Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, June 16, 2009

SAJAK XI - Ceritera Sebuah Tanjung

CERITERA SEBUAH TANJUNG
(dedikasi buat kaum Rawa sarwajagat)

I
melewati deras alir di sungaimu, Bernam
dapat kubaca susur galur sejarahmu, Tanjung Jambu
hadirmu, 1790-an
wira enam Bugis
mudik menghulu-hulu
sampailah ke Kuala Ingkeh
sepohon jambu menjadi saksi
ketamadunan bangsa zaman-berzaman

menyusuri dataran pinggir di kalimu, Bernam
dapat kutafsir salasilah kisah silammu, Tanjung Jambu
pertalian darah Melayu Melaka
pertautan kisah kekuala sungai
tumpuan anak dagang saudagar berwawasan
berurus niaga mengasah bakat siasah
di alam Melayu nusantara

mengimbau lakaran sejarah di muara kalimu, Bernam
ada ceritera duka 1511
ada ceritera lara 1641
gugusan alam Melayu milik empayar dagang Hindia Timor Belanda
dan bersahabatlah penjajah
“Kerasnya tak dapat ditakik, lembutnya boleh disudu”
maka melampan, melanda (mendulang)
berdagang berkampung halaman
Kompeni Belanda di alam Melayu
bermandikan mewah dagangan rempah ratus Melaka, Bengkulin dan Betawi

II
biarpun sudah berabad lamanya, sejarahmu Sungai Pahlawan Berenam – Sg. Bernam
ceriteramu masih menakjubkan untuk kutafsir
rahsiamu masih mengagumkan untuk kubongkar
Kuala Ingkeh – hujung tanjung lidah tanah, di kiri air di kanan air, tebingnya tinggi mencuram ke sungai
di atas tebingnya, tumbuh pokok Jambu
subur merendang condong ke sungai
dan tersebutlah nama Tanjung Jambu!


di sinilah, kemudiannya diwartakan Kampung Jambu
zuriat keturunan Pahlawan Berenam
bermastautin bermenteri lima tinggang (keturunan)
dan berkesinambunganlah kisah pembukaan dan penerokaan
orang Kampar – Minangkabau – puak Rawa
di sebelah kanan menghilir Sungai Bernam – Kampong Kubu Kampong Masjed Lama
dari Kuala Sungai Geta, di baruh Keramat Cabang
dipugar kaum Rawa, Sungai Kubang Nyiur dan Seberang Selangor
sebelum berpindah kekal ke Simpang Empat, Lubok Salak dan Gumut Kalumpang
berurus niagalah puak Rawa
ke Bidor
ke Kuala Bernam
ke Kuala Perak
ke Kuala Lumpur
ke Pahang
ke Pulau Pinang
seantero benua berbulan-bulan bertahun-tahun
sebelum kembali ke Kampung Jambu

hadirmu, madrasah di tanjungmu
manifestasi ilmu agama dan akhirat
tempat berjemaah bersembahyang
membaca kitab suci al-Quran
hadirmu, Raja Itam Ketua Sabak Bernam
mudik bersama-sama Tuan List – wakil Inggeris Teluk Kawali, Sepong
kealiman warga Rawa dikagumi
maka Tanjung Jambu mendapat ingatan
Tanjung Malim mendapat gelaran!

Chai Loon Guan,
Jabatan Bahasa Melayu, SMK Methodist, Tg. Malim.


(Antologi Puisi Rao Nusantara - Julai 2009)

Bibliografi:
Zainal Abidin Daud (Murid Tua SITC 1929). Meninjau Kisah Purba – Riwayat Tanjung Malim: Siri Sastera “Lanang Budiman” Edisi Pertama. Percetakan Buyong Yunos, Teluk Anson. 1979.

Friday, June 12, 2009

SAJAK X - Sang Rama-rama

SANG RAMA-RAMA

Mahu aku menjadi sang rama-rama
Dapat kulebarkan sayap warna
Menghiasi alam buana
Tanpa warna duka
Tanpa warna lara

Mahu aku menjadi sang rama-rama
Dapat kulebarkan sayap impian
Menjadikan sketsa kehidupan
Bebas sengketa
Bebas bencana

Mahu aku menjadi sang rama-rama
Menjelajah bebas ke seantero benua
Mengutuskan warkah puisi
Metafora keamanan
Simile keharmonian
Personifikasi kesejahteraan
Asonansi keprihatinan
Aliterasi kemanusiaan

Mahu aku menjadi sang rama-rama
Menjelajah bebas ke seantero benua
Mengkhabarkan dunia
Waadat kemanusiaan
Waadat perpaduan
Waadat keamanan
Di bumi manusia milik-Nya!

Chai Loon Guan,
Tg.Malim.

Saturday, June 6, 2009

SAJAK IX - Kehidupan

KEHIDUPAN

seperti cinta
di buana bahasa
aku mencari kasih
di taman selasih

seperti kasih
di dunia sastera
aku mencari cinta
di kebun bunga

seperti sayang
di alam budaya
aku mencari rindu
di rumah ilmu

seperti rindu
di kebun kasih
aku mencari setia
di istana bahagia

cinta kasih sayang rindu
madu duka dalam cawan kebahagiaan
pahit bahagia dalam mangkuk kehidupan

Chai Loon Guan

(Mingguan Malaysia – 12 April 2009)