Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, August 21, 2008

Sajak I - Ceritera Bahasa Melayu

CERITERA BAHASA MELAYU

I
Bahasa Melayu kurun ketujuh
Antara ratusan bahasa
Wadah sarana tutur di gugusan Kepulauan Melayu
Biarpun berasaskan Sanskrit – Tamil, mudah indah
Ketika kuasa Hindu-Buddha: Kalingga, Kendiri, Singasari & Majapahit
Bahasa Melayu tumbuh subur di taman warga
Mesra intim dan akrab di laman nubari rakyat jelata
Berkat keterbukaan & kesederhanaan
Bahasamu diasimilasikan
walakin acapkali digoda saing bahasa Jawa

II
Bahasa Melayu kurun ketiga belas
Meniti alaf kegemilangan & kecemerlangan
Ketika Islam berakar umbi di Kepulauan Melayu
Kesantunan & kehalusan budi menjadikan bahasa
Wahana penyebaran agama warga aneka
Empat abad lamanya, bahasa Melayu disegani lawan & kawan
Sistem tulisannya memartabatkan citra sarana budaya tinggi
Pada era Tun Perak & Empayar Melaka
Bahasa Melayu
Bahasa lingua franca
Bahasa Melayu
Bahasa istana
Bahasa Melayu
Bahasa urus niaga
Dari segenap pelosok ceruk rantau dunia
Antologi khazanah ilmu:
ad-Durrul Manzum, Sulalatus Salatin, Risalah Hukum Kanun, Hikayat Amir Hamzah & Hikayat Bayan Budiman
Mencemerlangwangikan citra bahasa
Di buana nusantara
Di buana antarabangsa

III
Api pelita bahasa abad kelima belas
Dimalapranapkan oleh tipu helah penjajah:
Portugis, Belanda, Inggeris & Jepun
Dan, terpampanglah sketsa siasah budaya Tanah Melayu
Di bawah telunjuk nyali kecil penjajah
Maruah bahasa ibunda dicemarnodakan
Nyawa bahasa ibunda dimatilemaskan
Dek kedaifan, penindasan & penjajahan
Bahana keterpinggirannya, muncullah gah megah bahasa penjajah
Menjajahbelenggukan
J – Jasmani
E – Emosi
R – Rohani
I – Intelek
Anak cucu bangsa!

Kemunculan Riau, Aceh dan Palembang
Kecemerlangan sastera & keintelektualan Islam
Melahirsuburkan keterampilan & kebitaraan tokoh:
Sheikh Nuruddin al-Raniri
Hamzah Fansuri
Shamsuddin al-Sumaterani
Abdul Samad al-Falambani (Palembang)
Arshad al-Banjari (Banjarmasin)
Mohd Ismail Daud Pattani (Pattani)
Merekalah, wirawan bangsa serumpun
Gah megah memangkinkan gagasan persuratan Melayu ke puncak cakerawala Nusantara
Johor – Riau menjadi saksi kecemerlangan
Menjelang abad kedua puluh
Nur budaya & intelek Melayu-Islam gilang-gemilang
Menerangi tujuh petala langit tujuh petala bumi Melayu:
Bustanul al-Katibin (1857), Salasilah Melayu & Bugis, Tuhfat al-Nafis (1865)
Bicara karya Raja Ali Haji memartabatkan kecendekiawanan Melayu!

IV
Bahasa Melayu berkembang pesat dalam pelukan akrab tradisi santun & murni
mangkin perjuangan siasah bahasa pramerdeka
Lahirlah putera puteri – wira serikandi Balai Pustaka & Angkatan Pujangga Baru
membangkitkan nafas nasionalisme
menyemarakkan pawaka patriotisme
di buana nusantara
bangkit ASAS 50 – SITC
bangkit ilmuan Timur Tengah, Za’ba dan nasionalis tanah air
bersatu hati berganding bahu bergabung kudrat
mendepani marabahaya penjajah & pertualang bangsa
demi kemerdekaan mutlak
nusa bangsa yang tercinta!

Laporan Razak (1956) nafas baru kepada hayat bahasa
Jambatan perpaduan meniti integrasi nasional
Kongres Bahasa & Persuratan Melayu I mengilhamkan DBP!

V
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Bulan Bahasa Kebangsaan
Bahasa Jiwa Bangsa
1967
mendung awan-gemawan gerhana bulan bahasa berarak pergi
Kembali bahasa Melayu bertakhta di nusa bangsa tercinta
Bahasa perpaduan, bahasa rasmi, bahasa kebangsaan
Di rumah Perlembagaan 152!

VI
Demikianlah, ceritera sejarah
abad-berabad
bahasaku, bahasa Melayu
bahasaku, bahasa berdaulat
bahasaku, bahasa bermartabat
anak cucu nusa bangsaku
ayuh, kita perkukuh ilmu
kita perteguh jati diri
tuntutlah kemanfaatan & kebestarian
dalam jitu semangat & maruah yang bermartabat
menuntun anak cucu generasi tercinta
mendepani onak duri cabaran
mengharungi riak ombak gelombang kehidupan
tanpa gusar & cemas
tanpa cuai & lemas
tanpa ralit & waswas
di lautan alaf globalisasi yang kian ganas
demi wawasan perdana nusa bangsa
demi denyut nadi bahasa ibundaku
bahasa jiwa bangsaku!

(WATAN MINGGU – 6 APRIL 1997)

Cerpen II - Sebuah Rasian, Pasir Salak dan Aku

SEBUAH RASIAN, PASIR SALAK DAN AKU.
Chai Loon Guan

Malam semakin tua. Hujan masih belum reda. Titis-titis hujan bergemerencingan antara zink dan siling. Aku duduk di tepi jendela kamar tidurku. Aku masih membaca buku Sejarah. Sejarah Pasir Salak! Kononnya, banyak soalan Ujian Setara II akan mencakupi bab Pasir Salak.

Dingin malam kian menggigit. Sesekali angin sejuk bertiup sepoi-sepoi bahasa mengelus mukaku dengan lembut dan mesra. Perlu aku tabah untuk meneruskan perjuangan, bisik hati kecilku. Perjuangan menelaah nota-nota sejarah walaupun badanku kian keletihan selepas menghadiri aktiviti kokurikulum pada sebelah petang. Akal mindaku kian sarat dan berat. Mataku kian kuyu dan layu. Dalam belaian angin tengah malam itulah, terlena aku seketika.

Di mana aku? Alam realiti atau buana fantasi? Hati dan mindaku saling berbicara.
Deruan pawana bertiup sepoi-sepoi bahasa. Riak alunan pawana itulah menzahirkan aku di sebuah desa. Desa yang dihuni oleh pembesar, wira, serikandi dan sekalian rakyat. Sebuah rumah dan seorang lelaki sasa terpapar di sketsa mataku. Lelaki itu memanggilku, Pandak Induk. Kata lelaki itu, rombongan Birch akan tiba di Pasir Salak malam esok. Selepas itu, dia pun beredar. Siapakah gerangan lelaki sasa itu? Diakah Dato Maharaja Lela?
Baru aku faham kini, dunia silamku kembali berputar. Aku dikenali sebagai Pandak Induk. Pandak Induk – pengikut setia Dato Maharaja Lela! Malam itu malam 1 November 1875. Rombongan Birch yang terdiri daripada Leftenan Abbot, Mat Arshad, iaitu jurubahasa Birch, sepuluh orang askar dan beberapa orang tukang dayung tiga buah perahu yang membawa rombongan tersebut pun sampailah ke bumi Pasir Salak. Mereka tidak terus ke tebing sungai di Pasir Salak. Perahu yang tiga buah itu dibiarkan terapung-apung sehingga menunggu hari siang. Pada waktu subuh, perahu rombongan Birch pun dirapatkan ke tebing Sungai Pasir Salak.

"Arshad, kamu pergi berjumpa dengan Maharaja Lela. Katakan saya mahu berjumpa dengannya," perintah Birch kepada Mat Arshad.

"Baik, tuan!"

Wajah Dato Maharaja Lela sungguh tidak senang ketika menerima kedatangan Mat Arshad. Dia berasa benci dan marah.

"Dato, saya membawa pesan daripada Tuan Birch! Tuan Birch menjemput Dato untuk bertemu muka kerana Tuan Birch mahu menampal surat-surat pemberitahuan di sekitar Pasir Salak ini!" kata Mat Arshad.

"Ini desa saya! Ini daerah saya! Ini tanah air saya! Kenapa saya mesti pergi berjumpa dengan penjajah? Balik penjajah! Sesiapa pun tidak dibenarkan menampal surat atau notis di Pasir Salak!" jawab tegas Dato Maharaja Lela. Suara tanpa kompromi bergema. Suara berani anak watan Pasir Salak – bumi pahlawan Melayu!

Mat Arshad bergegas kembali ke tempat Birch. Tuan Birch? Setiap tutur bicara Dato Maharaja Lela itu disampaikan kepada tuannya tanpa gagal.

“Kita tak peduli! Sultan sudah bersetuju. Kita akan menampal surat-surat ini di Pasir Salak. Jalankan perintah saya segera, Mat Arshad!” kata Tuan Birch serius dan sombong.

"Baik, tuan!"

Mat Arshad kembali ke deretan kedai di persisiran sungai yang berdekatan dengan perahu Birch. Surat-surat itu ditampalkan satu persatu pada dinding usang deretan kedai di Pasir Salak. Orang-orang Pasir Salak mula mengejek-ngejek perbuatan Mat Arshad.

“Anjing penjajah!”

“Anjing British!”

“Barua orang putih!”

Mat Arshad berasa cemas dan gerun. Pendekar-pendekar Melayu sudah bersiap-siaga dengan keris, sundang dan lembing. Pendek kata, Mat Arshad kian serba-salah bagaikan cacing kepanasan, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Sebaik sahaja selesai menampal surat-surat tersebut, orang-orang Dato Maharaja Lela menyerbu ke arahnya. Mereka merampas dan mengoyak-ngoyakkan surat-surat yang baru ditampal itu. Perbuatan itu dibalas oleh Mat Arshad. Maka, silih bergantilah perbuatan tampal dan koyak oleh kedua-dua pihak. Aku tidak dapat bersabar lagi. Kerisku sudah lama kehausan darah. Dengan sepantas kilat, aku membenamkan mata keris sundangku ke tubuh sasa Mat Arshad. Mat Arshad terus tumbang dan menggelupur di tanah dan meninggal di situ juga.

"Bunuh Inggeris keparat! Bunuh Inggeris keparat!" jerit orang-orang Pasir Salak. Dato Maharaja Lela, Tok Sagor dan aku serta orang-orang Pasir Salak menyerbu rumah rakit tempat Birch sedang mandi-manda. Lembing yang ada di tangan mereka segera dihunjamkan ke rumah rakit tersebut. Dan, salah satu lembing hunjaman Seputum menembusi atap rumah rakit itu dan menikam Birch.

Birch tercampak jatuh ke dalam Sungai Perak. Ia tercungap-cungap dan cuba berenang untuk menyelamatkan dirinya. Melihat keadaan itu, aku telah menghayun sundangku ke arah kepala Birch. Darah merah begitu cepat terpercik dan membasahi permukaan Sungai Perak. Kelihatan Birch terkapai-kapai, tenggelam timbul lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Kita berjaya! Kita berjaya!” jerit kegembiraan orang-orang Pasir Salak yang berkerumun di tebing sungai itu. Berita pembunuhan Residen Birch itu segera sampai kepada Gabenor Jervois di Singapura. Peristiwa berdarah dan bersejarah ini benar-benar mengejutkan pihak Inggeris!

“Hal ini tidak boleh dibiarkan!” kata Gabenor itu dengan nada marah. "Hantar bantuan segera sebelum terlambat!"

Negeri Perak kembali bergolak. Mayat Birch telah ditemui oleh konco-konco Inggeris dan dikebumikan di Bandar Baharu. Pihak berkuasa Inggeris tidak berdiam diri. Mereka mengirimkan seangkatan kecil yang terdiri daripada puluhan askar untuk memburu kami, kononnya kami pengkhianat tanah air yang tercinta? Pasukan askar tiba di Bandar Baharu pada 6 November 1875, iaitu sehari mayat Birch dijumpai dan dikebumikan!

Di Pasir Salak pula, persiapan rapi telah diatur untuk menghadapi serangan pihak Inggeris. Dato Maharaja Lela sudah menjangka bahawa Inggeris tidak akan berdiam diri. Dato Maharaja Lela dan pengikut setianya berkubu di Bandar Tua. Sebaik sahaja askar Inggeris itu tiba, tembakan dilepaskan. Maka, bermulalah peperangan. Dentuman meriam dan bunyi tembakan senapang menggegarkan bumi Pasir Salak! Pasir Salak bergolak lagi.

Peperangan berlanjutan seharian. Akhirnya, pasukan askar Inggeris mengambil keputusan untuk berundur. Dato Maharaja Lela dan pengikut setianya meraikan pengunduran musuh. Pihak Inggeris seolah-olah tidak percaya akan kebolehan dan keberanian Dato Maharaja Lela dan pengikut-pengikutnya. Rasa malu yang ditanggung oleh pihak Inggeris cukup ketara. Mereka terpaksa berundur sementara menanti bantuan tambahan. Musuh datang lagi. Musuh serbu lagi. Musuh bermaharajalela lagi. Dato Maharaja Lela dan Tok Sagor amat arif akan strategi perang pihak Inggeris.

“Kali ini askar musuh lebih ramai. Kita mesti memperkuat kubu pertahanan dan bekalan kita. Kita berharap agar Sultan Abdullah akan mengutuskan bantuan segera,” jelas Dato Maharaja Lela.

Dato Maharaja Lela dan pengikut-pengikutnya terpaksa berjaga siang dan malam. Mereka perlu senantiasa bersiap siaga. Barangkali musuh akan melancarkan serang hendap atau menyerang secara mengejut tanpa belas kasihan. Dalam suasana yang tenang pagi itu, tiba-tiba terdengar akan letusan meriam bertalu-talu. Peluru-peluru meriam meledakkan kawasan sekitar kubu pertahanan. Kubu Dato Maharaja Lela dihujani ribuan peluru yang tidak bermata. Setiap butir peluru kian rakus mencari mangsa. Dalam hujan peluru itulah, penduduk-penduduk Pasir Salak bertindak balas dengan Lela Rentaka II. Sengit dan mahahebat peperangan itu. Banyak pendekar Pasir Salak gugur di medan pertempuran. Mereka gugur dalam mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara. Askar-askar Inggeris semakin mara.
“Dato, banyak orang kita sudah terkorban. Bagaimana, Dato?” tanyaku spontan tanpa lupa tangan kananku masih erat menggenggam sebilah keris sundang warisan pusaka. Warisan nenek moyang inilah yang akan mempertahankan kedaulatan tanah air daripada kecundang ke tangan pengkhianat dan musuh seteru durjana! Dengan keris, sundang dan semangat kepahlawanan para pejuang, nasib nusa bangsa akan terbela. Sekali terhunus, nasib bahasa, budaya dan agama nusa bangsa akan dapat dipertahankan hingga titisan darah yang terakhir – selagi hayat dikandung badan!

“Musuh kian kuat mara. Ayuh, kawan-kawan kita berundur!” putus Dato Maharaja Lela dengan suara nyaring biarpun menampakkan sedikit kekecewaan. Dato Maharaja Lela, Tok Sagor, dan aku serta beberapa pengikut setia berundur ke kubu persembunyian. Akhirnya, Pasir Salak jatuh ke tangan Inggeris. Pihak musuh gagal menjejaki kelibat Dato Maharaja Lela, Tok Sagor dan pendekar-pendekar Melayu. Yang pasti pemburuan musuh akan berterusan. Kami terus diburu. Kami terus dijejaki. Minggu demi minggu, pihak musuh masih gagal menemukan sebarang bukti atau alamat. Hadiah dan pelbagai tawaran janji manis diuar-uarkan oleh pihak Inggeris untuk menjejaki lokasi kami. Akhirnya kerana adanya musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, tempat persembunyian kami terbongkar. Kami telah diberkas dan dihadapkan ke mahkamah penjajah Inggeris! Barangkali, hasil perbicaraan yang berat sebelah, kami didapati bersalah. Dato Maharaja Lela, Tok Sagor, Seputum dan aku dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Sultan Abdullah telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles. Yang lain pula telah dipenjarakan.

Watikah penggantungan telah disebarluaskan. Kami akan digantung di Matang pada 20 Januari 1877. Selepas Dato Maharaja Lela, Tok Sagor dan Seputum, maka tibalah giliran aku pula mati di tali gantung Inggeris!. Kepalaku telah disarungkan guni. Kedua-dua tanganku telah diikat erat-erat sebelum tali gantung dilepaskan!

Aku meronta-ronta untuk melepaskan diri. Lidahku kelu berkata-kata. Agaknya, leherku tercerut dek tali gantung yang mahaketat. Tiba-tiba, kepalaku bagaikan terhantuk pada benda keras. Dalam kesakitan dan kepayahan, aku sempat membuka mataku. Terkebil-kebil aku melihat kawasan di sekeliling. Rupa-rupanya, aku sudah tertelungkup di lantai kamar tidurku. Buku sejarahku masih terbuka luas. Di dada muka suratnya, masih terpampang jelas nota sejarah Pasir Salak – bumi pahlawan Melayu! Kini, baru aku faham bahawa sudah semalaman aku berasian tentang Pasir Salak!

Merdeka, hidup Pasir Salak!
Merdeka, aman makmur Pasir Salak!
Merdeka, gemilang, cemerlang, terbilang Pasir Salak!

(PELITA BAHASA – OGOS 2008)

Cerpen I - Di Perantauan Impian

DI PERANTAUAN IMPIAN
Chai Loon Guan

Sketsa pagi di Daerah Engchun macam pagi-pagi sebelumnya. Pagi ini masih ada mega-mega mendung. Mega-mega mendung kehidupan. Sana-sini berlaku kemelaratan. Sana-sini berlaku kelaparan. Warna-warna kebuluran kian merajai sketsa dan layar kehidupan hampir seluruh warga di daerah pedalaman Engchun.

Rata-rata penduduk di Daerah Engchun golongan marhaen. Kebanyakannya golongan petani. Petani sara diri. Ada yang terpaksa bekerja keras untuk sesuap nasi dan seteguk air. Ada yang terpaksa membanting tulang empat kerat di kebun-kebun pertanian di desa pedalaman. Tidak kurang pula yang terpaksa bersabung nyawa di sungai, tasik dan laut untuk memukat rezeki. Itupun jika ikan-ikan menghulurkan simpati. Senario hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sudah lumrah dalam kehidupan setiap warga Daerah Engchun.

Dunia sebelah matahari terbit kian gerhana. Di utara, Nippon sedang mula melancarkan propanganda. Nippon mahu bangkit menjelajah dan menguasai negara-negara di rantau Asia Timur Pasifik. Dan, khabar terbaru dan mula tersebar luas, Nippon sedang mengembangkan sayapnya di Tanah Besar. Yang pasti Daerah Engchun akan mendapat tempiasnya. Ah, hal perluasan empayar itu barangkali esok atau lusa! Barangkali berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya? Hati Ah Hai berdialog. Hati Ah Hai bermonolog. Bagaimana nasib kita pada hari ini? Bukan mudah untuk mencari sesuap nasi dan seteguk air! Yang penting seisi keluarga perlu makan. Seisi keluarga perlu diisi perut yang lapar. Jika tidak, kebuluranlah mereka. Setidak-tidaknya mereka perlu mengikat perut. Mereka perlu berjimat cermat untuk melihat fajar menyingsing pada keesokan paginya. Bisakah begitu?

Ah Hai perlu bertindak nekad. Tindakannya perlu berani dan betul. Fikirannya mestilah rasional tanpa waswas. Ah Hai perlu memikirkan masa depan keluarganya. Masa depan generasinya. Masa depan zuriat keturunannya. Peduli apa kata orang. Yang penting, Ah Hai perlu memikirkan masa depan keluarganya. Bagi Ah Hai, keluarga adalah segala-galanya. Kata orang sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Benarkah begitu? Apapun, malam itu, Ah Hai perlu berbincang tentang masa depan. Masa depan kehidupan sebuah keluarga yang bahagia. Ah Hai perlu berbincang dengan Nyonya Tan, suri yang dikahwininya seawal belasan tahun itu. Perkahwinan tanpa cinta atas pilihan keluarga kedua-dua pihak. Bermusyawarahlah Ah Hai dan Nyonya Tan. Soalnya kini, Ah Hai perlu berkorban. Nyonya Tan perlu beriltizam. Akhirnya keputusan nekad telah dicapai.. Mungkin esok, lusa atau barangkali tulat, Ah Hai akan keluar dari daerah kemiskinan itu untuk merantau. Merantau Ah Hai untuk mencari rezeki. Merantau Ah Hai untuk memburu harapan. Merantau Ah Hai untuk mengapai impian. Merantau Ah Hai untuk menikmati nur kebahagiaan masa depan! Syaratnya, perlu ada kapal yang singgah di pelabuhan sebelum belayar dalam sehari dua ini. Keluarga Ah Hai terpaksa merelakan pemergiannya demi masa depan.

Keluarga Ah Hai terpaksa mengizinkan demi sebuah impian yang bakal menjanjikan harapan. Barangkali, hanya jalan itulah satu-satunya jalan keluar yang terbaik buat Ah Hai dan keluarga. Keadaan di Tanah Besar tidak menjanjikan harapan. Yang ada, hadir dua kuasa siasah yang berlainan fahaman. Pihak Mao dan Kuomintang sibuk berkonfrontasi untuk memenangi hati rakyat. Yang ada peluru dan senapang. Yang ada kemiskinan dan kemelaratan yang berpanjangan. Yang ada penindasan dan anarki yang meresahgelisahkan rakyat kebanyakan. Jelas, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Ketika itu, rakyatlah yang menjadi mangsa. Rakyat jelatalah yang akan menjadi pelanduk korbannya!

Pesan telah dikhabarkan. Barangkali wasiat telah dibisikkan. Tanggungjawab menjaga seisi keluarga kini beralih tangan. Tugas berat itu dipikul oleh Nyonya Tan. Nyonya Tanlah yang akan menjaga ibunya. Nyonya Tanlah yang perlu menjaga putera dan puterinya, Ah Chuan dan Ah Kiew. Nyonya Tanlah segala-galanya. Malam itu, malam persetiaan. Dan malam itu juga, malam perpisahan. Malam itu, Ah Hai akan merangkul kehangatan malam sepuas-puasnya sebelum memulakan pelayaran keesokan hari. Barangkali, malam itulah malam yang akan membuahkan harapan atau barangkali sebaliknya. Ah, minta jauh-jauh hal yang bukan-bukan. Segala-galanya pasrah kepada Tuhan. Yang penting, anak lelaki perlu berani memikul tanggungjawab. Anak lelaki perlu berani melaksanakan kewajipan. Dan, Ah Hailah, satu-satunya anak lelaki yang boleh diteladani. Ah Hailah, satu-satunya suami yang boleh disandarkan harapan untuk membina impian. Impian kehidupan sebuah keluarga yang bahagia sama ada di Daerah Engchun atau di Tanah Melayu!

Bertolaklah, Ah Hai dengan sebuah kapal dagang Tiongkok menuju ke selatan. Destinasinya, Semenanjung Tanah Melayu! Selamat tinggal Daerah Engchun. Selamat tinggal ibu. Selamat tinggal isteri. Selamat tinggal putera puteriku. Dari kapal dagang itu, sketsa Daerah Engchun kian mengecil, semakin lama semakin menghilang dari pandangan mata. Mulai saat itu, maka bermulalah dunia pencarian Ah Hai. Bermulalah dunia pengembaraan Ah Hai. Ah Hai insaf benar akan tanggungjawabnya. Tanggungjawabnya cukup besar. Tanggungjawabnya cukup berat. Di pundaknyalah kini, keluarganya bersandarkan sejuta harapan yang belum pasti. Sejuta harapan di perantauan impian!

Sejak kematian mendiang ayah ketika dia berusia 3 tahun, beban keluarga telah dipikul oleh ibunya. Selaku ibu tunggal, ibu perlu membesarkan Ah Hai, seorang kakak dan dua orang adik lelaki. Bagi Ah Hai, pengorbanan ibu cukup besar. Jasa pengorbanan ibu tidak terbalas olehnya. Benarlah kata orang, syurga di hujung tapak kaki ibu!

"Bila kita akan sampai di Tanah Melayu?" Ah Hai memulakan bicara dengan Mengze, jiran sekampung yang turut mencuba nasib di perantauan. Mengze tua sepuluh tahun daripada Ah Hai.

Usia Ah Hai baru mencecah 16 tahun. Sebenarnya, Mengze pernah ke Tanah Melayu lima tahun yang lalu. Ketika itu dia baru bertatih dan merangkak menimba ilmu dan pengalaman hidup. Pengalaman hidup tanpa kenal huruf, tulis dan baca! Kini, kembali Mengze lagi ke Tanah Melayu. Bagi Mengze, Tanah Melayu, semenanjung emas yang menjanjikan kemewahan dan kemakmuran yang melimpah ruah! Nama Tanah Melayu kian meniti di bibir orang, khususnya perantau, pedagang dan pengembara hidup di Tanah Besar. Maklum balas daripada jiran sekampung tentang Tanah Melayu juga cukup memberangsangkan hati Ah Hai. Yang jelas, bagi kebanyakan penduduk di Daerah Engchun, Tanah Melayu tanah kekayaan. Tanah Melayu tanah kemakmuran. Tanah Melayu tanah harapan.

"Enam hari lima malam. Hari ini Isnin. Barangkali kapal kita akan berlabuh di Singapura pada hari Sabtu," jelas Mengze tenang.
"Singapura?" soal Ah Hai lagi.
"Iya, dari Singapura barulah kita bertolak ke Kuala Lumpur dengan kereta api!" balas Mengze sungguh-sungguh.
"Kemudian?"
"Kita ke Tanjong Jambu!"

Singapura. Kuala Lumpur. Tanjong Jambu. Ketiga-tiga tempat itu amat terasing buat Ah Hai. Maklumlah, Ah Hai – anak remaja dari Daerah Engchun Tanah Besar! Barangkali, buat pertama kali, Ah Hai akan bergelar rusa masuk kampung! Namun, bagi Ah Hai mulai detik itulah dia perlu belajar menjalani kehidupan di perantauan. Perantauan orang tanpa keluarga tersayang kecuali Mengze dan suku-sakat di Tanjong Jambu! Dia perlu membiasakan diri. Rutin kehidupan di tempat orang perlu diadaptasi. Antara lain, Ah Hai perlu belajar bertutur bahasa setempat. Dia perlu mendalami adab budaya setempat, bak kata orang masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Laut Cina Selatan kian bergelora. Kata orang, kalau takut akan gelora maut lautan, janganlah berani kita berumah di tepi pantai. Angin laut pula tidak menentu. Sesekali bayu lautan tenang. Sesekali pula bagaikan ribut taufan yang melanda. Ganas dan mendebarkan setiap anak kapal. Memang, bagi Ah Hai yang pertama kali turun belayar, cukup cemas dan gelisah berhadapan dengan ombak. Gulungan ombak setinggi pokok nyiur itu! Kapal dagang teroleng-oleng dilambung ombak samudera. Biasanya anak kapal tidak keruan dibuatnya. Ada yang berasa loya. Ada yang dilanda demam laut, mabuk laut dan sebagainya. Tidak kurang pula yang terpaksa terlantar di pangkin perut kapal untuk menghilangkan resah gelisah yang kian berdebar. Demikianlah, kehidupan manusia di maya pada ini. Demi kehidupan yang lebih baik di Tanah Melayu, Ah Hai, Mengze dan rakan-rakan sanggup bergadai nyawa untuk bertarung dengan dugaan yang mendatang. Ah, alah bisa tegal biasa! Bisik hati kecil Ah Hai.

Bagi Ah Hai, siang dan malam di tengah lautan tidak banyak bezanya. Selain warna hari antara gelap dan cerah, dunia laut samudera diselubungi kabus laut, ombak yang bergelora, deruan angin yang pelbagai fiil, sketsa pulau dan beburung laut, kapal dagang atau perahu nelayan serta melodi alam yang mengandung sejuta rahsia yang masih belum habis diteroka oleh manusia!

Hari pertama belayar, Ah Hai mabuk laut. Barangkali pengalaman pertama kali. Rasa loya membelenggui dirinya. Malam itu, dia kehabisan selera untuk makan. Hari kedua pula keadaan Ah Hai bertambah baik. Barangkali dia sudah mula dapat menyesuaikan diri di tengah lautan. Kuih-muih dan secawan kopi pekat sarapan rutin Ah Hai. Tengah hari pula, kanji berlaukkan ikan masin selain makan malam - nasi berlaukkan telur asin dan sayur jeruk. Demikianlah, makan minum anak-anak kapal sepanjang enam hari lima malam pelayaran meredah Laut Cina Selatan!

Seringkali anak-anak kapal dinasihati supaya tidak bergentayangan di atas kapal. Takut kalau-kalau nanti disambar oleh tempias gulungan ombak yang mengganas atau disambar oleh cakar angin samudera yang tidak menentu.

"Bagaimana keadaan di Tanah Melayu?" terpacul soalan Ah Hai pada malam ketiga pelayaran. Barangkali perbualan dapat mengubati keterasingan, kerinduan dan kesunyian Ah Hai di laut pelayaran.

"Subur. Makmur. Kaya akan bahan mentah - getah dan bijih timah," jelas Mengze sungguh-sungguh.

"Penduduknya, bagaimana?"

"Kebanyakannya penduduk jati, Melayu. Penjajahnya, Inggeris. Ada kaum pendatang India dan Tionghoa!"

Penjelasan Mengze memberikan sedikit banyak keyakinan kepada Ah Hai. Maklumat-maklumat seperti itu amat perlu dijadikan bekal sebaik sahaja menjejakkan kaki di Tanah Melayu. Kapal dagang terus belayar membelah arus gelombang samudera. Pekat malam dan deruan angin dinihari menjadi lakaran misteri dalam mimpi setiap anak kapal.

Tora! Tora! Tora! Angkatan perang Nippon melancarkan serangan. Peking, Shanghai, dan beberapa kota di Tanah Besar sudah jatuh ke tangan Nippon. Asap tembakan dan letupan mewarnai sketsa langit. Jerit pekik rakyat jelata kedengaran. Tidak kurang pula yang sedang mencari tempat perlindungan. Di kawasan perbatasan, askar-askar Kuomintang bermati-matian mempertahankan kedaulatan nusa. Askar-askar Nippon kian bertindak ganas. Askar-askar Nippon kian bermaharajalela. Rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Mangsa kekejaman aiho, oabang dan kempeitai Nippon! Pemuda dipancung. Gadis dan wanita diperkosa. Kanak-kanak disembelih. Kampung demi kampung dibakar. Daerah demi daerah ditawan. Wajah-wajah kekejaman Nippon mula menguasai setiap plot mimpi Ah Hai. Dalam mimpi itulah, Ah Hai tercari-cari akan wajah keluarganya. Ah Hai tercari-cari akan anak-anaknya. Ah Hai tercari-cari akan isterinya, Nyonya Tan. Ah Hai tercari-cari akan ibunya. Ah Hai tercari-cari akan adik-beradiknya! Di manakah mereka? Masih hidupkah mereka? Atau, barangkali mereka telah ditawan atau dikerjakan oleh askar-askar buas Nippon? Ah Hai masih tercari-cari di medan pertempuran antara askar-askar Nippon, tentera Mao dan Kuomintang!

Dapat dilihat oleh Ah Hai kilat tajam pisau senapang askar Nippon merodok perut rakyat tawanan tanpa belas kasihan. Terburai segala isi perut bermandikan merah darah. Pedang samurai askar-askar Nippon memancung kepala rakyat yang tidak mahu menghulurkan kerjasama. Keperkosaan dan pembunuhan oleh kempeitai silih berganti tanpa perikemanusiaan. Ketika itulah nilai-nilai kemanusiaan ditalkinkan. Nilai-nilai kebinatangan manusia pula kian bermaharajalela. Matlamat telah menghalalkan cara biarpun salah dan berdosa. Ah, persetankan itu! Barangkali itulah persepsi minda bangsa yang bergelar penakluk dan penjajah. Mereka datang menakluk. Mereka datang menjajah. Mereka datang tanpa belas kasihan kecuali agenda tersembunyi. Sesungguhnya, peperangan membunuh kemanusiaan. Peperangan jugalah senjata paling mustajab manusia untuk merealisasikan cita-cita dan impian.

Asap letupan dan serangan musuh berkepul-kepul melangit ke bumi. Tangisan demi tangisan jelas kedengaran. Jeritan demi jeritan jelas terngiang-ngiang di segenap pelosok bumi yang sudah bermandikan darah!

"Abang!"

Nyonya Tan, isteriku? Bisik hati kecil Ah Hai. Ah Hai kebingungan.

"Abang!"

"Sayang!"

"Ayah!"

Muncul pula wajah anak-anak Ah Hai. Wajah adik-beradik dan ibu! Wajah-wajah mereka saling bertukar ganti. Apakah kini mereka sedang dilanda kesusahan? Apakah kini mereka sedang dilanda kesengsaraan? Terancamkah nyawa mereka akibat malapetaka atau bencana perang? Atau, Daerah Engchun sedang menahan kemaraan askar-askar Nippon?

"Tidak!"

"Ah Hai!"

"Tidak!!"

"Ah Hai!"

"Tidakkkkkkkkkkkkkkkkk!"

"Ah Hai!"

Ah Hai masih belum sedar. Halusinasi Ah Hai masih dibelenggui mimpi ngeri. Mimpi Daerah Engchun diserang oleh askar-askar Nippon dari utara. Daerah Engchun dibakar api peperangan!

"Bangun, Ah Hai! Bangun!" kejut Mengze berkali-kali.

"Ah?"

"Mimpikah, kau?"

"Di mana aku?"

"Kapallah!"

"Kapal?"

"Bangun, kita dah nak sampai!" kejut Mengze sambil menggelengkan kepalanya.

"Singapura?" soalnya pantas seolah-olah terpinga-pinga.

"Ya, pura yang bernama Singa!"

Bingkas Ah Hai daripada lena mimpi pelayaran. Biarpun kegembiraan tidak diluahkan namun riak wajahnya jelas menggambarkan segala-galanya. Langkah pertama telah mula disempurnakan. Dan, tidak lama lagi, Ah Hai akan menjejakkan kakinya pula buat pertama kali di pura Singa. Singapura! Singapore kata orang putih. Bukankah seribu langkah kejayaan bermula dengan langkah pertama kehidupan? Aku akan menghargainya. Aku akan berusaha. Aku akan berjaya. Bisik hati kecil Ah Hai. Dan, mulai saat itu, akan bermulalah hidup baru Ah Hai di perantauan impian – Semenanjung Tanah Melayu!

Kosa Kata
Aiho dan oabang – perkhidmatan tentera Jepun
Kempeitai – polis tentera Jepun yang dibenci dan ditakuti kerana kekejamannya.
Nippon – Jepun
Tora! Tora! Tora! – Slogan serangan jet pejuang Jepun.
Daerah Engchun, Tanah Besar – Salah sebuah provinsi di China.
Tiongkok – Benua China.
Tionghoa – orang (bangsa) Cina.

(MINGGUAN MALAYSIA – 20 JULAI 2008)