Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, August 6, 2009

PENULISAN KARANGAN BM (K2) PMR 2009

Tajuk Karangan 1:

Kesihatan amat penting kepada kehidupan kita sehari-hari. Cadangkan usaha-usaha untuk mengekalkan mutu kesihatan yang baik dalam kalangan masyarakat.

Pernahkah kita bertanya dari manakah datangnya badan yang sihat? Jawapannya tentulah daripada diri kita sendiri. Jika kita mengutamakan gaya hidup yang sihat, nescaya mutu kesihatan kita akan terjaga selagi hayat dikandung badan . Memang tidak dapat dinafikan bahawa taraf kesihatan di negara kita semakin merosot akibat daripada sikap dan cara hidup rakyat Malaysia yang kurang menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan dalam kehidupan sehari-hari. Pelbagai usaha boleh dilakukan oleh kerajaan dengan kerjasama rakyat untuk meningkatkan taraf kesihatan di negara kita.
Antara usaha yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan ialah menganjurkan program pemeriksaan kesihatan secara percuma di klinik-klinik kesihatan dan hospital di seluruh negara. Usaha positif ini dapat menghindarkan masyarakat daripada terkena akan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya seperti penyakit Influenza A H1N1 yang sedang berleluasa dan menjadi igauan ngeri warga dunia. Selain itu, program tersebut akan membolehkan rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia turut memperuntukkan wang yang banyak untuk mengadakan kempen-kempen kesedaran ke seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk mengekang budaya negatif seperti tabiat merokok, ketagihan arak dan penyalahgunaan najis dadah yang boleh mengakibatkan kerosakan pada organ-organ di dalam badan kita.
Sebagai warga yang peka dan prihatin, kita juga perlu bersenam dan beriadah pada waktu kelapangan. Sebenarnya, senaman dapat mencerdaskan minda . Sesekali kita perlu beriadah bagi mencergaskan tubuh badan di samping menenangkan fikiran kita yang sering diasak tekanan dan masalah hidup bak kata slogan cendekia “otak yang cerdas berasal daripada tubuh badan yang cergas” .
Selain senaman, budaya permakanan dalam kehidupan seharian kita turut berkait rapat dengan penjagaan kesihatan. Yang jelas, masyarakat moden kini lebih cenderung untuk mengamalkan permakanan yang ringkas, sedap dan cepat untuk disediakan seperti ayam goreng, burger dan snek KFC. Bentuk makanan seumpama ini banyak dijual di pasaran tempatan umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Jika diperhalus, makanan segera ini amat mudah menyebabkan generasi muda hari ini dibelenggu gejala obesiti yang bakal mengundang pelbagai jenis penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi dan sebagainya.
Sesungguhnya, kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab, kita haruslah senantiasa mengamalkan pemakanan yang seimbang dan senantiasa bersenam untuk menjaga dan mengekalkan mutu kesihatan yang cemerlang.

Nukilan pena:
Mohamad Zaki Ni’man, Tan Wai Kit, Muhammad Fitryie, Amir Asyraf, Jayaganes, Abdul Zul Adli, Saiful Hafiz dan Fareszuan, Kumpulan 1, Tingkatan 3 Kuning, SMK Methodist, Tg. Malim.
10 September 2009

Tajuk Karangan 2:

Sukan banyak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara. Nyatakan usaha-usaha yang boleh kita jalankan untuk meningkatkan mutu sukan negara.

Bidang sukan sebenarnya berkeupayaan untuk mengharumkan nama baik nusa dan bangsa di peringkat antarabangsa. Mutakhir ini, mutu sukan negara kita tidak mencapai kemajuan yang memberangsangkan malah boleh dikatakan mutunya semakin merosot. Oleh itu, usaha-usaha proaktif perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara.

Untuk memajukan sesuatu bidang sukan, faktor jurulatih perlu dipandang serius. Pemilihan jurulatih amat penting sama ada jurulatih itu jurulatih tempatan atau jurulatih asing bukanlah persoalan utama. Perkara yang paling penting ialah keupayaan jurulatih itu untuk meningkatkan prestasi atlet. Jurulatih yang berpengalaman dan berkaliber dapat membentuk serta membimbing seseorang atlet atau pemain supaya prestasinya mencapai piawaian yang dikehendaki. Program latihan yang dirancang dengan teliti perlu untuk mencapai tujuan tersebut.

Selain jurulatih, atlet juga perlu didedahkan kepada taraf sukan yang lebih tinggi. Pendedahan ini boleh dilakukan dengan cara mengadakan latihan di luar negara atau menganjurkan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang bertaraf dunia. Contohnya, perlawanan persahabatan antara Pasukan Bola Sepak Malaysia dengan Kelab Bola Sepak Manchester United amatlah digalakkan. Dengan cara ini, para atlet atau pemain dapat didedahkan kepada taktik dan teknik terbaharu daripada pihak lawan untuk meningkatkan kemahiran, kehandalan dan kecekapan sekali gus meningkatkan keyakinan diri mereka.

Pembentukan barisan atlet dan pemain pelapis bagi setiap jenis sukan perlu dilakukan secara sungguh-sungguh untuk menjamin kesinambungan prestasi negara dalam sukan sama ada di peringkat serantau atau dunia. Justeru, atlet dan pemain pelapis perlu dikenal pasti bakat kebolehan mereka untuk diketengahkan menggantikan tempat para atlet atau pemain utama kelak.

Aspek pentadbiran dan pengurusan sukan juga perlu diberikan perhatian yang serius jika kita benar-benar beriltizam untuk meningkatkan mutu sukan negara. Sebaik-baiknya, pengurusan pertubuhan sukan atau jenis permainan perlulah diserahkan kepada mereka yang benar-benar mahir atau pernah berkecimpung dalam bidang tersebut bak kata hanya jauhari yang mengenal manikam. Mereka yang kurang mahir dan efisien pula akan menyebabkan mutu sukan negara merosot atau tenat seperti tikus membaiki labu.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya negara kita memberikan tumpuan yang serius untuk meningkatkan mutu sukan negara ke peringkat antarabangsa agara kita bukan sahaja terkenal sebagai salah sebuah negara penganjur sukan yang bertaraf dunia tetapi juga gah megah dengan barisan atlet atau pemain sukan yang digeruni di arena sukan antarabangsa!

Hasil usaha:
M.Thanarubini, P.Deenusha, Siti Nur Iqlima, Khairun Nadirah, Nurul Sofia, M.Renusha, Nur Fazirah, Ang Yoke Huan, Phoon Kah Wai, Chao Thong Yin, Shaiful Amira Aiza dan Easter, Tingkatan 3 Kuning, SMK Methodist, Tg. Malim.

Tajuk Karangan 3:

Industri seni kraf tangan tempatan cukup kaya akan nilai seni budaya dan ekonomi. Kemukakan langkah-langkah ke arah mempromosikan seni kraf tangan tempatan ke pasaran antarabangsa.

Negara kita, Malaysia kaya akan pelbagai hasil kraf tangan yang diwarisi daripada pelbagai kaum dan negeri yang mempunyai hasil kraf tangan yang memiliki keunikannya yang tersendiri. Antara seni kraf tangan tersebut ialah labu sayong yang berasal dari Perak, batik dari Kelantan, songket dari Terengganu dan bermacam-macam lagi.

Bagi memastikan industri ini dikenali di serata dunia, maka terdapat beberapa langkah untuk mempromosikan seni kraf tangan tempatan ke pasaran antarabangsa. Pertama sekali usaha proaktif para pengusaha melalui media cetak. Sebenarnya, kita boleh mengiklankan produk kraf tangan ini dalam majalah dan surat khabar sama ada di dalam atau di luar negara seperti akhbar "The Sun" dan majalah terkenal dunia, iaitu "Seventeen".

Selain itu, kita juga boleh mengiklankan seni kraf tangan tempatan melalui media elektronik, yakni melalui wahana Internet dan televisyen. Melalui cara ini, para peminat dan penonton dapat mengakses laman sesawang dan seterusnya tertarik untuk membeli dan memiliki barangan tersebut.

Seterusnya, kita juga boleh menjalinkan usaha sama dan bekerjasama dengan pusat beli-belah yang terkemuka di dunia seperti Harrods di London, Tesco, Parksons dan sebagainya untuk membuka lebih banyak cawangan di seluruh dunia termasuklah di Malaysia dan di rantau Asia. Usaha sedemikian akan membolehkan kita mempamerkan dan memasarkan seni kraf tangan tempatan ke seluruh dunia. Tambahan pula, bahan atau produk seni kraf tangan kita boleh dijadikan cenderamata kenangan kepada para pelancong atau pelawat yang datang berdarmawisata ke negara kita sekali gus memperkenalkan seni budaya masyarakat majmuk Malaysia kepada dunia luar.

Kesimpulannya, kita haruslah melakukan usaha-usaha promosi secara lebih giat agar seni kraf tangan kita ini tak lapuk dek hujan, tak telan dek zaman. Kita hendaklah juga senantiasa berganding bahu dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta untuk mempromosikan seni kraf tangan tempatan yang unik dan berkonsepkan "Satu Malaysia" ini agar dikenali oleh masyarakat antarabangsa.

Hasil kerja:
Mohd Syukri b. Mohd Salleh, Muhd Aqil b. Mohd Wazir, Tan Jee Yen, Siti Syakirah bt. Mohd Sidin, Nur Jannah bt. Yasuni, Chew Bee Shin dan Nur Adilah bt. Ahmad Zainudin, Tingkatan 3 Kuning, SMK Methodist, Tg. Malim.


Contoh II:
Langkah-langkah ke Arah Mempromosikan Seni Kraf Tangan Tempatan ke Peringkat Antarabangsa.

Masyarakat majmuk Malaysia mewarisi seni kraf tangan tempatan yang bermutu tinggi dan kaya akan ciri kebudayaan hidup masing-masing. Misalnya, seni kraf tangan Melayu merupakan salah satu seni tradisional masyarakat majmuk di Malaysia. Seni kraf tangan tempatan Malaysia merangkum barang-barang keluaran seperti beg tangan, tikar, bakul, topi, labu sayong, tembikar, keris dan sebagainya. Kebanyakan produk seni kraf tangan ini berasaskan mengkuang, daun pandan, batik dan sebagainya. Untuk mempromosikan seni kraf tangan tempatan ke peringkat antarabangsa, beberapa langkah proaktif perlu dilaksanakan.

Antara langkah yang boleh dijalankan ialah mengadakan pertunjukan fesyen yang bermotifkan seni kraf tangan seperti beg tangan, perhiasan, batik dan sebagainya. Pertunjukan fesyen ini boleh diadakan di tempat-tempat yang sering dikunjungi oleh para pelancong luar negara. Cara ini difikirkan dapat mempromosikan seni kraf tangan tempatan kepada para pelancong, khususnya penggiat fesyen dari seluruh pelosok dunia.

Pengusaha industri seni kraf tangan tempatan seharusnya senantiasa bereksperimen dan berkreatif untuk mempelbagaikan corak rekaan seni berdasarkan cita rasa para pengunjung yang melawat ke negara kita . Sekiranya kita dapat memenuhi cita rasa mereka, maka secara beransur-ansur seni kraf tangan kita akan menjadi pilihan dan seterusnya mempunyai potensi untuk berkembang maju dan terkenal di pasaran antarabangsa. Selain itu, bahagian penyelidikan dan pembangunan syarikat industri seni kraf tangan harus senantiasa menjalankan kajian untuk menghasilkan produk kraf tangan Malaysia yang kontemporari, bermutu, kreatif dan mempunyai harga yang kompetitif di pasaran serantau dan global.

Agensi-agensi pelancongan dan badan-badan bukan kerajaan di Malaysia boleh mengadakan pertandingan menghasilkan seni kraf tangan di peringkat dunia dalam usaha mempromosikan hasil seni kraf tangan tempatan ke luar negara. Hadiah-hadiah yang lumayan selain pengiktirafan perlu disediakan untuk menarik perhatian pereka cipta seni kraf tangan yang berkebolehan menyertai pertandingan tersebut. Hasil seni kraf tangan tempatan yang terbaik boleh dipatenkan dan dihasilkan untuk pasaran tempatan dan luar negeri.

Seni kraf tangan tempatan turut boleh disebarluaskan melalui peranan Internet, pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di luar negara di samping menggalakkan penduduk Malaysia menggunakan seni kraf tangan tempatan apabila melancong ke luar negara. Sebenarnya usaha ini sedikit banyak turut dapat membantu Malaysia menperkenalkan seni kraf tangan tempatan ke seluruh dunia bak kata orang "tak kenal maka tak cinta".
Akhirulkalam, kerjasama dan iltizam daripada semua pihak amat diperlukan dalam usaha kita untuk mempromosikan hasil seni kraf tangan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Disediakan oleh:
Chew Mei Shien, Mohd. Adziim, Wong Ming Jie, Qurrainis, Ain Noor Alia (Kumpulan 3), Tingkatan 3 Muzik, SMK Methodist, Tg. Malim.

Tajuk Karangan 4:
Kemalangan jalan raya kian berleluasa di negara kita. Sebagai murid yang prihatin, syorkan cara-cara untuk membanteras kemalangan jalan raya di negara kita, terutamanya pada musim-musim perayaan.
Menurut Kamus Dewan DBP, kemalangan bermaksud suatu tragedi yang boleh mengorbankan nyawa manusia. Saban hari, kita juga sering digemparkan dengan berita nahas jalan raya yang mengerikan. Kebanyakan kemalangan berlaku di lebuh raya dan di bandar besar, terutamanya menjelang musim perayaan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika perayaan berkembar Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri dari 12 Februari hingga 12 Mac 2000, sebanyak 7945 kes kemalangan jalan raya telah berlaku dan mencatatkan bilangan 1383 orang mangsa. Daripada statistik itu, jelaslah bahawa purata kematian dalam kemalangan jalan raya di negara kita ialah empat belas orang pada setiap hari. Perlu diingatkan bahawa kemalangan juga berlaku tanpa memilih tempat, orang dan waktu.

Justeru, pelbagai langkah untuk mengatasi kemalangan jalan raya, terutamanya pada musim perayaan perlu difikirkan. Pertama sekali, pegawai-pegawai pemeriksa kenderaan (PUSPAKOM) disyorkan agar melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna. Pihak polik trafik perlu mengenakan kompaun yang berat bagi kesalahan lalu lintas selain operasi mengesan pemandu yang suka memecut di kawasan-kawasan yang dihadkan kadar kelajuannya. Kamera-kamera video juga perlu dipasang di kawasan-kawasan yang strategik bagi mengesan pemandu yang tidak mematuhi undang-undang. Sekatan-sekatan jalan raya perlu kerap dilakukan oleh pihak polis bagi mengesan status kelayakan pemandu, memeriksa kenderaan, muatan barangan dan sebagainya yang bersangkut paut dengan lalu lintas, kenderaan dan keselamatan di jalan raya.

Di samping itu, syarat pemberian lesen yang lebih ketat perlu dikuatkuasakan untuk memastikan agar lesen hanya akan diberikan kepada individu yang benar-benar berkebolehan dan cekap memandu selain mewajibkan para pemandu baharu memaparkan 'P' pada kenderaan ketika berada di jalan raya.

Seterusnya, pihak sekolah, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk memberikan kesedaran dan motivasi kepada anak-anak murid atau pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa di jalan raya. kesedaran dan motivasi boleh dianjurkan di setiap sekolah melalui sesi ceramah agar para pengguna jalan raya sama ada yang tua atau yang muda lebih berwaspada, berdisiplin dan berhemah di jalan raya.

Kesimpulannnya, jalan raya merupakan sistem perhubungan di darat yang penting tetapi mampu mendatangkan kemudaratan kepada kita sekiranya kita tidak bijak menggunakannya. Jangan sesekali membiarkan sikap tidak bertanggungjawab menghantui diri kita semasa memandu. Marilah kita sama-sama berhati-hati semasa memandu atau menggunakan jalan raya sejajar dengan slogan pandu selamat jiwa selamat.

Hasil kerja:
Wong Teck Fung, Seow Huey Yee, Ting Wei Zhi, Siti Nadirah bt. Zulkiffli, dan Nur Atiqah Nabilah bt. Azhar, Tingkatan 3 Muzik, SMK Methodist, Tg. Malim.

Tajuk Karangan 5:

Belakangan ini, isu alam sekitar menjadi topik bualan masyarakat dan negara. Nyatakan punca-punca yang mendorong kepada gejala pencemaran alam sekitar.

2 comments:

shabani said...

Mohon izin membuat salinan

shabani said...

Mohon izin membuat salinan