Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, December 24, 2008

Sajak III - Wak Sepatu


WAK SEPATU

Dia memulakan setiap pagi hari
Dengan sebuku dua roti
Bertemankan secawan kopi
Sebelum mula menekuni hidup
Mencari sesuap rezeki
Di perantauan orang

Hampir dua dekad lamanya
Wak Sepatu
Gigih menukangi sepatu pelanggan
Ada sepatu murah
Ada sepatu mewah
Seperti jalinan jahitan pada sepatu usang
Wak Sepatu menjahit sisa hidupnya
Dengan benang usaha
Dengan jarum sabar
Sambil memanjatkan sekudus doa kepada-Nya
Agar dilanjutkan usia dimurahkan rezeki seadanya

Seperti hari-hari
Yang datang dan pergi
Antara sempit lorong dan hanyir longkang
Premis kedai batu yang usang
Wak Sepatu
Masih gigih menjahit rindunya
Pada nostalgia silam desa halaman – Medan
Wak Sepatu
Masih tabah menjahit perih jerihnya
Pada sepatu kanvas pelanggan
Biarpun buta tulis baca
Namun bisa dia menghitung kira-kira
Untung rugi perniagaan
Halal haram kehidupan

Sambil menguntum senyum
pada setiap wajah pelanggannya
Wak Sepatu
bagaikan sang musafir insaf
cekal tabah menanti di stesen hidup
sebelum datang kereta api senja
menjemputnya pulang ke rumah Tuhan!

Chai Loon Guan,
Lorong Za’ba, 35900 Tanjong Malim.

(DEWAN SASTERA SEPTEMBER 2009)

Sajak II - Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR

kuala lumpur selepas sedekad kutinggalkan
tanpa rumah
kini aku kembali mengutip pengalaman baru
bertemankan sisa-sisa nostalgia silam
di kota kosmopolitanmu yang kian padat
di lorong-lorong hanyirmu yang kian sendat
ada sejuta ceritera yang belum bernoktah
ada sejuta kisah yang perlu dimamah mentah-mentah

di balik landskapmu yang mengagumkan
dedaun jendela kotamu terbuka luas
ada wajah yang masih mengemis di kaki lima
atau di bucu sebuah jejantas
ada wajah yang masih meliar mencari mangsa
atas tiket cinta palsu dan sandiwara kebendaan
ada wajah yang masih melacur harga diri di lorong-lorong sepi
atau di kamar-kamar eksklusif hotel dan pangsapuri mewah
ada wajah yang masih menjaja hidup tanpa pasport, permit dan kad pengenalan
dan bermaharajalelalah ceritera demi ceritera
tentang manusia di sebuah kota yang ternama!

kuala lumpur
di balik dinding kaca sebuah hotel bernama Crown Princess
ada neon yang masih merah
ada mentari yang masih samar
ada awan-gemawan yang masih luka
ada angin silir-semilir yang masih lara
sempat singgah dan bermonolog
berapa nilai sebuah cinta seorang lelaki
berapa mulia sebuah setia seorang isteri
berapa harga sebuah suci seorang dara
berapa kos sebuah perkasa seorang teruna

kuala lumpur
selepas sedekad kutinggalkan tanpa rumah
masih ada lumpur di pinggir kali kosmopolitan
masih ada kuala di pinggir kali metropolitan
sayup-sayup kesepian menyelubungi hiruk-pikukmu
yang kian kehilangan peta kemanusiaan
yang kian kesirnaan akar keperibadian
benarkah kuala lumpur sudah kehilangan bahasanya?

Chai Loon Guan,
Konvensyen Munsyi IV, Hotel Crown Princess: 2008

Cerpen III - Abang Skizofrenia

ABANG SKIZOFRENIA
Chai Loon Guan

I

Sejak dulu lagi, abang akan tersenyum-senyum. Ketawa. Bibirnya pernah bergetar. Merengek. Bibirnya pernah berlagu. Menjerit. Intonasinya bagaikan jeritan pejuang di medan perang. Agaknya perang halusinasi. Kadang-kadang entah apa yang ingin dibisikkannya. Antara bisikan dan jeritan, kadang-kadang abang akan melolong. Lolongan yang panjang. Abang akan menyanyi. Nyanyiannya pelik-pelik. Lagunya pelik-pelik.

Kata emak, abang sudah lama begitu. Tingkah laku abang mula begitu ketika aku berusia 3 tahun. Aku masih berhingus. Aku tidak mengerti apa-apa. Kini, usia abang melewati 63 tahun. Usia abang sudah melepasi separuh abad. Demikianlah abang sulung tunggalku.

“Kenapa abang jadi begitu, mak?” tanyaku pada suatu hari ketika aku balik dari sekolah. Kebetulan pula abang baru lepas mengamuk di ruang tamu rumah. Radio “Grundig” buatan Holland – cenderamata daripada Abang Yee sekembali dari Nederlands, hancur berkecai di lantai ruang tamu rumah.

“Abang kamu tu kemalangan!” Suara sayu emak mula bergema. Matanya berkaca. Dapat kulihat titisan air jernih jatuh menitis membasahi pipi emak. Nostalgia silam yang menyayatkan hati seorang ibu. Segala impian dan harapan seorang ibu hancur berkecai bagaikan kaca terhempas ke batu!

“Kereta Abang Chuan terbabas di Rawang. Kononnya kereta Abang Chuan berpusing dua kali sebelum terjerumus ke dalam gaung. Kepala Abang Chuan luka parah. Abang Chuan terperangkap di dalam keretanya yang sudah remuk itu.” Emak bagaikan penglipur lara mula rancak berceritera.

“Kemudian, mak…?”

“Abang Chuan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur. Abang Chuan masuk ICU. Koma. Nyawanya ketika itu kata doktor, nyawa-nyawa ikan!”

Aku difahamkan bahawa emak telah menjaga abang di katil ICU. Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Begitu tabah dan cekal hati seorang ibu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saban hari, emak memanjatkan doa. Emak berdoa kepada Tuhan agar Abang Chuan sedar dan kembali normal. Itulah doa emak. Doa ayah dan doa seisi keluarga, sanak saudara dan handai taulan di Daerah Tanjong Jambu.

Dua purnama kemudian, aku mendapat khabar berita gembira. Abang Chuan sudah sedar daripada koma. Matanya sudah boleh buka dan tutup. Pelbagai tiub dan wayar pada badan Abang Chuan sudah ditanggalkan. Abang Chuan sudah melepasi tahap kritikal. Abang Chuan sudah boleh minum cecair. Nafas dan denyutan nadi Abang Chuan sudah kembali normal. Masuk bulan ketiga, Abang Chuan sudah dibenarkan pulang.

II

Kepulangan Abang Chuan disambut gembira. Moga-moga Abang Chuan pulih
sepenuhnya. Bisnes Abang Chuan dikendalikan oleh Kak Kiew. Biarlah Abang Chuan
berehat lebih lama sedikit. Biar Abang Chuan sembuh sepenuhnya. Ayah seperti biasa
masih dengan kerja rutinnya di Syarikat Sin Teck Soon. Kerja sebagai buruh kasar perlu
diteruskan untuk sesuap nasi dan seteguk air untuk seisi keluarga. Tauke Sin Teck Soon bukannya siapa, saudara sekampung di Daerah Engchun, Tanah Besar. Biarpun ada bau-bau bacang, namun kerja tetap kerja. Gaji tetap gaji buruh kasar. Ayah tahu gaji buruh kasar ketika itu tidak mampu menjadi kaya. Cukuplah untuk makan dan minum seisi keluarga. Ayah tetap bersyukur. Dengan gaji itulah, ayah dapat menyara kami enam orang adik-beradik. Mujurlah, ada Kak Kiew. Kak Kiew dapat membantu kedai runcit Abang Chuan. Jika tidak susahlah ayah dan emak untuk mengendalikan ekonomi keluarga. Emak pula suri rumah tangga sepenuh masa. Rutin kerja hariannya, masak-memasak dan menguruskan rumah tangga. Kini, tanggungjawab emak sudah bertambah sejak Abang Chuan kemalangan. Emak perlu menjaga makan minum Abang Chuan. Emak perlu memberi Abang Chuan ubat-ubatan mengikut nasihat doktor. Biarpun buta huruf, emak sudah faham akan preskripsi ubat-ubatan Abang Chuan. Kata emak, alah bisa tegal biasa.

Bulan silih berganti. Abang Chuan sudah boleh makan dan minum. Abang Chuan sudah boleh mandi dan berjalan sendiri. Abang Chuan sudah boleh berkata-kata. Abang Chuan sudah boleh bernyanyi. Kadang-kadang Abang Chuan akan tersenyum sendirian. Kadang-kadang Abang Chuan akan menyanyi lagu Tionghoa yang pernah dipelajarinya ketika zaman kanak-kanak di Tanah Besar. Lagu zaman Dr. Sun Yat Sen agaknya atau barangkali lagu pada zaman revolusi Mao!

Perubahan yang mendadak pada Abang Chuan menggemparkan kami sekeluarga, terutamanya ayah dan emak. Emak bertanyakan hal tersebut kepada Abang Chuan. Abang Chuan diam membisu. Kemudian, Abang Chuan tersenyum-senyum. Ayah bertanyakan masalah Abang Chuan. Abang Chuan menggeleng-gelengkan kepalanya.
Abang Chuan mula melayari dunia halusinasinya.

Dalam diam-diam, emak meluahkan keresahannya kepada ayah. Ayah turut kegelisahan. Ayah dan emak kebingungan memikirkan nasib Abang Chuan. Keresahan dan kebimbangan ayah dan emak telah diluahkan kepada doktor pakar Abang Chuan di Hospital Kuala Lumpur.

“Anak Pak cik mengalami penyakit Skizofrenia…”

“Skizofrenia? Penyakit apa, doktor?” Raut wajah ayah membungakan sejuta kemusykilan. Ayah dan emak kebingungan. Sejuta persoalan bagaikan mengasak kamar minda mereka bertubi-tubi.

“Begini Pak cik dan Mak cik…” ujar doktor pakar itu lagi. Barangkali beliau cuba menenangkan hati dan fikiran ayah dan emak.

“Penyakit skizofrenia tidak memilih jantina atau status sosial. Menurut saintis, kemungkinan penyakit ini dikaitkan dengan perubahan biokimia di dalam otak…” Doktor Mahadevan, Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur memberikan pandangan. Ayah dan emak sekadar mengangguk-angguk. Mereka tidak mengerti. Yang penting, penyakit Abang Chuan tidak serius. Penyakit Abang Chuan boleh sembuh cepat. Harap Abang Chuan kembali sebagai Abang Chuan yang asal.

“Pak cik, Mak cik…pesakit masih boleh menjalani kehidupan normal. Namun…”

“Namun, apa…Doktor?”

“Personaliti, tingkah laku dan persepsinya akan berubah!”

“Maksud, Doktor?”

“Anak Pak cik akan menunjukkan tingkah laku yang pelik. Anak Pak cik mungkin lebih suka menyendiri, syak wasangka yang keterlaluan, bercakap atau ketawa sendirian, berbogel dan sebagainya!”

“Oh, Tuhan!”

III

Mulai saat itu, Abang Chuan telah disahkan mengalami SKIZOFRENIA. Ski-zo-fre-nia, kosa kata Greek yang bermaksud minda yang berpecah. Kesimpulannya, Abang Chuan menderitai penyakit mental yang serius. Pelik tetapi benar. Segala-galanya bermula daripada tragedi kecelakaan jalan raya di Rawang!

Malang sungguh Abang Chuan. Pada usia semuda 21 tahun, Abang Chuan sudah menjadi ahli seumur hidup kelab SKIZOFRENIA. Harapan Abang Chuan dalam dunia bisnes hancur berkubur. Impian dan cita-citanya musnah punah. Sebenarnya, segala-gala bukan kehendaknya. Segala-galanya di luar kawalan Abang Chuan. Manusia sekadar merancang. Tuhanlah yang menentukan segala-galanya. Itulah kehendak takdir. Kalau diberi peluang, nescaya Abang Chuan pasti tidak akan turun pada malam tragedi tersebut. Malang tidak berbau. Ah, segala-galanya sudah tersurat! Destini Abang Chuan sudah tercatat. Abang Chuan tidak ingat akan apa-apa. Yang paling sedih, ayah dan emak. Harapan ayah dan emak berkecai bagaikan kaca terhempas ke batu! Air muka ayah dan emak membuktikan segala-galanya.

Keluarga aku kini sudah berubah. Suasana harmoni mula bertukar wajah. Masalah ekonomi semakin erat membelenggu kami sekeluarga. Ayah terpaksa bekerja keras. Emak perlu memberikan perhatian lebih kepada Abang Chuan. Kami sekeluarga harus belajar menerima kehadiran Abang Chuan yang baru! Abang Chuan yang suka termenung dan tersenyum sendirian. Abang Chuan yang suka bergebang sendirian. Abang Chuan yang kadang-kadang suka berlagu. Abang Chuan yang suka menjerit melolong, khususnya pada waktu bulan purnama penuh! Abang skizofrenia dengan pil-pil biru kuningnya.

Keadaan malang Abang Chuan menjadi topik perbualan saudara-mara, handai taulan dan jiran tetangga di Tg.Jambu. Ada yang berkata bahawa Abang Chuan kena rasuk hantu. Ada yang berpendapat bahawa Abang Chuan terkena buatan orang. Ada yang berkata bahawa Abang Chuan terlanggar akan pantang larang nenek moyang. Maka sial malang telah mewarnai sketsa hidup Abang Chuan.

“Padan muka!” Sindir musuh ketat Abang Chuan dalam dunia perniagaan. Dunia perniagaan runcit dan serbuk kopi di Daerah Tg.Jambu.

“Dia tu kena rasuk syaitan!” tegur Mak cik Song tanpa sebarang dalil yang munasabah.

“Abang Chuan kena tebus karma hidupnya!” syor Nyonya Teh pula.

Pening kepala ayah semakin bertambah. Beban kepala ayah semakin berat. Emak pula bersedih hati. Berduka nestapa mengenang nasib malang Abang Chuan. Dalam diam-diam, emak ke tokong untuk bersembahyang. Emak mahu membantu Abang Chuan membayar dosa-dosanya. Emak mahu menolong Abang Chuan membebaskan diri daripada segala macam kuasa jahat. Doa emak moga-moga anak sulungnya itu sembuh. Moga-moga Abang Chuan pulih menjalani kehidupan seperti biasa.

Segala-galanya masih belum berubah. Abang Chuan masih menyanyi. Abang Chuan masih berbisik sendirian. Abang Chuan masih menjerit melolong. Dari sehari ke sehari, keadaan Abang Chuan masih tidak menampakkan sebarang perubahan. Ayah semakin kecewa. Ayah semakin putus asa. Dunia marah ayah kembali bersketsa. Perubahan Abang Chuan selepas tragedi kecelakaan itu telah mengubah nasib kami sekeluarga. Nasib hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semakin bersketsa di kanvas kehidupan kami.

Yang anehnya, emak masih bersemangat. Emak masih mahu berusaha. Kata emak, jika kita rajin berusaha, Tuhan akan memakbulkan usaha kita. Yang penting, apa yang kita usahakan mestilah berlandaskan pandangan yang betul, pemikiran yang betul, ucapan yang betul, perlakuan yang betul, kehidupan yang betul, usaha yang betul, peringatan yang betul dan tafakur yang betul. Jalan Tengah itulah yang dapat mengekang nafsu liar sekali gus mengelakkan diri kita daripada melakukan perbuatan yang ekstrem.

Pelbagai ikhtiar telah diusahakan. Abang Chuan menjalani rawatan moden. Abang Chuan menjalani rawatan tradisional. Abang Chuan dibawa berjumpa dengan singse. Dukun Melayu. Bomoh Siam. Banyak wang, tenaga dan masa telah dilangsaikan untuk Abang Chuan. Yang penting bagi emak, Abang Chuan pulih kembali.

Kadang-kadang usaha gigih emak ditegur oleh ayah. Menurut ayah, kita perlu menerima kenyataan. Abang Chuan sudah ditakdirkan begitu. Abang Chuan sudah ditakdirkan gila. Maka, gilalah Abang Chuan. Tiada sesiapa yang dapat mengubah destini Abang Chuan kecuali Tuhan. Hanya mukjizat Tuhanlah yang dapat menyembuhkan penyakit Abang Chuan!

Namun bagi emak sebaliknya pula. Bukan emak tidak mahu menerima takdir. Bagi emak, kita perlu berusaha dan terus berusaha. Selagi ada mentari esok, selagi itulah peluang untuk Abang Chuan sembuh memang ada. Selagi itulah emak akan berusaha. Emak akan berikhtiar. Demikianlah kasih emak. Demikianlah sayang emak kepada Abang Chuan. Iltizam emak cukup tinggi. Emak akan berjuang selagi hayat dikandung badan.

IV

Abang Chuan mengamuk lagi. Abang Chuan menggila lagi. Ayah dan emak meminta bantuan jiran tetangga. Kami, adik-beradik ketakutan. Takut kalau-kalau diapa-apakan oleh keamukan dan kegilaan Abang Chuan. Mujurlah pada ketika itu, pelbagai senjata yang berbahaya di dalam rumah telah disorok oleh Kak Kiew. Jika tidak akan bertambah dahsyatlah amukan Abang Chuan. Polis telah dipanggil. Abang Chuan dikejarkan ke Hospital Daerah Tg.Jambu. Abang Chuan dikurung di dalam bilik khas hospital. Keesokan harinya, ayah perlu menandatangani borang kebenaran. Abang Chuan perlu dirujuk ke Hospital Bahagia, Tg. Rambutan. Di situlah, Abang Chuan ditahan untuk menjalani rawatan lanjut. Rawatan psikiatri agaknya.

Hospital Bahagia Tg.Rambutan (HBTR) merupakan rumah kedua Abang Chuan. Abang Chuan silih berganti menginap di rumah itu apabila jiwa dan mentalnya terganggu. Banyak wang dan masa telah dihabiskan untuk Abang Chuan. Pernah ayah mencadangkan agar Abang Chuan dibiarkan menjadi penghuni tetap HBTR. Cadangan ayah dibantah keras oleh emak. Emak tidak rela untuk berpisah dengan Abang Chuan. Biarpun sakit mental, Abang Chuan tetap darah dagingnya. Biarpun dilanda penyakit skizofrenia, Abang Chuan tetap ahli keluarga ayah dan emak!

“Kahwinkan Abang Chuan!” cadang Nenek Tan pada suatu hari ketika emak bertandang ke rumahnya di pekan Tg.Jambu. Nenek Tan, kenalan rapat ayah dan emak. Keluarga Nenek Tan dan keluarga mendiang nenek dan datuk duduk sekampung di Tanah Besar.

“Gila! Gila cadangan Nenek Tan!” jerit ayah pada malam itu ketika emak meluahkan cadangan Nenek Tan.

“Barangkali selepas berumah tangga nanti, penyakit Abang Chuan akan pulih beransur-ansur!” ujar emak lagi. Biarpun pada awalnya, ayah membangkang tetapi dengan pujukan dan nasihat Nenek Tan, ayah terpaksa akur akan cadangan Nenek Tan. Moga-moga, Abang Chuan sembuh kembali selepas berkeluarga.

Malangnya, selepas anak ketiga lahir, keadaan Abang Chuan tidak berubah. Abang Chuan tetap abang skizofrenia! Abang Chuan tetap bernyanyi. Abang Chuan tetap berbisik sendirian. Abang Chuan tetap menjerit melolong. Rumah tangga Abang Chuan tidak dapat bertahan lama. Selepas bersabar hidup selama sedekad setengah, isteri Abang Chuan kembali ke pangkuan keluarganya. Mereka berpisah hidup tetapi bukan bercerai. Ayah dan emak cuba memujuk agar kakak ipar kembali tetapi gagal.

Perpisahan kakak ipar dengan Abang Chuan merancakkan masalah keluarga. Ayah dan emak terpaksa memikul beban. Ayah dan emak terpaksa menjaga dan membesarkan cucu-cucu sebanyak tiga orang itu. Ayah terpaksa bekerja sebagai buruh kasar di Syarikat Sin Teck Soon walaupun usianya sudah lanjut ibarat beban belum lepas dari bahu. Tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas.

Aku masih ingat ketika aku ditempatkan mengajar di SMK Dato Bendahara CM Yusuf, Tg.Tualang pada awal 1982, barulah ayah bersara. Selepas bersara, ayah pula membantu adik meneruskan perniagaan kedai runcit Abang Chuan. Kak Kiew dan Kak We sudah berumah tangga. Anak-anak Abang Chuan semakin membesar. Yang sulung bekerja di Hotel Federal. Yang kedua sedang belajar di Politeknik Ungku Umar, Ipoh. Yang ketiga pula sedang menunggu keputusan SPM! Selepas keputusan SPM, ketiga-tiga anak Abang Chuan meninggalkan ayah skizofrenianya! Mereka bersatu kembali dengan ibu mereka di Kapar, kampung halaman kakak ipar.

Sesungguhnya, manusia tidak boleh lari daripada hukum alam dan lingkaran hidup. Ayah dan emak semakin tua. Ketuaan akan membungakan keuzuran. Sebelum ayah meninggal dunia, pernah ayah memberitahu aku tentang hati budi emak yang mulia dan pemurah.

“Tanggungjawab menjaga Abang Chuan tidak perlu kautanggung lagi!”

Aku cuma dapat membisu sambil mendengar setiap kata yang diucapkan oleh mendiang ayahku.
“Anak-anak Abang Chuan perlu bertanggungjawab!” pesan ayah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Daerah Kuala Kubu Bharu.

Rutin hidup keluargaku perlu diteruskan. Emak mahu aku mendirikan rumah tangga sebelum emak menemui Tuhan. Sebelum membuat keputusan, aku telah berterus terang dengan bakal isteriku. Tiada gunanya aku terlalu berahsia dalam soal keluargaku ini. Lambat-laun isteriku akan mengetahui dan memahami realiti kehidupan keluargaku. Kami selamat melangsungkan perkahwinan. Majlis tersebut berlangsung dengan sederhana tetapi meriah. Kehadiran cahaya mata pertama dan kedua mendorong aku agar lebih rajin berusaha. Aku meneruskan pengajianku di Institut Bahasa. Kehadiran anak ketiga aku – Wuang Xing mencatatkan kejayaan kepada kerjaya aku sebagai seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah selepas berjaya menggenggam segulung ijazah dari UM. Emak yang ketika itu amat uzur masih sempat berkongsi kejayaanku.

Penghujung tahun 2001, emak jatuh sakit. Nazak betul emak. Semua ahli keluarga kecuali kakak ipar berkumpul di sisi emak.

“Ah Guan, Abang Chuan abang kandungmu. Susah senang pun, dia abang sulungmu. Jangan biarkan dia hidup melarat di kaki lima…”

“Saya faham, mak…” kataku dalam nada yang terputus-putus. Kelopak mataku sudahpun digenangi air.

“Dan…”

“Dan, apa emak?”

“Kakak ipar kau dilarang balik! Kakak ipar kau dilarang balik menyembah aku!”
Aku berasa terperanjat akan ayat terakhir dalam wasiat emak. Sesungguhnya, emak tidak dapat memaafkan tindakan kakak ipar meninggalkan keluarga. Yang penting menurut emak, kakak ipar tidak harus melepaskan tanggungjawab menjaga Abang Chuan!

Upacara pengebumian emak berlangsung dengan teratur dan penuh dengan adat
istiadat masyarakat Tionghoa. Yang peliknya Abang Chuan tidak keluar dari kamarnya
buat beberapa hari. Abang Chuan bersedih sebenarnya. Abang Chuan berkabung
sebenarnya. Yang lebih aneh lagi, sejak kematian ayah dan emak, Abang Chuan tidak
mengamuk lagi. Abang Chuan tidak lagi bercakap bersendirian. Abang Chuan banyak
bersikap diam membisu. Sesekali, Abang Chuan akan keluar dari kamarnya untuk
membancuh teh BOH dan menyedut sebatang dua rokok berjenama PERILLY selepas
kudapan tengah hari dan makan malam.

Awal tahun 2003, yakni pada minggu Tahun Baru Cina, Abang Chuan
menunjukkan tanda-tanda buang tabiat. Abang Chuan masuk ke dalam bilik air untuk
mandi tetapi tersesat akan jalan keluar. Langkah kaki Abang Chuan pula cukup lambat
daripada kebiasaannya. Langkah Abang Chuan memperlihatkan seolah-olah dia sudah
berusia 80-an sedangkan usia sebenarnya lewat 63 tahun.

Aku ingin membawa Abang Chuan ke Klinik Kesihatan Tg.Jambu. Abang Chuan
tidak mahu. Berkali-kali menurutnya, dia sihat. Justeru, seorang doktor pakar persendirian dijemput ke rumah untuk memeriksa kesihatan Abang Chuan. Ujian darah diambil. Suntikan diberikan. Yang merunsingkan kali ini, Abang Chuan cukup liat untuk menelan pil-pil ubat. Pelik tetapi benar. Itulah fiil Abang Chuan sejak belakangan ini.

Dan pada suatu pagi, menjelang tengah hari, Abang Chuan menghembuskan nafasnya yang terakhir di kamar tidurnya. Doktor mengesahkan bahawa Abang Chuan mengalami komplikasi jantung. Anak menantu Abang Chuan keterperanjatan mendengar khabar berita kematian Abang Chuan.

Ironinya, Abang Chuan meninggal dalam tenang di sisi aku dan adik bongsuku – Ah Poo. Semoga Abang Chuan – abang skizofreniaku bersemadi abadi di alam baqa!

(BERITA MINGGU – 23 April 2006)

Sunday, December 14, 2008

Esei Bahasa dan Sastera sempena Konvensyen Munsyi Dewan IV 2008

GAYA BAHASA PUISI SN DATUK DR. USMAN AWANG
Chai Loon Guan

Pendahuluan

Pada umumnya, bahasa merupakan satu daripada wahana perhubungan dan komunikasi antara manusia. Sebagai satu keperluan sosial, bahasa memang menjadi alat penting dalam soal menyampaikan maksud. Bahasa lazimnya diertikan sebagai satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh manusia sebagai alat untuk berhubung, manakala gaya bahasa pula bermaksud cara atau bentuk bahasa yang digunakan dalam pertuturan atau penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu.
Dalam konteks puisi, bahasa adalah alat yang digunakan oleh penyair untuk memindahkan pengalaman jiwa, iaitu pemikiran serta perasaannya ke dalam puisi. Bahasa dalam sesebuah puisi perlu juga memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan kemuliaan pembentukan serta penyusunannya sebagai syarat-syarat keindahan bahasa sastera, khususnya puisi untuk menimbulkan kepelbagaian kesan kepada audien pembaca atau pendengarnya.

Rencana ini akan menganalisis aspek gaya bahasa SN Datuk Dr. Usman Awang (Allahyarham) atau Tongkat Warrant dalam sajak-sajak beliau yang boleh dibahagikan kepada tiga tahap, iaitu:-

· Tahap 40-an hingga 50-an (Antologi Gelombang: 1961)
· Tahap 60-an (Antologi Duri & Api: 1967)
· Tahap 70-an hingga 80-an (Antologi Salam Benua: 1982)

Biodata SN Datuk Dr.Usman Awang

Usman Awang dilahirkan di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor pada 12 Julai 1929. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), di Mersing (1937), dan di Bandar Maharani Muar (1940) hingga lulus Darjah VI.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu ( Malaya ) pada 1942, Usman Awang menjadi petani di Segamat dan kemudian menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura. Beliau juga pernah menjadi budak pejabat di Pejabat Tali Air Segamat sebelum memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai).

Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah pada tahun 1946. Ketika menjalankan tugas di Melaka, beliau berkenalan dengan guru-guru Melayu dan mulalah beliau menulis. Tulisan awal beliau banyak tersiar dalam Ruangan Pasukan Keselamatan, Utusan Melayu.

Pada tahun 1951, Usman telah berhijrah ke Singapura setelah meletakkan jawatan dari pasukan polis. Beliau menjadi pembaca pruf akhbar Melayu Raya sebelum menjadi anggota sidang pengarang Mingguan Melayu, terbitan Melayu Raya.

Usman berpindah ke Utusan Melayu pada 1952, menjadi anggota sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak dan kemudian Utusan Zaman dan Majalah Mastika. Selepas Malaya merdeka dan Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur , Usman turut berpindah. Akibat pemogokan di Utusan Melayu, beliau berkhidmat pula di Penerbitan Federal sebelum menetap di Dewan Bahasa dan Pustaka sehingga beliau bersara.

Di DBP, beliau bermula sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya sebelum memegang jawatan terakhir sebagai Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Sejak 1960-an, Usman telah menulis skrip drama radio dan pentas. Beberapa buah dramanya yang sukar untuk dilupakan, termasuklah Serunai Malam, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan, Degup Jantungnya dan Muzika Uda dan Dara. Antara sajaknya yang cukup popular termasuklah Bunga Popi, Gadis di Kuburan, Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh dan Salam Benua.

Sebagai penyair dan dramatis, Usman Awang pernah diundang melawat ke Amerika Syarikat , Indonesia , Filipina dan Rusia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Cina, Jepun, Korea, Perancis, Thai, Czhechoslovakia, Denmark, Tamil, Itali dan Rusia.

Dalam kegiatan persatuan, Usman adalah antara orang yang bertanggungjawab menubuhkan Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50), dan menjadi penggerak utama Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Genta Rasa, Manifestasi Dua Seni, Kumpulan Puisi Protes Keranda 152 dan Teluk Gong. Semasa hayatnya juga, Usman pernah dilantik sebagai panel Hadiah Karya Sastera dan menjadi Setiausaha Panel Anugerah Sastera Negara (1979). Beliau juga aktif dalam beberapa pertubuhan seperti Persatuan Hak Asasi Malaysia dan Persatuan Persahabatan Malaysia – Pertubuhan Solidariti Palestin (1988).

Beliau pernah menerima anugerah Pejuang Sastera pada tahun 1976,
Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) di Bangkok pada tahun 1982, menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 1983 dan seterusnya Anugerah Sasterawan Negara juga pada tahun 1983.

Pada 1985, Usman dianugerahi Anugerah Zamalah Sastera (Berita Harian), Anugerah Seniman Agung (Utusan Melayu Berhad – 1999) dan Tokoh Ikatan Persuratan Melayu (2001). Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 28 November 2001 di Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur setelah sekian lama berada dalam keadaan uzur.

Definisi Gaya

Menurut bausastera Dewan (1994), gaya didefinisikan sebagai cara menulis atau bertutur , cara membuat sesuatu, terutamanya yang menjadi ciri sesuatu zaman atau seseorang. Menurut Za’ba (1962), “ Gaya bahasa itu ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunan atau bentuk peribahasanya.”

Hal ini ditegaskan lagi oleh Nik Safiah Karim (1988) yang menganggap gaya sebagai cara mengungkapkan bahasa, iaitu cara bertutur, menulis dan seterusnya. Gaya bahasa lazimnya melibatkan aspek-aspek kesesuaian penggunaan perkataan, frasa, ayat, dan ungkapan tertentu.

Mengikut Harimurti (1982), antara pengertian gaya bahasa ialah: “ Pemanfaatan atas kekayaan bahasa oleh seseorang dalam bertutur atau menulis, dan pemakaian ragam tertentu untuk memperoleh efek-efek tertentu.”

Watkin et.al (1865) pula menyebut: “Style is the manner of writing, the way the writer expresses his thoughts in language. Effective writing always involves the choice of words within sentences which basically express the same idea may seem vastle difference is usually due too style… The pattern and rhythm of your sentences should be varied, pleasing and appropriate to your subject matter and your own personality.”

Secara globalnya, gaya boleh saja berdasarkan kebolehan individu mengungkapkan kata-kata, berdasarkan masa (gaya lama, gaya klasik, dan gaya moden), medium atau bahasa pengantar (gaya Melayu, gaya Inggeris, dan gaya Arab), berdasarkan subjek atau bidang, misalnya falsafah, ilmiah, gaya popular atau pilihan dan gaya deduktif atau pengajaran dan seterusnya gaya berdasarkan tujuan.

Gaya juga didasarkan pada nada ( gaya sederhana, gaya mulia, dan bertenaga serta gaya menengah atau pertengahan). Dharmawijaya (1987) pula membahagikan gaya kepada tiga jenis yang utama, iaitu:-

a. Gaya perbandingan atau kiasan yang membabitkan simile, metafora, personifikasi, hiperbola dan alusi.
b. Gaya penegasan atau penekanan, iaitu pengulangan (anafora dan epifora), inversi atau pembalikan kata sehingga terlihat penyimpangan daripada kelaziman tatabahasa.
c. Gaya pertentangan, yakni pembentukan atau penyusunan kata-kata yang memberikan kesan gambarannya yang bertentangan dengan kenyataan.

Analisis Gaya Bahasa Puisi Usman Awang

Dalam usaha menganalisis gaya bahasa secara terperinci,sajak-sajak Usman Awang boleh dibahagikan kepada tiga tahap atau era, iaitu:-

· Analisis Gaya Bahasa sajak-sajak Usman Awang pada Era 40-an hingga 50-an.
· Analisis Gaya Bahasa sajak-sajak Usman Awang pada Era 60-an.
· Analisis Gaya Bahasa sajak-sajak Usman Awang pada Era 70-an dan 80-an.

Analisis Gaya Bahasa Puisi Usman Awang Era 40-an hingga 50-an

Sajak-sajak Usman Awang pada akhir tahun-tahun 40-an dan awal tahun 50-an (Antologi Gelombang: 1961) dengan jelas sekali memperdengarkan nada, suara, irama dan pergerakan baris yang mendengungkan setia dan jujur sifat serta peribadi puisi Melayu lama kembali.

Yang sering diungkapkan oleh Usman Awang ialah unsur-unsur bentuk dan di dalam bentuk itu terangkum bunyi dan sajak-sajak pantun serta syair. Oleh itu, dalam sajak-sajak Jiwa Hamba, Gadis Suci dan Kami Tetap Bekerja, beberapa unsur bentuk (walaupun biasanya tidak seluruhnya) dikutip dan diadunkan kembali. Contohnya, dalam sajak Jiwa Hamba, penyair mengambil bentuk quatrain dan memberikan penekanan terhadap bunyi seperti yang terdapat pada rangkap pertama, iaitu:-

Termenung seketika sunyi sejenak,
Kosong dijiwa tiada penghuni,
Hidup terasa diperbudak-budak,
Hanya suara melambung tinggi.

(Jiwa Hamba: 1949)

Selain bentuknya yang bercorak Puisi Melayu Lama, yakni empat baris serangkap (quatrain), gaya Usman banyak dipengaruhi oleh gaya pantun, iaitu hujung rima setiap baris berentak a, b, a, b. Oleh sebab bentuknya seperti pantun, maka rentak yang terhasil daripadanya pun berentak pantun. Usman ternyata berhasrat untuk mengekalkan gaya tradisi melalui sajak ini. Gaya inilah yang telah menguasai keseluruhan kegiatannya, biarpun kita kemudiannya dapat menatap beberapa banyak perubahan.


Kosa-kosa kata ‘sakti’, ‘berapi’, ‘Melaka’ dan ‘merdeka’ yang turut terungkap di dalam rangkap 4 sajak yang sama jelas memperlihatkan gaya perlambangan diksi dalam sajak-sajak Usman pada era 40-an hingga 50-an untuk menimbulkan semangat nasionalisme dan cita-cita untuk memperjuangkan kebebasan masyarakat, kemanusiaan dan kemerdekaan pada era tersebut.

Contoh:
Ingatkan kembali kata sakti,
Demi bahang kesedaran berapi,
Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.

(Jiwa Hamba: 1949)

Pada Usman, bahasa adalah alat atau wahana yang magis, yang dapat mempengaruhi pembaca atau pendengar dan dapat dirubah perasaan atau pemikirannya oleh penyair. Dalam puisi-puisi awal Usman, kuasa bahasa ini datang daripada nada yang rendah, beralun lembut dan harmonis. Dengarkan bait pengalaman, ‘Gadis dan Ayat Suci’ misalnya:-

Suara yang manis dalam bisik daun-daun,
Beralun lagu Tuhan di sayap angin malam,
Redup menyusup di bawah langit bertirai sepi,
Gadis tetangga (simpatiku pada matanya yang buta),
Dari sinar hatinya membaca ayat-ayat suci.

(Gadis dan Ayat Suci: 1950)

Kita mendengarkan kehalusan bunyi-bunyi yang rendah dan merdu, berlari dengan ulangan vokal yang banyak, yakni a, i, u, merendahkan dan melembutkan suara penyair dan seterusnya mengesani seluruh suasana sajak.

Di sini, sebagai penyair muda pada ketika itu, Usman Awang telah menggunakan bahasa dengan kepekaan dan juga santun lama. Selain memberikan penekanan pada unsur-unsur aliterasi dan asonansi, sajak-sajak Usman berkemungkinan besar dipengaruhi oleh Amir Hamzah yang menghasilkan sajak-sajak bergaya romantik dalam dekad 1930-an. Jika ini benar, maka dapat kita katakan bahawa Amir Hamzah telah mempengaruhi Usman Awang dalam aspek gaya bahasa puisi, tetapi tidak dalam aspek isi. Perhatikan rangkap pertama sajak ‘Astana Rela’ karya Amir Hamzah.

Tiada bersua dalam dunia,
Tiada mengapa hatiku sayang,
Tiada dunia tempat selama,
Layangkan angan meninggi awan.
Sajak-sajak Usman Awang pada era ini turut memaparkan gaya perbandingan atau kiasan, yakni unsur-unsur metafora dan personifikasi. Misalnya, dalam sajak ‘Gadis dan Ayat Suci’ (1950), kata-kata seperti ‘syurga hidup’, ‘lagu Tuhan’, dan ‘bibir syurga’ memperlihatkan unsur metafora yang berkesan. Demikian juga, kata-kata ‘bunga merah’ dan ‘bunga mayat’ dalam sajak ‘Bunga Popi’ (1955).

Kosa-kosa kata seperti ‘teratai senyum’ dalam sajak ‘Gadis Suci’ (1950) dan ‘sedu menggoncang bahu’, ‘matahari bersembunyi di balik awan’ dan ‘merangkak senja’ dalam sajak ‘Gadis di Kuburan’ (1953) menonjolkan ciri-ciri personifikasi yang amat ketara sekali.

Menurut Ismail Hussein, ‘ Sekiranya kita teliti kepopularan Usman Awang yang hampir menjadi sebagai satu institusi di Malaysia, maka ini adalah akibat daripada sikap tradisionalnya dan sikap steoreotaipnya, iaitu bertentangan dengan sikap individualistik penyair moden.’ (Rahman Shaari, Dewan Sastera – Oktober 1983)

Secara tuntasnya, boleh dikatakan gaya bahasa Usman Awang pada era 40-an hingga 50-an banyak dipengaruhi dan berhubungan rapat dengan bentuk puisi Melayu tradisional.

Analisis Gaya Bahasa Puisi Usman Awang pada Era 60-an

Penyair moden sentiasa memadankan isi dengan bentuk pengucapan. Sungguhpun Usman Awang amat akrab dengan gaya tradisi, namun terdapat beberapa sajak karya beliau yang menyimpang daripada gaya sajak era 40-an hingga 50-an. Antara lain seperti bait pertama dalam sajak ‘Kelopak Rasa’.

Jika rasa ini seperti angin malam
Bertiup dari laut dan gunung
Melampaui tanah-tanah subur dan ladang menghijau
Hati ini akan menghembuskan bahagia yang melimpah
Bergetar bagai riak di tasik hati
Bulan cerah
Kepada setiap benda
Supaya sama mencecah

(Kelopak Rasa: 1964)

Perkataan ‘rasa’ itu sendiri memperlihatkan beban makna yang taksa, dan makna ini ditambah pula apabila dibandingkan dengan ‘angin malam’ yang menuntut pembaca memberikan makna khusus kepadanya. Mungkin yang diberikannya ialah sifat-sifat kedinginan, kesegaran, konsep, dan misteri. Begitu juga baris-baris berikut:-

Hati ini akan menghembuskan
Bahagia yang melimpah
Bergetar bagai riak di tasik hati
Bulan cerah
(Kelopak Rasa: 1964)

Kuntum-kuntum sajak Usman mengundang kita untuk mengisi makna ke dalamnya, dari perjalanan dan pergerakan kita. Kata-kata seperti ‘bahagia yang melimpah’ dan ‘riak’ bukan sahaja menjadi kata nama atau kata kerja biasa, tetapi oleh sebab begitu lama digunakan dalam konteks perasaan, maka makna yang agak penuh juga dibawakannya di samping siratan konotasi yang luas. Selain itu, gaya perbandingan atau gaya kiasan bercirikan penggunaan simile dapat dilihat pada baris-baris sajak yang sama, iaitu:-

Jika rasa ini seperti angin malam
(Kelopak Rasa: 1:1)
bergetar bagai riak di tasik hati
(Kelopak Rasa: 1:1)

Pembentukan kata ‘tasik hati’ pula menampilkan gaya perbandingan metafora. Usman Awang biasanya mencampurkan imej alam ‘tasik’ dan manusia ‘hati’, yakni yang satu melengkapi yang lainnya. Sesungguhnya, alam melatari hidup manusia, dan manusia bergerak dalam latarnya. Kedua-duanya digunakan sebagai bahagian penting dalam semua jenis sajak Usman, dan menjadi inti kepada metaforanya.

Pada dekad 60-an, Usman juga sering kembali kepada kekayaan peribadi Melayu untuk menguatkan karya modennya, malah beliau melihat:

Bidal pusaka nenek moyang
Bukan sekadar pemanis kata
Tapi bukti kebenaran hakikat.

(Gema: 1966)

Kadang-kadang metaforanya dibina dengan mengambil seluruh bidal dan peribahasa lama, tetapi di tempat-tempat lainnya hanya dihubungkan atau dirujuk kepadanya. Banyak juga metafora ini diciptanya sendiri dengan pandangannya bahawa kiasan dan perbandingan: “haruslah tepat segar asli” (Sikap & Pemikiran Usman Awang: Hal.165). Sajak ‘Anak Jiran Tionghua’ (Puisi-puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang: Hal.117) pula mempunyai susunan rima di rangkap 1 (a,a,b,b), rangkap 3 (a,b,b,b) dan rangkap 5 (a,a,a,a). Ini menunjukkan bahawa Usman Awang masih mengekalkan gaya bahasa puisi Melayu tradisional, seperti yang dapat dilihat dalam rangkap pertama sajak tersebut:

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar,
Kilat matanya memanggil Iskandar,
Siapa lalu siapa berkaca,
Melihat keduanya bergurau senda.

(Anak Jiran Tionghua: 1962)

Kata-kata ‘kilat’ dan ‘berkaca’ dalam contoh di atas selain puitis juga padat dan tepat gambaran. Selain itu, gaya perbandingan personifikasi atau pengorangan jelas terpancar pada baris kedua rangkap tersebut, iaitu:-

Kilat matanya memanggil Iskandar

(Anak Jiran Tionghua: 1962)

Usman mulai menggunakan gaya bahasa pengulangan, iaitu pengulangan kata,ungkapan, baris dan rangkap pada dekad 60-an. Tetapi Usman juga berubah dengan suasana zamannya. Apabila rakyat mulai bebas dan unsur-unsur verse libre mendapat sambutan, maka Usman juga berubah, walaupun perlahan-lahan dengan zamannya. Bentuknya tidak pernah statis. Beliau mempercayai bahawa puisi menjadi sebahagian daripada seluruh masyarakatnya dan penyair harus peka kepadanya oleh sebab puisi memperjuangkan masyarakat itu. Usman bergerak dan berubah dengan keperluannya. Gerak pantun yang perlahan, irama yang agak lembut dan gemalai harus dipercepat dan dinyaringkan suaranya.

Bentuk-bentuk rakyat perlu disesuaikan dengan segala perubahan yang sedang melanda zamannya supaya puisi dapat membawakan pemikiran dan suara baru. Tetapi harus selalu kita tekankan bahawa pusat dan akar Usman ialah bentuk-bentuk tradisional, bentuk-bentuk yang tumbuh daripada rakyat dan yang akhir memberikan sebahagian daripada identitinya. Segala perubahan yang ingin dilakukan, dibuat sedemikian rupa supaya teras tradisionalnya terus kekal dan lestari. Peribadi dan jiwa puisi Usman masih Melayu walaupun kulit, wajah dan bentuk luarannya sering mengalami eksperimen dan inovasi.

Sajak-sajak “Cahaya” (1965), “Darah Doa” (1966), “Kehilangan Nama” (1967), “Suara dari Pusara” (1968), dan “Kambing Hitam” (1969) memperlihatkan suatu perubahan yang amat ketara dari segi bentuk baris dan telah menyeberang masuk ke genre prosa dan hampir memutuskan hubungan dengan konsep puisi tradisional yang lebih berbentuk lagu. Sajak-sajak ini berbentuk prosa naratif dan memuatkan beberapa cebisan bahasa harian. Diksinya tidak diperindah, tetapi dibenarkan mengikut alir ras dan ucapan harian. Perhatikan sajak “GEMA” (Tablo Aminuddin Baki: 1966) di bawah:-

Suara I
Dua puluh enam Januari
Seribu sembilan ratus dua puluh enam
Matahari pagi memancarkan sinar
Angin sepoi menyampaikan khabar
Untuk keluarga di daerah Chemor
Bahawa seorang putera telah dilahirkan

Ah, cuma putera biasa dari keluarga takwa
Yang nanti besar dari sejuk bumi kota timah
Didakinya hidup dalam semangat
Melengkap diri
Dadanya ilmu jiwanya iman hatinya budi

(Gema: 1966)

Pada era ini juga Usman Awang juga telah memperkenalkan dua bentuk baru dalam sajak ciptaan beliau, iaitu “Balada” dan “Tablo”. Kedua-dua unsure ini menjadi ranting kepada perkembangan gayanya. “Balada” Usman Awang ialah bentuk naratif panjang, tetapi sering pula ditambahkan dengan bentuk retorik dan drama. “Tablo” pula semacam sandiwara untuk suara, suatu persembahan yang berdasarkan kekuatan, kemerduan unsure-unsur bahasa dan ucapan. Contoh sajak-sajak yang bercirikan “Tablo” ialah “Cahaya” (1965) manakala “Kambing Hitam” (1969) memaparkan bentuk balada.

Jelas kepada kita bahawa gaya bahasa Usman pada dekad 60-an masih terikat kepada tradisinya, sumber bahasa sastera pertamanya yang berpusat kepada pantun, tetapi ditambah juga dengan bahasa syair, gurindam, hikayat dan juga bahasa puisi yang digunakan dalam tahun 1930-an. Meskipun demikian, bahasa Usman yang biasanya lembut dapat memberikan kesan yang mesra. Beliau juga meletakkan bahasa yang bersih sebagai unggul sasteranya. Di sinilah penyair mempraktikkan ungkapan bahasa jiwa bangsa dengan ghairahnya di samping keterkawalannya. Pada hemat saya, sajak-sajak Usman pada tahap 60-an turut memaparkan bentuk sajak naratif atau prosa yang berkonsepkan balada dan tablo di samping ayat-ayatnya selalu disaring dan disampaikan dengan mengikut adab dan kebiasaan berbahasa, dengan sopan-santun, dengan sukatan dan nada yang sesuai.

Analisis Gaya Bahasa Sajak-sajak Usman Awang pada era 70-an hingga 80-an

Pada tahun 1971 pun, kita masih menemukan imej dan diksi yang mengingatkan kita cara penyair tradisional menggubah gambar hati yang dibahagiakan cinta muda. Lihat misalnya tiga bait sajak berikut:-

Akan kupintal buih-buih
Menjadi tali
Mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
Menjadi harapan
Ranjang tidurmu
Akan kutenun awan-gemawan
Menjadi selendang
Menudungi rambutmu
(Kekasih:1971)

Betapa penyair peka akan bunyi-bunyi bahasa Melayu, terutama yang lembut, mersik dan yang melukiskan dunia indah. Unsur fantasi yang ditambah kepada tema kasih sayang mengangkat kita ke alam atau dunia di luar kenyataan.

Kutipan daripada “Kekasih” ini juga ialah contoh yang baik untuk suatu gaya tradisional, iaitu pengulangan baris atau struktur bait yang dikenal sebagai teknik paralelisme. Bait-bait “Kekasih” ini juga berlandaskan sesuatu struktur yang terbahagi kepada tiga baris, yang diulang hingga akhir sajaknya. Dalam susunan begini hanya kata-kata yang diganti, manakala bentuknya kekal. Misalnya dalam baris pertama bait pertama frasa “kupintal” diubah menjadi “kuanyam” dalam bait kedua. Seterusnya “buih-buih” bait pertama menjadi “gelombang-gelombang” pada bait kedua.

Paralelisme ini memberikan rentak yang tertentu dan teratur yang akhirnya mencipta suatu irama yang stabil dan berulang-ulang. Tetapi perlu saya tegaskan di sini, walaupun Usman popular kerana bahasa dan tekniknya yang dekat kepada tradisi Melayu, namun beliau juga sering menggunakan bahasa yang lebih nyaring dan tegas nadanya, terutama dalam sajak-sajak perjuangannya seperti “Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?” (1979) dan “Selembar Kamus Kemiskinan” (1984).

Walaupun begitu, perlu disebutkan bahawa jaring konotasi perkataan Usman makin menipis sehinggalah karya-karya mutakhirnya. Bahasa mutakhir beliau lebih mendekati maksud asal dan objektif, sesuai dengan zamannya. Sajak “Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya” (1979) ialah contoh terbaik untuk karya jenis ini, di samping turut melibatkan penggunaan lambang, bahasa kiasan dan bentuk figuratif.

Pada era 70-an dan 80-an ini, gaya pengulangan kata, ungkapan, baris dan rangkap turut hadir dalam sajak-sajak Usman Awang untuk menimbulkan irama atau suasana muzikal untuk mengindahkan pendengaran, menegaskan maksud tertentu sebagai persoalan utama dan menarik tumpuan perhatian atau pendengaran. Contoh ketiga-tiga tujuan serta kesan ini dapat dirasakan dalam petikan puisi berikut:-

Selamat tinggal
Selamat tinggal wahai awan
Selamat tinggal matahari
Selamat tinggal bulan
Selamat tinggal kupu-kupu sayang
Selamat tinggal wahai
Burung-burung bersarang
Selamat tinggal anak-anak bermain riang.

(Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya: 1979)

Pengulangan ungkapan atau rangkai kata “Selamat Tinggal” yang berbentuk anafora itu berjaya menimbulkan kesan irama atau muzikal yang segar. Kedudukan pengulangan tersebut telah berhasil menarik tumpuan perhatian atau pendengaran yang tidak dipaksa. Di samping itu, kehalusan serta kelembutan pengucapannya semakin memperkuat dan memperdalam kesan pernyataan kehampaan terhadap kemusnahan keindahan alam yang asli, iaitu titik persoalan utama puisi tersebut.

Unsur-unsur puisi lama tidak terlalu benar lagi dalam karya-karya Usman Awang. Unsur-unsur kontemporari menjadi lebih penting. Bentuk sajak Usman tidak lagi begitu licin dan harmonis tetapi berbentuk pecah-pecah seperti “Salji Hitam” (1970). Baris dan iramanya tidak lagi regular tetapi berubah mengikut nada dan suasana hati kata-kata serta penyairnya. Puisi-puisi lain seperti “Salam Benua” (1970), “1971 – 1991” (1971) dan “Ucapan” (1982).

Contoh Sajak I:

V.
Salam
Tanpa visa
Pasport
Golf
Warna
Kemanusiaan rakyat
Seluruh benua
(Salam Benua: 1970)

Contoh Sajak II:

Salam
Tanpa visa
Golf
Warna
Kemanusiaan rakyat
Seluruh benua
Khob Khun Krab:
(Ucapan:1982)
Selain memaparkan ciri-ciri dan gaya kontemporari, unsur-unsur prosa atau naratif dalam sajak Usman Awang masih berkesinambungan pada era 70-an dan 80-an. Usman Awang juga mencuba bentuk prosa puitis yang bercerita secara alegori. Dalam sajak ini, tiga jenis bentuk ditemukan: puisi, prosa, dan cerita. Inilah bentuk terbaharu untuk Usman dan masih memerlukan percubaan selanjutnya. Sajak ini berjudul “Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?”

Sebenarnya sang ketam tidak pernah menyuruh
Dan mengajar anaknya berjalan betul kerana
Sang Ketam cukup yakin bahawa caranya berjalan,
Sebagaimana cara nenek moyang kepada nenek moyangnya,
Dan cucu cicit kepada cucu cicitnya
Berjalan, telah betul dan sempurna.

(Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?: 1979)

Sajak-sajak terbaru Usman Awang pada dekad 1990-an masih jelas mempertahankan tradisi berpuisi dengan menggunakan kata-kata, frasa, klausa dan sintaksis untuk mengungkapkan nilai-nilai dan hak-hak kemanusiaan tanpa takut untuk menyatakan yang benar. Usman telah menyambung tradisinya, memberikannya suatu lafaz yang segar di persada tanah air.

Contoh I:

Telah kuanyam mutiara
Kebijaksanaan menjadi teknologi
Demi membina sebuah negara perkasa
Dan kaya
Dengan daya fikir, akal budi dan semangat berani
Menebus maruah bangsa
Mengembalikan keyakinan diri

(Kepada Pemimpin Perdana Dr.Mahathir Mohammad – sempena 15 tahun pentadbirannya: 31 Julai 1996)

Contoh II:

Bagaimana Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan:
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran:
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.

(Sajak – Melayu : Dewan Sastera Januari 1997)

Rumusan:

Setelah mengkaji dan menghalusi sajak-sajak Usman Awang sejak era 40-an hingga 80-an, jelas dapat saya simpulkan bahawa sajak-sajak Usman Awang pada era 40-an hingga 50-an, banyak memaparkan gaya bahasa pantun, iaitu intipati ciri puisi Melayu tradisional. Penyesuaian bentuk dan gaya Melayu pada zaman tersebut sebenarnya ialah suatu siri eksperimen yang separuh sedar dan separuh spontan.

Ciri-ciri tradisional Usman semakin berubah pada era 60-an. Bentuk baris puisi-puisinya tidak lagi berjumlah empat tetapi dikurangkan menjadi tiga atau dua, ataupun ditambah menjadi lima dan enam. Nafasnya kadang-kadang dipendekkan atau dipanjangkan untuk memenuhi ciri-ciri kontemporari yang ditandai oleh pelbagai eksperimen penyesuaian dan percubaan cara berbicara. Dengan bahasa lembut romantik untuk sejumlah sajak, dan bahasa yang bersahaja tetapi sinis untuk sajak-sajak yang lain, Usman mengukir nama sebagai penyair yang amat penting dalam petak kesusasteraan tanah air. Kejayaan Usman dalam beberapa buah sajaknya yang popular terletak pada kebolehannya memadukan sifat romantik serta sifat seriusnya itu, sehingga kadang-kadang dalam kesedihan tragedi, kita dapat merasakan keindahan hidup.

Sajak-sajak beliau pada era 70-an semakin stabil dan mantap serta dihalusi lagi pada tahun-tahun 80-an dan 90-an melalui eksperimen-eksperimen hingga menyeberang masuk ke dunia prosa naratif dan hampir memutuskan hubungan dengan konsep puisi tradisional yang lebih mendekati lagu. Bahasa mutakhir Usman lebih mendekati maksud asal dan objektif, sesuai dengan zamannya.

Dapat saya simpulkan di sini bahawa Usman menganggap bahawa bahasa sesebuah puisi haruslah cantik serta sesuai. Kecantikan ini dicipta dengan landasan dan bentuk sastera tradisional, manakala kesesuaian ditentukan oleh tema, zaman dan tuntutan kebebasan. Kecantikan dan kesesuaian ini juga menolong memadukan karya-karyanya. Konsep puisi beliau amat bergantung kepada prinsip bahawa bahasa bersopan santun, berukur dan harus terkawal. Cita rasanya yang halus pula membimbing penyair untuk mencapai bahasa yang dianggap unggul ini, persis kata SN Dr. Muhammad Hj.Salleh, “Usman Awang: Penghubung sastera moden dengan akar tradisi!”.

Perkampungan Penulis Muda Peringkat Kebangsaan 2003

BENGKEL PENULISAN SAJAK
Chai Loon Guan


1.0
Definisi Sajak:
Menurut Hashim Awang:
SAJAK
· Puisi baru yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukan rangkap, baris, kata-kata & rima.
· Dapat mengucapkan fikiran penyair dalam cara yang lebih indah, segar & bebas.
· Tema sajak – gagasan fikiran atau persoalan utama yang menjadi pemikiran atau permasalahan yang mendasari karya atau kesatuan seluruh persoalan pokok yang mendasari penciptaan & penulisan sesebuah karya.
· Persoalan sajak – hal-hal yang dipersoalkan dalam sesebuah sajak untuk memantapkan tema.
Menurut Za’ba:
· Puisi sebagai karangan yang digunakan untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah.
Menurut Coleridge:
· Sajak sebagai “ Kata-kata terbaik dalam susunan terbaik”.
Menurut Muhammad Hj.Salleh:
· Puisi – “…bentuk yang kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa. Bahasanya lebih padat, teliti dan kadang-kadang mendekati lagu. Temanya diolah dari hidup harian tetapi dipersembahkan kepada pembaca dengan sudut pandang yang agak luar biasa; dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya.”

2.0
Sifat-sifat SAJAK:
SAJAK
· Gubahan fikiran atau rintihan perasaan serta catatan pengalaman menerusi kosa kata, frasa, klausa, dan susunan sintaksis (ayat) yang puitis/indah.
· Mempunyai baris-baris ayat yang membangunkan rangkap.
· Mempunyai keharmonian & penyesuaian yang baik antara isi dengan bahasa.

Contoh:I
Akan kupintal buih-buih
Menjadi tali
Mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
Menjadi hamparan
Ranjang tidurmu
(Kekasih – SN Datuk Dr. Usman Awang)

Apabila seseorang penyajak/penyair ingin berkarya, beliau mesti memiliki idea (buah fikiran) atau motif yang ingin disampaikan, tema & persoalan, perasaan, pengalaman dan mesej atau perutusan yang ingin dikemukakan kepada khalayak pembaca. Justeru, sajak mempunyai tema via (melalui/menerusi) imej-imej alam & cita rasa pancaindera yang menghidupkan binaan puisinya.

Penyair akan menyusun kalimat-kalimat indah & teratur, menggunakan kata-kata yang sesuai & jelas untuk mengemukakan maksud atau motifnya.

Contoh:II
Seperti kolek terdampar di pasir
Menampakkan urat jalur-jalur tua
Anak laut itu sudah dapat menerka
Langkahnya hampir tiba
Pada muara Pencipta.
(Anak Laut – Rahimidin Zahari)

3.0
Jenis-jenis SAJAK:
· Epigram (pengajaran)
· Satira (sindiran)
· Elegi (kesedihan)
· Oda (pujaan)
· ‘Hymn’ (lelagu puji-pujian kpd.Tuhan)
· Balada (pengisahan)
· Roman (pencintaan)
· Gita puja (keagamaan)

4.0
Pengaruh dalam penciptaan PUISI:
· Pengaruh Tradisi ( pantun, syair, jampi, mantera dsb.)
· Pengaruh Karya Semasa ( karya-karya Usman Awang, A.Latif Mohidin, T.Alias Taib, Baha Zain, Suhaimi Hj.Muhammad dsb.)

5.0
Bentuk-bentuk SAJAK:
5.1 Bentuk Terikat ( pengaruh puisi tradisional)
5.2 Bentuk Separuh Bebas ( diukur melalui peratusan pengaruh puisi tradisional)
5.3 Bentuk Bebas ( bentuk yang tidak tertakluk pada pola, iaitu yang meninggalkan bentuk
pantun & syair sama sekali)
· Distikhon (2 baris ayat serangkap)
· Terzina (3 baris ayat serangkap)
· Quantrain (4 baris ayat serangkap – mirip pantun & syair)
· Quintain (5 baris ayat/kalimat serangkap)
· Sextet (6 baris ayat serangkap)
· Septet (7 baris ayat serangkap)

6.0
Gaya dalam SAJAK:
Setiap penyair/penyajak mempunyai gayanya yang tersendiri dalam menyampaikan maksud idea atau gagasannya kepada khalayak pembaca. Gaya pengucapannya disesuaikan dengan isi, perasaan serta suasana yang cuba dilukiskan olehnya.
Contoh:
· Gaya gambaran (deskriptif)
· Gaya pembayangan (reflektif)
· Gaya penuturan (naratif/kisah/cerita – monolog & dialog)
· Gaya soneta (puisi – 14 baris keseluruhannya dengan pola rima yang tidak tetap)
· Gaya perbandingan

Contoh:III
Ia merangkak
Dengan lidah terjalur
Di tengah kota
Dengan dada penuh nanah
(Sungai Kelang – A.Latif Mohidin)

7.0
Gaya bahasa SAJAK:
· Gaya perbandingan (kiasan): simile, metafora, personifikasi, hiperbola (pernyataan
berlebih-lebihan) & alusi (bahasa mengias/menyindir.
Contoh: hidup segan mati tak mahu – peribahasa)
· Gaya penegasan: pengulangan, inversi.
· Gaya pertentangan: paradoks
· Licentia poetica/Poetic licence: Kebebasan penyajak untuk melakukan
penyimpangan/terkeluar daripada realiti, bentuk, aturan dan sebagainya dalam penciptaannya dengan tujuan memperoleh
kesan/keaslian.

8.0
Unsur-unsur dalam SAJAK:
Suasana: yang sedih, muram, gembira, rindu dll.
Simbol/Perlambangan: kata-kata tertentu membawa makna tersirat. Contoh: bunga – wanita.
Imej: kesan gambaran yang timbul daripada penggunaan kata atau
ungkapan.
Bunyi: irama, rima (asonansi & aliterasi), nada (melankolik)

9.0
Sajak yang bermutu:
Isi yang baik.
Teknik & gaya yang baik.
Sajak yang lemah:
Imej yang bercampur ( Contoh: tasik boleh terbakar)
Klise ( Perbandingan yang telah basi, iaitu yang sudah sering diucapkan orang – bunga harapan)
Gaya melankolik ( Gaya yg. dipenuhi emosi sedih pilu) dan kata-kata bombastik ( kata-kata besar yang tidak sepadan dengan maksud – lautan air mata ibu)
Prosaik – berupa pengucapan bersahaja, kelonggaran maksud & pembaziran kata.

10.0
Pelan menulis SAJAK:

I
PENGUMPULAN IDEA
· Masa lepas + masa kini + masa depan
· Pemikiran + pengetahuan + pengalaman
· Idea + cetusan rasa

II
PROSES PEMILIHAN
· Mesej + tema
· Gaya + isi + bentuk

III
PROSES PENCIPTAAN
· Struktur ayat + perlambangan + bahasa pengucapan + susunan
· Kepuitisan + kelainan + asonansi + aliterasi + satira(sindiran) + pemerengganan + perbarisan
· S A J A K

11.0
Petua menulis SAJAK:
Menurut Rahman Shaari, bersajak ialah berbahasa dengan memberatkan seni. Justeru, bakal penyajak perlu:-
· Selalu mengkaji & membaca sajak penyair mapan.
· Membiasakan diri dengan pena & cebisan kertas untuk menggarap lintasan/cetusan ilham yang hadir secara tiba-tiba.
· Catat setiap lintasan ilham pada cebisan kertas & simpan.
· Memahirkan diri dengan pelbagai ungkapan tersendiri yang boleh dimengertikan.
· Jadikan bausastera Dewan/Utusan sebagai teman akrab.
· Selalu mengadakan perbincangan/interaksi dengan penyajak/penyair mapan.
· Disiplin menulis & membaca pada setiap hari wajar dikekalkan secara berterusan.

12.0
Kaedah mendeklamasi SAJAK:

· Pemahaman
· Peresapan
· Pengucapan: i. Daya hafal
ii. Daya ucapan
iii. Irama
iv. Batas kalimat
v. Memek
vi. Gerak-geri

13.0
Panduan mengirim SAJAK ke media penerbitan (akhbar & majalah):
· Taip jarak dua ( Sekuntum sajak untuk sehelai kertas yang berukuran A4 )
· Sertakan surat lampiran, biodata diri, alamat yang lengkap & no. kad pengenalan.
· Karya hendaklah kemas & bersistem.
· Kiriman surat hendaklah menggunakan setem yang mencukupi.
· Simpan alamat media penerbitan & selalu melihat/membaca/membeli akhbar/majalah di pasaran.
· Jika boleh, gunakan prasarana komputer/ICT – e-mel & disket karya.
· Kaji/selidik cita rasa pengarang akhbar/majalah berkaitan ruangan sajak.
· Intimkan diri dengan pelbagai isu semasa untuk mengungkapkan tema sajak.
· Berusaha terus berusaha dengan iringan doa.

14.0
PENUTUP:

Selamat mencuba untuk lahir sebagai insan penyair/penyajak mapan tanah air. Sematkan di hati sanubari anda untuk melihat karya anda tersiar di dada pelbagai akhbar/majalah. Segumpal kesabaran, disiplin diri, ilmu dan doa adalah resipi unggul yang bakal menonjolkan diri anda sebagai penyair yang tersohor. Yakin boleh! Mudah-mudahan anda akan memperoleh kejayaan dan kecemerlangan.

Ingatlah bahawa kejayaan tidak boleh diraih dalam sekelip mata sahaja. Kejayaan memerlukan kesanggupan diri dalam usaha mengharungi onak dan ranjau dunia penulisan kreatif yang terdedah kepada tuntutan cabaran dan kegetiran. Banyak penyair mapan sekarang sudah pernah menangis semahu-mahunya sebelum gembira ceria & ketawa besar muncul sebagai pengarang sajak yang mapan dan berketerampilan!


Menulis terus menulis. Sekian, terima kasih.
Chai Loon Guan, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan.
30 Jun – 3 Julai 2003.

Bibliografi:
1. Hashim Awang, Teman Pelajar Kesusasteraan; Penerbit Fajar Bakti, Petaling Jaya:1984.
2. Rahman Shaari, Persediaan Menulis Sajak (Edisi Kedua), DBP, Kuala Lumpur:2001.
3. Oxford Advanced Learner’s Dictionary; Oxford University Press:1993.
4. Kamus Dewan (Edisi Ketiga); Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur:1994.
5. Kamus Sastera Melayu,; Longman, Petaling Jaya: 2000.
6. Anak Laut, Kementerian Pendidikan Malaysia, DBP, Kuala Lumpur: 2000.