Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, July 28, 2009

ESEI I - GAYA BAHASA DALAM LAMBAIAN MALAR HIJAU

GAYA BAHASA
Unsur Metafora dan Personifikasi dalam cerpen “Lambaian Malar Hijau".

1.0
Pendahuluan:

Lazimnya, unsur metafora dan personifikasi merupakan antara unsur atau inti gaya bahasa yang membina sesebuah karya puisi, khususnya genre sajak. Namun,tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua unsur gaya bahasa tersebut turut hadir sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam karya-karya sastera yang lain seperti genre cerpen, novel dan drama.

Justeru, makalah ini cuba mengenal pasti unsur-unsur metafora dan personifikasi dalam teks cerpen “Lambaian Malar Hijau” (Antologi Anak Laut: Halaman 88 – 98) buah pena penulis wanita bukan Melayu tanah air yang prolifik dewasa ini, iaitu Saroja Theavy a/p Balakrishnan.

2.0
Sinopsis Cerpen:

Cerpen “Lambaian Malar Hijau” (LMH) mengisahkan Daneng anak orang asli dari perkampungan asli Lembah Tualang yang enggan meneruskan pelajaran walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sudah enam bulan Daneng meninggalkan sekolah berasrama dan kembali ke kampungnya di kawasan hutan. Cikgu Jo yang tidak mudah berputus asa terus memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya.

Pada mulanya, Daneng berkeras tidak mahu menyambung pelajarannya kerana terlalu cinta akan kawasan hutan yang dianggap warisan daripada nenek moyangnya. Cikgu Jo menyuruh Daneng melanjutkan pelajaran kerana dengan ilmu dan kedudukan yang baik, dia akan dapat menjaga hutan itu dengan lebih berkesan. Akhirnya, hati Daneng lembut dan dia meneruskan pelajaran di bandar.

Dua puluh lima tahun kemudian, Daneng telah berjaya menerima Hadiah Nobel kerana usahanya memulihara dan menambah kawasan hutan di negara ini. Beliau telah dianugerahi gelaran “Datuk” atas segala usahanya. Cikgu Jo berbangga dengan pencapaian pelajarnya itu. Datuk Daneng sebagai orang yang tidak cepat lupa daratan terus mengenang jasa Cikgu Jo yang amat besar itu.

3.0
Biodata Penulis:

Saroja Theavy a/p Balakrishnan dilahirkan pada 7 April 1962 di Alor Star, Kedah. Ijazah Sarjana Muda Sastera & Diploma Pendidikan diperoleh melalui pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bertugas sebagai guru di SM Alam Megah, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kesusasteraan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Cerpen-cerpennya dihimpunkan dalam antologi Menara (1988), Menara 2 (1989), Menara 4 (1991), Kuala Lumpur dan Angin Pagi (1994). Pernah memenangi Hadiah Cerpen Malayan Banking – DBP I, II dan IV, dan tempat kedua dalam Peraduan Menulis Cerpen DBKL – DBP ( sempena Kuala Lumpur 100 tahun). Kumpulan cerpennya ialah Gemerlapan.

4.0
4.1
Definisi Metafora:

Metafora merupakan perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, umpama, bak, bagai, ibarat, dan sebagainya.
Contohnya:
a. Pengalaman demi pengalaman dapat kugaulkan menjadi resipi kedewasaan.
b. Akar tradisi kautinggalkan di arkib nostalgia.
c. Kasih dan iltizam ibu akan kekal terukir di arca ingatan.

4.2
Metafora dalam cerpen LMH:

Butir-butir kemegahan (Hlm.88)
Rantai keresahan (Hlm.88)
Alunan manja (Hlm.88)
Titisan kegelisahan (Hlm.88)
Pintu hati (Hlm.89)
Harum kesegaran (Hlm.89)
Irama rimba (Hlm.89)
Lautan fikiran (Hlm.90)
Daerah satelit (Hlm.90)
Kotak hati (Hlm.91)
Kitaran kemiskinan (Hlm.91)
Butir-butir idea (Hlm.91)
Panorama asmaraloka (Hlm.92)
Menara gading (Simpulan Bahasa) (Hlm.94)
Awan kerisauan (Hlm.96)
Jantung belantara (Hlm.96)
Manik-manik peluh (Hlm.97)
Anak rimba (Hlm.97)
Garis-garis usia (Hlm.97)
Ombak kegembiraan (Hlm.97)
Kolam mata (Hlm.97)

5.0
5.1
Definisi Personifikasi:

Personifikasi dikenal juga sebagai perorangan atau penginsanan. Pengarang memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak-tinduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang lebih abstrak.
Contohnya:
a. Kemanusiaan yang ternoda merelakan manusia mencabul dan membunuh.
b. Kegagalan sebenarnya mengajar kita erti ketabahan dan kecekalan.
c. Dan saat itulah ingatannya segera terbang balik ke kampung.
d. Benaknya mendandan sejuta persoalan.

5.2
Personifikasi dalam cerpen LMH:

01.
Masa berengsot perlahan-lahan dalam alunan manja belantara Khatulistiwa ketika Daneng memimpin seorang lelaki tua mendaki cerun landai yang ditumbuhi semak-samun.
02.
Pandangan matanya menjangkau jauh, meneliti gerak-gerayu setiap batang pohon di kawasan hutan itu.
03.
Kesuk-kesik dedaun seakan-akan membisikkan sesuatu.
04.
Perasaannya kian kuat berkocak.
05.
Kabus pagi yang sejuk mengucup mesra jiwa Daneng yang dihujani titisan kegelisahan sejak bunga-bunga putih pohon resak laut di hadapannya itu mula berkembang.
06.
Kelihatan lebah-lebah menari-nari mengerumuni sarang madukara yang tergantung pada dahan pohon itu.
07.
Perlahan-lahan alam yang menghijau dan jiwa manusia yang buncah itu bersua.
08.
Nikmat kebebasan membanjiri segenap jiwa raganya.
09.
...ketika suria menyimbah cahaya.
10.
Harum kesegaran pawana pagi terus menerpa perkampungan asli di Lembah Tualang.
11.
…dan depusan angin menghidupkan alam raya.
12.
Ketidakpastian mula mengetuk pintu hatinya.
13.
Kicauan unggas yang pelbagai menusuk cuping telinganya.
14.
Kalimatnya diselimuti perasaan ketidaksenangan yang timbul tenggelam.
15.
Fikirannya ligat memikirkan Daneng.
16.
Pandangan matanya menangkap kesederhanaan isi pondok itu.
17.
Pelbagai persoalan berpusar di kotak hati Jo.
18.
Suara-suara pelbagai mergastua membungkus alam di sudut dunia ini.
19.
Fikirannya ligat mencerna butir-butir idea yang timbul.
20.
Barisan pepohon hijau yang ditiup angin berkerisikan membisikkan rahsia-rahsia alam yang belum difahami umat manusia.
21.
Nyanyian unggas bergema, bermesra dengan gemercikan air tasik yang membiru yang meriba bayangan langit biru yang megah di angkasa raya.
22.
Kesenyapan mengunci mulutnya.
23.
Sinar mentari yang gagah menguasai suasana tengah hari.
24.
Angin gunung yang sejuk bertiup perlahan-lahan mendakap tubuh mereka dalam kesegarannya.
25.
Hutan ini tidak membenarkan sebarang kekurangan kepada kami.
26.
Kekaguman mengisi benak Jo sekali lagi melihat kepetahan anak muridnya itu berpidato.
27.
Kemajuan menerpa manusia.
28.
Hutan ini memerlukan kamu.
29.
Kehampaan mengisi benak Jo.
30.
Suria pagi bersinar megah membuka lembaran baru.
31.
Kehampaan yang menggari jiwa Jo lenyap.

6.0
Kesimpulan:

Kesimpulannya, berdasarkan kajian di atas, jelaslah bahawa Saroja Theavy a/p Balakrishnan banyak menggunakan unsur metafora dan personifikasi dalam cerpen “Lambaian Malar Hijau”.Secara tidak langsung, penggunaan kedua-dua unsur gaya bahasa tersebut turut menunjukkan keterampilan pengarang berbahasa Melayu, yakni berbahasa puitis dan berestetika dalam karya sastera sekali gus mengangkat martabat cerpen LMH sebagai salah sebuah karya cerpen tanah air yang bermutu dan bernilai seni!


Bibliografi:
1. Antologi Anak Laut, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur:2000.
2. Kupasan & Kajian Perlumbaan Kedua & Anak Laut, Sasbadi Sdn.Bhd., Petaling Jaya: 2001.
3. Kamus Dewan Edisi Ketiga, DBP, Kuala Lumpur: 1994.
4. Chai Loon Guan, Sajak – Migrasi ke Selatan: Catatan Penyair – antara akar tradisi & jati diri seorang anak watan: 2002.

Chai Loon Guan, 35900 Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan.

ESEI II - POLA AYAT DASAR BM KELAS PERALIHAN

Tajuk:
Kaedah Berproses dalam Pembinaan Ayat Dasar Bahasa Melayu Kelas Peralihan.

Pendahuluan:

Menurut Kamus Dewan, kata bermaksud ujar atau gabungan atau kesatuan bunyi yang mengandungi atau menyampaikan pengertian (makna) tertentu manakala frasa pula merupakan sekumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa.

Ayat pula bermaksud satu perkataan atau serangkai perkataan yang merupakan kesatuan yang membawa sesuatu maksud, kalimat atau beberapa kalimat yang merupakan kesatuan maksud.

Menurut Tatabahasa Dewan (1993:413), ayat mengandungi unsur klausa, manakala klausa terbentuk daripada unsur frasa, dan frasa pula terdiri daripada bentuk-bentuk perkataan. Jadi, ayat terletak pada peringkat susunan yang tertinggi dalam tatabahasa, manakala perkataan pula terletak pada peringkat susunan yang paling bawah, seperti dalam rajah berikut:

AYAT:
Anak orang itu sedang tidur.

KLAUSA:
anak orang itu sedang tidur

FRASA:
anak orang itu
sedang tidur

KATA:
anak
orang
itu
sedang
tidur

Makalah ini secara khusus akan menyentuh aspek pembinaan ayat dasar Bahasa Melayu, iaitu ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa di kalangan murid-murid Kelas Peralihan melalui teknik pembinaan ayat secara berproses merangkum langkah-langkah berikut:

i. K - Penyenaraian Kata
ii. F - Pembinaan dan Pembentukan Frasa
iii. A - Pembinaan Ayat

Langkah Pengajaran & Pembelajaran:

Langkah 1:
Penyenaraian Kata:

Guru meminta murid-murid menyenaraikan kosa kata berdasarkan golongan kata Bahasa Melayu, yakni Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif dan Kata Sendi Nama (Kata Tugas).

Contoh:
1. rumah - Kata Nama (KN)
2. makan - Kata Kerja (KK)
3. cantik - Kata Adjektif (KA)
4. dari - Kata Sendi Nama (KSN)

Langkah 2:
Pembinaan dan Pembentukan Frasa:

Guru meminta murid-murid membina dan membentuk frasa berdasarkan kosa-kosa kata yang telah disenaraikan untuk membentuk Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif, dan Frasa Sendi Nama.

Contoh:
5. rumah nenek - Frasa Nama (FN)
6. makan nasi - Frasa Kerja (FK)
7. amat cantik - Frasa Adjektif (FA)
8. dari Tanjong Malim - Frasa Sendi Nama (FSN)

Langkah 3:
Pembinaan Ayat Dasar:

Guru meminta murid-murid menggunakan frasa-frasa yang telah dibentuk untuk membina ayat dasar yang mudah dan lengkap berdasarkan rumus berikut:

AYAT = SUBJEK + PREDIKAT

9. Rumah nenek di Kampung Berop.
Subjek: Rumah nenek (FN)
Predikat: di Kampung Berop (FSN)

10. Wuang Xing sedang makan nasi.
Subjek: Wuang Xing (FN)
Predikat: sedang makan nasi. (FK)

11. Bunga itu amat cantik.
Subjek: Bunga itu (FN)
Predikat: amat cantik (FA)

12. Pelajar itu dari Tanjong Malim.
Subjek: Pelajar itu (FN)
Predikat: dari Tanjong Malim. (FSN)

Kesimpulan:
Kaedah pembinaan ayat dasar secara berproses ini merupakan antara usaha yang dapat membantu para murid Kelas Peralihan untuk memahami konsep kata, frasa dan ayat secara tidak langsung di samping memudahkan mereka mencuba membina ayat dasar yang gramatis sebelum mereka didedahkan kepada ayat tunggal dan ayat majmuk yang lebih mencabar dan tinggi aras kesukarannya.

Sebagai latihan susulan, pengayaan dan pengukuhan, guru-guru Bahasa Melayu Kelas Peralihan boleh meminta murid-murid menyenaraikan kosa-kosa kata, membina dan membentuk frasa dan membina ayat dasar yang gramatis berdasarkan senarai kata yang tersurat dalam teks rencana, berita ataupun bahan sastera kanak-kanak yang bersesuaian dengan aras pemahaman murid-murid.

Chai Loon Guan, Panitia Bahasa Melayu, SMK Methodist, Tg. Malim.

NOTELUN HIDUP SEORANG PENULIS

NOTELUN HIDUP SEORANG PENULIS DI BUANA SUSASTERA MELAYU:
Chai Loon Guan

Dunia bahasa Melayu sudahpun saya gauli sejak zaman kanak-kanak. Kawasan persekitaran desa dan masyarakat yang berbilang ras, agama dan latar belakang di Kampung Berop, Tg. Malim ketika itu mendekatkan diri saya dengan alam dan budaya Melayu tanpa sebarang kesukaran. Malah, saya lebih yakin dan selesa untuk bertutur, berbincang atau menulis dalam bahasa Melayu dengan rakan-rakan yang berbilang bangsa sama ada di kampung ataupun di sekolah dalam rutin kehidupan kami sehari-hari.

Peluang terbuka lebih luas lagi apabila saya bergiat aktif bersama dengan kawan-kawan sesekolah dalam kegiatan bahasa dan sastera melalui Persatuan Bahasa Malaysia, SMJK Methodist, Tg.Malim. Saya semakin yakin dan berani untuk berjinak-jinak dalam genre penulisan. Utusan Pelajar yang pada ketika itu begitu sinonim dengan dunia pendidikan, saya langgani saban minggu. Forum Utusan Pelajar saya sertai sungguh-sungguh. Tajuk demi tajuk forum saya kaji dan tulis. Memang benar kata orang rajin berusaha tangga kejayaan. Usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya membuahkan beberapa banyak hasil. Kali pertama dalam hidup saya sebagai seorang murid, dapat saya nikmati hasil titik peluh sendiri apabila tajuk forum yang saya tulis memenangi tempat kedua. Wang hadiah sebanyak RM 20.00 ketika itu, iaitu sekitar tahun 1975 (Tingkatan Tiga) jelas memberikan suntikan galakan yang cukup memberangsangkan dalam hidup saya.

Ucapan tahniah daripada kawan-kawan dan guru, terutamanya guru BM cukup memberikan nafas dan dorongan untuk saya terus bergiat aktif dalam dunia kebahasaan dan kesusasteraan Melayu. Selain memberikan pendapat dalam ruangan forum, saya sudah mula menyumbangkan cerpen sains ke ruangan kelolaan Pat Matlob selain bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan Melayu di sekolah. Antara lain, saya melibatkan diri dalam pertandingan bahas, tarian, deklamasi sajak dan menjayakan beberapa banyak aktiviti seni budaya di peringkat sekolah. Bayangkan ketika itu, sebagai murid bukan Melayu dalam jurusan sains tulen, saya amat berminat dalam dunia kebahasaan dan kesusasteraan Melayu walaupun permohonan saya bertukar aliran ditolak bulat-bulat oleh pihak sekolah atas alasan kekurangan murid dalam jurusan tersebut. Akhirnya, saya terpanggil untuk mengambil kertas Kesusasteraan Melayu secara persendirian dan berjaya memperoleh kepujian yang sedikit banyak dapat dijadikan modal perangsang untuk saya terus menceburkan diri dalam dunia kesusasteraan tanah air yang masih baharu dan amat terasing kepada diri saya.

Dalam kesibukan mengisi pelbagai borang untuk mengisi dunia kerjaya selepas tamatnya pendidikan Tingkatan 5 dan kegagalan melanjutkan pelajaran di Tingkatan 6, peluang terbuka untuk saya menjadi seorang guru sementara di SMJK Katholik (Persendirian), Tg.Malim sebelum berjaya mengikuti kursus perguruan asas di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 1980-81. Pengalaman setahun setengah sebagai guru sementara memberikan pendedahan awal tentang kerjaya seorang guru dan sedikit banyak turut membantu memantapkan modal insan dalam diri saya, khususnya dalam genre kesusasteraan. Di MPIK, dapatlah saya berkongsi pengalaman dengan Pak Kassim Ismail, Pak Alias, Pak Kadir Ahmad dan beberapa orang pensyarah bahasa dan sastera yang berwibawa. Di benua ilmu MPIKlah, skrip drama teater saya yang berjudul - MOGOK dapat direalisasikan. Skrip tersebut juga pernah dipentaskan oleh Kelab Teater MPIK di USM sempena Pestarama Teater antara maktab-maktab perguruan se-Malaysia.

Sebenarnya dunia bahasa dan sastera cukup sukar, beronak dan mencabar lebih-lebih lagi kepada penulis bukan Melayu seperti saya. Hanya yang sabar, tabah dan cekal dengan usaha yang sungguh-sungguh barulah dapat bertahan untuk mengecapi hasil dan nikmat kejayaan yang barangkali akan membahagialukakan atau menderitariakan sang penulis lebih-lebih lagi penulis ikan bilis seperti saya. Namun terpahat jua di sudut kalbu nurani kecil, dunia ini akan saya gauli biarpun terpaksa berhadapan ombak cabaran yang menduga. Kerana apa? Sungguh, atas minat dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap bahasa dan sastera Melayu tanah air bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

Berbekalkan ilmu, pengalaman dan kematangan yang dicari dan diasah dengan tekun dan sabar serta pembacaan demi pembacaan, dapatlah saya loloskan diri selangkah demi selangkah daripada perangkap maut genre kesusasteraan Melayu. Bolehkah kita cari makan dengan dunia kesussasteraan atau dunia penulisan? Suara-suara nakal dalam sintaksis yang sinis daripada handai-taulan dan saudara-mara tidak saya biarkan untuk menggagalkan niat murni saya berkelana dan bergiat dalam genre kesusasteraan Melayu, khususnya dunia penulisan sajak yang amat saya senangi. Semasa bertugas di SM Dato Bendahara CM Yusuf, Tg.Tualang, sajak saya yang berjudul ‘Sampan’ tersiar dalam majalah Dewan Sastera. Keyakinan diri kian menyerlah untuk saya menulis dan terus menulis sehinggalah saya berpeluang untuk memenangi beberapa banyak hadiah sastera sama ada di peringkat negeri atau di peringkat kebangsaan. Antara lain Hadiah Sajak MAYC Perak, Hadiah Sajak Hari Guru Perak, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank dan Hadiah Cerpen DBP – Maybank dalam kategori penulis bukan Melayu. Sesungguhnya kemenangan bukan untuk diegokan atau diperagakan takbur dan angkuh sebaliknya merupakan tanggungjawab dan wadah yang terbaik untuk saya terus bernafas dan gigih berkarya di buana kebahasaan dan kesusasteraan tanah air. Slogan atau moto – Bahasa Jiwa Bangsa tetap membenih subur di kalbu nubari saya selagi hayat dikandung badan.

Saya amat sedar bahawa untuk menjadi seorang penulis yang lebih mantap dan serba boleh, disiplin ilmu perlu ditingkatkan. Pengalaman dan kemahiran pertu ditimba dan diasah sungguh-sungguh melalui disiplin pembacaan dan pengembaraan dunia luas ilmu. Biarpun permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran di MPSI dalam bidang bacaan dan penulisan gagal pada ketika itu, namun berkat daripada sokongan kuat Tuan Haji Radzuan, dapat juga saya mengejar impian di Institut Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1991) dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke Rancangan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dua tahun kemudian, iaitu sekitar 1994. Di Universiti Malaya, dapatlah saya menimba disiplin ilmu bahasa dan sastera secara tuntas dan wibawa daripada Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim (Tatabahasa), Prof. Dr. Hashim Awang (Sastera), Prof. Dr. A.Wahab Ali (Sastera), Prof. Madya Dr. Sanat Nasir (Tatabahasa Wacana), Prof. Madya Dr. Hashim Ismail (Sastera), En. Nuwairi Khaza’ai (Laras), En. Wong Khek Seng (Wacana & Perkaedahan BM) dan beberapa banyak sarjana bahasa dan sastera yang tinggi dunia kesarjanaan mereka. Semasa di Universiti Malaya juga peluang lebih terbuka untuk saya berkarya dan melibatkan diri dalam kegiatan bahasa dan sastera anjuran DBP secara dekat melalui bengkel, penataran, seminar, konvensyen, dan sebagainya.

Selepas tamat berguru di UM, kembalilah saya mencurahkan ilmu kepada anak-anak didik di SMK Slim, Slim River (1998). Dunia pengkaryaan saya masih berterusan biarpun sekadar sebuah dua sajak dan beberapa buah makalah tentang tatabahasa dan sintaksis bahasa Melayu tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa. Bagaikan sirih pulang ke gagang, ikan pulang ke lubuk, permohonan tukar saya telah diluluskan. Mulai 2000, kembalilah saya ke pangkuan alma mater saya, SMK Methodist, Tg.Malim dan berpeluang untuk menjalani kursus Munsyi Dewan anjuran DBP di Kuala Lumpur. Gabung jalin minat, kesungguhan berkarya dan ilmu ketatabahasaan, dapatlah saya memantapkan karya-karya saya sebelum dihantar atau die-melkan ke meja editor majalah dan akhbar tempatan. Pernah Allahyarham Dr. Othman Puteh menasihati saya agar rajin menyertai kegiatan sastera di peringkat negeri dan nasional. Pengalaman yang ditimba dapat memperkaya dan mematangkan dunia kepengarangan kita. Sesungguhnya, Festival Sastera Perpaduan dan Kemerdekaan di Kota Kinabalu (2003) dan festival yang sama di Ipoh (2004) cukup banyak memberikan pendedahan dan pengalaman yang berguna. Melalui kegiatan-kegiatan seumpama itu, saya berpeluang untuk berdiskusi dengan Allahyarham Pak Dharmawijaya, Allahyarham T. Alias Taib, SN Datuk Abdullah Hussain, SN Datuk Dr. A. Samad Said, SN Dr. Muhammad Hj. Salleh, dan Prof. Emeritus Tan Sri Dr.Ismail Hussein secara akrab dan intim di samping mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan penulis muda dan mapan tanah air. Sekiranya diberikan peluang lagi, festival-festival bahasa dan sastera seumpama itu pasti tidak akan saya lepaskan!

Penglibatan saya dalam kegiatan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) pada akhir tahun 1990-an dan awal 2000-an turut banyak membantu mempersubur daya kreativiti saya dalam genre kesusasteraan Melayu. Persatuan Karyawan Perak menyediakan ruang dan peluang untuk ahli-ahlinya beraktiviti, berkarya dan seterusnya mengantologikan karya sama ada sajak, cerpen, drama, esei dan sebagainya. Maka lahirlah antologi sastera terbitan Karyawan Pk seperti Menara Condong, Pasir Salak – Bumi Pahlawan Melayu, Suratan, Danau Hati, Khazanah Sastera Karyawan Perak, Istana Kasih dan sebagainya selain aktiviti yang sudah menjadi jenama unggul persatuan, yakni Gebang Sastera Karyawan Perak ke seluruh pelosok Negeri Perak Darul Ridzuan.

Kini, biarpun keaktifan saya dalam menggarap karya-karya sastera tidak serancak atau seprolifik awal tahun 1980-an dan 1990-an, namun sesekali juga saya tidak ketinggalan untuk menyumbangkan karya tulisan ke media cetak perdana. Yang penting, apabila kita sudah mula menulis maka harus kita terus menulis. Slogan keramat Persatuan Karyawan Perak masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya selagi hayat dikandung badan. Sebagai penulis, saya perlu meneruskan pencarian dan pembacaan. Ilmu perlu saya timba. Pengalaman perlu saya cari. Diskusi, seminar, konvensyen, dan sebagainya perlu saya hadiri jika berkesempatan untuk terus memberikan input dan suntikan galakan yang bermanfaat kepada dunia pengkaryaan dan penulisan kreatif saya.

Terima kasih saya kepada akhbar-akhbar tabloid – Bacaria, Watan, Mingguan Perdana dan Buletin. Terima kasih Utusan Melayu. Terima kasih Berita Harian. Terima kasih Dewan Bahasa dan Pustaka. Tanpa akhbar-akhbar tabloid dan akhbar-akhbar perdana serta institusi gah bahasa dan sastera seperti DBP, barangkali saya tidak menjadi penulis ikan bilis di buana kesusasteraan Melayu tanah air pada hari ini. Marilah kita sama-sama beriltizam dan sungguh-sungguh mencintai bahasa kita. Sesungguhnya, hanya kita sahaja (anak cucu bangsa) yang dapat menghargai dan meninggikan martabat bahasa kita sama ada di buana tanah air atau di persada antarabangsa.

Bahasa Jiwa Bangsa!

RENCANA II

BAHASA JIWA NEGARA BANGSA.
Chai Loon Guan.

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menjayakan pelbagai aktiviti bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat di seluruh negara sudah pun bermula apabila Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dilangsungkan di seluruh negara mulai 1960 – 1966. Pelbagai acara telah diatur dan dilaksanakan dengan penglibatan semua pihak dan golongan. Antaranya ialah perhimpunan di Stadium Negara, Kuala Lumpur bagi program ikrar bahasa kebangsaan, pertandingan bahas, menulis esei dan beberapa banyak acara rasmi kebahasaan.

Atas semangat BBK, Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) yang telah dimulakan sejak tahun 1987 telah dapat direalisasikan sebagai wadah kegiatan dan usaha yang berterusan di samping sebagai lambang perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Kesinambungan aktiviti berbahasa GCBK diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (1996 – 2000). Untuk tempoh RMK ini, pengembangan bahasa kebangsaan di sektor swasta menjadi lebih terarah dan lebih pesat melalui kempen Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta yang berlandaskan tema “Meningkatkan Nilai Ekonomi Bahasa Kebangsaan”. Sebenarnya, antara matlamat utamanya ialah meningkatkan kualiti bahasa kebangsaan supaya lebih mantap dan berkesan penggunaannya dalam sektor swasta, khususnya dalam urusan perdagangan dalam negeri yang mencakupi industri perhotelan dan pelancongan dalam negeri, urusan perbankan, pengiklanan, media elektronik dan media cetak.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan kerajaan yang diberi amanah membina dan mengembangkan bahasa dan persuratan kebangsaan dalam segala perancangan dan pelaksanaannya selama ini cukup menekankan aspek pembangunan dalaman atau kejiwaan. Hal ini berkaitan secara langsung dengan peranan bahasa dan sastera sebagai pengisi jiwa manusiawi yang sejak zaman-berzaman diinsafi oleh masyarakat yang bertamadun.
Dalam rangka memenuhi hakikat itulah, DBP telah menganjurkan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) bermula pada tahun 1999. Dengan mengangkat bahasa dan sastera sebagai satu acara negara melalui pemilihan bulan September setiap tahun sebagai Bulan Bahasa dan Sastera, diharapkan masyarakat semua lapisan tanpa mengira ras, agama dan latar belakang dapat menghayati peranan bahasa dan sastera dalam pembentukan jiwa yang halus, fikiran yang jernih, dan keperibadian yang luhur.

Sebenarnya, matlamat umum BBSN berkaitan secara langsung dengan usaha kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa, iaitu negara yang berasaskan kesatuan rakyatnya. Bahasa dan sastera merupakan asas jati diri yang penting dalam menjelmakan konsep bangsa Malaysia, yakni yang ditandai oleh satu bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu atau bahasa Malaysia tanpa menghalang penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa yang lain di persada tanah air yang tercinta ini.

Sejak BBSN dilancarkan pada tahun 1999, pelbagai aktiviti yang mencakup bidang kebahasaan dan kesusasteraan telah dapat dijelmakan dan direalisasikan di seluruh pelosok tanah air. Antara lain, Syarahan Perdana BBSN, Kembara Bahasa, Kuiz Perdana Bahasa Kebangsaan peringkat zon dan kebangsaan, Pertandingan Koir Kebangsaan, Sayembara Deklamasi Puisi antara Institusi Pengajian Tinggi, Perhimpunan Penulis Pelbagai Kaum, Sayembara Penulisan Lirik Lagu, Anugerah Tinta Kencana, Teater, Konvensyen Mahasiswa Nasional Pelapis Pejuang Bahasa Kebangsaan, Syarahan BBSN mengikut zon, dan Pertandingan Drama Pentas antara Bank. Untuk menyebarluaskan maklumat BBSN dengan lebih berkesan, Gerbang Galaksi Maya BBSN, yakni www.mybbsn.com telah dibuka untuk dilayari oleh sesiapa sahaja untuk mengetahui latar belakang BBSN, sejarahnya, takwim kegiatan semasa dan terkini, soal jawab bahasa dan pelbagai maklumat yang mesra pengguna.

Dari setahun ke setahun BBSN meniti cabaran demi cabaran dengan tabah, cekal dan sungguh-sungguh dalam usaha untuk membina jati diri bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera. Selama sebulan program ini berlangsung, segenap lapisan masyarakat sama ada yang tua atau yang muda, yang miskin atau yang kaya, daripada rakyat jelata kepada pemimpin agung negara akan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bahasa dan sastera yang telah diatursusunkan oleh Jawatankuasa Induk dan Urus Setia Pusat BBSN dan DBP. Sesungguhnya usaha yang berkesinambungan ini diharap dapat menyuburkan semangat kecintaan terhadap bahasa kebangsaan, yakni bahasa Melayu (bahasa Malaysia) dan menyemaikan penghayatan rakyat Malaysia yang beraneka ras, agama dan latar belakang terhadap dunia kebahasaan dan kesusasteraan. Berdasarkan pengamatan di peringkat akar umbi, ternyata bahawa tidak ada bahasa lain yang dapat menandingi bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan dan bahasa komunikasi untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, dalam meniti usia setengah dekad lebih, Ahli Jawatankuasa Induk dan Urus Setia Pusat BBSN khasnya dan DBP umumnya tidak harus berpuas hati dalam usaha menggerakkan kempen dan kepelbagaian aktiviti BBSN ke seluruh pelosok negara. Pelbagai usaha dan inisiatif tambahan yang difikirkan konstruktif perlu digembleng secara proaktif dan kolektif agar matlamat utama BBSN dalam usaha memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra negara bangsa Malaysia melalui sastera dan bahasa dapat direalisasikan dengan sungguh-sungguh dan cemerlang.

Pada hemat saya, selain kepelbagaian program yang pernah dan telah disusun dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Induk BBSN dan DBP sejak 1999, usaha-usaha tambahan dalam menyebarluaskan kegiatan sastera dan bahasa kepada masyarakat umum, khususnya masyarakat bukan Melayu, yakni Cina, India, Kadazan, Dusun, dan Melanau perlu ditingkatkan secara bijaksana dan sungguh-sungguh. Dalam erti kata yang lain, DBP sebagai payung induk dan tonggak kepada kempen BBSN harus bergiat proaktif dalam usaha memperkenalkan dan menyebarluaskan kempen, seminar, konvensyen, sayembara, aktiviti bahasa dan sastera berbahasa Melayu (bahasa Malaysia) dalam kalangan masyarakat bukan Melayu khasnya dan masyarakat umum di seluruh negara amnya.

Usaha murni ini wajar dan sebaik-baiknya dimulakan di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, dan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan. Sudah tiba masanya, aktiviti-aktiviti seperti Kembara Bahasa, Sayembara Deklamasi Sajak, Diskusi Buku, Penataran Bahasa dan Sastera, Forum, Syarahan Perdana, Kuiz Bahasa, Program Bersama Penulis Muda, Munsyi Dewan atau Sasterawan Negara dan sebagainya perlu diilhammulakan di peringkat sekolah lagi untuk memberikan pendedahan tentang keperluan dan kepentingan bahasa dan sastera dalam jiwa raga anak-anak didik kita. Saya amat yakin dan percaya bahawa guru-guru dan pensyarah, khususnya tenaga pengajar yang mengajarkan Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu amat mengalu-alukan program bahasa dan sastera DBP di sekolah-sekolah atau di institusi-institusi pengajian tinggi masing-masing biarpun sistem pendidikan belakangan ini banyak menitikberatkan bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik sehingga menampakkan seolah-oleh bahasa Melayu (bahasa Malaysia) semakin terpinggir, tersisih dan terabai dalam arus perdana pendidikan di negara kita. Sebenarnya, amat molek sekali sekiranya usaha-usaha untuk menyemaikan rasa cinta dan nilai-nilai patriotisme bahasa dan sastera bermula dari peringkat awal kanak-kanak lagi memandangkan kanak-kanak dalam lingkungan usia semuda itu diibaratkan sekeping sketsa putih yang mudah untuk kita lakarlukiskan dengan calitan pelbagai warna dan seni rupa sastera dan bahasa yang bermanfaat sekali gus membentuk sahsiah dan jati diri kanak-kanak yang bakal menjadi pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara pada alaf globalisasi yang serba mencabar ini.

Dalam usaha kita menguatkan rasa megah terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, Jawatankuasa Induk BBSN dan DBP wajar juga mengambil daya inisiatif untuk menggembleng usaha dan tenaga merancakkan program bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat umum sama ada dalam sektor perkhidmatan awam atau sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Biarpun beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai kempen telah dianjurkan dan dilaksanakan namun keberhasilan pihak-pihak yang dimaksudkan dalam menghargai dan mengamalkan bahasa dan sastera dalam kehidupan sehari-hari cukup mendukacitakan. Buktinya cukup jelas dengan kehadiran surat-surat rasmi yang mula mengabaikan penggunaan tatabahasa bahasa Melayu yang gramatis dan tuntas, penggunaan bahasa rojak dalam majlis-majlis formal dan perhimpunan-perhimpunan mingguan atau bulanan, bahasa celaru sms atau e-mel dalam kalangan generasi muda di samping penyiaran iklan-iklan yang lebih banyak memaparkan kecelaruan dan kerancuan berbahasa dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Barangkali ada baiknya disyorkan agar program BBSN dan DBP turut dibabitkan bersama pihak-pihak yang berwajib, misalnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Penerangan Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan media massa tempatan untuk sama-sama berganding bahu menggembleng tenaga menyebarluaskan penggunaan bahasa dan sastera secara proaktif, bersepadu dan menyeluruh tanpa sebarang kompromi dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia pada hari ini selaras dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Kita sedia maklum bahawa belakangan ini, bahasa Melayu (bahasa Malaysia) di persada ketinggian mutu dan kekuatan dalam institusi pendidikan tergugat dek tekanan mahahebat sektor swasta. Sektor swasta sering kali dirujuk oleh kerajaan dalam merangka belanjawan negara menyebabkan pengaruh mereka begitu kuat sehingga tercalar wajah bahasa kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Pada hemat saya, bahasa ialah tunjang kekuatan budaya bangsa. Bahasa berkembang selaras dengan kemajuan dan perubahan budaya yang dicapai oleh sesuatu masyarakat. Dasar sosial yang futuristik, khususnya yang berkaitan dengan usaha untuk membangunkan dan memajukan budaya dan bahasa bangsa, maka perlu diberikan perhatian dalam keghairahan dan kesungguhan kita dalam mengejar perubahan dan kemajuan dalam bidang lain. Malaysia dalam konteks ini seharusnya mampu mengangkat harga diri dan tamadun bangsa melalui usaha-usaha mewacanakan peranan bahasa Melayu (bahasa Malaysia) selaras dengan kemajuan dan pembangunan selain melahirkan modal insan yang berilmu, berakhlak, berketrampilan dan berkemahiran tinggi, yakni modal insan negara bangsa yang berdaya saing dan berkeupayaan untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di dunia sarwajagat ini.

Perubahan ini turut mempengaruhi sikap, keyakinan, dan perhatian masyarakat bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina. Sebilangan besar barangkali beranggapan bahawa perubahan itu menjadikan mereka beransur-ansur hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kedudukan bahasa Melayu (bahasa Malaysia) sebagai bahasa sarana ilmu, bahasa komunikasi utama, bahasa perpaduan dan jati diri bangsa serta bahasa unggul merentas kurikulum dalam sistem pendidikan kebangsaan. Setelah berdekad-dekad lamanya masyarakat bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina berada dalam arus perdana bersama-sama rakan-rakan yang lain mendaulatkan bahasa dan sastera Melayu, hari ini mereka berada di persimpangan pilihan, yakni sama ada mereka kembali kepada bahasa ibunda (bahasa Cina) ataupun menggunakan bahasa Inggeris untuk meneruskan kesinambungan hidup dan kerjaya masa depan mereka. Keadaan sedemikian membawa mesej bahawa seandainya pejuang bahasa Melayu semakin terpinggir dan hilang taringnya, maka bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara akan turut merosot. Pendek kata, kejatidirian bangsa akan beransur-ansur terkikis dan terhakis dalam jiwa setiap warga seiring dengan kepinggiran dan kehilangtaringan bahasa dan sastera Melayu di pentas glokal bak kata pepatah hilang bahasa maka akan lenyaplah bangsa.

Jika ditinjau daripada perspektif ini, rakyat pelbagai kaum dan peringkat di negara ini perlu sedar akan hakikat bahawa sesebuah negara yang sedang menuju ke arah keunggulan tidak seharusnya mengetepikan peranan bahasa utamanya. Rakyat dan pemimpin terutamanya, perlu bersifat lebih pragmatik dan realistik dengan mengakui bahawa bahasa Melayulah (bahasa Malaysia) yang akan menentukan kestabilan sosial dan politik di negara ini selain menjadi wadah untuk mencapai kemajuan dan kegemilangan ekonomi. Janganlah kerana kita terlalu ghairah mengagung-agungkan kehebatan bahasa lain, ada yang bagai lupa daratan dan lupa diri. Sikap sangsi terhadap kedudukan dan keupayaan bahasa Melayu (bahasa Malaysia) tentu sedikit banyak dapat dikikis daripada jiwa rakyat melalui kegiatan yang dianjurkan di bawah BBSN.
Justeru, kepelbagaian usaha dan peluang wajar disediakan oleh BBSN dan DBP dalam usaha meramaikan khalayak penulis, penggiat dan pencinta sastera dan bahasa dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat bukan Melayu. Antara lain, Jawatankuasa Induk BBSN dan DBP boleh merealisasikan program penataran bahasa dan sastera untuk penulis, penggiat dan pencinta bahasa dan sastera Melayu dari seluruh pelosok negara dalam usaha kita mencungkil bakat-bakat baru yang terpendam untuk diasahgilapkan oleh para sarjana, cendekiawan ilmu dan sasterawan tersohor tanah air sebelum diketengahkan maju dan cemerlang bukan sahaja di persada bahasa dan sastera nasional bahkan juga di arena bahasa dan kesusasteraan antarabangsa. Ruang-ruang keistimewaan dan peluang harus lebih terbuka untuk mengajak dan menggalakkan masyarakat bukan Melayu untuk berkecimpung dalam kegiatan bahasa dan sastera Melayu sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau pun di arena sastera antarabangsa. Dalam erti kata yang lain, usaha yang bersungguh-sungguh perlu berkesinambungan dan dipertingkatkan untuk melonjakkan penglibatan masyarakat bukan Melayu secara serius dan sungguh-sungguh dalam kegiatan bahasa dan sastera bahasa Melayu (bahasa Malaysia) kerana bahasa Melayu (bahasa Malaysia) adalah bahasa milik bersama dan perlu dipertanggungjawabkan bersama untuk dicemerlangwangikan sama ada di taman bahasa dan sastera nasional, nusantara mahupun di buana antarabangsa.

Sebagai rakyat dan warganegara yang prihatin dan setia kepada nusa bangsa yang tercinta, Malaysia, kita perlu sama-sama memikul tanggungjawab dalam usaha menjadikan bahasa Melayu (bahasa Malaysia) sebagai bahasa sarana ilmu, bahasa yang berkemahiran tinggi, bahasa ekonomi, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi yang berwibawa, trampil dan senantiasa relevan sama ada di tanah air sendiri mahupun di buana antarabangsa tanpa perlu berasa waswas, musykil atau bersalah terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa pada zaman sains dan teknologi ini. Alangkah bangganya saya apabila saya dapat bertutur, menulis, berhujah, mereka cipta dan berurus niaga dalam bahasa Melayu (bahasa Malaysia) yang tuntas, gramatis dan berwibawa. Dan, alangkah megahnya saya sebagai anak watan apabila saya dapat melihat dan mendengar masyarakat majmuk Malaysia tanpa batas sempadan ras, agama, kepercayaan, latar belakang dan stratifikasi sosial dapat berkomunikasi mesra dalam bahasa Melayu (bahasa Malaysia), hidup dalam suasana aman, harmoni, makmur dan muhibah tanpa sebarang syak wasangka serta bantu-membantu ibarat aur dengan tebing di buana sarwajagat yang kian mencabar ini. Saya amat percaya bahawa dengan usaha gigih yang berterusan dan iltizam yang sungguh-sungguh oleh Jawatankuasa Induk dan Urus Setia Pusat BBSN serta DBP dan setiap rakyat dan pemimpin Malaysia, visi dan misi kita untuk mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa, menonjolkan kekuatan dan keindahan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai jambatan jati diri negara bangsa Malaysia yang tuntas akan dapat direalisasikan dan diperteguh selagi hayat dikandung badan.

Sesungguhnya, usaha mendaulatkan bahasa dan sastera tanah air tidak terletak di bahu orang Melayu dan kerajaan semata-mata, tetapi menjadi tanggungjawab dan iltizam setiap warga untuk melibatkan kaum-kaum lain, termasuk Cina, India, Kadazan, Dusun, dan Melanau dalam gelombang usaha murni kita untuk menjadikan bahasa Melayu (bahasa Malaysia) berwibawa, genre sasteranya bermutu dan dipulihara dan seterusnya meningkatkan martabat bahasa dan sastera kita di mercu kecemerlangan dan keterbilangan zaman-berzaman.

(DEWAN SASTERA - SEPTEMBER 2007)

SAHABAT - FRIENDS

WHAT ARE FRIENDS FOR:
SAHABAT ADALAH UNTUK:
A - Z
Accepts you as you are - Menerimamu seadanya
Believes in “you” - Percaya akan dirimu
Calls you just to say “HI” - Berhubung untuk bertanyakan khabar
Doesn’t give up on you - Tanpa putus asa akan dirimu
Envisions the whole of you - Percaya sepenuhnya akan dirimu
Forgives your mistakes - Memaafkan kesilapanmu
Gives unconditionally - Bersahabat tanpa syarat
Helps you - Sanggup membantu kamu
Invites you over - Menjemput kamu
Just “be” with you - Senantiasa bersama-sama kamu
Keeps you close at heart - Dirimu tetap di hati
Loves you for who you are - Menyayangi dirimu seadanya
Makes a difference in your life - Menjadikan kehidupanmu memiliki kelainan
Never judges - Tidak sekali-kali menghukum
Offers support - Senantiasa menawarkan sokongan
Picks you up - Menjemput kamu
Quiets your fears - Menenteramkan kebimbangan kamu
Raises your spirits - Mempertinggi semangatmu
Says nice things about you - Berceritera tentang kebaikan dirimu
Tells you the truth when you need to hear it - Meluahkan kebenaran ketika anda perlu mendengarnya
Understands you - Memahami dirimu
Values you - Menghargai dirimu
Walks beside you - Seiring sejalan
X-plain things you don’t understand - Menjelaskan hal yang tidak kamu fahami
Yells when you won’t listen and - Meneriak ketika kamu tidak mahu mendengarnya
Zaps you back to reality! - Mengembalikan dirimu ke alam realiti.

Chai Loon Guan,
Auditorium UPSI, Tg. Malim.

RENCANA I - Remaja dan Budi Bahasa

REMAJA dan BUDI BAHASA
Chai Loon Guan.

Pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara jelas memberikan gambaran betapa golongan remaja merupakan khazanah sumber manusia yang cukup penting kepada pembangunan, kemajuan dan masa depan bangsa dan negara. Menurut bausastera Dewan, remaja bermaksud golongan yang mulai dewasa, sudah akil baligh dan bersinonim dengan frasa, yakni remaja puteri atau remaja putera. Jelaslah bahawa masa depan dan maju mundurnya negara bangsa banyak bergantung harap kepada modal insan dalam kalangan remaja kerana di pundak merekalah bakal dipikul tanggungjawab berat, iltizam dan amanah untuk memajukan bangsa dan negara sekali gus merealisasikan wawasan perdana – Wawasan 2020!

Namun begitu perkembangan semasa dan kelangsungan pelbagai isu yang sering dipaparkan oleh media massa, khususnya media cetak dan media elektronik belakangan ini jelas telah banyak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Berita tentang golongan remaja bertindak liar di luar batas-batas kesopanan dan kesusilaan, bergentayangan dan hidup bergelumang dengan aktiviti jenayah dan kegiatan-kegiatan yang tidak berakhlak cukup mengejutkan ibu bapa, masyarakat umum dan kerajaan. Oleh sebab itu, kita perlu mengenal pasti sebab-musabab atau punca akar masalah yang semakin menular dalam jagat kehidupan masyarakat majmuk Malaysia, khususnya rempah ratus dan dunia kehidupan golongan remaja kita dewasa ini.

Barangkali ada benarnya, kesibukan ibu bapa dalam mencari rezeki hidup dan memburu dunia kebendaan saban hari sehingga mereka yang sering terbelenggu dek tekanan hidup terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan kebajikan anak-anak merupakan antara punca berlakunya kepincangan dan kebobrokan akhlak remaja kita pada hari ini. Selain itu, kekurangan didikan moral dan agama, sistem pendidikan dan institusi masyarakat yang terlalu mengutamakan atau mengagung-agungkan kejayaan dan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa memberikan perhatian yang seimbang kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) anak-anak remaja turut merancakkan keberleluasaan gejala sosial dalam kehidupan kita sehari-hari.

Justeru, penerapan salah satu nilai murni kehidupan, yakni nilai budi bahasa dianggap amat penting dalam usaha kita untuk melahirkan modal insan yang sempurna akhlaknya dan mempunyai kekuatan jati diri peribadi serta perilaku mulia dan terpuji sekali gus sebagai asas budaya hidup remaja khasnya dan masyarakat majmuk Malaysia amnya. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat di negara ini, terutamanya masyarakat Melayu pada asasnya sememang kaya akan amalan berbudi bahasa dan kesantunan bahasa. Antaranya termasuklah yang muda menghormati yang tua, anak murid menghormati guru, yang kaya menolong yang miskin, dan sebagainya.

Amalan yang diperturunkan sejak zaman-berzaman ini adalah selaras dengan peribahasa yang berbunyi "melentur buluh biarlah daripada rebungnya" . Hal ini bermakna bahawa amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi. Terbitnya pandangan bahawa amalan berbudi bahasa perlu dipupuk sejak bangku sekolah lagi tercetus daripada fenomena lunturnya amalan ini dalam kalangan generasi remaja dan muda-mudi pada era globalisasi ini.

Umumnya, masyarakat hari ini lebih menekankan aspek kebendaan atau materialisme. Hal ini sekali gus meminggirkan nilai-nilai moral seperti berbudi bahasa, hormat-menghormati, bertolak ansur dan sebagainya. Justeru terbitlah keperluan untuk menerapkan nilai-nilai ini dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Ibu bapa dan guru-guru haruslah berganding bahu dengan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi anak-anak remaja yang boleh kita ibaratkan seperti sehelai kain putih yang mudah menerima dan seterusnya mengamalkan nilai-nilai budi bahasa yang terpuji. Generasi remaja perlu digalakkan untuk mengamalkan dan menerapkan budi bahasa dan nilai-nilai murni sama ada dalam aspek komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan atau dalam perlakuan dan pergaulan dalam institusi kekeluargaan, institusi kemasyarakatan, institusi pembelajaran dan institusi perkhidmatan.

Dalam institusi kekeluargaan misalnya, remaja perlu dididik dan dibimbing agar membiasakan diri dengan bertutur dengan baik dan betul serta mempunyai kelakuan yang terpuji. Hubungan antara adik-beradik disusun oleh aturan kelahiran, yakni daripada yang sulung kepada yang tengah dan yang bongsu. Yang muda mestilah menghormati kakak dan abang dengan memanggil secara baik gelaran atau pangkat yang lazimnya dalam masyarakat. Begitu juga hubungan darah dan perkahwinan dengan saudara mara sebelah ibu dan bapa, mertua dan ipar dan sebagainya hendaklah berasaskan rasa hormat, sopan dan santun melalui tegur sapa dan panggilan pangkat mereka.

Sementara itu, dalam institusi kemasyarakatan pula, remaja perlu memahami hubungan antara yang tua dengan yang muda, yakni sentiasa berada dalam suasana hormat-menghormati, sayang-menyayangi dan bertatasusila. Dalam kehidupan bermasyarakat, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk dan berbilang ras dan agama di negara kita, golongan remaja perlu senantiasa menggunakan tutur kata yang sopan, mempunyai fiil yang halus dan berpekerti yang mulia. Antaranya, remaja haruslah senantiasa mengutamakan nilai-nilai bekerjasama, semangat gotong-royong dan menghormati orang lain. Sesungguhnya, sebagai anggota masyarakat yang berbudi, remaja perlu menunjukkan perangai, kelakuan serta peribadi yang baik seperti bersabar, bertimbang rasa dan sentiasa tahu menjaga diri daripada pelbagai macam kelakuan buruk yang tidak dipersetujui oleh masyarakat.

Remaja juga perlu senantiasa berbudi bahasa dan berkelakuan baik, teratur dan sejahtera dalam institusi pembelajaran. Sebagai warga ilmu, mereka perlu berdisiplin, bertegur sapa dengan hormat, berbahasa sopan, bersedia memohon maaf, mentaati peraturan sekolah dan menjaga kebersihan dan kesihatan bak kata pepatah "minda yang cerdas berada pada badan yang cergas". Remaja pelajar juga perlu saling menghormati sesama rakan, membiasakan diri mengucapkan salam atau ucap selamat, menghargai perbezaan agama, menghargai idea, buah fikiran dan pendapat rakan sebaya dan bantu-membantu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sikap positif sedemikian bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim bahkan juga dapat menyemaikan bebenih perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat yang berbilang ras dan agama di negara ini.

Sebagai generasi pelapis dan bakal menjadi umarak bangsa dan negara pada masa depan, remaja pada hari ini perlu juga didedahkan dengan nilai-nilai kepemimpinan dan kepimpinan yang baik dan berbudi di samping mengutamakan kemesraan dan semangat kerja keras, gigih berusaha, telus, amanah, teladan yang baik, berhemah, adil dan berintegriti serta bantu-membantu untuk mencapai matlamat pasukan atau organisasi. Sebagai rakan sepasukan atau rakan sekerja pula, generasi remaja perlulah menunjukkan budi pekerti yang mulia, berbahasa halus dan bertimbang rasa untuk bersama menjalankan kerja yang bermutu, membina kesatuan organisasi dan juga mencapai matlamat, visi dan misi pasukan atau organisasi.

Sesungguhnya, masyarakat yang maju tanpa amalan nilai-nilai moral, khususnya budi bahasa dapat diibaratkan seperti seorang manusia tanpa roh. Pembangunan dan kemajuan fizikal setinggi manapun tidak bermakna tanpa budi bahasa atau budi pekerti terpuji dalam kalangan anggota masyarakatnya, lebih-lebih lagi golongan remaja yang bakal menjadi tonggak harapan bangsa dan negara kelak. Sebenarnya, penekanan dan penerapan budi bahasa dan kesantunan bahasa akan membantu mendidik anak-anak remaja cara-cara untuk berinteraksi dengan orang dewasa dan sesama mereka sendiri. Dengan ini, secara beransur-ansur generasi remaja akan tahu berbudi bahasa terhadap ibu bapa, guru, dan orang yang lebih tua. Amalan murni ini juga merupakan sebahagian daripada hidup bermasyarakat dan diharap dapat dipupuk dan disemaikan dalam jiwa sanubari anak-anak remaja agar dapat berkekalan selagi hayat dikandung badan. Kita tidak mahu situasi yang menggambarkan generasi remaja jahil untuk menghormati golongan tua wujud, sebagaimana sering kita temui dalam kehidupan moden dewasa ini. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya akan dunia kebendaan tetapi muflis akan nilai keperibadian dan budi pekerti mulia. Sesungguhnya, keluhuran budi pekerti mulia dirilah yang menjadi kayu pengukur kejayaan dan kecemerlangan seseorang. Tiada gunanya seseorang itu memiliki ijazah berjela-jela dan harta kekayaan yang bertimbun-timbun sekiranya dia sentiasa dibayangi perasaan sombong, kurang ajar dan meniti keruntuhan akhlak yang menyayatkan hati di penghujung kehidupannya yang terasing, bercelaru dan vakum.

Kalau ribut runduklah padi,
Padi cupak Datuk Temenggung;
Kalau hidup tidak berbudi,
Duduk tegak berdiri condong.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Justeru, generasi remaja perlulah senantiasa hidup berbudi bahasa. Budi bahasa ialah asas kehidupan yang bermaruah dan bertamadun ke arah melahirkan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berketrampilan sekali gus merealisasikan negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang di persada antarabangsa!

Chai Loon Guan,35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
(Dewan Siswa - Februari 2008)

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Ibu bapa dan kaum keluarga
Saudara terdekat jiran tetangga
Sayang-menyayangi bertegur sapa
Ketulusan ikatan sepanjang usia

Para guru rakan sekolah
Turut warnai kehidupan kita
Ilmu ditimba pengalaman bertambah
Pergaulan sihat peribadi ceria

Bangsa Malaysia berhemah tinggi
Ramah dan mesra elok pekerti
Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi
Bertimbang rasa hormat-menghormati

Kita berkhidmat jujur dan ikhlas
Mencurah bakti tak minta dibalas
Harapan rakyat satu amanah
Budi bahasa budaya kita.

SAJAK XIII - Begitu

BEGITU

Begitu tekun
Sabar bernaung di rumah tabah
Ia menyemaikan benih
Di kebun bangsa
Di dusun nusa
Agar tumbuh nanti
Pepohon hidup yang rendang
Memberikan teduh bahagia
Pepohon hidup yang subur
Meranumkan buah nikmat
Waktu lapar
Meranumkan buah berkat
Waktu sukar

Begitu iltizam
Gigih memperkukuh buana azam
Ia menaburkan usaha budi
saujana luas terbentang
sawah ladang
Membekalkan padi iman
Membekalkan buah kemahiran
Buat anak-anak watan

Tekun sabar
Tabah iltizam, ia
Guruku yang cemerlang
Guruku yang terbilang
Di kota pedalaman
Di desa pembangunan
Mencemerlangwangikan buana
anak-anak warisan

Chai Loon Guan, PKG Bota, Bota Kanan.

(Berita Harian - 8 Ogos 2009)

Monday, July 27, 2009

CERPEN V - Esok Masih Ada Mentari


ESOK MASIH ADA MENTARI
Chai Loon Guan

”Ah Ti!”

Suara itu bersipongang lagi. Suara itu bikin hatiku semakin menikus. Gentar. Takut. Resah gelisah berwarna di wajahku! Jam dinding di bilik kaunseling itu masih berdetak-detik.

Cikgu Rosni dengan memek muka yang serius menghadapku tepat. Bebola matanya tajam menikamku. Aku semakin gelisah. Peluh dingin bersarang di dahiku. Peti suaraku mati. Lidahku kaku membisu!

”Kenapa kamu mencuri, Ah Ti?”

Diam.

”Kenapa, Ah Ti?” tanyanya lembut.

Oh, Tuhan! Bagaimanakah dapat kuterangkan kepadanya? Percayakah dia nanti?

”Kamu ambil dompet Dollah, ya?” tanyanya lagi sambil membelek buku catatan kecilnya. Degupan jantungku kembali reda.

”Bukan saya, cikgu!”

Air jernih mula berkumpul di penjuru mataku. Semakin lama semakin sarat.

”Dengar sini, Ah Ti...”

Aku dongak kembali sambil menatap wajah ayu Cikgu Rosni.

”Cikgu mahu Ah Ti bercakap benar. Kau mengambilnya, kan?” acahnya lagi. Mungkin dia mahu menguji kejujuran aku.

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Bukan aku cikgu! Bagaikan itulah suara hatiku. Sayangnya suara itu tersekat di pintu kerongkongku. Gugup. Gelombang dadaku kembali berombak.

”Kalau bukan, siapa?”

Diam.

”Lagipun dompet ini cikgu jumpa di dalam beg kamu, Ah Ti!”

”Bukan saya, cikgu! Sumpah!” balasku untuk menegakkan kebenaran hakiki.

”Sumpah?”

”Segala-galanya dusta, cikgu! Saya...”
“Teruskan…”

“Saya dianiaya, cikgu!”

Kolam mataku pecah. Titis-titis air jernih jatuh. Rasa panas sekejap di pipiku. Gelombang di dadaku semakin berombak. Turun naik bagaikan badai di tengah samudera ganas.

“Cikgu, terlalu hinakah manusia miskin?” tanyaku spontan.

Cikgu Rosni diam mendengar. Dia sempat menggelengkan kepalanya.

”Saya miskin, cikgu!”

Cikgu Rosni mencatatkan sesuatu di dalam buku kecilnya. Putaran kipas semakin rancak. Sekali-sekala diselang seli dengan detik-detak jam di dinding.

”Tetapi kemiskinan tidak mengajar saya mencuri, cikgu!” Aku meluahkan segala yang tersimpan di dadaku.

”Baiklah, Ah Ti...cikgu mahu kamu balik ke kelas seperti biasa. Sebelum itu pergi basuh muka dulu. Cikgu akan menyiasat kes ini kembali!” Pujuknya dengan segaris senyuman di bibir.

”Terima kasih, cikgu!”

”Sama-sama, Ah Ti!”

Kelas Tingkatan 3 Melor 1 seperti biasa. Riuh rendah. Kipas dibiarkan berputar. Guru kelas masih belum ada. Masing-masing sibuk dengan dunianya sendiri. Ada yang duduk berbincang. Ada yang berlagak seperti guru, menconteng sesuatu di papan tulis. Ada yang berbicara tentang lirik lagu pop terbaharu. Tidak kurang juga yang sedang menyiapkan kerja latihan mingguan yang diberikan oleh guru.

Aku melangkah masuk seperti biasa. Tiba-tiba kelas kembali diam. Dapat kurasakan setiap biji mata mengalihkan pandangan ke arahku. Aku pandang Elias. Elias melarikan matanya. Aku pandang Mei Leng. Mei Leng tunduk malu. Aku pandang Ramu, Rashid, Mary dan Aishah. Mereka tunduk membisu. Aku tahu mereka sudah menggelar aku pencuri. Dapat kubaca rasa puas di wajah mereka betapa seorang pencuri sudah dihukum!

”Padan muka!”

Suara itu bersipongang. Suara itu bergema ke merata-rata bahagian di dalam kamar Tingkatan 3 Melor 1 itu.

”Tak sangka iya, rupa-rupanya dalam diam-diam dia panjang tangan!” Sambut pula suara kedua dari arah belakang. Hilai ketawa beberapa orang kedengaran.

“Musuh dalam selimut!” Suara ketiga pula menambah.

“Kita pulau dia! Kita pulau dia!” Tiba-tiba bergema satu suara lantang dan kasar. Aku kenal akan suara itu. Suara Dollah! Dollah bin Budin, anak tauke balak di Kampung Berop, Tanjung Malim!

Pang! Meja tulis, aku hempas kuat dengan tapak tanganku. Aku bingkas bangun. Kelas kembali sunyi. Terkejut. Tidak kurang pula yang resah.

“Iya, aku pencuri!”

Dollah menonjolkan biji matanya. Begitu juga dengan Ramu, Rashid, Mei Leng, Mary dan lain-lain.

“Pencurikah aku? Aku tahu saudara dan saudari menuduh aku pencuri. Kenapa? Barangkali kerana aku miskin? Baju lusuh aku? Kerana aku tak mampu makan di kantin, begitu? Atau kerana buruknya kasut aku? Atau pun badanku berbau susu getah! Memang benar, aku bukan macam saudara-saudari. Saudara-saudari mewah, berpakaian elok, bersih dan kemas. Berkasut mahal. Ongkos makan di kantin cukup lumayan...”

”Oi, pencuri...dengkikah kau?”

”Tidak. Aku tidak bisa cemburu. Cuma...?”

”Cuma apa, hah?”

”Aku ingin meluahkan pertanyaan...”

”Pertanyaan? Jangan bergurau...macam soal jawab pulak!”

“Apakah manusia miskin itu terlalu hina? Tidakkah manusia itu sama di sisi Tuhan?” Aku bagaikan pensyarah melontarkan persoalan sekadar untuk renungan rakan-rakan. Selepas itu, aku menggalas beg sekolahku meninggalkan mereka tanpa sebarang jawapan. Aku bergegas ke bilik pengetua untuk memohon kebenaran pulang awal.

Di rumah, emak terperanjat melihat kepulangan aku. Pontengkah aku? Tidak. Aku telah menjelaskan kedudukan yang sebenar. Emas turut berasa sedih.

”Ah Ti, biarlah kita ni buruk kain dipakai asalkan pandai mengambil hati,” nasihat emak bersungguh-sungguh.

”Ah Ti faham, mak!”

”Kau berehatlah dulu. Mak nak ke ladang sekejap,” sambung emak lagi sambil berjalan keluar untuk mendapatkan basikal tuanya. Tengah hari itu, badanku panas. Sekejap-kejap badanku menggigil. Demamkah aku? Aku pusing badanku ke kiri dan ke kanan. Namun rasa tidak enak masih membelengguiku. Aku bingkas bangun ke bilik air. Mandi. Selepas itu, aku mencapai tikar mengkuang dari kamar tidur ke ruang tamu. Daun jendela kubuka luas-luas. Biarkan udara atau angin sepoi-sepoi bahasa menyusup masuk membelai badanku.

Kipas buruk kubiarkan berputar malas. Dalam putaran itu, dapat kulihat wajah Cikgu Rosni. Dapat kulihat wajah Elias, Ramu dan Mary. Kemudian, wajah-wajah yang berseri itu bertukar bengis dan meloyakan. Dari jauh kedengaran suara-suara yang memaki hamun namaku. Ketika itulah muncul Dollah yang berkaca mata hitam dan bersenjatakan sebilah keris panjang. Angkuh pada wajahnya kian terserlah.

”Tangkap dia!”

”Berkas pencuri itu!”

”Kita humbankan dia ke dalam kamar penjara!”

Tidak, aku bukan pencuri! Aku teraniaya! Aku mangs fitnah, sebenarnya!

”Bohong!”

”Dusta!”

”Ayuh, tangkap dia!”

Suara-suara itu terus bersipongang.

“Tidak!”

“Melawan iya?”

“Berani kerana benar!”

“Berani? Benar? Cis, dikaulah pencuri yang kucari selama ini!”

Dollah mula membuka langkah. Bunga-bunga silatnya cukup hebat dan mengagumkan. Sekejap geraknya ke kiri sekejap ke kanan. Aku terpaksa bertarung dengannya. Pertarungan ini perlu untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Keadilan dan kebenaran tidak akan berdiri tanpa perjuangan apatah lagi dalam buana fatamorgana ini, perjuangan satu-satunya jalan penyelesaian mutlak!

Dollah menikam. Aku menepis ke kiri. Dollah melompat. Aku mengelak ke kanan. Mulut Dollah terkumat kamit. Aku terpaku kaku. Kakiku tidak dapat bergerak. Kakiku bagaikan telah dikunci. Tiba-tiba Dollah dengan sekuat-kuat tenaga melompat dan menikam ke arah dadaku. Aku tersungkur jatuh. Darah merah terpercik membasahi medan pertarungan.

”Aduh, sakitnya!”

”Rasakan keris Taming Sariku!”

”Kausanggup bunuh aku, Dollah?”

Diam.

”Aduh, mak! ”
”Ah Ti!”

”Tolong, mak...sakitnya!”

”Ah Ti!!”

Emak menjerit-jerit memanggil aku. Aku tersedar. Rupa-rupanya aku bermimpi siang hari. Badanku cukup panas dan lemah longlai. Aku dikejarkan ke Hospital Daerah Tanjung Malim. Di hospital, aku ditempatkan di wad kecemasan. Doktor terpaksa menahan aku di wad hospital untuk pemeriksaan lanjut. Takut kalau-kalau aku terkena akan serangan demam denggi atau malaria! Sudah seminggu aku terlantar di katil hospital. Ini bererti sudah seminggu emak menjaga aku – siang dan malam. Dan, yang pasti, sudah seminggu aku telah menguzurkan diri ke sekolah.

Apabila kelopak mataku dibuka, dapat kulihat wajah kegembiraan emak. Sempat emak mengucup dahiku – tanda kasih yang maha agung. Benarlah kata orang, syurga di hujung telapak kaki ibu!

”Ah Ti...”
”Iya, emak...”
”Cikgu Rosni datang tadi!”
”Cikgu Rosni? Apa kata cikgu?”

”Cikgu bertanyakan kesihatan Ah Ti! Cikgu bawa buah tangan dan berharap agar Ah Ti sembuh cepat!”

”Ah Ti dah semakin sembuh ni, mak!”

”Kata Dr. Maniam, kauperlu berehat dua tiga hari lagi, Ah Ti!” beritahu emak sambil menyuakan secawan Milo untukku. Aku meneguknya perlahan-lahan. Dari sinar mata emak, dapat kulihat segaris sinar keriangan tanda kesyukuran kepada Tuhan.

”Baiklah, Ah Ti...mak pulang dulu! Tengah hari nanti, mak bawakan Ah Ti sup ayam kampung, iya!” ujar emak sambil melambai-lambaikan tangannya untuk pulang. Dua tiga hari yang terakhir di katil wad hospital dapat kuhabiskan dengan membaca novel Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah. Daripada pembacaan, dapatlah kukenali watak dan perwatakan Tukya dari dekat.

”Ah Ti, apa khabar sekarang?” Muncul Cikgu Rosni tanpa kusedari. Barangkali terlalu asyik menelaah buku novel terbitan DBP itu.

”Oh, cikgu! Selamat tengah hari, cikgu!” balasku penuh hormat.

”Demam dan sakit kepala saya dah sembuh. Hanya badan yang masih lemah lagi, cikgu!” Novel itu kuletakkan di atas meja katil.

”Ah Ti!”
Aku setia mendengar. Barangkali Cikgu Rosni ingin menyampaikan sesuatu.
”Cikgu dah selesai menyiasat kes dompet Dollah...”

”Bagaimana hasilnya, cikgu?” tanyaku berdebar-debar biarpun luka lama akan berdarah kembali. Degup jantungku kembali pantas bagaikan baru menamatkan acara 100 meter lari pecut.
”Dollah mengaku bersalah. Dompetnya sengaja dimasukkan ke dalam beg Ah Ti. Barangkali wujud salah faham atau cemburu membuta tuli, Ah Ti!”

Aku turut bersedih. Rasa simpati pula bersarang di hati sanubariku.

“Dollah insaf kini, Ah Ti!”

Aku gembira. Maruahku dapat dipulihkan daripada nodaan fitnah. Separuh daripada dukaku hilang. Aku bagaikan dilahirkan semula untuk menjalani kehidupan hari esok yang kompleks ini. Terima kasih, Tuhan!

”Dia akan meminta maaf di hadapan kelas sekembalinya Ah Ti ke sekolah nanti!”

”Terima kasih, cikgu. Segala jasa baik cikgu akan saya kenang dan hanya Tuhan sahaja yang bisa membalasnya!” balasku dengan penuh syukur dan rendah diri.

”Ah Ti!”

”Saya, cikgu?”

”Ah Ti ada adik?”

Aku geleng-gelengkan kepala.

”Kakak?”

”Tak!”

”Jadi, anak emaslah bagi emak!” Aku tersenyum malu-malu kucing.

”Bagaimana pula kakak angkat?”

”Tak, saya orang miskin, cikgu. Anak yatim pula...” luahku tenang biarpun dalam nada yang agak pilu.

”Kalau ada yang sudi, bagaimana?”

”Siapa, cikgu?”

”Saya!” jawab Cikgu Rosni spontan. Segaris senyuman bertakhta di wajah hitam manisnya. Oh, Tuhan! Rasa gugup menguasai seluruh jiwaku. Lidahku kelu. Perlahan-lahan, titis demi titis air jernih gugur lagi. Ah, sesungguhnya sketsa langit buana hidup ini tidak selalu mendung. Esok masih ada mentari!

(BACARIA – 2 OKTOBER 1991)

Sunday, July 26, 2009

SAJAK XII - Tsunami III

TSUNAMI III

T
S
U
N
A
M
I
Hadirmu
Bersama gelora
Kesumat
Pergimu
Bersama lara
Maut

T
S
U
N
A
M
I
Alaf bencana yang tragis
Zulmat malapetaka yang sadis
Bagaikan yuda
Arus gelombangmu
Menggila sasau
Tanpa wasiat
Hanya wirama belangsungkawa
Gapura maut
Sudah mengangakan mulut rakus
Meninggalkan penasaran
Meninggalkan kehibaan
Meninggalkan kemusnahan

TSUNAMI
- datang bagaikan perang
- pergi meninggalkan malang!

Chai Loon Guan, Kampung Berop, Tg.Malim.

Thursday, July 23, 2009

SINTAKSIS BAHASA MELAYU

SINTAKSIS BM
I
Namakan kelas kata bagi perkataan-perkataan yang berhuruf gelap dalam ayat yang disenaraikan.

Contoh:
Warkah itu daripada nenek saya. ( Kata Nama )

1. Langit mendung lalu hujan pun turun. ( Kata Adjektif )

2. Bilakah berita itu diumumkan? ( Kata Tanya )

3. Aku akan memperkenalkan dikau kepadanya. ( Kata Kerja Transitif )

4. Mereka datang dari Sarawak. ( Kata Sendi )

5. Dia berkata kepada saya. ( Kata Kerja Tak Transitif )

6. Sudah berpuluh-puluh tahun kami menetap di sini. ( Kata Bilangan )

7. Swee Lan suka membaca buku cerita. ( Kata Adjektif / Kata Adverba )

8. Aduh, sakit kepalaku! ( Kata Seru )

9. Beliau akan memberikan ceramah tentang bahasa baku. ( Kata Ganti Nama Diri Ketiga )

10. Orang itu miskin tetapi dia berbahagia. ( Kata Hubung )

11. Saya akan ke rumah Siong esok atau lusa. ( Kata Bantu )

12. Orang ramai sedang makan-makan di tepi pantai itu. ( Kata Ganda / Kata Kerja Tak Transitif )

13. Lauk-pauk yang dihidangkan itu sungguh enak. ( Kata Penguat )

14. Sejak berkawan, kami tidak pernah bercakar-cakaran. ( Kata Nafi )

15. Penduduk kampung senantiasa bertolong-tolongan. ( Kata Nama )

II
Namakan jenis frasa bagi frasa-frasa yang bergaris dalam ayat yang disenaraikan.

Contoh:
Buku itu di atas meja. ( Frasa Nama)

1. Ali membantu ayah dan Asmah menolong ibu. ( FK )

2. Tingginya bangunan itu dua ratus meter. ( FN )

3. Lukisan itu amat cantik sekali. ( FA )

4. Ayah membelah kayu dengan kapak. ( FS )

5. Saya menemukan dompet itu semalam. ( FK )


III
Nyatakan sama ada ayat-ayat yang disenaraikan BETUL atau SALAH dari segi tatabahasa dan sintaksis.

Contoh:
Hukuman itu berlandaskan undang-undang. ( BETUL )

1. Dia gurukah? ( SALAH )

2. Saya memperoleh berita baik pada hari ini. ( BETUL )

3. Pekerja-pekerja itu memperlebarkan jalan itu. ( SALAH )

4. Amboi, sombongnya. ( SALAH )

5. Dia tersenyum kepada saya. ( BETUL )

6. Mutu tendang bola itu. ( SALAH )

7. Susan mengetahui akan hal itu. ( SALAH )

8. Wang ini perlu disimpan oleh engkau. ( SALAH )

9. Ibu menjahitkan adik baju kurung. ( BETUL )

10. Ayah memberikan saya wang saku. ( SALAH )

Bibliografi:
Asraf, Petunjuk Tatabahasa BM: Sasbadi Sdn. Bhd.Petaling Jaya, 2007.
Chai Loon Guan, JBM, SMK Methodist, Tg.Malim, 18 Februari 2007.
Nik Safiah Karim at el, Tatabahasa Dewan, DBP, Kuala Lumpur, 1993.

Wednesday, July 22, 2009

CERAMAH BAHASA MELAYU (K1) PMR

CERAMAH TATABAHASA BM PMR 2009
SMK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
15 JULAI 2009

KESALAHAN UMUM TATABAHASA:
SISTEM BAHASA: MORFOLOGI
(KN, KK, KA, Kata Tugas)

Kata Tugas:
i. Kata Hubung
ii. Kata Seru
iii. Kata Tanya
iv. Kata Perintah
v. Kata Pangkal Ayat
vi. Kata Bantu
vii. Kata Penguat
viii. Kata Penegas
ix. Kata Nafi
x. Kata Pemeri
xi. Kata Sendi Nama
xii. Kata Pembenar
xiii. Kata Arah
xiv. Kata Bilangan
xv. Kata Adverba
xvi. Kata Penekan
xvii. Kata Pembenda

KATA NAMA (KN)
Kata Ganti Diri

1a. Lim ditangkap. Beliau pengedar dadah. (x)
1b. Lim ditangkap. Dia pengedar dadah. (/)

2a. Kalau tidak dirawat dengan segera, mungkin ianya akan lumpuh. (x)
2b. Kalau tidak dirawat dengan segera, mungkin ia/dia akan lumpuh. (/)


3a. “Kita ingin mengetahui masalah itu dengan lebih mendalam,” kata beberapa orang wartawan kepada menteri tersebut. (x)

3b. “Kami ingin mengetahui masalah itu dengan lebih mendalam,” kata beberapa orang wartawan kepada menteri tersebut. (/)

KATA KERJA (KK)
Kata Kerja Transitif dan Kata Kerja Tak Transitif

a. Kata Kerja Transitif
Contoh:
membesarkan, menghadiahi, memperoleh, mempelajari, dan sebagainya.

1a. Dia memberikan saya sepasang baju. (x)
1b. Dia memberi saya sepasang baju. (/)

2a. Ibu mengambilkan segelas air untuk nenek. (x)
2b. Ibu mengambil segelas air untuk nenek. (/)

b. Kata Kerja Tak Transitif
Contoh:
bangun, belajar, berguguran, berpandukan, dan sebagainya.

1a. Zuliana bisik kepada saya. (x)
1b. Zuliana berbisik kepada saya. (/)

2a. Hukuman itu berdasarkan pada undang-undang. (x)
2b. Hukuman itu berdasarkan undang-undang. (/)

KATA ADJEKTIF (KA)
Contoh: Mahal, jauh, indah dsb.

1a. Baju-bajunya cantik-cantik belaka. (x)
1b. Baju-bajunya cantik belaka. (/)
1c. Bajunya cantik-cantik belaka. (/)

2a. Saya amat sayang ibu. (x)
2b. Saya amat sayang akan ibu. (/)

3a. amat + KA + sekali (/)
3b. sangat + KA + sekali (/)
3c. sungguh + KA + sekali (/)
3d. paling + KA + sekali (x)
3e. teramat + KA ( Betul )

KATA TUGAS
Kata Bilangan

1a. Berbagai jenis makanan terhidang di atas meja. (x)
1b. Berbagai-bagai /Pelbagai jenis makanan terhidang di atas meja. (/)
2a. Sebelum ceramah bermula, setengah orang telah berangkat pulang. (x)
2b. Sebelum ceramah bermula, sesetengah orang telah berangkat pulang. (/)

3a. Saya menantinya selama dua suku jam. (x)
3b. Saya menantinya selama dua jam suku. (/)

Kata Arah
1a. Tetamu itu masuk dalam dewan. (x)
1b. Tetamu itu masuk ke dalam dewan. (/)

2a. Buku itu ada atas meja. (x)
2b. Buku itu ada di atas meja. (/)

Kata Tanya
1a. Orang itu siapakah? (x)
1b. Siapakah orang itu? (/)
1c. Orang itu siapa? (/)

2a. Siew Sin dari Sarawakkah? (x)
2b. Dari Sarawakkah Siew Sin? (/)
2c. Siew Sin dari Sarawak? (/)

Penjodoh Bilangan

1a. Daripada ucapan itu, kita beroleh sebuah kesedaran. (x)
1b. Daripada ucapan itu, kita beroleh kesedaran. (/)

2a. Ahli sukan itu mempunyai sebuah cita-cita untuk mengharumkan nama negara. (x)
2b. Ahli sukan itu mempunyai cita- cita untuk mengharumkan nama negara. (/)

Kata Sendi

1a. Dia berjalan kaki daripada Tg.Malim ke Tapah. (x)
1b. Dia berjalan kaki dari Tg.Malim ke Tapah. (/)

2a. Ujian itu akan dijalankan dari semasa kepada semasa. (x)
2b. Ujian itu akan dijalankan dari semasa ke semasa. (/)

Kata Hubung

Kata Hubung Gabungan
(dan, atau, serta, lalu, tetapi dsb.)

Kata Hubung Pancangan
i. Relatif (yang)
ii. Komplemen (bahawa, untuk)
iii. Keterangan (agar, jika, sekiranya dsb.)


Kata Hubung Berpasangan
Contoh:
(baik…ataupun, baik…mahupun, bukan saja…tetapi juga dsb.)

1a. Pandai-pandailah membawa diri bila berada di rantau orang. (x)
1b. Pandai-pandailah membawa diri apabila berada di rantau orang. (/)

2a. Saya berharap agar supaya Mutu selamat menjalani pembedahan itu. (x)
2b. Saya berharap agar / supaya Mutu selamat menjalani pembedahan itu. (/)

3a. Jika sekiranya saya terlupa, tolong ingatkan saya. (x)
3b. Jika / Sekiranya saya terlupa, tolong ingatkan saya. (/)

KESALAHAN DARI SEGI PERBENDAHARAAN KATA
Penggunaan Kata yang tidak tepat:

1a. Apakah benar kata-katamu? (x)
1b. Adakah benar kata-katamu? (/)

2a. Apakah nama kamu? (x)
2b. Siapakah nama kamu? (/)

3a. Penyair itu sedang beristirehat di kamarnya. (x)
3b. Penyair itu sedang beristirahat di kamarnya. (/)

4a. Kasut itu bukan cantik. (x)
4b. Kasut itu tidak cantik. (/)

5a. Gulungan remaja mudah terpengaruh. (x)
5b. Golongan remaja mudah terpengaruh. (/)

6a. Para pelancung itu dari Taiwan. (x)
6b. Para pelancong itu dari Taiwan. (/)

7a. Saya sedang menuntun televisyen. (x)
7b. Saya sedang menonton televisyen. (/)

8a. Pedalaman dasar Sungai Bernam akan dilakukan. (x)
8b. Pendalaman dasar Sungai Bernam akan dilakukan. (/)

KESALAHAN DARI SEGI PENGIMBUHAN

1a. Kenaikkan harga barang-barang disebabkan permintaan melebihi penawaran. (x)
1b. Kenaikan harga barang-barang disebabkan permintaan melebihi penawaran. (/)

2a. Ayah mengenepikan keretanya untuk memberikan laluan kepada ambulans itu. (x)
2b. Ayah mengetepikan keretanya untuk memberikan laluan kepada ambulans itu. (/)

KESALAHAN DARI SEGI PENGGANDAAN

1a. Pepohon-pepohon yang rendang terdapat di sepanjang jalan. (x)
1b. Pepohon yang rendang terdapat di sepanjang jalan. (/)

2a. Pelumba-pelumba motosikal itu saling potong-memotong untuk memenangi perlumbaan. (x)
2b. Pelumba-pelumba motosikal itu potong-memotong / saling memotong untuk
memenangi perlumbaan. (/)

3a. Ah Chong menggaru-garu kepalanya berkali-kali apabila disoal oleh Cikgu Selvam. (x)
3b. Ah Chong menggaru-garu kepalanya apabila disoal oleh Cikgu Selvam. (/)

KESALAHAN DARI SEGI PEMAJMUKAN:
( Latihan )

1. Ayah Mazri selalu pulang ke rumah pada waktu makan tengahari kerana pejabatnya
berhampiran dengan rumahnya. (x)
2. Peraturan memakai tanda nama telah dikuat kuasakan semenjak tahun lepas. (x)

3. Kertas kerja-kertas kerja itu dibentangkan oleh pakar-pakar yang berpengalaman luas
dalam bidang masing-masing. (x)

KESALAHAN DARI SEGI FRASA NAMA
( Latihan )

1. dua buah kereta-kereta (x)
2. beberapa orang pemuda-pemuda (x)
3. ketiga-tiga orang pelakon-pelakon itu (x)

HUKUM D-M:
( Latihan )

1. lain-lain hal (x)
2. goreng keledek (x)
3. alat penghawa dingin (x)

FRASA KERJA (FK):
( Latihan )
1. Pasukan Perak akan bertemu pasukan Selangor. (x)
2. Mereka akan mendalamkan lagi sungai itu. (x)
3. Encik Ali mempunyai banyak pengalaman dalam bidang penulisan. (x)
4. Tarian asli itu mereka persembahkan. (x)
5. Surat itu saya sudah kirim. (x)

FRASA ADJEKTIF (FA):
( Latihan )
1. Orang ramai begitu yakin benar bahawa pilihan raya akan diadakan pada tahun ini. (x)
2. Dialah petinju yang terhandal sekali. (x)
3. Sungguh indah nian pemandangan di Pulau Pangkor. (x) atau (/)
4. Harga baju di kedai itu amat mahal sekali. (x) atau (/)

FRASA SENDI (FSN):
(Latihan)

1. Kain itu dibuat dari sutera. (x)
2. Marjerin disapukan di roti. (x)
3. Lawatan ke Ipoh dibatal oleh kerana tidak mendapat kelulusan daripada Pengetua. (x)

KESALAHAN DARI SEGI STRUKTUR AYAT: SINTAKSIS

AYAT MAJMUK GABUNGAN:

1a. Mereka akan bercuti di Pulau Pangkor atau Pulau Tioman? (x)

1b. Mereka akan bercuti di Pulau Pangkor atau di Pulau Tioman? (/)

2a. Saya tidak pasti sama ada dia pergi ke perpustakaan atau sekolah. (x)

2b. Saya tidak pasti sama ada dia pergi ke perpustakaan atau ke sekolah. (/)

AYAT MAJMUK PANCANGAN:

1a. Semua orang tahu beliau pemilik syarikat itu. (x)
1b. Semua orang tahu bahawa beliau pemilik syarikat itu. (/)

2a. Saya berharap kamu berjaya. (x)
2b. Saya berharap agar kamu berjaya. (/)

3a. Menara itu yang tinggi Menara Kuala Lumpur. (x)
3b. Menara yang tinggi itu Menara Kuala Lumpur. (/)

AYAT TERGANTUNG:
( Latihan )

1. Di seluruh negara mengalami jerebu. (x)
2. Kerana perkara itu akan diatasi. (x)
3. Turut menghadiri majlis itu ialah Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang. (x)
4. Apakah perlu kita lakukan sekarang? (x)
5. Daripada bukti-bukti ini jelas menunjukkan bahawa dia tidak bersalah. (x)

AYAT YANG TIDAK BETUL SUSUNANNYA:
( Latihan )

1. Majalah itu saya tidak mahu membaca. (x)
2. Yang mengarang sajak ini Sarinalah. (x)
3. Semua pelajar-pelajar itu himpun di padang sekolah. (x)

MEMBETULKAN BAHAGIAN AYAT YANG BERGARIS:

1a. Pengetua sekolah itu mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajarnya yang bermasalah berlandaskan kepada peraturan yang sedia ada. (x)

1b. Pengetua sekolah itu mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajarnya yang bermasalah berlandaskan peraturan yang sedia ada. (/)

2a. Jurulatih pasukan bola sepak itu telah berusaha mempertajamkan lagi barisan serangan pasukannya yang kurang berkesan. (x)

2b.Jurulatih pasukan bola sepak itu telah berusaha untuk mempertajam barisan serangan pasukannya yang kurang berkesan. (/)

MEMILIH AYAT SAMA MAKSUD:

Memahami maksud ayat dan mencari maksud ayat yang sama.
Contoh:

1. Tiap-tiap orang yang mengaku sebagai warganegara yang setia terhadap negara haruslah
mempertahankannya daripada ancaman musuh.

2. Tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh harus dipikul oleh warganegara yang melafazkan taat setia.

3. Setiap warganegara diminta berusaha gigih supaya matlamat kerajaan untuk menjayakan Wawasan 2020 tercapai.

4. Rakyat diseru agar bersungguh-sungguh menggembleng tenaga dalam usaha menjayakan matlamat Wawasan 2020.

PENGGUNAAN PERIBAHASA:

Simpulan Bahasa
Contoh: ibu pertiwi

Pepatah
Contoh: Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Perumpamaan
Contoh: Seperti katak di bawah tempurung.

Bidalan
Contoh: Alah bisa tegal biasa.

Kata-kata Hikmat
Contoh: Bahasa jiwa bangsa.

Bandingan
Contoh: bijak seperti pendeta

KOMSAS:
Gaya Bahasa Sajak.
Soalan:
1. Ini laut kita …
Ini hutan kita …
Ini langit kita …
Ini sungai kita …
(Negeri Cinta – T1) - Anafora

2. kaukah yang terharu itu, kawanku
menatap bagian tanah terbakar
landskap jiwa (Metafora)
meminta jawapan waktu pekat dengan pengertian
rindu mencumbu zaman! (Personifikasi)
(Tasik Biru, Bau, Sarawak – T1)

3. Ingin sekali aku
berdiri di anjung kasihmu (Sinkof)
memetik sebuah keikhlasan
menghampar selautan harapan (Hiperbola)
(Bicara Buat Guru – T2)

4. Kujabat mesra tangan ayah
urat-urat daging-daging tua keras terasa (Hiperbola)
mataku tersenyum, matanya menyapa (Personifikasi)
anak yang pulang disambut mesra
(Mata Ayah – T2)

5. Telah kita siapkan rumah baru (Ayat Pasif)
di atas tiang muafakat
air, pasir dan simen
dari tangan pelbagai bangsa
negara yang tumbuh
atas bumi toleransi (Metafora)
(Rumah Baru – T3)

KERTAS BM PMR
Kertas 1 (02/1) – 40 markah.
i. 40 soalan objektif – 1 jam.
ii. 17 soalan morfologi.
iii. 10 soalan sintaksis.
iv. 03 soalan peribahasa.
v. 10 soalan Komsas, iaitu puisi, prosa dan drama.

(Bibliografi:
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga – DBP:2008 / Kamus Dewan Edisi Keempat – DBP / Chai Loon Guan, Munsyi Dewan DBP)

Sunday, July 19, 2009

CERPEN IV - Ceritera Seorang Munsyi

CERITERA SEORANG MUNSYI
Chai Loon Guan

Senja kian merangkak menghampiri sketsa malam. Pawana bertiup lembut selembut bicara si gadis desa yang berhemah. Ruang segi empat kamar baca Munsyi BO masih dihuni. Kamar itulah termuatnya segala macam khazanah ilmu. Buku lama dan buku baharu kelihatan di sana sini. Setiap satu setia menanti untuk ditatap. Setiap satu setia menunggu untuk ditelaah oleh tuannya. Biarpun tersusun, beberapa banyak buku juga kelihatan bertaburan. Barangkali kekurangan pepara buku. Dan yang pasti, bilangan buku di kamar baca itu akan bertambah setiap bulan. Sudah menjadi kelaziman Munsyi BO untuk membelanjakan sepecahan daripada emolumennya untuk menambah koleksi buku di kamar bacanya. Kamar baca di suatu bucu sebuah rumah teres setingkat bernombor 12 Taman Mu’alim.

Sejak bersara wajib, demikianlah tugas rutin Munsyi BO di dunia kehidupan yang masih berbaki itu. Itupun bergantung kepada kehendak-Nya. Kalau ditakdirkan usianya panjang, maka dapatlah Munsyi BO menghabiskan sisa hidupnya dengan bermanfaat. Selain berdarmawisata, dia gemar membaca, mencatat dan menghasilkan karya. Barangkali akan bertambahlah karya puisi buat tatapan masyarakat. Barangkali akan bertambahlah beberapa banyak cerpen untuk khazanah sastera tanah air. Barangkali mungkin, buah fikirnya daripada catatan perjalanan dan pengembaraan dapat dihayati dan dikongsi bersama. Kalau ditakdirkan baki usianya pendek, maka hakikat hidup itulah yang perlu dilaluinya. Sebenarnya, sebagai manusia, pasrahlah Munsyi BO bahawa dialah sang pelakon di pentas hidup. Dialah jua sang sutradara di pentas hidup yang fana ini.

Cawan kopi Nescafe Gold dicapai dan disuakan ke bibir. Seteguk demi seteguk air kopi suam itu dihirupnya. Puas dan penuh nikmat dek aromanya yang mengasyikkan. Kemudian, Munsyi BO menyambar senaskhah akhbar berbahasa Melayu di tepi meja tulisnya. Sempat dibacanya isu yang sedang panas dibicarakan oleh masyarakat belakangan ini. Isu guru. Benar, pada era globalisasi ini, peranan guru kian mencabar. Tugas guru kian berat dan membebankan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul! Selain kerja rutin merancang, merekod dan mengajar, gurulah guru disiplin. Gurulah guru kokurikulum. Gurulah guru kelas. Gurulah setiausaha peperiksaan. Gurulah guru data. Gurulah guru kebajikan. Gurulah guru kaunseling. Gurulah tukang kebun, tukang sapu, tukang jaga tandas, tukang kayu, tukang ampu, tukang lapor, tukang fitnah, tukang kipas dan barangkali tukang kepada segala tukang di buana perguruan.

Baris demi baris makalah itu ditelaahnya dengan tekun. Ayat demi ayat makalah itu direnungtafsirkannya sungguh-sungguh. Sedihnya, dikatakan guru kini dilanda krisis profesionalisme. Guru kekurangan nilai kekitaan. Ketanggungjawaban dan kebitaraan guru kain terhakis. Taring guru kian tidak berbisa. Jiwa guru kian terbelenggu. Minda guru kian termanggu. Kononnya, sejak mutakhir, guru asyik memperjuangkan gaji, bonus, cuti, gred, APC dan sebagainya. Biarpun ijazahnya berjela-jela tetapi guru miskin iltizam. Guru daif amat akan kesungguhan. Guru muda macam guru tua. Kurang upaya dan uzur. Mengaku kurang pengalaman tetapi malas belajar untuk menimba pengalaman. Benarkah begitu? Benarkah? Bisik hati kecil Munsyi BO berkali-kali.

Panorama di luar jendela teratak usang ditatapnya puas-puas. Pandangannya membelah memega mendung di langit terbuka. Renungannya cukup tajam. Dan, dalam renungan itu hadirnya keluhan-keluhan yang menggelisahkan.
Kalau benar bagaimanakah nasib anak-anak bangsa kita? Ah, sudah acapkali para umarak menegaskan bahawa tugas guru tugas yang mulia! Guru senantiasa disanjung. Guru senantiasa dihormati. Gurulah pencorak masa depan nusa bangsa. Gurulah pembina insan yang berakhlak mulia. Gurulah pembentuk generasi yang beriltizam. Guru pembina negara bangsa!
Gurulah pencetus modal insan yang berwawasan! Gurulah segala-galanya persis bait-bait puisi SN Datuk Dr. Usman Awang, Guru Oh Guru:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Yang jelas, tugas guru cukup mulia. Guru amat disanjungi. Jangan sekali-kali ada yang mahu menconteng arang di muka guru. Jangan pula kerana nila setitik rosak susu sebelangga! Sebenarnya, guru ialah awan indah terbang rendah, melimpahkan hujan pada musim gersang, menyegarkan benih ilmu berbuah hikmah, renjis embun pada tanah bakat, suara ihsan ketika manusia kalah, sepi yang syahdu dalam dunia resah! Ah, baris-baris puisi Obor Hemah nukilan SN Dr. A. Samad Said bermelodi pula di peta minda Munsyi BO!

Kenapa? Kenapa sudah berkumandang kata-kata nista di buana mulia guru? Kononnya guru bergaji buta. Guru moyok. Guru lesu, selesu guru pencen seperti dirinya. Bersiponganglah pelbagai gelaran sinis. Guru MC, guru dua puluh lima hari bulan, guru zon selesa, guru politik, guru fanatik dan sebagainya. Ketandusan akauntabilitikah guru? Jumudkah minda guru? Benarkah? Adilkah tuduhan semberono begitu?

Sebenarnya guru itu pendidik. Pendidik itu guru. Munsyi. Benarkah guru mutakhir umpama ketam mahu mengajar anaknya berjalan dengan betul? Bukankah guru merupakan contoh teladan kepada anak-anak bangsa? Role model kepada generasi nusa. Bak kata guru kencing berdiri, anak-anak murid kencing berlari!

Kian berapi-api monolog Munsyi BO. Keintelektualan dan keintuisian Munsyi BO kian tercalar. Nostalgia kesungguhan, dedikasi dan keiltizaman Munsyi BO kian dinyahmusnahkan. Masakan tidak? Sebelum bersara wajib, pengalaman 36 tahun Munsyi BO kalau dihitung cukup membuktikan ketekadan dan keiltizamannya. Semangat dan dedikasi Munsyi BO cukup terpuji. Sebenarnya 36 tahun bukan usia pendek. 36 tahun bukan tempoh singkat. 36 tahun merupakan usia seorang manusia yang dewasa. Manusia dewasa yang matang. Manusia dewasa yang berakal melainkan ia ditakdirkan cacat, sakit atau kurang waras!

Maka berkumandanglah suara-suara sinis menyindir keprihatinan Munsyi BO. Benar zaman ini zaman canggih. Zaman ICT. Zaman globalisasi. Segala-galanya di hujung jari. Buat apa dia mahu menyibukkan diri? Kalau sudah bersara berlagaklah seperti pesara. Jangan memburu publisiti murahan! Jangan jadi jaguh kampung! Alangkah bagusnya dia duduk diam-diam di rumah. Beristirahat ia sambil menonton siaran televisyen. Siaran RTM, TV3 atau NTV Seven. Kalau jemu, Munsyi BO boleh beralih kepada saluran 8TV atau melanggani pakej Astro! Alangkah baiknya sebegitu daripada menjaga tepi kain orang. Lupakan sahaja nostalgia silam sebagai seorang guru. Alangkah bagusnya, Munsyi BO menghabiskan masanya di bank untuk menghitung untung ruginya pasaran saham atau mengutip laba faedah simpanan tetapnya yang barangkali sudah menjangkau ratusan ribu! Kalau bosan atau meloyakan, boleh sahaja Munsyi BO ke gerai mamak. Dapatlah dia berborak dengan rakan-rakan seangkatan tentang hal-ehwal semasa. Barangkali di situlah nanti, Munsyi BO dapat meluahkan buah fikir atau setidak-tidaknya bermain dam aji sambil berbicara tentang dunianya yang semakin senja!
Tidak! Persaraan tidak akan memadamkan obor semangatnya. Dunia pencen tidak akan mengasingkan dirinya daripada dunia keguruan dan perguruan. Dunia perguruan ialah dunianya. Darah daging Munsyi BO selagi hayat dikandung badan.

Bagi Munsyi BO, dunia pendidikan tidak boleh diperlekeh. Dunia pendidikan dunia masa depan anak-anak bangsa. Dan, yang pasti di pundak gurulah disandarkan harapan. Harapan untuk melahirkan negara bangsa yang cemerlang! Biarpun sudah bergelar mantan guru, suaranya masih lantang. Kelantangan suaranya mencerminkan ketulusan, ketelusan dan iltizam seorang insan munsyi yang peka dan prihatin akan nasib anak-anak bangsa di persada tanah air yang tercinta!

Ah, bukan maksud aku untuk berlagak angkuh. Jauh sekali daripada mencetuskan kontroversi atau polemik. Persetankan itu semua! Yang penting, isu yang acapkali diperkatakan oleh masyarakat perlu dikenal pasti, diperhalus, dan ditangani tanpa sambalewa. Jika tidak, virus masalah akan membawa wabak. Wabak dahsyat barangkali. Bukan wabak virus Nipah. Bukan wabak virus Denggi. Bukan wabak virus Chikungunya. Bukan wabak virus HIV. Yang nyata, virus marabahaya yang barangkali akan menggelap-gelitakan masa depan anak-anak nusa bangsa. Bukankah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara? Kembali pertanyaan demi pertanyaan mengasak kalbu mindanya.

Kerjaya guru seringkali diperkatakan, kenapa? Kerjaya guru acapkali dipersoalkan, kenapa? Di mana cacat celanya? Akar umbi masalahnya apa? Jangan, jangan kerana nila setitik maka rosak susu sebelangga! Kerjaya perguruan sebenarnya memikul amanah dan tanggungjawab. Amanah dan tanggungjawab dalam merealisasikan pembinaan sebuah negara bangsa yang progresif, aman dan makmur. Amanah dan tanggungjawab dalam merealisasikan pembentukan modal insan yang berwawasan, berakhlak dan berilmu. Pokoknya, guru, keguruan dan perguruan amat sinonim akan visi dan misi untuk menjayakan matlamat PIPP dan Wawasan 2020!

Seteguk demi seteguk air kopi Nescafe Gold dihirupnya lagi. Puas dan penuh nikmat. Nafas keluh-kesah dilepasbebaskan. Kemudian, Munsyi BO menggeleng-ngelengkan kepalanya. Memang benar zaman pascamerdeka amat berbeza dengan zaman menuju wawasan perdana. Sebenarnya guru alaf ini cukup beruntung biarpun ada ketikanya mengundang ceritera yang tidak membahagiakan. Masakan tidak? Dulu, guru dibelenggui seribu satu macam cabaran. Guru perlu meredah hutan, bersampan dan berkaki ayam dalam lecak lumpur untuk bertugas di sekolah pedalaman. Murid-murid pedalaman perlu dididik tanpa bekalan elektrik dan air paip bersih. Kehidupan ketika itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Biarpun terpaksa bertemankan pelita minyak tanah atau disirami air sumur di kebun pedalaman, namun perjuangan untuk menyebarluaskan ilmu diteruskan tanpa putus asa, tanpa leka, tanpa curiga.
Matlamat perjuangan jelas. Lahirkan anak-anak bangsa yang berilmu. Anak-anak bangsa yang berkemahiran. Anak-anak bangsa yang berakhlak. Anak-anak bangsa yang tahu bersyukur dan memiliki jati diri! Anak-anak bangsa yang patriotik! Biarpun sukar, susah dan perit, iltizam guru-guru pada era Munsyi BO cukup kental!

Merekalah pencorak zaman. Merekalah ejen perubahan. Merekalah pencetus ilham sehingga tanah air bebas daripada belenggu penjajah!
Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!

Bagi Munsyi BO, manusia guru perlu berjiwa pendidik. Jiwa pendidik mengandung keikhlasan, kesungguhan dan iltizam. Jiwa pendidik menghargai setiap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Jiwa pendidik akan mengangkat martabat nusa bangsa ke persada dunia. Anak-anak bangsa perlu dididik tanpa pilih kasih. Anak-anak bangsa perlu diasuh tanpa diskriminasi. Anak-anak bangsa berhak menerima pendidikan. Mereka berhak untuk menimba ilmu dan kemahiran. Sama ada di kosmopolitan megah atau di pedalaman daif, anak-anak perlu disemaikan dengan wangi ilmu dan akhlak yang terpuji. Tugas itu suatu amanah.

Tanggungjawab itu suatu ibadah. Ikrar dan akur janji mesti dikota. Jika gagal, maka kita tidak berhak untuk bergelar guru. Jika gagal, maka kita tidak berhak untuk bergelar pendidik.
Bidang perguruan atau keguruan ini bukan milik kita yang terlalu berkira atau mementingkan diri! Bukankah guru umpama lilin yang rela membakar diri untuk menerangi dunia orang lain? Ah, kata-kata filsuf itu bersandiwara lagi di pentas minda Munsyi BO. Barangkali ungkapan klise itu sekadar retorik kehidupan keduniawian yang serba mencabar ini!

Bagi Munsyi BO, guru memerlukan anjakan paradigma. Kukuh dan mantap segala-galanya. Kukuh dari segi ilmu dan kemahiran. Kukuh dari segi nilai dan kebitaraan akhlaknya. Kukuh dari segi semangat gigih, jati diri dan iltizam. Kukuh dari segi penampilan, komunikasi dan keterbukaan mindanya. Guru kini tidak boleh berfikiran jumud. Guru kini tidak boleh memencilkan diri. Guru kini perlu berfikiran rasional, adil dan saksama. Guru kini perlu memiliki budaya kerja yang rapi dan disiplin yang ketat. Guru juga perlu menguasai pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran. Barangkali kaedah belajar cara belajar, kontruktivisme, kontekstual, kolobaratif, kecergasan pelbagai, kaedah akses kendiri, MAS (Minimum Adequate System), dan sebagainya perlu digabungjalinkan dalam pengajaran guru. Guru juga perlu berjiwa patriotik. Guru menjadi role model kepada anak-anak bangsa! Demikianlah persepsi manusia guru menurut Munsyi BO.

Yang kurang pengalaman perlu rela belajar daripada yang berpengalaman. Yang berpengalaman perlu sanggup mencurahkan ilmu dan kemahiran. Yang muda perlu belajar menghormati yang tua. Yang tua pula perlu belajar memahami yang muda. Yang berkebolehan perlu diberi pengiktirafan bukan dipinggirkan atau dianaktirikan. Yang bermasalah perlu dipantau, dibantu, dikaunseling dan dicarikan vaksin penawarnya yang cukup mujarab dan mustajab. Jika dibiarkan maka akan bertambah sakitlah dunia perguruan dan keguruan!

Bagi Munsyi BO, kebajikan dan profesionalisme guru perlu dijaga. Jika nasib guru terbiar tanpa pembelaan bagaimana pula prestasi murid dari segi JERI – Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek dapat diangkasakan? Kita bercerita tentang pendidikan global. Kita bercerita tentang dunia ICT. Kita bercerita tentang modal insan. Kita bercerita tentang negara bangsa. Kita bercerita tentang wawasan perdana. Jadi, prasarana pendidikan perlu dinaiktarafkan agar tiada lagi ceritera tentang anak-anak kita belajar di bawah bumbung yang bocor, bilik darjah yang padat dan uzur dan sekolah yang serba daif dan kekurangan manusia guru yang beriltizam? Jelas, sekolah memerlukan khidmat bakti, iltizam dan dedikasi guru. Emolumen, prestasi dan kenaikan pangkat guru perlu seiring dengan kelulusan, pengalaman, kepakaran, iltizam, dedikasi, kesungguhan, dan kebitaraan.

Persepsi ibu bapa terhadap guru bagaimana? Jangan pula beranggapan bahawa sekolah ialah rumah kebajikan. Dan, guru-guru di dalamnya pembantu rumah! Yang penting, iltizam dan kesungguhan ibu bapa dituntut. Tanggungjawab mereka kepada anak-anak tidak boleh diabaikan sama sekali. Jika tidak, maka kelihatanlah senario remaja yang hidup bebas gentayangan tanpa hala tuju hidup.

Ah, aku bukan mahu menjadi ketam! Yang pasti aku bukan ketam yang mahu mengajar anaknya berjalan betul! Sebagai insan lemah di sisi-Nya, aku sekadar mahu mengingatkan dan berkongsi pengalaman. Bukankah amalan saling mengingatkan banyak hikmahnya? Sudah tiba waktunya, minda rasional setiap warga dipinta. Jauhi syak-wasangka dan akal minda yang jumud. Gurulah penentu masa depan negara bangsa! Gurulah segala-galanya. Monolog Munsyi BO kian bersipongang ketika sketsa alam mula diselubungi kilasan kilat sabung-menyabung. Sesekali, dentuman guruh petir yang nyaring dan ekor-mengekor kilat hampir menghiasi sketsa malam yang gelap-gelita itu.

“Abang!”
Suara panggilan Nyonya BO, isteri kesayangan yang dikahwininya hampir empat dekad yang lalu timbul tenggelam dek jerit-pekik hujan ribut yang kian mencakar ganas atap genting teratak usang Munsyi BO.
“Abang!!”
“Iya, sayang?”
“Makan malam dah sedia!”
Baru tersedar oleh Munsyi BO bahawa perutnya sudah mula berkeroncong. Dia bingkas bangun. Cawan Nescafe Gold yang sudah menjadi teman setia sepanjang petang dan senja itu diletakkannya kembali di pepara selepas habis dibasuh. Kemudian, melangkah perlahan ia ke meja makan.

Nyonya BO sedang menceduk nasi putih ke mangkuk Munsyi BO. Sepasang kayu penyepit dan sudu proselin bersiap sedia untuk digunakan.
”Abang!”
”Hem?”
”Ada sepucuk surat untuk abang!”
”Surat? Dari mana?
”Barangkali dari Putrajaya, agaknya...”
”Biarkan. Kita makan dulu!”

Yang jelas, kayu penyepit sedang menyapu bersih di mangkuk nasi Munsyi dan Nyonya BO. Di luar teratak usang, hujan ribut masih belum mahu bersidang! Selepas makan malam dan habis menonton Buletin Utama, Munsyi BO meninggalkan Nyonya BO bersendirian di ruang tamu. Biarkanlah Nyonya BO menonton program kegemarannya. Barangkali filem Korea – Winter Sonata yang pasti akan menyentuh hati nuraninya kembali. Munsyi BO ke kamar bacanya semula. Perlahan-lahan, warkah dari Putrajaya itu dibukanya. Surat itu bertulisan tangan, cukup kemas dan menarik untuk dibaca. Maka, sebaris demi sebaris warkah itu ditatapnya penuh tekun tanpa gagal.

Cikgu,
Dalam keheningan malam yang kian mendamaikan di sebuah kota yang bernama Putra, izinkan Adi menarikan baris-baris bicara untuk tatapan seorang guru yang telah banyak berjasa kepada anak-anak bangsa. Berkat dedikasi dan jasa iltizam cikgu dua dekad yang lalu di daerah pedalaman Tg. Jambu, maka pada hari ini, dengan kehendak-Nya, Adi telah mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam buana pelajaran, kerjaya dan hidup. Jasa bakti cikgu yang selama ini tidak kenal akan putus asa telah mendorong dan membawa nur kejayaan kepada saya dan anak-anak bangsa di seluruh pelosok tanah air.

Cikgu,
Segala nasihat, iltizam dan tunjuk ajar cikgu kepada saya selama ini akan tetap saya kenang dan hargai selagi hayat dikandung badan. Terima kasih, cikgu! Jasa baktimu akan saya kenang zaman-berzaman. Maka pada kesempatan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada cikgu. Semoga cikgu senantiasa sihat, aman bahagia dan gembira ceria di sisi keluarga yang tersayang. Sebelum saya mengundurkan diri, sudilah sekiranya cikgu melapangkan waktu seketika untuk membarisi bait-bait sajak yang sempat saya nukilkan khas buat tatapan cikgu!


WARKAH UNTUK GURU
Bagaikan tukang jahit, guru
Kautabah sabar menarikan jejarum ilmu
Bertemankan bebenang rona
Mencantumkan helai demi helai kain menjadi busana kebahagiaan anak-anak warisan
Nusa dan bangsa

Bagaikan tukang masak, guru
Kaugigih cekal
Memilih sayur-mayur yang terpilih
Digaulkan dengan gizi dan rempah-ratus pengalaman
Menghasilkan hidangan kedewasaan
Buat anak cucu warisan zaman-berzaman

Bagaikan tukang rumah, guru
Kausabar mengetam pepapan akhlak
Mendirikan tiang moral
Membentuk kamar, jendela dan pintu rumah keharmonian
Insan anak-anak didik nan kamil
Dalam riak gelombang lautan kehidupan, guru
Kaulah bahtera gagah melayari cekal ke pelabuhan bahagia
Dalam pusar pawana ribut yang mengganas di gurun pasir kehidupan, guruku
Kaulah khalifah tabah
Milik jati diri adunan citra terpuji
Memandu aku
Musafir sesat serba daif ke buana celik insaf
Menuju alaf baharu
Era Koridor Raya Multimedia

Dalam kegelapan, guru
Kau sebutir bintang berkerdipan di cakerawala hidupku
Jejalur nur suci kristalmu
Menerangi buana ilmuku
Waktu demi waktu
Selagi hayat dikandung badan
Dirgahayu, guruku
Jasa baktimu kembang mekar mewangi di taman kehidupan zaman-berzaman!
-ADICHONAN, PUTRAJAYA


Tanpa disedari, titisan air mata gembira sudah lama berkaca di penjuru mata. Kemudian, titisan air jernih itu berpecah dan menitis membasahi pipi kedutnya yang kian uzur itu. Munsyi BO amat bersyukur kepada Tuhan. Sebenarnya, warkah biru daripada Adi – anak murid yang bersawo matang, bergigi ronggak, berhingus, compang-camping baju usang lusuhnya dan berkaki ayam dek kemiskinan 30 tahun yang lalu telah mengembalikan antara nostalgia silam yang cukup mengusik naluri sukma kalbu seninya.

Yang penting bagi Munsyi BO, dia telah berjaya menunaikan amanahnya. Yang penting bagi Munsyi BO, dia telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya. Yang penting bagi Munsyi BO, dia telah menepati janji-janjinya kepada nusa bangsa. Bagi Munsyi BO, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri untuk menerangi dunia kecemerlangan dan kegemilangan anak-anak nusa bangsa yang tercinta!

Dirgahayu Munsyi BO!
Dirgahayu Munsyi BO!!
Dirgahayu Munsyi BO!!!