!” Sejuk hati kecil aku apabila mendengar kata-kata pujian daripada Noni di hadapan ibunya yang angkuh dan bengis auranya. Mahu tidak mahu, ibu Noni terpaksa memenuhi kehendak anak manjanya itu.
Sempat juga mata ibu Noni yang bengis itu menjeling tajam ke arahku. Marah, barangkali!

”Atoi! Mari sini, makan!” panggil Noni sambil menghulurkan sepinggan nasi berlaukkan ikan goreng. Wangi aromanya sehingga menaikkan selera makanku. Entah dari mana Noni memperoleh nama itu untuk aku. Atoi! Yang masih aku ingat, selepas makan malam pada suatu hujung minggu, ayah Noni bertanyakan namaku. Dengan spontan, Noni menamakan aku, Atoi.

”Atoi! Namanya, Atoi...papa!”

Senyum kecil Pak Dollah melihat telatah anak gadis kesayangannya. Ibu Noni pula diam membisu. Mencuka wajahnya apabila terlihat akan diriku sedang bermanja di sisi Noni. Atau barangkali tidak senang hati melihat kehadiranku di banglo mewah Pak Dollah. Siapa tidak kenal akan Pak Dollah di Bandar Malim? Masyarakat di Bandar Malim kenal benar akan Pak Dollah. Tauke-tauke Cina di Bandar Malim biasa memanggil Pak Dollah dengan gelaran Tuan. Tuan Dollah. Namun begitu, Pak Dollah tidak mendongak ke langit. Pak Dollah tidak lupa daratan. Pak Dollah sedar akan nasib sengsara yang pernah dialami oleh keluarganya pada zaman kolonial dulu. Ketika kecil remaja, Pak Dollah pernah menoreh untuk mencari wang saku untuk membiayai ongkos persekolahannya.

Berkat usaha gigih dan ketaqwaannya, Pak Dollah telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke menara gading. Sebaik tamatnya pengajian di universiti, Pak Dollah ditawarkan jawatan sebagai Pengurus Cawangan, Bank Simpanan Nasional. Namun begitu, Pak Dollah tidak bersifat angkuh. Pak Dollah tidak bersifat sombong. Sebaliknya, sifat murah hati dan budi bahasa Pak Dollah telah membahagiakan kehidupan keluarganya. Alangkah, alangkah bertuahnya ibu Noni!

Aku sudah biasa dengan adat resam keluarga Pak Dollah. Aku tahu akan waktu untuk keluar bersiar-siar. Waktu untuk bermanja dengan Noni. Waktu untuk makan dan sebagainya. Begitulah kehidupan aku sehari-hari. Kini, aku bertambah sihat, gemuk dan comel. Aku memiliki belaian kasih Noni. Pembantu rumah yang rajin, Minah. Pak Dollah yang berhati mulia. Dan, yang pasti, ibu Noni yang sombong dan bengis!

Pernah suatu pagi, ketika Noni ke kelas tadika, ibu Noni membiarkan aku di luar rumah.
”Main di luar, Atoi! Asyik nak tumpang tuah orang!” Halau ibu Noni dengan batang penyapu lidi.

Maka, terpaksalah aku berteduh di luar rumah. Dedahan mangga menjadi tempat naunganku. Pohon mangga itu berhampiran dengan pagar rumah jiran. Sesekali terpaksa aku mencari ilham di celah-celah pasu bunga kesayangan ibu Noni. Bersenam dan berguling-gulingan di lantai jubin untuk menghilangkan rasa bosan.
Tiba-tiba muncul seekor katak. Aku berundur setapak. Kemudian, aku mengacah-acah dengan tangan kananku. Katak itu melompat. Aku melangkah setapak lagi. Makin galaklah aku bermain dengan katak itu. Kejar sini, kejar sana. Dan, katak itu terpaksa mencari helah untuk melarikan diri daripada kepungan aku. Aku berasa seronok dan terhibur. Kemarahan aku pada ibu Noni terpadam.

”Atoi, sedang main apa tu?” Suara Noni muncul tiba-tiba. Aku diam seketika dan menghampirinya.

”Meow! Meow!” Manja benar aku tengah hari itu. Noni baru pulang dari kelas tadika. Pak Mat, tukang drebar yang menghantar Noni pulang. Selepas meletakkan beg kecilnya di ruang tamu, Noni keluar mendapatkan aku. Dipangkunya aku. Dipeluknya aku. Dibelainya aku perlahan-lahan tanda keintiman antara dua makhluk Tuhan yang bersahabat!

”Kenapa Atoi bermain di luar?” tanya Noni.
“Meow!”

“Di luar tu panas...Kita masuk ke dalam, ya?” Noni memimpin aku. Membisu aku tanda bahagia. Kalau ditakdirkan dapat bersuara, aku akan mengucapkan ribuan terima kasih. Kerana Nonilah, dapat aku berteduh, makan dengan selesa dan ceria selalu. Kini, aku sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Noni. Maka, aku perlu mematuhi undang-undang dan adat resam di rumah Noni. Aku mesti menghormati setiap arahan yang diberikan. Baik Noni, baik Minah, baik Pak Mat, baik ibu Noni mahupun Pak Dollah yang baik hati itu. Bagi aku, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

Malam itu, aku tidak seriang malam-malam sebelumnya. Sebenarnya aku sihat. Entah, bagaikan ada sesuatu yang sedang mengganggu intuisiku. Noni kehairanan melihat telatah aku pada malam itu. Minahpun sama. Ibu Noni biarpun benci akan diri aku tetapi dalam diam-diam berasa pelik juga. Pak Dollah pun sama.

”Noni?”
”Ya, papa!”
”Mari sini sekejap...”

Noni menghampiri Pak Dollah. Aku masih selesa dalam pelukannya. Tangan Pak Dollah membelai kepala aku. Aku berasa sayu. Sayu bercampur hiba. Aneh betul aku pada malam itu.

Selepas siaran warta berita TV3, Noni meminta izin ayah dan ibunya untuk berehat di kamar tidurnya. Aku dibawanya bersama. Noni mahu aku bersama-sama menemaninya. Itulah kegemaran Noni. Noni yang comel itu terlalu baik kepada diriku. Noni terlalu banyak berjasa kepada diriku. Tiba-tiba, aku memberontak bagaikan mahu melepaskan diri daripada belaian dan pelukan Noni.

“Meow!”
“Atoi! Kenapa ni?”

“Meow!” jerit aku sekuat-kuat hati sambil bertahan di anjung katil Noni. Noni kecemasan dan panik. Hadir seekor ular tedung yang cuba menyerang aku dan Noni. Noni menjerit sekuat-kuat hatinya. Pak Dollah, ibu Noni dan Minah berkejar ke kamar tidur Noni. Masing-masing cuba menyelamatkan Noni. Yang penting keselamatan Noni. Aku sedang bersiap siaga untuk mempertaruhkan nyawa melindungi Noni. Aku masih ingat akan pengalaman lampau. Pengalaman aku bermain-main dengan katak di luar rumah. Kemahiran itulah aku gunakan untuk menandingi sang ular tedung yang sedang mengganas dan meliar rakus itu.

Pengalaman mengacah-acah, menyerang sambil mempertahankan diri aku gunakan sebaik-baiknya. Ketika itu aku tidak mempedulikan nyawa aku. Yang penting nyawa Noni. Nonilah segala-galanya. Maka, berlakulah pertarungan yang sengit. Aku memulakan langkah. Ular itu cuba mematuk. Sempat aku menepis dan mengelak. Kemudian, dengan kudrat yang ada, aku mencengkam cakar sambil menggigit kepala ular tedung itu.

“Hisssss!
“Meow!”

Atoi dan ular tedung itu menggeleser, menggeletak dan menggeletik sebelum nafas kami kian semput. Kami tewas akhirnya di medan pertarungan yang sengit itu.

“Atoi!”
“Atoi!!”

Noni menangis bagaikan tragedi itu suatu mimpi ngeri. Padanya, aku tak mungkin mati. Aku gagah dan berani. Aku wira yang telah menyelamatkan nyawa Noni. Pak Dollah dan ibu Noni sempat menenteramkan hati kecil Noni. Dan ketika itulah, kelihatan penjuru mata ibu Noni berair. Kemudian, titis-titis air jernih itu membasahi pipi yang selama ini membengis pada wajahnya. Titis-titis air jernih itulah juga yang meratapi khabar kematian seekor kucing jalanan yang bernama Atoi!

ANALISIS NOVEL BM PMR TINGKATAN 3

MERDEKA! MERDEKA!
Penulis: A. Rahman Hanafiah ( Mana Sikana )
Tajuk:
Tema, Persoalan dan Latar Novel

TEMA NOVEL

Novel Merdeka! Merdeka! bertemakan perjuangan menentang penjajah Inggeris untuk membebaskan tanah air. Pada tahun 1943, pihak Inggeris telah berjanji kepada MPAJA untuk memberikan kemerdekaan kepada Malaya. Namun, mereka telah memungkiri janji setelah menguasai negara ini semula selepas kejatuhan pemerintahan Jepun. Mereka cuba memperkukuh kedudukan di Malaya dengan memperkenalkan Malayan Union. Cadangan Malayan Union ditentang hebat oleh semua persatuan Melayu. Tentangan ini diketuai oleh Datuk Onn Jaafar dan telah dibantu oleh beberapa orang ternama seperti Za’ba, Datuk Panglima Bukit Gantang, Hasmun, Kudin dan lain-lain. Dengan adanya tindakan tegas penduduk Malaya serta kerjasama Raja-Raja Melayu, rancangan Malayan Union tidak dapat dilaksanakan dan tentangan itu telah membuka jalan untuk menuntut kemerdekaan.

PERSOALAN-PERSOALAN NOVEL

(a) Keberanian mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis.
Golongan pemuda seperti Kudin, Bustam, Murad dan lain-lain berani mempertahankan kampung mereka, iaitu Kampung Teras Jernang daripada ancaman komunis dengan mendirikan kubu pertahanan.

(b) Pengorbanan demi tanah air.
Pak Awang sanggup meletakkan jawatannya sebagai seorang pekerja kerajaan demi perjuangan tanah air. Dia tidak mahu tunduk kepada amaran Tuan White yang memintanya agar tidak terlibat dalam aktiviti Persatuan Pahlawan Kemerdekaan.

(c) Kerjasama dalam kalangan penduduk.
Semua persatuan, parti dan kumpulan bekerjasama untuk menentang Malayan Union. Pada akhirnya, mereka dapat menggagalkan pengisytiharan Malayan Union.

(d) Ketabahan menghadapi dugaan.
Semasa Kudin berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri persidangan besar, dia diberitahu oleh ahli-ahli Persatuan Pahlawan Kemerdekaan yang baru sampai bahawa ayahnya telah ditembak mati oleh komunis. Walaupun berita itu menyedihkan, namun Kudin dapat menerima berita itu dengan tabah hati, dan seterusnya ingin memberikan ucapan dalam persidangan itu.

(e) Kekejaman pengganas komunis.
Dalam usaha menguasai Kampung Teras Jernang, komunis telah membunuh beberapa orang penduduk di kampung itu dengan kejam. Antara yang terkorban ialah ayah Kudin sendiri, Pak Awang, Pak Kasa, dan Bustam.

(f) Kebijaksanaan pemimpin dalam perjuangan.
Dato’ Onn bin Jaafar telah berjaya menyatukan semua kumpulan di negara ini dengan ucapan yang berapi-api untuk menentang Malayan Union. Beliau juga telah berjaya memujuk Raja-Raja Melayu untuk memulaukan upacara pengisytiharan Malayan Union. Tindakan bijak beliau dapat menggagalkan Malayan Union.

LATAR NOVEL

1. Latar Masa:
(a) Cerita dalam novel ini berlaku pada zaman penjajahan Inggeris, iaitu selepas Perang Dunia Kedua.

Tempoh cerita ini berlaku adalah lebih kurang dua bulan sahaja, iaitu pada awal bulan Mac 1946 hingga 1 April 1946.

(b) Kebanyakan peristiwa berlaku pada waktu siang.
Perhimpunan raksasa dan Perhimpunan Kongres Kebangsaan diadakan pada waktu siang, iaitu pada 1 Mac hingga 4 Mac di Kelab Sultan Sulaiman.
Terdapat sedikit peristiwa yang berlaku pada waktu malam.
Perbincangan diadakan di rumah Tuk Ketua pada waktu malam untuk membincangkan persiapan tentang perhimpunan di Kuala Lumpur.

2. Latar Tempat:
(a) Rumah Pak Awang, di Kampung Teras Jernang.
Pada suatu hari, Osman dan Kasim datang ke rumah Pak Awang dan mengugut Pak Awang agar menghentikan kegiatannya dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan yang antikerajaan. Namun, Pak Awang tidak tunduk pada ugutan itu.

(b) Rumah Tuk Ketua.
Di sinilah anggota Persatuan Pahlawan Kemerdekaan mengadakan mesyuarat untuk mencadangkan keselamatan kampung dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mempertahankan kampung daripada ancaman komunis.

(c) Padang Kelab Sulaiman.
Di padang inilah berhimpun beribu-ribu orang Melayu untuk mendengar ucapan Datuk Onn dan Kudin.

(d) Hotel Stesen.
Datuk Onn ke Hotel Stesen dan menemui Raja-Raja Melayu untuk menggagalkan penubuhan Malayan Union. Ramai orang Melayu berkumpul di luar hotel sebagai tanda penentangan terhadap penubuhan Malayan Union. Raja-Raja tidak menghadiri pengisytiharan Malayan Union. Akhirnya, Inggeris gagal menubuhkan Malayan Union.

3. Latar Masyarakat:
(a) Masyarakat Melayu beragama Islam yang tinggal di kampung.
(b) Masyarakat yang cinta akan tanah air.
(c) Masyarakat yang taat dan setia akan Raja dan menghormati pemimpin.
(d) Masyarakat yang hidup dalam suasana bantu-membantu dan bekerjasama.

Hasil kerja:
Kumpulan 2 (Tivya Aingari Ganesan dan rakan-rakan), Tingkatan 3 Muzik, SMK Methodist, Tg. Malim.

Saturday, August 15, 2009

SAJAK XVI - H1N1

H1N1

Lidah H1N1 kian liar menjalar
Lilit membelit jantung hidup insan
Tanpa belas kasihan

Virusmu, H1N1 kian mengganas
Melebarkan sayap bisa
Ke seantero benua
Tanpa simpati
Tanpa empati

Maka, berkabunglah
Kaum keluarga, sanak saudara & handai taulan
Menangisi pemergian mangsa
Ke buana sakaratulmaut
Ironi
nya , inilah ketika
Para peniaga berjiwa haloba
Mempertaruhkan nyawa dengan laba
di gedung farmasi
di premis ubat
masih bernafsu ia
mencekik nafas sukar warga
yang sedang bertarung
antara payah kos ubat,
nilai topeng muka dan lelah sebuah nyawa
di gapura hidup

Seperti selesema, SARS, JE
Awas, H1N1:
- virus serius di era globalisasi
- virus rakus di buana modenisasi
barangkali bisa ia
meranapmusnahkan kehidupan
dalam kecuaian kita
dalam kesambalewaan manusia
barangkali bisa ia
melenyapghaibkan ketamadunan
dalam kelekaan kita
dalam kealpaan manusia
dibuai ribuan angan-angan
dibelenggu jutaan impian
kehidupan
tanpa muafakat
tanpa sepakat!

Chai Loon Guan,
SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

PENULISAN KARANGAN BM (K1) SPM - BAHAGIAN B (PENGALAMAN)

Tajuk:
Setiap individu mempunyai impiannya tersendiri. Sebagai seorang pelajar yang berwawasan, anda mempunyai impian untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Jelaskan persiapan-persiapan yang perlu anda lakukan untuk merealisasikan impian anda itu.


Sebagai insan yang masih berdenyut, kita tidak boleh sekadar berdiam diri dan memasang impian dan cita-cita dalam kehidupan ini. Begitu juga dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan impian, harapan dan cita-cita barulah sempurna. Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Akan tetapi beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang berjaya memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh kesemua 21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar yang berwawasan, saya mempunyai impian untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan awal amatlah mustahak sebagai persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Pertama-tama, saya perlu menetapkan suatu matlamat yang jelas sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Saya perlu belajar memahami diri dari segi kecenderungan, kemampuan, kekuatan dan kelemahan supaya saya dapat menepati matlamat diri. Manusia tidak merancang untuk gagal tetapi sebenarnya mereka gagal merancang dek tidak mempunyai hala tuju atau impian masa depan yang cemerlang.

Kebanyakan pelajar pada milenium ini mengadu bahawa mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi kerana mereka terlalu sibuk akan pelbagai aktiviti selain pelajaran. Istilah tidak ada masa bukan merupakan alasan yang jujur kerana pada dasarnya kita semua memiliki masa 24 jam setiap hari. Yang perlu ditingkatkan sebenarnya ialah usaha kita untuk membahagikan masa dengan lebih cermat dan berhemah. Kita digalakkan membuat jadual waktu dan menuruti jadual itu tanpa gagal agar perjalanan hidup seharian kita sistematik, berdisiplin dan seimbang. Kita perlu membahagikan masa kita untuk membuat ulang kaji, beriadah atau bersenam, dan berinteraksi dengan ahli keluarga secara seimbang. Jadual waktu kita tidak semestinya penuh dengan aktiviti ulang kaji dan kelas tambahan, sebaliknya kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan pelbagai akitiviti yang dapat mengurangkan tekanan hidup seperti bersenam, menyertai kem, menonton televisyen dan sebagainya.

Selain itu, semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, saya perlu memberikan perhatian penuh tanpa kompromi. Pada hari yang sama, saya perlu membuat nota ringkas untuk memudahkan saya membuat ulang kaji pada bila-bila masa. Mungkin setiap orang mempunyai cara belajar yang tersendiri dan berbeza tetapi bagi saya kaedah perbincangan antara rakan sebaya atau belajar secara berkumpulan merupakan kaedah yang terbaik untuk kita mengingati fakta. Setiap ahli kumpulan mesti bersifat tegas, berdedikasi dan berdisiplin untuk memastikan tiada perkara lain yang dibincangkan selain intipati pelajaran. Debat dan perbincangan boleh diadakan sesama sendiri untuk memahami sesuatu topik. Maklumat yang dikongsi bersama juga mampu mendatangkan impak yang positif kepada setiap individu.

Antara amalan lain yang boleh saya amalkan termasuklah rajin menimba ilmu dan pengalaman. Pada hemat saya, membaca buku dapat meningkatkan daya fikir dan ilmu pengetahuan bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Saya suka memilih buku-buku yang bertema berat dan berkaitan dengan kecemerlangan hidup. Buku-buku yang dikarang oleh Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat yang terunggul pada abad ini misalnya menjadi pilihan saya pada masa santai. Bagi saya, pelajar yang menginginkan kecemerlangan tidak boleh malas membaca. Selain itu, saya juga perlu menjadi pendengar yang baik. Sama ada orang yang sedang bercakap itu guru mahupun rakan-rakan, saya tetap akan setia mendengar jika perkara yang diperkatakan itu mendatangkan kebaikan. Sebagai insan pelajar, kita tidak harus bersikap angkuh ketika menimba ilmu. Sikap rendah diri secara positif ibarat padi semakin berisi semakin tunduk wajar kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari.

Bersesuaian dengan era globalisasi, saya tetap tidak akan ketinggalan menggunakan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi secara positif untuk menimba ilmu. Saya sentiasa melayari Internet di rumah bagi mendapatkan pelbagai maklumat. Antara laman web yang saya layari termasuklah portal pelajaran dan berita tentang hal-ehwal dunia semasa. Kadang-kadang saya turut bersembang siber dengan sahabat pena sama ada dari negara kita atau dari luar negara untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris saya lagi. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat di dalam blog masing-masing. Prasarana Internet amat membantu saya untuk menambahkan ilmu dan kemahiran tanpa perlu kita menyalahgunakan kemudahan canggih tersebut.

Akhirulkalam, kejayaan tidak akan dapat direalisasikan oleh manusia yang asyik leka dan malas tanpa hala tuju hidup yang jelas dan berwawasan. Sebaliknya, sebagai insan yang dahaga akan ilmu, pengalaman, dan kejayaan, kita perlu senantiasa bersikap tekun, gigih dan tabah berusaha tanpa putus asa. Yang paling penting, kita perlu pasrah, berdoa dan mendapat keberkatan daripada Tuhan, ibu bapa, dan guru-guru sebelum menduduki peperiksaan agar usaha kita senantiasa diberkati dan berjaya.

Disediakan oleh,
Emerlyn Khong Vin Yan, Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, Tg. Malim, Perak.

IMBUHAN SISIPAN BM

Imbuhan Sisipan Bahasa Melayu

Sisipan -el-, contoh kata:-
1. tapak - telapak
2. kupas - kelupas
3. tunjuk - telunjuk
4. serak - selerak
5. getar - geletar

Sisipan -em-, contoh kata:-
1. guruh - gemuruh
2. gilang - gemilang
3. kuning - kemuning
4. kuncup - kemuncup
5. gercing - gemercing
6. gentar - gementar

Sisipan -in-, contoh kata:-
1. sambung - sinambung

Sisipan -er-, contoh kata:-
1. godak - gerodak
2. sabut - serabut
3. gicau - gericau
4. gigi - gerigi
5. kuping - keruping
6. suling - seruling
7. godak - gerodak

(Bibliografi: Tatabahasa Dewan DBP)

AYAT MAJMUK PANCANGAN BM

Dalam BM terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan seperti yang berikut:-
1. Ayat Majmuk Pancangan Relatif
2. Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
3. Ayat Majmuk Pancangan Keterangan

1. Ayat Majmuk Pancangan Relatif menggunakan kata relatif 'yang'.

Contoh ayat:
Encik Alwi membasuh kereta yang baru dibelinya.

Ayat di atas terdiri daripada dua ayat, iaitu:-
a. Encik Alwi membasuh kereta. (Ayat utama)
b. Kereta itu baru dibelinya. (Ayat ini dipancangkan kepada ayat utama dengan kata relatif yang)

2. Ayat Majmuk Pancangan Komplemen menggunakan kata komplemen 'bahawa'.

Contoh ayat:
Mutu menjelaskan bahawa disket kawannya hilang.

Ayat di atas terdiri daripada dua ayat, iaitu:-
a. Mutu menjelaskan sesuatu. (Ayat utama)
b. Disket kawannya hilang. (Ayat ini dipancangkan kepada ayat utama dengan kata komplemen bahawa)

3. Ayat Majmuk Pancangan Keterangan merupakan ayat kecil (klausa) berfungsi sebagai keterangan.

Contoh ayat:
Kambing itu mengembek kerana sangat lapar.

Ayat di atas terdiri daripada dua ayat, iaitu:-
a. Kambing itu mengembek. (Ayat utama)
b. Kambing itu sangat lapar. (Ayat kecil yang berfungsi sebagai keterangan dengan kata hubung kerana)

(Bibliografi: Teks BM Tingkatan 2: DBP)

Friday, August 14, 2009

UJIAN SETARA BM (K2) TINGKATAN 4 - 2009

SMK METHODIST, TG. MALIM

SKEMA JAWAPAN
Soalan 1
Tulis satu ayat daripada kata-kata di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, serta menggunakan kata-kata tersebut sebagai peribahasa dan kata nama khas.

i. Cocok
Pasangan pengantin yang sedang bersanding di pelamin itu kelihatan amat cocok.
ii. Cucuk
Belon yang ditiup oleh Raju itu saya cucuk dengan pin tanda nama supaya cepat meletup.
iii. Tulus
Kami membantu lima orang anak yatim itu dengan hati yang tulus tanpa mengharapkan sebarang balasan.
iv. Telus
Kain yang dibuat baju hujan sepatutnya tidak telus air.
v. Mandat
Dalam perhimpunan itu, Perdana Menteri menyampaikan mandat baharu kepada rakyat.
vi. Madat
Polis berjaya merampas berkotak-kotak madat dalam serbuan itu.
(6 markah)

Soalan 2
Tukarkan ayat pasif di bawah ini kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.

1a. Encik Balan diberitahu oleh Nora bahawa Encik Malik ada di pejabat.
1b. Nora memberitahu Encik Balan bahawa Encik Malik ada di pejabat.

2a. Harga barang kawalan akan ditetapkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
2b. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menetapkan harga barang kawalan.

3a. Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar perlu ditangani oleh semua pihak secara bijak.
3b. Semua pihak perlu menangani masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar secara bijak.
(6 markah)

Soalan 3
Dalam ayat-ayat di bawah ini terdapat dua penggunaan ejaan dan imbuhan yang salah. Kenal pasti kesalahan-kesalahan tersebut dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Semua calun (calon) SPM boleh mengambil keputusan pemeriksaan (peperiksaan) di sekolah masing-masing.
ii. Menandingi (Pertandingan) akhir Piala Thomas itu akan disiarkan secara langsong (langsung) oleh pihak TV3.
iii. Para pelajar harus tulisan (menulis) jawaban (jawapan) pada kertas yang akan diberikan.
(6 markah)

Soalan 4
Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat dua kesalahan penggunaan kata atau istilah dan penggunaan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksudnya.

i. Pihak kami telah menyediakan tiga belok (blok) rumah kongsi untuk buruh benaan (binaan).
ii. Menurut laporan, kedua (kedua-dua) budak itu pernah ditangkap kerana peras (memeras) ugut pelajar lain.
iii. Berapa (Beberapa) helai seluar ini tidak boleh dipakai oleh Ah Seng kerana sudah padat (ketat).
(6 markah)

Soalan 5
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini.

Fazira dan Alia berkawan baik sejak kecil lagi. Mereka tidak pernah bergaduh. Mereka sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama. Fazira mengajar Alia yang lemah dalam Matematik. Sekiranya Fazira menghadapi masalah dalam mata pelajaran Geografi, Alia akan membantunya. Mereka saling membantu dan menghormati. Hubungan mereka sangat mesra.
(6 markah)

Peribahasa:
1. Bagai dakwat dengan kertas.
2. Bagai kuku dengan isi.
3. Terapung sama hanyut, terendam sama basah.

Soalan 6
Jawab kedua-dua soalan di bawah ini. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel yang berikut:

Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusof

a. Tema dan persoalan penting dalam penghasilan sesebuah novel. Bincangkan tema dan persoalan yang terdapat dalam novel tersebut.
(7 markah)

Tema:
Kebijaksanaan dan pemikiran yang matang dapat membawa kejayaan kepada seseorang.
Contoh:
Walaupun Tuk Kura sudah tua, tetapi kebijaksanaan dan kematangannya mampu mengalahkan arnab yang jauh lebih muda daripadanya.

Persoalan:
Kegigihan
Tuk Kura gigih menyusun strategi untuk menghadapi perlumbaan dengan arnab putih. Akhirnya Tuk Kura berjaya mengalahkan arnab putih.
Ketabahan
Cemuhan dan kritikan dapat mendorong seseorang mencapi kejayaan. Cemuhan dan kritikan daripada kaumnya sendiri menguatkan azam Tuk Kura untuk membuktikan kemampuannya.

b. Watak utama dalam sesuatu novel lazimnya memiliki ciri-ciri positif yang sesuai dijadikan contoh oleh pembaca.
Huraikan ciri-ciri positif watak utama yang sesuai anda jadikan contoh berdasarkan novel tersebut.
(8 markah)

Tuk Kura
- Ketua berusia 199 tahun yang bijak dan banyak pengalaman.
- Bertegas akan keputusan yang telah dibuat, yakni sanggup beradu kepantasan berlumba dengan Sang Arnab.
- Sabar menghadapi cemuhan dan kritikan yang dilemparkan terhadap latihan yang dikendalikan.
- Suka memberikan nasihat dan berhati ikhlas.

(Bibliografi:
Kertas Model Sasbadi SPM 2004 / Panitia BM, SMK Methodist, Tg. Malim.)